Rencana ini ditulis oleh
:
Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
Biarpun
dianggap bahasa picisan namun dominasi bahasa rojak dalam kehidupan masyarakat
moden masa kini cukup ketara. Penggunaan yang semakin meluas terutama di
kalangan generasi muda juga dikhuatiri bakal mengikis nilai identiti bangsa
tanpa disedari. Berilah pelbagai alasan, isu bahasa rojak seharusnya ditangani
segera bagi mengelakkannya terus melarat apatah lagi sikap masyarakat yang
lebih mementingkan konsep mudah dan praktikal boleh mengancam kewibawaan bahasa
standard. Persoalannya, mengapa bahasa rojak sangat digemari? Apakah
kelebihannya?
Ketua
Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra
Malaysia, Profesor Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz, berkata, penggunaan bahasa
rojak yang ‘sempoi’, ‘santai’ namun bergaya adalah faktor ia menjadi pilihan. Menurutnya,
konsep kehidupan masyarakat terutama generasi muda hari ini yang ‘malas’ untuk
berfikir juga menjaga standard menjadikan mereka lebih selesa dengan penggunaan
bahasa itu. “Masyarakat hari ini lebih mementingkan penampilan, bukan saja gaya
tapi bahasa juga perlu sofistikated dan mengikut perkembangan semasa. Bahasa
rojak tidak memerlukan unsur peraturan, justeru mudah diterima ramai menjadikan
masyarakat sangat selesa menggunakannya,” katanya.
Bagaimanapun
beliau berkata, biarpun mudah namun masih tetap mencemarkan identiti bahasa dan
budaya sekali gus menghakis jati diri bangsa. Menurutnya, setiap bangsa di
dunia dihakimi melalui peradaban bahasa dan sosial, justeru penggunaan bahasa
rojak yang berleluasa dikhuatiri boleh menjejaskan usaha memartabatkan keunikan
identiti sesuatu bangsa. “Bahasa adalah imej yang melambangkan keperibadian dan
ketinggian budaya bangsa, justeru biarlah bahasa digunakan bersesuaian. Ramai menganggap isu ini picisan namun kesedaran
untuk menggunakan bahasa standard perlu ada. Jika tidak ia akan mengikis
penggunaan bahasa sedia secara perlahan-lahan. Sekali gus membunuh nilai
identiti bangsa hingga mencacatkan perjalanan bahasa untuk generasi akan datang
pula,” katanya.
Pusat
Rujukan Bahasa Melayu Dewan Bahasa Pustaka mentakrifkan bahasa rojak sebagai
bahasa yang bercampur aduk kata-kata yang digunakan penuturnya. Dengan kata
lain, percampuran penggunaan bahasa Melayu yang diselangselikan dengan bahasa
asing seperti bahasa Inggeris sekali gus boleh menjadikan struktur ayat
tunggang-langgang. Penggunaan bahasa berkenaan juga lebih sinonim kepada
generasi muda yang dikaitkan dengan sikap ‘tidak kisah’ dengan apa yang melanda
institusi bahasa negara. Mengulas mengapa bahasa rojak pantas berkembang dan
menjadi pilihan, beliau berkata penggunaan yang ringkas, mudah serta senang
difahami menjadikan ia dekat dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Malah,
akuinya, bahasa ini tidak mengenal usia, latar belakang serta status penutur menyebabkan
masyarakat mudah menerimanya. “Lazimnya, masyarakat memang mudah tertarik
dengan sesuatu yang mudah kerana hari ini semuanya perlu serba pantas tidak
terkecuali bahasa. Penggunaannya tidak salah dan isu bahasa rojak pun bukanlah
isu yang perlu diperbesarkan. Cuma penggunaan tidak terkawal terutama di
kalangan pelajar sekolah boleh memberi impak negatif dalam peperiksaan. Bayangkan
jika mereka menulis karangan menggunakan bahasa rojak. Bukan guru saja pening
malah memberi kesan terhadap pemberian markah sedangkan bahasa Melayu adalah
subjek wajib lulus,” katanya.
Beliau
tidak menyekat jika bahasa rojak digunakan dalam pertuturan seharian biarpun
boleh memberi kesan jangka panjang. “Ia mungkin menyakitkan telinga segelintir
orang namun kesannya tidaklah mendalam berbanding penggunaannya dalam penulisan
peperiksaan. Fokus utama ialah golongan pelajar. Ini yang perlu diteliti dan diambil tindakan
kerana saling berkait rapat dengan kepentingan sistem pemarkahan peperiksaan.
Bahasa rojak tidak diterima. Ini satu kerugian sedangkan mereka boleh
memperoleh markah yang baik dengan penggunaan bahasa teratur. Inilah bahayanya
bahasa rojak jika tindakan proaktif tidak diambil,” katanya.
Akuinya,
bahasa rojak juga sudah dinilai standard sebagai bahasa Melayu campur sedangkan
kerana bahasa lain tidak menghadapi masalah serupa. Menurutnya, bahasa Melayu
senang dimanipulasi berbanding bahasa lain kerana penggunaan bahasa itu
dipenuhi pelbagai perkataan dan kota kata indah serta puitis. “Biarpun bahasa
Inggeris bahasa antarabangsa, ia jarang dimanipulasi kerana struktur ayatnya
kukuh. Umumnya, bahasa Inggeris juga ringkas dan terus pada maksud. Berbanding
bahasa Melayu, walaupun mempunyai struktur kukuh namun penggunaan perkataannya
sangat luas, panjang, indah, berbunga dan melankolik. Menyebabkan mereka yang kurang sabar bertindak
mencari perkataan paling mudah untuk mengungkapkannya seperti ‘sayangkan u’
berbanding ‘sayangkan awak’,” katanya.
Perkembangan
pantas teknologi juga pada masa sama memberi kesan terhadap penggunaan bahasa
rojak. “Penggunaan bahasa rojak dulu hanya terbatas melalui pertuturan namun
kini sudah biasa digunakan dalam komunikasi maya menyebabkan ia semakin merebak
tanpa kekangan. Pada masa sama, mereka yang mempertahankan penggunaan bahasa
juga mungkin sudah ‘penat’ dan gagal bersaing dengan tempias teknologi
menyebabkan bahasa rojak semakin mendominasi. Sekali gus mencacatkan usaha
dilakukan bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu standard yang menjadi
kebanggaan generasi dulu,” katanya.
Tidak
menolak juga kemungkinan bahasa rojak adalah pengaruh rakan, beliau berkata,
perlu disuntik kesedaran untuk mendaulat dan menggunakan bahasa yang betul. “Sekurang-kurangnya,
ia boleh membantu memperoleh markah yang baik dalam peperiksaan. Ini bukan soal
tidak ada gaya atau sebagainya, sebaliknya kualiti dan standard yang sudah
ditetapkan. Justeru, perlu wujudkan satu kesedaran di kalangan generasi muda
supaya tidak terlalu mengagungkan bahasa rojak yang bercampur baur antara
bahasa Melayu dan bahasa Inggeris,” katanya.
Antara
mekanisme boleh dilakukan ialah dengan mengadakan bengkel deklamasi sajak,
penulisan pantun, karangan, cerita pendek dan sebagainya bermula di peringkat
sekolah rendah. “Walaupun usaha ini terpaksa bersaing dengan teknologi,
sekurang-kurangnya kepekaan asas terhadap penggunaan bahasa yang betul sudah
ada dan boleh diasah serta dipraktikkan. Langkah awal perlu disusun supaya
mereka tahu menyusun rentak penggunaan antara bahasa rojak dan keperluan bahasa
standard. Sekali gus menyedarkan masyarakat betapa pentingnya mempertahankan
penggunaan bahasa yang betul sekali gus tidak teraba-raba mencari nilai
identiti diri dan bangsa,” katanya.
Sila
berikan komen anda. Terima kasih.
Sumber
Harian
Metro
21 Mei
2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan