JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



14 September 2011

ISU SOSIAL : USAH HANCURKAN NEGARA DEMI MENGEJAR KEPENTINGAN POLITIK

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed
Ketua Bahagian Perancangan Korporat, 
Universiti Putra Malaysia (UPM)


Tarikh 16 September bakal melakar satu lagi sejarah unik buat negara kita apabila buat julung kali kita akan meraikan sambutan Hari Kemerdekaan dan juga Hari Malaysia secara serentak. Sebelum ini kita juga berkesempatan meraikan tarikh 31 Ogos serentak dengan sambutan Aidilfitri ataupun lebih dikenali sebagai Merdeka Raya. Ternyata ini antara saat dan detik cukup indah untuk sebuah negara pelbagai kaum seperti Malaysia kerana pada detik bersejarah ini elemen perpaduan dan semangat kekitaan diperagakan dan dipertontonkan oleh masyarakat kita sebagai bukti ampuh kepada dunia luar bahawa inilah model terbaik sebuah negara majmuk. Sejak sambutan Hari Kemerdekaan mahupun Hari Malaysia tahun lalu, rakyat sudah melalui pelbagai dugaan dan cabaran cukup hebat dan wajib dijadikan iktibar.  Bermula dengan pelbagai ujian terhadap tahap dan mutu perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama yang berpunca daripada isu agama, tuntutan kaum, mencabar perlembagaan serta perbezaan idelogi politik, sehinggalah ke mutakhir ini membabitkan polemik mengenai sejarah kemerdekaan dan siapa sebenarnya pejuang kemerdekaan terus menghantui masyarakat kita.  

Sejak setahun lalu, isu perpaduan mula menggamit masyarakat kita. Pelbagai peristiwa yang mengambil tempat mula mencetuskan sedikit rasa ketidakpuasan hati rakyat kita. Isu sensitif terutamanya membabitkan agama dan tuntutan sesuatu kaum dilihat semakin berleluasa dan kita khuatir ia akan menggugat jambatan perpaduan yang dibina selama ini.  Perbezaan ideologi dan tuntutan politik pula terus menimbulkan pelbagai masalah dalaman merentasi sempadan termasuk di Sabah dan Sarawak. Tuntutan yang dikemukakan oleh sesuatu etnik mula dipengaruhi dengan kepentingan dan amalan politik sempit yang turut menjejaskan mutu perpaduan kita. Sejarah kemerdekaan yang sepatutnya jelas dan dihayati sepenuhnya menjadi bahan pertikaian dan mula meragukan. Sudah ada pihak yang secara terang-terangan menuduh bahawa fakta sejarah yang ada pada hari ini salah dan dimanipulasi oleh pihak kerajaan.  Sebaliknya penentang dan komunis pula mula diangkat sebagai pejuang sebenar kemerdekaan. Malah lebih menyakitkan hati kita apabila Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman yang kita sanjungi selama ini didakwa tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana dianggap sebagai pegawai British.  

Ini adalah detik cabaran cukup besar tatkala kita berusia 54 tahun dan pada saat meraikan Hari Kemerdekaan. Persoalannya kenapa baru sekarang isu ini dibangkitkan dan dipertikaikan padahal ia adalah sejarah yang terlipat kemas selama ini dan dipelajari sejak di bangku sekolah lagi.  Kenapa sukar terima hakikat bahawa sejarah tidak boleh diubah dan ditulis sesuka hati kita. Ia adalah kejadian abadi dan kita perlu terima hakikat sesuatu rakaman sejarah berkenaan.  Dalam hal ini tiada gunanya kita berselisih faham mahupun berdebat terutamanya dalam mood sambutan Hari Kemerdekaan seperti ini. Biarlah tokoh sejarawan negara dan akademik yang lebih tahu dan arif mengkaji dan memperincikannya, seterusnya merungkaikan segala kekeliruan yang dicetuskan berdasarkan fakta dan bukti sebenar. Kita tidak mahu soal sejarah negara dijadikan sebagai bahan dan modal politik oleh pihak tidak bertanggungjawab demi kepentingan peribadi dan agenda politik mereka semata-mata.  Justeru, apa yang kita harapkan adalah sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bakal diraikan ini akan melakar sejarah baru untuk negara kita dengan membuktikan pada dunia luar bahawa perpaduan kita masih kukuh dan ampuh dan kemerdekaan kita adalah asli dan suci.

Ambillah iktibar daripada perang saudara dan pergolakan di beberapa negara luar terutama Asia Barat yang terjejas teruk dan huru hara angkara pertikaian sesama sendiri. Ingat, merdeka sekali tidak semestinya akan merdeka dan bebas buat selama-lamanya. Sejarah abadi tidak boleh ditulis semula tetapi ia boleh berulang andai kita terus leka dan lalai untuk mempertahankannya.  Rakyat kita di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan serta etnik lain wajar menggunakan sambutan 16 September tahun ini sebagai detik permulaan sejarah baru untuk negara kita. Marilah sama-sama kita bersatu dan mempertahankan kemerdekaan dan perpaduan yang diwariskan kepada kita oleh generasi terdahulu yang berjuang hingga ke titisan darah terakhir untuk mempertahankan negara dan perpaduan yang kita nikmati hari ini. Janganlah sekali-kali kita mengkhianati dan menderhaka kepada mereka. Wira negara perlu dihormati dan disanjungi. Mereka terlalu berjasa kepada ibu pertiwi ini. Jangan kerana mahu mengejar keuntungan politik kita sanggup menggadai dan menghancurkan negara ini. Malah dalam hal ini penulis juga sangat bersetuju dengan cadangan Tan Sri Lee Lam Thye yang mengemukakan pandangan agar Hari Malaysia wajar diisytihar sebagai ‘Hari Malaysia – Hari Perpaduan’ bagi mencerminkan aspirasi semua rakyat Malaysia untuk sebuah negara yang bersatu padu.

SUMBER
BERITA HARIAN
14 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: