Rencana ini ditulis
oleh :
EZARUDDIN ABD RAHMAN
Naib Presiden
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.
Terpegun melihat
banting-banting di merata tempat dan papan iklan besar terpampang Himpunan
Jutaan Belia 2012 di Putrajaya. Belia Malaysia telah diiktiraf oleh pihak
kerajaan dan ia satu sambutan terbesar di dunia untuk belia. Pelbagai syarikat swasta
turut tampil bersama meraikan sambutan Hari Belia Negara pada tahun ini dan ia
pasti sambutan yang paling meriah dan hebat. Sejarah membuktikan belia Malaysia
mampu menjadi pendesak seperti menentang Malayan Union dan bersama dengan
kerajaan untuk menuntut kemerdekaan. Di mana-mana sahaja di dunia golongan muda
adalah kumpulan pendesak terhadap negara dan mampu bangkit untuk menuntut
hak-hak mereka. Belia Malaysia telah banyak memberikan bakti mereka seperti
dalam aktiviti pertubuhan belia, sukrelawan, inovasi, sukan sebagai bukti
kemampuan mereka.
Di samping itu, belia
diibaratkan hujung tombak bangsa Malaysia yang akan menjadi barisan hadapan
dalam menangkis segala tohmahan dan krtikan terhadap negara kita. Pada masa
yang sama belia Malaysia tidak harus terlena dalam buaian yang menidurkan
mereka dengan permainan pihak-pihak luar. Baru-baru ini kita sangat sedih
apabila melihat anak-anak muda diheret ke jalan raya semasa perhimpunan Bersih
3.0 dengan mempamerkan budaya samseng yang tentunya bercanggah dengan budaya
timur kita. Mereka telah dicandu dengan provokasi oleh pihak-pihak tertentu
agar mereka boleh bertindak ganas sehingga sanggup melakukan keganasan. Kita
ingin melahirkan mentaliti kelas pertama kepada belia Malaysia. Mereka harus
mengembangkan personaliti tinggi, karisma, daya saing serta kemahiran diri agar
kita mampu membina kemampuan hebat anak muda Malaysia. Kita tidak harus
memandang penglibatan anak muda dalam menyertai demonstrasi dianggap
kebangkitan anak muda, sebaliknya kita harus memandang kebangkitan belia
apabila anak muda berjaya menguasai pelbagai bidang termasuk menjadi pemimpin
di usia yang muda.
Membina negara ini
bukannya mudah apabila menyaksikan negara kita pernah dijajah oleh negara asing
hingga kita terpaksa merempat dan hidup dalam ketakutan. Percayalah bahawa
untuk membina kembali sebuah negara yang musnah bukannya boleh dilakukan dalam
masa setahun malah ia bertahun-tahun. Belia mempunyai kekuatan mereka
tersendiri. Dalam usia muda David Cameron menjadi Perdana Menteri (Britain)
pada usia 45 tahun, Barack Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat pada usia 47
tahun dan bekas Presiden Rusia, Dmitry Medvedev jadi presiden pada usia 45
tahun. Parlimen Belia yang bakal dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia akan dapat
membenihkan ciri-ciri pemimpin muda yang hebat dan matang. Mengambil kata-kata
Perdana Menteri: "Kita Mahu Hari Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
sempena tema sambutan Hari Belia tahun 2012 dan kita harus menyahut seruan ini
untuk bersama-sama dengan pihak kerajaan melonjakkan prestasi belia yang
berprestasi tinggi dan hebat.
Belia boleh memimpin
dalam organisasi tanpa timbul prasangka di atas kemampuan mereka kerana mereka
mempunyai stamina serta idea-idea yang baru yang boleh dikembangkan. Belia
jangan menjadi tawanan kepada politik murahan sebaliknya harus menjadi pengerak
transformasi politik baru dengan menawarkan khidmat untuk memimpin parti
politik agar mereka boleh membentuk kepimpinan hebat. Pada minggu ini dijangka
jutaan belia akan berkumpul di Putrajaya dalam meraikan hari mereka. Ini
bukannya sebuah pesta belia sebaliknya ia adalah perhimpunan anak-anak muda
yang ingin membuktikan kepada dunia bahawa belia Malaysia hebat dan mempunyai
kepelbagaian kemahiran dan kemampuan. Sertailah aktiviti sempena hari belia dan
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia dan bersama Majlis Belia Malaysia
dan Malaysian Indian Youth Council akan menganjurkan Konvensyen Belia Negara
1Malaysia pada 24 Mei 2012 dan diharapkan anak-anak muda dapat menyertainya. Ia
sebuah forum santai untuk mendengar padangan suara anak muda Malaysia.
Biarlah kita bangun
pada hari ini untuk kita berazam menjadi rakyat yang menabur bakti bukannya
memikirkan bagaimana kita ingin merosakkan negara ini. Selamat Hari Belia 2012!
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber :
Utusan Malaysia
21 Mei 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan