14 September 2011

JADIKAN MOTIVASI UNTUK BERJAYA : SABAH PERLUKAN LEBIH RAMAI CIKGU LIEW MON NA

Oleh Venna Rusli
Penulis ialah Ketua Biro
Berita Harian Sabah


Kisah guru Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan di Penampang, Liew Mon Na, 35, membawa lima muridnya tinggal bersama beberapa minggu sebelum menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana mahu melihat anak didik berjaya yang disiarkan Berita Harian baru-baru ini, harus membuka lembaran baru dalam kita menghayati erti pengorbanan. Anak Kampung Tulung itu terpaksa berjalan antara dua hingga enam jam setiap hari untuk ke bilik darjah tanpa mengira panas atau hujan dan kedudukan SK Buayan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) sedikit pun tidak menjadi duri dalam daging buat mereka yang memandang tinggi penting-nya ilmu. Apa juga bentuk pendidikan diterima Mon Na dalam laluan menjadi guru, ia nyata berkesan membentuk keperibadian mulia kerana masalah yang terbentang di depan mata guru itu tidak dijadikan alasan untuk mengalah, sebaliknya pemangkin untuk dicari jalan penyelesaian. Benar seperti dikata, kadang-kadang kita perlu saling bertemu di pertengahan jalan untuk menikmati hasil memanfaatkan. Tidak perlu menuding jari, tidak perlu mencari kesalahan dan tidak perlu juga mengalihkan puncanya kepada takdir atau keadaan semata-mata.

Pada usia 12 tahun, anak itu mungkin kurang mengerti rencam liku perjalanan yang menanti dan sebagai insan lebih memahami, Mon Na melaksanakan apa yang diamanahkan terhadapnya selama ini – mendidik, membimbing dan memimpin.  Kita yakin ada lagi warga pendidik terutama di luar bandar dan pedalaman Sabah yang berdepan cabaran logistik, mengambil pendekatan sama seperti guru cekal itu, malah mungkin juga di kawasan terpencil negeri lain.  Mon Na membuktikan pengajaran dan pembelajaran tidak harus dibatasi kepada bilik darjah. Beliau bukan sekadar mengajar bagi memenuhi tuntutan calon UPSR tetapi mendidik anak muridnya melangkaui cengkaman kepayahan dengan meneroka setiap peluang terbuka.  Cabaran pendidik dan pendidikan di Sabah bukan sedikit. Ada kalanya, semangat guru tidak diimbangi kesungguhan murid dan dalam beberapa keadaan, dedikasi pengajar tidak menerima sokongan fizikal apabila kedaifan keperluan asas seakan dipandang sepi walaupun rintihan kerap kedengaran. Namun, agenda memperbaiki masa depan anak bangsa menerusi pendidikan tidak pernah terhenti walaupun ada lagi ibu bapa yang menyuruh anak meninggalkan bangku persekolahan jauh lebih awal bagi membantu mereka mencari rezeki di kebun, ladang atau laut.

Mereka yang memerhati ada kalanya mudah menjatuhkan ‘hukuman’ kononnya ibu bapa terbabit tidak menyedari kepentingan pendidikan pengubah masa depan, tetapi hakikatnya pengisian kelangsungan hidup menuntut pengorbanan berbeza.  Sabah memerlukan lebih ramai cikgu Mon Na dalam menjayakan agenda pendidikannya – cekal mencari jalan keluar menerusi jendela apabila mendapati semua pintu tertutup dan komited ‘membawa’ sekolah kepada muridnya apabila menyedari murid sukar ke sekolah.  Pendekatan pelbagai pihak seperti memberi tuisyen percuma, bantuan keperluan persekolahan, pembinaan asrama dan penyediaan kelas motivasi kepada golongan kurang bernasib baik membuktikan betapa dekatnya isu pendidikan di hati kita tanpa mengira latar belakang yang diwarnai perbezaan.  Usaha murni itu perlu diteruskan kerana anak berusia 12 tahun hari ini bakal menginjak angka meniti langkah sebelum mengambil alih urusan negara apabila tiba masanya dan pastinya kita tidak mahu mereka mewarisi masalah sama. Dengan musim peperiksaan menjelang hujung tahun seperti sekarang iaitu UPSR, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), tidak keterlaluan jika dikata debaran guru sama kencangnya dengan gentar calon melangkah masuk ke dewan. Atas segala usaha dan kesungguhannya, diharap lima permata yang dididik penuh kasih oleh Cikgu Mon Na bakal beroleh kejayaan cemerlang UPSR dan seterusnya menyambung legasi pendidik berwawasan tinggi itu.

TAHNIAH 
CIKGU MON NA 
KERANA MENJADI PENDIDIK 
YANG BERDEDIKASI

SUMBER
BERITA HARIAN
14 SEPTEMBER 2011

ISU PENDIDIKAN : KAJIAN HARUS BERMULA DI PERINGKAT SEKOLAH RENDAH UNTUK CARI PUNCA PELAJAR LELAKI KURANG DI IPT


ISU jumlah pelajar lelaki yang semakin berkurangan berbanding perempuan di institusi pengajian tinggi (IPT), khususnya di IPT awam (IPTA) timbul lagi. Kali ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyuarakan kebimbangan nisbah tak seimbang itu boleh menggagalkan pembangunan sumber manusia, terutama dalam menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Menurut Khaled, sebahagian besar pelajar lelaki tidak dapat menyumbang sepenuhnya kepada pembangunan sumber manusia dan perkembangan ini tidak baik untuk negara. Kita percaya kenyataan Khaled itu tidak berniat menidakkan keupayaan kaum hawa. Jika tidak ada lelaki yang layak sekalipun, wanita cemerlang ini mampu mengisi kekosongan dalam bidang kemahiran tinggi seperti pakar bedah dan jurutera yang secara tradisinya sebelum ini diisi kaum lelaki. Apa yang penting bukanlah soal jantina seseorang pakar bedah atau jurutera itu, tetapi tahap kemahiran dan kepakaran dikuasai mereka. Berikutan itu, isu pelajar lelaki tercicir daripada meneruskan pengajian pada peringkat tinggi ini harus dilihat dalam konteks lebih luas daripada soal gender. Jika dilihat dari sudut sempit gender saja, mungkin ada pula mencadangkan agar diturunkan kelayakan minimum bagi pelajar lelaki untuk memasuki IPT, semata-mata untuk menambahkan bilangan kaum ini di universiti.

Penyelesaian seperti ini hanya menjejaskan reputasi sesebuah universiti dan kualiti graduan berikutan ia terpaksa merendahkan tahap pengajiannya untuk keperluan pelajar yang tidak layak ini. Penyelesaian lebih tepat ialah dengan mengkaji punca ramai di kalangan pelajar – tidak kira lelaki atau perempuan – yang tidak layak ke IPT. Jika diselesaikan masalah kumpulan ini, dengan sendirinya masalah ramai pelajar lelaki tidak layak ke IPT dapat diselesaikan. Kajian ini harus dibuat dari peringkat sekolah rendah lagi berikutan ramai yang cemerlang pada peringkat itu juga adalah di kalangan pelajar perempuan. Selain itu, sistem pendidikan negara juga harus dilihat semula agar kumpulan tercicir ini, walaupun tidak layak ke universiti mungkin boleh dijuruskan ke bidang teknikal seperti ke politeknik. Pelajar politeknik ini yang pada mulanya dianggap golongan tercicir, juga harus diberi peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda di universiti selepas terbukti cemerlang pada peringkat politeknik. Sebenarnya, isu ini sudah kerap dibincangkan dan pelbagai pandangan dikemukakan. Namun saban tahun kita melihat penyelesaiannya masih lagi belum ditemui. Sudah tiba masanya pihak Kementerian Pengajian Tinggi dengan Kementerian Pelajaran duduk semeja bagi mencari penyelesaian menyeluruh yang tidak akan menghukum kaum perempuan yang lebih layak semata-mata untuk meramaikan lelaki di universiti.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
14 SEPTEMBER 2011

ISU SOSIAL : USAH HANCURKAN NEGARA DEMI MENGEJAR KEPENTINGAN POLITIK

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed
Ketua Bahagian Perancangan Korporat, 
Universiti Putra Malaysia (UPM)


Tarikh 16 September bakal melakar satu lagi sejarah unik buat negara kita apabila buat julung kali kita akan meraikan sambutan Hari Kemerdekaan dan juga Hari Malaysia secara serentak. Sebelum ini kita juga berkesempatan meraikan tarikh 31 Ogos serentak dengan sambutan Aidilfitri ataupun lebih dikenali sebagai Merdeka Raya. Ternyata ini antara saat dan detik cukup indah untuk sebuah negara pelbagai kaum seperti Malaysia kerana pada detik bersejarah ini elemen perpaduan dan semangat kekitaan diperagakan dan dipertontonkan oleh masyarakat kita sebagai bukti ampuh kepada dunia luar bahawa inilah model terbaik sebuah negara majmuk. Sejak sambutan Hari Kemerdekaan mahupun Hari Malaysia tahun lalu, rakyat sudah melalui pelbagai dugaan dan cabaran cukup hebat dan wajib dijadikan iktibar.  Bermula dengan pelbagai ujian terhadap tahap dan mutu perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama yang berpunca daripada isu agama, tuntutan kaum, mencabar perlembagaan serta perbezaan idelogi politik, sehinggalah ke mutakhir ini membabitkan polemik mengenai sejarah kemerdekaan dan siapa sebenarnya pejuang kemerdekaan terus menghantui masyarakat kita.  

Sejak setahun lalu, isu perpaduan mula menggamit masyarakat kita. Pelbagai peristiwa yang mengambil tempat mula mencetuskan sedikit rasa ketidakpuasan hati rakyat kita. Isu sensitif terutamanya membabitkan agama dan tuntutan sesuatu kaum dilihat semakin berleluasa dan kita khuatir ia akan menggugat jambatan perpaduan yang dibina selama ini.  Perbezaan ideologi dan tuntutan politik pula terus menimbulkan pelbagai masalah dalaman merentasi sempadan termasuk di Sabah dan Sarawak. Tuntutan yang dikemukakan oleh sesuatu etnik mula dipengaruhi dengan kepentingan dan amalan politik sempit yang turut menjejaskan mutu perpaduan kita. Sejarah kemerdekaan yang sepatutnya jelas dan dihayati sepenuhnya menjadi bahan pertikaian dan mula meragukan. Sudah ada pihak yang secara terang-terangan menuduh bahawa fakta sejarah yang ada pada hari ini salah dan dimanipulasi oleh pihak kerajaan.  Sebaliknya penentang dan komunis pula mula diangkat sebagai pejuang sebenar kemerdekaan. Malah lebih menyakitkan hati kita apabila Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman yang kita sanjungi selama ini didakwa tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana dianggap sebagai pegawai British.  

Ini adalah detik cabaran cukup besar tatkala kita berusia 54 tahun dan pada saat meraikan Hari Kemerdekaan. Persoalannya kenapa baru sekarang isu ini dibangkitkan dan dipertikaikan padahal ia adalah sejarah yang terlipat kemas selama ini dan dipelajari sejak di bangku sekolah lagi.  Kenapa sukar terima hakikat bahawa sejarah tidak boleh diubah dan ditulis sesuka hati kita. Ia adalah kejadian abadi dan kita perlu terima hakikat sesuatu rakaman sejarah berkenaan.  Dalam hal ini tiada gunanya kita berselisih faham mahupun berdebat terutamanya dalam mood sambutan Hari Kemerdekaan seperti ini. Biarlah tokoh sejarawan negara dan akademik yang lebih tahu dan arif mengkaji dan memperincikannya, seterusnya merungkaikan segala kekeliruan yang dicetuskan berdasarkan fakta dan bukti sebenar. Kita tidak mahu soal sejarah negara dijadikan sebagai bahan dan modal politik oleh pihak tidak bertanggungjawab demi kepentingan peribadi dan agenda politik mereka semata-mata.  Justeru, apa yang kita harapkan adalah sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bakal diraikan ini akan melakar sejarah baru untuk negara kita dengan membuktikan pada dunia luar bahawa perpaduan kita masih kukuh dan ampuh dan kemerdekaan kita adalah asli dan suci.

Ambillah iktibar daripada perang saudara dan pergolakan di beberapa negara luar terutama Asia Barat yang terjejas teruk dan huru hara angkara pertikaian sesama sendiri. Ingat, merdeka sekali tidak semestinya akan merdeka dan bebas buat selama-lamanya. Sejarah abadi tidak boleh ditulis semula tetapi ia boleh berulang andai kita terus leka dan lalai untuk mempertahankannya.  Rakyat kita di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan serta etnik lain wajar menggunakan sambutan 16 September tahun ini sebagai detik permulaan sejarah baru untuk negara kita. Marilah sama-sama kita bersatu dan mempertahankan kemerdekaan dan perpaduan yang diwariskan kepada kita oleh generasi terdahulu yang berjuang hingga ke titisan darah terakhir untuk mempertahankan negara dan perpaduan yang kita nikmati hari ini. Janganlah sekali-kali kita mengkhianati dan menderhaka kepada mereka. Wira negara perlu dihormati dan disanjungi. Mereka terlalu berjasa kepada ibu pertiwi ini. Jangan kerana mahu mengejar keuntungan politik kita sanggup menggadai dan menghancurkan negara ini. Malah dalam hal ini penulis juga sangat bersetuju dengan cadangan Tan Sri Lee Lam Thye yang mengemukakan pandangan agar Hari Malaysia wajar diisytihar sebagai ‘Hari Malaysia – Hari Perpaduan’ bagi mencerminkan aspirasi semua rakyat Malaysia untuk sebuah negara yang bersatu padu.

SUMBER
BERITA HARIAN
14 SEPTEMBER 2011

ISU POLITIK : KONTRAK NASIONAL, KESELAMATAN RAKYAT

DATUK RUHANIE AHMAD ialah mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor dan bekas pelajar pasca siswazah bidang strategi dan keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia


Kontrak sosial adalah elemen utama kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan yang mentransformasikan Malaysia sebagai negara satu bangsa di era sebelum penjajahan mulai tahun 1511 menjadi negara pelbagai bangsa di era merdeka sejak 31 Ogos 1957. Dengan ini, kontrak sosial dalam konteks Malaysia adalah kontrak nasional yang melambangkan ikrar dan permuafakatan bangsa Melayu, Bumiputera, keturunan Cina, keturunan India serta lain-lainnya untuk mewujudkan negara majmuk yang aman, damai, makmur dan bersatu padu. Dengan ini juga, kontrak tersebut bukan bertujuan untuk memelihara, mengekal atau menonjolkan ketuanan Melayu seperti didakyahkan oleh pelbagai pihak yang fobia dengan istilah kontrak sosial di era Malaysia merdeka. Sebaliknya, kontrak nasional inilah yang melunturkan dominan Melayu di Malaysia kerana menurut kajian keselamatan, sesebuah negara majmuk "cannot be created without destroying, or at least overlaying, old ones." (Buzan 1991:72). Maksudnya, pembinaan sebuah negara majmuk seperti Malaysia memerlukan pengorbanan pihak yang menjadi penduduk asal dan mereka yang menjadi warganegara menerusi kuat kuasa Perlembagaan.

Pengorbanan ini penting bagi mengelakkan pertelingkahan kaum dan konflik jati diri membabitkan semua warganegara kerana negara majmuk adalah sentiasa terdedah kepada masalah ini jika ia tidak di atasi secara proaktif dan secara berperlembagaan. Namun hakikat ini adalah suatu kebenaran yang sentiasa dipertikaikan - a constantly contested reality. Ini kerana kegagalan memahami semangat dan falsafah kontrak nasional menerusi perspektif negara majmuk dengan rakyatnya yang berbilang agama, bangsa, sosio-budaya dan berbeza taraf ekonominya. Sebenarnya kewujudan kontrak nasional di Malaysia adalah dimanifestasikan oleh Perlembagaan Persekutuan serta pelbagai dokumen yang berkaitan dengan pembentukannya. Antaranya adalah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 dan 131 memorandum daripada pelbagai pihak yang disampaikan kepada para penggubal Perlembagaan Persekutuan pimpinan Lord Reid. Di peringkat politik, wujud empat jawatankuasa yang menyumbang kepada pembentukan kontrak ini. Pertama, Jawatankuasa Siasah UMNO pimpinan Tun Razak Hussein; kedua, jawatankuasa di peringkat MCA; ketiga, jawatankuasa di peringkat MIC.

Keempat adalah Jawatankuasa Siasah Sementara Perikatan yang menghalusi seluruh perakuan daripada UMNO, MCA dan MIC sebelum disalurkan kepada pihak penggubal perlembagaan berkenaan. Tunku Abdul Rahman (25 Disember 1965) pula menegaskan, parti-parti pembangkang - Parti Negara, Parti Buruh dan Semangat Pulau Pinang - menyokong penuh usaha Perikatan memperjuangkan kemerdekaan menerusi jalan perlembagaan. Ini bermakna mereka juga memberikan semangat kepada kewujudan kontrak nasional di Malaysia. Akhir sekali, semangat dan falsafah kontrak ini adalah terkandung dalam pelbagai perakuan dan persetujuan yang dicapai oleh Jawatankuasa Tiga Pihak atau Tripartite Working Party terdiri daripada wakil Perikatan, Raja-Raja Melayu dan pihak British yang menuntas serta merincikan Perlembagaan Persekutuan sebelum ia dikuatkuasakan. Huraian ini membuktikan bahawa kontrak nasional di Malaysia adalah terbentuk berasaskan semangat dan falsafah permuafakatan bangsa Melayu, bumiputera, keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya menerusi proses pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Hakikat ini menepati intipati teori yang dipelopori oleh Thomas Hobbes, John Locke dan Jean-Jacques Rousseau bahawa kontrak sosial wujud apabila terdapat permuafakatan, persetujuan dan penerimaan pelbagai pihak terhadap tuntutan masing-masing untuk membolehkan mereka membina satu masyarakat atau negara secara aman, damai dan harmoni. Dalam konteks Malaysia, kontrak ini muncul dalam bentuk permuafakatan, persetujuan dan penerimaan pelbagai pihak untuk mentransformasikan Malaysia daripada sebuah negara satu bangsa di era penjajah kepada negara pelbagai bangsa di era merdeka. Inilah sebabnya Perlembagaan Persekutuan menjadi instrumen undang-undang yang melahirkan warganegara Malaysia yang majmuk. Inilah sebabnya Perlembagaan ini perlu dipelihara bagi menjamin permuafakatan bangsa dan survival negara. Hakikatnya demikian kerana Perlembagaan Persekutuan inilah yang menyebabkan bangsa Melayu dan Bumiputera mengiktiraf keturunan Cina, India dan lain-lainnya sebagai warganegara. Hakikatnya juga demikian sebab Perlembagaan inilah juga yang menyebabkan keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya mengiktiraf bangsa Melayu dan Bumiputera sebagai penduduk asal dan perlu diberikan keistimewaan secara Perlembagaan, walaupun paling minimum.

Inilah sebabnya Perlembagaan Persekutuan memaktubkan pelbagai peruntukan bagi mencerminkan permuafakatan rakyatnya dan bagi meregulasikan perpaduan bangsa, keharmonian agama, keadilan ekonomi serta keselamatan nasional berasaskan prinsip-prinsip universal yang disesuaikan dengan keperluan tempatan. Inilah juga sebabnya kajian keselamatan menyifatkan Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen undang-undang tertinggi yang dibentuk untuk menjamin survival dan keselamatan nasional Malaysia sebagai negara majmuk. Lantas bila sesetengah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dicabar ke peringkat maksimum sehingga mencetuskan tragedi 13 Mei 1969, adalah wajar peruntukan berkenaan dipinda untuk menjamin perpaduan, kemakmuran, keselamatan dan survival negara. Lantas adalah malang bila tindakan ini dipropagandakan oleh parti-parti pembangkang kononnya sebagai usaha melindungi keselamatan politik pemerintah dan untuk melumpuhkan amalan demokrasi di Malaysia. Tetapi, mulai akhir 1990-an, bila para sarjana keselamatan antarabangsa memperluaskan konsep keselamatan untuk merangkumi keselamatan masyarakat atau societal security, tindakan kerajaan Malaysia ini terbukti proaktif dan mendepani zaman.

Oleh sebab itu, persepsi negatif mengenai pindaan ini perlu dirobah menerusi kewujudan satu badan bebas untuk menyelidik seluruh aspek keselamatan masyarakat dalam konteks Perlembagaan Persekutuan. Kesimpulannya, Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen kontrak nasional yang menyebabkan Malaysia menjadi negara majmuk. Ia juga satu dokumen susunan masyarakat yang menjamin kesejahteraan bangsa, kemakmuran ekonomi, keselamatan nasional dan kelangsungan negara. Oleh sebab itu, kerajaan perlu segera mewujudkan badan bebas untuk menyelidik secara berterusan dan mendalam seluruh impak Perlembagaan Persekutuan kepada keselamatan masyarakat, keselamatan negara dan survival Malaysia sebagai negara majmuk di hari muka.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
14 SEPTEMBER 2011

ISU EKONOMI : EMPAT SEBAB ESSO PERLU DISELAMATKAN

Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB),
Universiti Utara Malaysia


Sempena  kemerdekaan negara ke-54 tahun, sepatutnya penjualan Esso Malaysia Bhd. kepada syarikat asing tidak berlaku. Sebagai syarikat minyak, yang mana kakitangannya melibatkan rakyat tempatan, maka ia patut dikekalkan di bawah kawalan rakyat Malaysia. Semangat patriotik inilah yang patut ditunjukkan oleh pemegang saham Esso Malaysia Bhd. Dalam keadaan banyak negara yang ingin mengekalkan pegangan syarikat mereka di bawah kawalan rakyat mereka sendiri, penjualan Esso Malaysia Bhd. tidak mencerminkan semangat kemerdekaan dan patriotisme di kalangan ahli korporat Malaysia. Sepatutnya Esso Malaysia Bhd. mempertahankan hak rakyat dan kepentingan negara ini dengan menjual kepada syarikat tempatan. Ini kerana Esso syarikat strategik. Apa akan terjadi jika ia di bawah kawalan rakyat asing? Pertama, kakitangan atasan akan dikuasai orang asing. Pekerja tempatan terpaksa dikurangkan dan pekerja asing akan diambil bekerja. Apa akan terjadi kepada mereka sedangkan mereka mempunyai kepakaran masing-masing. Yakinlah pada kepakaran kita sendiri. Jika mereka terpaksa diganti dengan rakyat asing, di manakah mereka akan pergi?

Kemungkinan pekerja-pekerja mahir ini akan membawa diri ke luar negara. Negara akan rugi kerana bakat-bakat terbaik dalam kalangan rakyat tempatan itu sendiri tidak lagi bekerja dan berkhidmat di negara sendiri. Masalah brain drain semakin parah sedangkan kerajaan sedang berusaha menarik rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara bekerja di dalam negara, tapi lain pula terjadi, rakyat tempatan yang bekerja dalam negara 'melarikan' diri ke luar negara. Perlu diingat, industri minyak merupakan industri utama dalam negara kita dan termasuk dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP). Kedua, syarikat asing hanya pentingkan untung semata-mata. Mereka tidak akan memikirkan apa yang berlaku kepada rakyat dan negara ini. Prospek keuntungan yang mereka dambakan. Justeru, kebajikan para pekerja mungkin tidak terbela. Syarikat asing yang ingin menguasai Esso pula terlibat dengan perniagaan arak, sedangkan para pekerja Esso sedia ada majoritinya Islam, adakah mereka sanggup bekerja di bawah syarikat yang menjual arak? Nasib mereka tidak terbela. Ketiga, keuntungan yang diperoleh bakal dibawa ke luar negara. Negara akan rugi dari segi aliran wang keluar.

Wang yang sepatutnya boleh memberi manfaat kepada rakyat Malaysia bakal memberi manfaat kepada rakyat asing. Kesannya bukan sedikit kerana Esso merupakan syarikat yang besar. Keempat, jika ia dimiliki oleh rakyat asing, boleh menggugat dasar-dasar mengenai minyak sedangkan ia boleh memberi impak besar kepada rakyat tempatan. Industri minyak cukup sensitif kepada rakyat. Bentuk kerjasama dengan syarikat tempatan seperti Petronas mungkin juga sukar dilaksanakan. Sinergi sukar dilaksanakan dengan syarat-syarat terma akan ditentukan oleh rakyat asing. Ambil contoh bagaimana SapuraCrest Petroleum Bhd, dan Kencana Petroleum Bhd. bergabung sesama sendiri bagi mewujudkan penyedia perkhidmatan minyak dan gas kelima terbesar di dunia. Gabungan sebegini menunjukkan semangat patriotisme tinggi untuk mengangkat syarikat-syarikat Malaysia di persada dunia. Tidak pula ia dijual untuk syarikat asing. Tetapi disinergikan untuk berkembang maju bagi manfaat rakyat tempatan dan negara. Justeru, kepentingan Esso wajib berada di bawah anak tempatan. Jika syarikat strategik sebegini terlepas di tangan pihak asing, tidak mustahil lebih banyak lagi kepentingan syarikat tempatan dijual kepada pihak asing pada masa akan datang. Kita akan berputih mata kerana hanya mendambakan untung jangka masa pendek tetapi rugi dalam jangka masa panjang. Maka Esso perlu diselamatkan daripada terlepas di pihak asing dan sewajarnya dimiliki oleh rakyat tempatan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
14 SEPTEMBER 2011

ISU SOSIAL : PENTINGNYA MENGUASAI BAHASA KEDUA

Oleh Ruhaidini Abd Kadir


Tanggal 6 Januari 1975 merupakan hari pertama saya melangkah ke alam persekolahan – darjah satu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Khee Chee (Cina) Temerloh, Pahang. ‘Didesak’ oleh Allahyarham bapa, Abd Kadir Hashim untuk belajar di sekolah Cina, sindrom takut ke sekolah seperti yang dialami oleh rakan-rakan sebaya di darjah satu tidak membelenggu saya seminggu dua tapi berpanjangan sehingga tamat alam sekolah rendah. Rajuk yang terbit dalam hati terhadap Allahyarham bapa menebal dari hari ke hari. Ada banyak hal yang membuatkan hati dan fikiran kanak-kanak saya pada ketika itu rasa amat kecewa dengan keputusan Allahyarham bapa. Antaranya kerana ejekan segelintir rakan-rakan sebaya yang janggal melihat saya ke sekolah Cina. Selain dianggap pelik kerana tidak ada orang Melayu di kampung kami ketika itu yang menghantar anak mereka belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina, persoalan lain yang sering menghantui – kenapa saya satu-satunya di antara adik-beradik yang menjadi ‘mangsa’. Minat saya untuk belajar pada awalnya tidak ada dan itu paling saya tidak lupa kerana setiap kali pulang dari sekolah saya akan mengeluh betapa sukarnya untuk mempelajari bahasa Cina selain beban kerja sekolah yang begitu banyak.

Bahasa Cina mempunyai kira-kira 10,000 askara dan ia merupakan aksara logogram berbentuk pembayang atau maksud yang tidak tertakluk kepada sebutan perkataan. Terdiri daripada unsur radikal yang membayangkan maksud, serta unsur fonetik yang menunjukkan sebutan bagi aksara tersebut, mempelajari bahasa Cina sangat mencabar kerana semuanya perlu dihafal. Selain menghafal aksara, pelajar bahasa Cina juga perlu menghafal empat nada untuk membezakan perkataan kerana banyaknya bilangan perkataan dalam bahasa ini hanya dibezakan oleh nada. Kesukaran menguasai nada-nada setiap aksara akan membawa maksud yang berlainan. Justeru, menghafal nada yang betul adalah penting. Bagi saya, mempelajari bahasa Cina merupakan sesuatu yang sangat kompleks. Alasan itulah yang saya gunakan untuk menolak kehendak Allahyarham bapa yang mahu saya meneruskan persekolahan hingga ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa Mentakab. Pada masa yang sama, saya lebih rela memasuki kelas peralihan selama setahun sebelum ke tingkatan satu di Sekolah Menengah Sri Bahagia Temerloh. Pada waktu itu, saya tidak nampak langsung apa yang ‘dilihat’ oleh Allahyarham bapa bahawa betapa pentingnya seseorang itu menguasai bahasa kedua selepas bahasa pertama atau bahasa ibundanya kerana ia menjadi ‘senjata’ untuk saya bersedia bersaing dengan lebih mudah apabila dewasa sehinggalah saya bekerja sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebagai Ahli Parlimen Bera yang mempunyai kira-kira 32 peratus (14,000) pengundi berbangsa Cina, Ismail Sabri percaya bahawa bahasa Cina merupakan aset penting dalam khazanah kepelbagaian budaya di Malaysia selain bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar negara. Bagi Ismail Sabri, belajar bahasa orang lain ibarat kita mengenali budaya mereka secara keseluruhan dan secara tidak langsung ikatan perpaduan dapat dieratkan sekali gus meruntuhkan tembok penghalang dalam usaha kita memahami budaya kaum dan bangsa lain. Hal yang sama dibuktikan oleh Perdana Menteri, Datuk seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang sentiasa menggalakkan dua anak mereka supaya menguasai satu lagi bahasa selain bahasa ibunda dan Inggeris. Anak perempuan Perdana Menteri, Nooryana Najwa Mohd. Najib, 22, menunjukkan kebolehan bertutur dalam bahasa Arab, manakala Norashman Razak, 20, pula bertutur dalam bahasa Cina. Kemampuan dua anak Perdana Menteri menguasai bahasa Arab dan Mandarin amat mengujakan – menuntut di Amerika Syarikat (AS) tetapi menguasai dua bahasa utama Asia adalah satu pencapaian hebat.

Hakikatnya, kemahiran dalam pelbagai bahasa boleh membantu melahirkan minat terhadap budaya seterusnya mewujudkan hubungan baik dan saling mempercayai. Ia selari dengan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri sendiri. Itu yang ‘membuka mata’ saya. Dan tanggal 6 September lalu saya berangkat ke Beijing, China – meneruskan impian Allahyarham bapa yang sepatutnya saya tunaikan berdekad lalu. Saya mendaftar diri sebagai penuntut bahasa (Cina) di Beijing Language and Culture University untuk program selama satu semester. Semasa sesi pendaftaran, saya melihat hampir 800 senarai nama pelajar asing yang bakal mengikuti program sama ditampal di papan kenyataan dan mereka terdiri dari warga AS, Eropah, Timur Tengah, selain ASEAN. Ditanya apakah matlamat mengikuti program itu, rata-rata mereka mengakui, rempuhan globalisasi telah menyebabkan masyarakat dunia tidak dapat lari daripada berdepan dengan cabaran baru yang turut memaksa mereka bersaing dalam ekonomi global. Fenomena ini turut mendorong mereka untuk memperkasakan diri bagi mendepani cabaran baru realiti global dan antaranya ialah melalui kesedaran individu atau masyarakat terhadap peri pentingnya penguasaan bahasa kedua atau bahasa asing.

Michel Thomas Language Centre di Britain dalam satu kajiannya melaporkan, individu yang menguasai bahasa asing bukan sahaja berupaya meningkatkan kuasa pendapatannya bahkan berupaya menjadi ‘popular’ di kalangan jantina lawannya. Kajian oleh pusat bahasa yang telah beroperasi sejak tahun 1947 itu juga menunjukkan bahawa individu yang menguasai bahasa kedua berupaya meningkatkan pendapatan tahunannya sebanyak £3,000 (RM20,198.70) atau £145,000 (RM976,271) sepanjang hayatnya. Di kalangan golongan berpendapatan lebih tinggi, perbezaannya adalah lebih besar dan ini dibuktikan melalui kajian yang dijalankan Michel Thomas Language Center ke atas 2,700 buah firma di mana 90 peratus daripadanya mengakui pencapaian perniagaan mereka lebih baik melalui manfaat kemahiran bahasa kedua atau bahasa asing. Beberapa penuntut dari AS yang saya temui turut mengakui peri pentingnya penguasaan bahasa kedua atau bahasa asing. Selepas Tragedi 11 September 2001 serangan yang mengorbankan lebih 2,700 orang di New York, Washington semakin banyak pelajar AS memilih institusi pengajian tinggi di Timur Tengah untuk mendalami bahasa Arab dan pengajian Islam.

Pun begitu, selain bahasa Sepanyol, bahasa Cina kian menarik perhatian pelajar-pelajar di AS berikutan perkembangan ekonomi China yang menakjubkan sejak negara yang diperintah Parti Komunis China itu mengamalkan dasar buka pintu dan melaksanakan reformasi ekonomi. Kejayaan Parti Komunis China membawa kejayaan yang dikagumi – meletakkan Republik Rakyat China sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia dan ini secara langsung menjadikan bahasa Cina mendapat sambutan bukan sahaja di kalangan pelajar di AS bahkan di seluruh dunia. (Qianli zhi xing shi yu zuxia ): Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama – semoga usaha saya menuntut ilmu hingga ke negara China meraih ilmu pengetahuan yang berguna.

DATUK RUHAIDINI ABD. KADIR menulis
dari Beijing Language and Culture University

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
14 SEPTEMBER 2011

12 September 2011

ISU PENDIDIKAN TINGGI : TAHNIAH KERANA BERJAYA MENJEJAKKAN KAKI KE MENARA GADING, JANGAN SIA-SIAKAN PELUANG, CABARAN BARU BERMULA, BUAT YANG TERBAIK!!

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
         

Hari  ini 41,267 mahasiswa yang terpilih memasuki institusi pengajian tinggi awam seluruh negara memulakan kehidupan di kampus secara rasmi, sekali gus meneruskan perjuangan menimba ilmu untuk masa depan.CSesuai status disandang, mereka perlu berdikari, belajar menyesuaikan diri dengan suasana baru serta pada masa sama bertungkus-lumus supaya berjaya menamatkan pengajian.CHarapan dan cita-cita disatukan untuk bergelar graduan serta menggenggam ijazah, sekali gus memasuki dunia kerjaya yang semakin mencabar. Persoalannya, sejauh manakah mereka bersedia menjalani kehidupan di kampus? Apakah memadai dengan hanya berbekalkan semangat berkobar-kobar pada awal pengajian, sebaliknya kian luntur selepas beberapa semester seperti dialami sebahagian besar mahasiswa? Atau adakah mereka tetap teguh dengan perjuangan cita-cita, sekali gus berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang? Bagi mahasiswa Universiti Putra Malaysia, Hasma Husna Mohamed Ghazali, 18, dia tetap optimis mengharungi kehidupan di menara gading kerana perjuangan menuntut ilmu baru bermula.

Menurutnya, meskipun terdapat pelbagai pandangan mengenai pencapaian mahasiswa, dia yakin semuanya terletak pada diri sendiri untuk mencorakkan masa depan, selain perlu bersedia menjalani perubahan hidup berdikari. “Saya gembira bergelar warga kampus dan tidak sabar memulakan pengajian. Ia bukan saja memberi pengalaman baru, malah menjadi platform untuk mematangkan diri dan fikiran. “Biarpun ada kebimbangan terutama dari segi penyesuaian diri dengan suasana, tempat dan rakan baru, saya berharap semuanya berjalan lancar hingga tamat pengajian, sekali gus mencapai cita-cita yang diidamkan. “Saya mahu berjaya dengan cemerlang dan menggenggam kejayaan untuk dihadiahkan kepada ibu bapa selain diri sendiri serta berharap melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi,” katanya yang mengambil jurusan Sains Pembangunan Manusia dan Pengurusan. Keupayaan diri mahasiswa bukan saja bakal diuji dan dinilai menerusi pencapaian akademik, malah perlu menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran demi menakluki alam kerjaya selepas tamat pengajian yang hanya menjanjikan kejayaan pada graduan terpilih.

Cabaran sengit itu menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat yang tertanya-tanya sejauh manakah mereka bersedia merencana masa depan dengan baik. Mengakui kebimbangan itu berasas dan kebanyakan hanya bersemangat pada peringkat awal, dia mengakui bukan semua tidak bijak merancang masa depan. “Itu hanya pandangan namun setiap potensi mahasiswa baru tidak boleh dinilai sekelip mata kerana perlukan satu tempoh tertentu. “Apapun, saya tidak nafikan ada yang hanya membuang masa dan berpuas hati dengan pencapaian cukup makan. Mereka rugi kerana tidak pandai menggunakan peluang di depan mata,” katanya. “Pandangan itu seharusnya diterima dengan lapang dada kerana bukan bertujuan menjatuhkan semangat atau memberi persepsi buruk kepada mahasiswa, sebaliknya harus dianggap sebagai satu cabaran. “Tidak perlulah melenting tetapi jadikannya sebagai panduan. Niat masyarakat telus kerana mereka tidak mahu mahasiswa hari ini leka dan lalai kerana cabaran yang menanti jauh lebih hebat,” katanya. 


Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia, Anuwar Syafiq Idrus, 18, berkata, kampus adalah tempat terbaik menyerlahkan potensi diri serta mendidik diri menjadi lebih bertanggungjawab. Akuinya, kampus boleh menjadi pemangkin memperoleh kejayaan dan kenikmatan hidup atau sebaliknya. “Saya berjanji belajar bersungguh sungguh dan menggunakan setiap kesempatan sebaik mungkin. Ini peluang sekali seumur hidup dan perlu dimanfaatkan demi membina masa depan,” katanya. Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Othman A Karim berkata, mahasiswa hari ini perlu bersedia menghadapi persaingan globalisasi serta ilmu tanpa sempadan. Beliau berkata, kini bukan masanya berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan pencapaian sedia ada. “Usah mudah berpuas hati dengan kejayaan memasuki menara gading kerana perjuangan sebenar hanya bermula sebaik saja pengajian berlangsung,” katanya.

SUMBER
HARIAN METRO
12 SEPTEMBER 2011

ISU BAHASA : SELEPAS PEMERGIAN DATUK HASSAN AHMAD, AKAN TAMATKAN PERJUANGAN MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU?

DATUK NOOR AZAM
Bekas Setiausaha Politik kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri.


Ketika  sampai berita sedih "Datuk Hassan Ahmad meninggal dunia" pada tengah hari 31 Ogos 2011, yang pertama terlintas dalam hati saya: "Pada tarikh bersejarah ini, tamatlah sudah perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu di Tanah Melayu". Saya tidak nampak ada lagi pejuang dan pencita bahasa Melayu yang komited, gigih, konsisten dan berhemah seperti Hassan. Yang masih terus perjuangkan bahasa Melayu melalui tulisan hanya Ku Seman Ku Hussain dan Awang Sariyan dan sekali sekala kenyataan Gabungan Penulis Nasional (Gapena). "Perjuangan bahasa" di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah pun lama sepi. Tidak lagi jadi sumber inspirasi dan pusat gerakan para pencinta bahasa ibunda. Biasanya pejuang dalam bidang apa pun, termasuk agama, akan 'bersara' setelah tidak lagi memegang apa-apa jawatan atau menjelang umur 70 tahun. Tetapi Hassan tetap meneruskan perjuangan dan usaha yang dilakukannya selama 25 tahun di DBP (1963-1988). Beliau tidak saja berusaha "memartabatkan" bahasa Melayu, dari segi pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera, tetapi juga dari segi penggunaan rasmi dan status politiknya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Yang terakhir ini belum juga tercapai setelah 54 tahun merdeka hinggalah beliau meninggalkan kita. Datuk Hassan bukanlah seorang pejuang yang nampak gagah dan agresif. Tetapi terus berjuang secara tegas dan berhemah melalui tulisannya dengan hujah-hujah ilmiah yang kukuh dan juga berlandaskan sejarah bangsa-bangsa maju di dunia. Selama 17 tahun bersama beliau di DBP dan dalam gerakan bahasa dan sastera, saya pasti betul, dalam hidupnya hanya satu saja perjuangannya iaitu "memartabatkan" bahasa dan kepustakaan Melayu di Malaysia dan di Nusantara. Dan perjuangannya ini berjalan sepanjang masa, tiada bermusim dan tidak terikat oleh gelora politik, walau siapa pun jadi Menteri Pelajaran dan Perdana Menteri. Beliau kagum dan sangat menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi tidak boleh bersetuju apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengajaran Ilmu Sains dan Matematik, kerana ini bercanggah dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan (salah satu warisan penting Tun Abdul Razak) dan implikasi sosial-politiknya amat besar. Bagi beliau bahasa pengantar pendidikan adalah faktor penentu yang utama dalam pembentukan dan survival suatu bangsa yang berdaulat dan bermaruah.

Setelah melihat perjuangan secara berhemah semakin tidak dipedulikan dan martabat bahasa Melayu semakin jatuh - dan yang tinggal hanya dasar, akta, janji dan kata-kata - secara tiba-tiba, Hassan bertukar jadi pejuang yang agresif. Dengan badannya yang kurus melidi dan kelihatan lemah tak bertenaga, ketika berumur 73 tahun, tiba-tiba beliau muncul mengepalai suatu gerakan bahasa, melanggar arahan polis dan berarak ke Istana Negara. Perubahan ini mengejutkan saya, kerana itu bukanlah sikap dan watak Hassan yang saya kenal. Lagi pun semangat perjuangan bahasa di kalangan rakyat, termasuk badan-badan bahasa, penulis, guru, mahasiswa dan kebudayaan, sudah tiada lagi. Maka tidak ada yang merasa gerakan demonstrasi tokoh kerdil ini akan membawa kejayaan. Kerajaan cukup kuat dan di belakang Hassan tiada siapa-siapa pun, kecuali beberapa kawan-kawan lama. Kekuatan Hassan hanyalah keyakinan pada perjuangannya yang benar dan tulus ikhlas tanpa kepentingan politik dan peribadi. Maka beliau rela ditangkap dan dihukum. Alhamdulillah, Datuk Hassan berjaya mencapai kejayaan yang tak terduga oleh siapa-siapa pun.  Menteri Pelajaran berjanji "akan" mengembalikan bahasa Melayu kepada tempatnya, seperti yang termaktub dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Namun timbul keraguan, ketika bahasa pengantar Inggeris masih diteruskan, diumumkan pula dasar atau konsep baru MBMMBI (Memartabat Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris). Dasar ini seolah-olah menunjukkan komitmen kementerian terhadap pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan masih goyang. Mengapa usaha "Memartabatkan Bahasa Melayu" mesti dirangkaikan dengan usaha "Mengukuhkan Bahasa Inggeris"? Apakah ini bermakna kalau Bahasa Melayu hendak dimartabatkan, Bahasa Inggeris juga mestilah diperkukuhkan? Pada hal kedua usaha ini tiada ada kaitan sama sekali. Pengajaran Bahasa Inggeris boleh diperkukuhkan sekukuh-kukuhnya. Tidak ada seorang pun yang menentang, termasuk pejuang Bahasa Melayu. Tetapi penggunaan Bahasa Melayu sebagai "bahasa kebangsaan" dan "bahasa rasmi", masih ramai yang menentang. Syarikat-syarikat besar dan kecil, milik Melayu apa lagi bukan Melayu, SBK (GLC) maupun swasta, masih terus boleh berurusan dengan kerajaan dalam Bahasa Inggeris. Maka dasar baru - MBMMBI - menyerlahkan keraguan, kekeliruan dan kecelaruan pemikiran Kementerian Pelajaran yang sangat aneh, yang sekali gus menampakkan tidak ada komitmen yang serius pihak kerajaan untuk betul-betul memartabatkan Bahasa Melayu. Dasar yang aneh ini nampaknya diterima umum. Justeru bersama kembalinya Hassan, perjuangan bahasa pun akan ikut bersemadi juga sudahnya. Tanggal 31 Ogos 2011 jadi batu nisan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 SEPTEMBER 2011

11 September 2011

ISU SOSIAL : KUALA LUMPUR "KAMPUNGKU"

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@nstp.com.my


Sebagaimana  biasa, ramai di kalangan mereka yang menetap di bandar balik kampung bagi menyambut Aidilfitri dijangka Selasa ini. Mereka balik kampung kerana keluarga mereka – ibu, ayah, datuk, nenek, abang, kakak, adik dan sanak saudara dana sahabat handai berada di kampung. Semua keluarga mereka yang juga berhijrah, bersama-sama memilih untuk berada di kampung. Inilah kesempatan terbaik untuk mengadakan pertemuan serentak. Pertemuan serentak ini hanya berlaku setahun sekali pada hari raya atau bila ada kenduri kendara atau kematian. Itu pun kadangkala pulang dalam keadaan tergopoh-gapah. Senario hari raya tahun ini juga adalah sama. Dalam kepesatan dan pembangunan negara hari ini, definisi balik kampung sudah banyak berubah. Balik kampung tidak semestinya lagi memberi gambaran mengenai pergerakan atau perjalanan seseorang dari bandar, di mana tempat mencari rezeki, pulang ke kampung asal mereka. Istilah balik kampung dalam konteks hari raya atau hari kebesaran ialah pulang ke tempat ramai saudara mara berhimpun, tidak kira lah sama ia pihak suami atau isteri. Contohnya, jika sepasang suami isteri terus kekal di tempat mereka menetap sehingga berpencen dan terus tinggal Kuala Lumpur, kampung bagi anak-anak mereka adalah Kuala Lumpur Ada orang yang pulang dari sebuah kampung lain di mana mereka meneruskan hidup bersama suami atau isteri, ke kampung tempat mereka dilahir dan dibesarkan.  Begitu juga, umpamanya, seorang guru yang mengajar di sebuah kampung di pedalaman Sabah atau Sarawak pulang ke rumah keluarganya di sebuah taman perumahan di Johor Bahru. Atau, ada juga yang pulang dari sebuah cawangan universiti di Perlis kerana meneruskan pelajarannya, pulang ke sebuah kampung di Tawau, Sabah. 


Dalam konteks balik kampung dalam masyarakat yang hidup berselerakan hari ini, kampung terletak di mana-mana saja. Status bandar besar atau ibu kota juga sudah menjadi kampung. Mereka yang pulang berhari raya di Kuala Lumpur atau Putrajaya juga adalah balik kampung. Dari segi makna asalnya, kampung bermaksud sebuah kawasan penempatan sekumpulan penduduk yang mengamal kehidupan tradisi. Setelah penempatan itu dibuka, penghuninya bermastautin di kampung itu dari satu keturunan kepada satu keturunan yang lain dengan mengamalkan cara hidup mengikut budaya dan kepercayaan masing-masing. Umumnya, penduduk kampung tinggal di rumah yang dibina secara ringkas dan sederhana. Cuma, kebelakangan ini, sudah banyak banglo dibina di kampung-kampung. Rumah di kampung pun sama cantik dengan rumah di kota. Keadaan kebanyakan kampung hari ini berbeza daripada keadaan 40 atau 50 tahun lalu. Rumah mewah sudah menjadi perkara biasa di kampung-kampung. Biasanya, kebanyakan kampung mempunyai kemudahan asas seperti jalan raya, air, elektrik dan talian telefon. Mereka juga mempunyai tempat beribadat masing-masing mengikut penganut agama yang menetap di kampung berkenaan. Bagi umat Islam, setiap kampung mempunyai masjid atau setidak-tidaknya surau. Kawasan tanah rancangan seperti FELDA, FELCRA dan RISDA juga adalah kampung bagi anak-anak peneroka yang menetap di tempat lain. Pada hari-hari biasa, kawasan perumahan tidak dianggap sebagai kampung. Ia mendapat gelaran kampung bila hari kebesaran.  Di bandar besar, pinggir bandar dan daerah sudah banyak taman-taman perumahan dengan pelbagai nama. Penghuninya menetap di rumah-rumah teres yang sama bentuknya antara satu dengan lain tetapi tidak mempunyai banyak ruang tanah untuk bercucuk tanam atau menternak ternakan seperti yang biasa di kampung-kampung. 


Namun, ciri-ciri hidup tradisional di kampung masih wujud. Bagi anak-anak yang bermastautin di tempat lain pulang ke taman perumahan turut dipanggil 'balik kampung' walaupun kampung mereka itu adalah sebuah taman perumahan.  Penempatan rumah pangsa juga ada kampung bagi mereka yang pulang berhari raya di rumah ibu bapa mereka di rumah-rumah flet. Istilah kampung bukan terbatas kepada pulang ke kampung saja tetapi ia mungkin taman perumahan, kawasan mewah atau rumah pangsa. Istilah balik kampung dalam konteks hari raya atau hari kebesaran ialah pulang ke tempat ramai saudara mara berhimpun, tidak kira lah sama ia pihak suami atau isteri. Contohnya, jika sepasang suami isteri terus kekal di tempat mereka menetap sehingga berpencen dan terus tinggal Kuala Lumpur, kampung bagi anak-anak mereka ada lah Kuala Lumpur. Jika kampung ayah mereka di Kelantan, manakala kampung ibu mereka di Kedah, tetapi mereka menetap di Kuala Lumpur, pada setiap hari raya, Kuala Lumpur tidak lagi sesunyi dulu. Kuala Lumpur juga sudah menjadi kampung bagi anak-anak yang dilahir dan dibesarkan di banda raya ini. Keadaan ini berlaku terutama ayah dan ibu mereka tidak lagi pulang berhari raya di kampung halaman mereka setelah kedua-dua ibu mereka sudah tidak ada lagi.  Jika pulang ke kampung asal mereka pun, hanyalah untuk menziarah kubur keluarga dan berkunjung ke rumah adik beradik, saudara mara dan kenalan lama yang masih ada di kampung. Balik kampung itu sendiri boleh dianggap sebagai satu pesta yang berlaku pada sebelum dan selepas perayaan hari raya sebenar.  Jika menggunakan lebuh raya, kenderaan bersesak-sesak hinggakan perjalanan yang biasanya mengambil masa tiga jam menjadi berbelas-belas jam. Jika menaiki kereta api, bas atau teksi, mereka juga akan berasakan kesesakannya. Apa pun, balik kampung adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh ramai penduduk negara ini.

SUMBER
BERITA MINGGU
11 SEPTEMBER 2011