Pertubuhan Tandas
Dunia (WTO) yang menggabungkan serta membincangkan masalah penggunaan tandas
dan sistem pembuangan sisa pernah mengutarakan kebimbangan mengenai kekurangan
asas keperluan sanitasi. Ia berikutan kajian yang menunjukkan 40 peratus
penduduk di dunia kini kekurangan asas sanitasi serta keperluan untuk mencari
penyelesaian yang berkekalan bagi isu membabitkan tandas moden. Seperti biasa,
Jepun mempelopori teknologi yang digelar ‘tandas moden’ apabila menghasilkan
teknologi yang memberi manfaat kepada manusia khususnya masyarakat negara ini
bagi mengelakkan pembaziran serta menyalurkan najis kepada sistem lebih baik.
Konsep tandas moden
yang direkacipta di Jepun hanya memerlukan pengguna duduk di atas tandas dan
selepas selesai membuang air besar, mereka dikehendaki menekan butang dan air
serta sabun akan terpancut dari depan dan belakang untuk membasuh bahagian yang
kotor. Boleh dikatakan, penggunaan tandas moden sekarang diaplikasi meluas di
Jepun, Eropah, Amerika Syarikat, Hong Kong dan Korea Selatan sesuai bagi mereka
yang mementingkan aspek kebersihan tandas. Menariknya, tandas moden dikawal
oleh sistem mikrokomputer bagi membolehkan ia berfungsi secara automatik. Di
kanan tandas dipasang beberapa butang yang berfungsi mengawal kekuatan pancutan
air, kawalan suhu air, sumber kuasa dan butang memanaskan tempat duduk tandas. Manakala
di sebelah kiri tandas pula dilengkapi butang yang berfungsi menghentikan
pancutan air, mengubahsuai arah dan jenis pancutan, mengawal pancutan air di
bahagian depan dan belakang tandas serta satu tempat sabun.
Sememangnya, keperluan
tandas moden juga mengelakkan kekotoran yang bersepah akibat pancuran air tidak
stabil apabila kita memegang paip di tangan kanan. Sering sekali lantai tandas
menjadi kotor dengan air seterusnya dipijak kasut yang dipakai sehingga boleh
mengakibatkan tandas tersumbat dan mengganggu sistem sanitasi. Teknologi Jepun memang mampu membantu apatah
lagi mereka sudah memulakan langkah menerusi syarikat bernama Toto yang
mempunyai inovasi berdasarkan konsep ‘washlet’. Tandas moden washlet, yang
dapat membersih mangkuk tandas dan pengguna secara automatik dikhabarkan mampu
menjimatkan sehingga 50 peratus penggunaan bagi kerja pembersihan serta
menjadikan lantai bersih. Ia didatangkan dengan pancutan air suam atau sejuk
bagi tujuan membersihkan diri, selain pelapik tandas yang boleh diselaraskan
suhu mengikut keselesaan pengguna.
Lebih mengagumkan,
kawalan suhu dan pancutan air itu mudah dikawal menerusi butang khas yang
disediakan membolehkannya dianggap sebagai inovasi paling maju di dunia. Malah,
ia pernah disenaraikan dalam Guinness Book of Records sebagai tandas paling
canggih di dunia apabila diperkenalkan pada 1997 menerusi model Zoe. Sekali
imbas washlet kelihatan seperti tandas biasa, tetapi jika dilihat teliti
barulah kita menyedari ia bukan sekadar tandas biasa apabila butang digital
ditempatkan sekurang-kurangnya di dua lokasi strategik mudah capai. Antara ciri
tambahan yang disertakan pada mangkuk tandas ini termasuk alat pengering,
pemanas tempat duduk, pilihan pancutan air dengan tiga fungsi berlainan untuk
buang air besar atau kecil, serta basuh keseluruhan, pancutan air boleh
selaras, arah air serta pelapik tandas dibuka secara automatik.
Tidak dilupakan,
curahan air (flush) automatik selepas guna, panel kawalan tanpa wayar dan
pendingin hawa dalam bilik tandas yang beroperasi secara automatik sebaik pintu
dibuka berdasarkan tempoh penggunaan tandas. Baru-baru ini, Toto mencapai satu
kegemilangan global dengan warisan washlet terbaru selepas berjaya menjual
kira-kira 30 juta tandas moden terbabit sejak pelancarannya pada 1980. Bagi
meraikan kejayaan itu, Toto memperkenalkan tiga model baru iaitu Washlet G500
bersepadu, Washlet S350e dan S300e yang dipertingkatkan dengan E-Water baru
yang inovatif serta berteknologi tinggi. Washlet model ini menggunakan air
tulen dan bersih serta pelbagai inovasi teknologi untuk membuatkan pengguna
merasai aspek kebersihan tambahan yang lebih baik dengan mencipta semula
tempat duduk tandas sebagai sistem pembersihan peribadi. Apabila butang
pembersihan diaktifkan, sistem akan membuka Wonderwave iaitu teknologi khas
Toto yang menyediakan aliran air hangat untuk pembersihan lengkap mengikut
bentuk badan manusia.
Disebabkan air diambil terus dari bekalan air mentah
rumah, Washlet mengalirkan air suam yang sentiasa bersih dan tulen. Sebaik pembersihan selesai, pengguna mula
menerima aplikasi pengeringan di sekitar ruang yang menggunakan udara panas
untuk mengeringkan kawasan terbabit secara perlahan sekali gus melindungi alam
sekitar dengan mengurangkan keperluan tisu tandas.
Teknologi eWater+
Berdasarkan idea
‘Inovasi Pertama Masyarakat’, Toto memenuhi keperluan dunia sebenar berasaskan
teknologi apabila memperkenalkan penggunaan air yang elektrolit direka untuk
membuatkan mangkuk tandas lebih mudah untuk kerja pembersihan. Udara secara elektrolit akan membasmi kuman
lama yang melekat walaupun ia tidak kelihatan pada mata kasar. Ia biasanya
digunakan dalam pembersihan penyediaan makanan. Manakala bagi mewujudkan
eWater+, jurutera Toto hanya menggunakan bekalan air masuk ke rumah dan
memprosesnya berasaskan teknologi yang dipatenkan syarikat.
eWater+ digunakan
dalam mangkuk selepas butang pancuran air ditekan dan diaktifkan setiap lapan
jam sekali semasa tidak digunakan. Ia
akan kembali kepada keadaan asal dalam tempoh dua jam selepas diaktifkan yang
mana wap air kosong disalurkan meningkatkan kebersihan mangkuk dengan
memeteraikan permukaan menerusi bakteria positif. Sistem terbabit 80 peratus
lebih baik daripada sistem ‘porselin’ kering sedia ada. Malah, eWater+ baik
untuk bumi apabila ia mengurangkan keperluan untuk bahan kimia toksik yang
digunakan untuk membersihkan tandas seterusnya membantu untuk melindungi alam
sekitar serta menjimatkan wang ringgit pengguna.
Washlet G500
G500 menggabungkan
sistem pembersihan jenis washlet peribadi yang mempunyai reka bentuk moden
serta padat dengan pengesan automatik yang dikendalikan. Toto memperkenalkan
sistem flush Dual Max Cyclone baru membolehkan pengguna untuk memilih isipadu
air yang diperlukan untuk mengosongkan mangkuk tandas berdasarkan kapasiti
1.28gpf untuk sisa pepejal atau 0.9gpf untuk cecair yang menjimatkan penggunaan
wang dan air. Sistem flush Dual Max
Cyclon menggabungkan pembersihan siklon pada mangkuk dengan tindakan
nanoteknologi SanaGloss yang direka sendiri Toto untuk meningkatkan kebersihan
mangkuk dan mengurangkan keperluan untuk membersihkan.
Washlet S300e dan
S350e
Boleh dipasang pada
hampir mana-mana tandas yang sedia ada, kombinasi duo yang dinamik menawarkan
reka bentuk yang kompak kerana mereka boleh melaraskan mangkuk tandas lebih
rendah menghampiri unit pembersihan. Sememangnya dalam kehidupan moden, manusia
mementingkan kebersihan khususnya tandas apatah lagi ia sangat dituntut agama. Cuma, kita perlu berusaha mendidik masyarakat
untuk menggunakan tandas moden berkenaan bagi memastikan mereka benar-benar
yakin serta mampu memelihara kebersihan yang bermula di tandas.
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber
Metro Ahad
20 Mei 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan