JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



14 September 2011

ISU POLITIK : KONTRAK NASIONAL, KESELAMATAN RAKYAT

DATUK RUHANIE AHMAD ialah mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor dan bekas pelajar pasca siswazah bidang strategi dan keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia


Kontrak sosial adalah elemen utama kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan yang mentransformasikan Malaysia sebagai negara satu bangsa di era sebelum penjajahan mulai tahun 1511 menjadi negara pelbagai bangsa di era merdeka sejak 31 Ogos 1957. Dengan ini, kontrak sosial dalam konteks Malaysia adalah kontrak nasional yang melambangkan ikrar dan permuafakatan bangsa Melayu, Bumiputera, keturunan Cina, keturunan India serta lain-lainnya untuk mewujudkan negara majmuk yang aman, damai, makmur dan bersatu padu. Dengan ini juga, kontrak tersebut bukan bertujuan untuk memelihara, mengekal atau menonjolkan ketuanan Melayu seperti didakyahkan oleh pelbagai pihak yang fobia dengan istilah kontrak sosial di era Malaysia merdeka. Sebaliknya, kontrak nasional inilah yang melunturkan dominan Melayu di Malaysia kerana menurut kajian keselamatan, sesebuah negara majmuk "cannot be created without destroying, or at least overlaying, old ones." (Buzan 1991:72). Maksudnya, pembinaan sebuah negara majmuk seperti Malaysia memerlukan pengorbanan pihak yang menjadi penduduk asal dan mereka yang menjadi warganegara menerusi kuat kuasa Perlembagaan.

Pengorbanan ini penting bagi mengelakkan pertelingkahan kaum dan konflik jati diri membabitkan semua warganegara kerana negara majmuk adalah sentiasa terdedah kepada masalah ini jika ia tidak di atasi secara proaktif dan secara berperlembagaan. Namun hakikat ini adalah suatu kebenaran yang sentiasa dipertikaikan - a constantly contested reality. Ini kerana kegagalan memahami semangat dan falsafah kontrak nasional menerusi perspektif negara majmuk dengan rakyatnya yang berbilang agama, bangsa, sosio-budaya dan berbeza taraf ekonominya. Sebenarnya kewujudan kontrak nasional di Malaysia adalah dimanifestasikan oleh Perlembagaan Persekutuan serta pelbagai dokumen yang berkaitan dengan pembentukannya. Antaranya adalah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 dan 131 memorandum daripada pelbagai pihak yang disampaikan kepada para penggubal Perlembagaan Persekutuan pimpinan Lord Reid. Di peringkat politik, wujud empat jawatankuasa yang menyumbang kepada pembentukan kontrak ini. Pertama, Jawatankuasa Siasah UMNO pimpinan Tun Razak Hussein; kedua, jawatankuasa di peringkat MCA; ketiga, jawatankuasa di peringkat MIC.

Keempat adalah Jawatankuasa Siasah Sementara Perikatan yang menghalusi seluruh perakuan daripada UMNO, MCA dan MIC sebelum disalurkan kepada pihak penggubal perlembagaan berkenaan. Tunku Abdul Rahman (25 Disember 1965) pula menegaskan, parti-parti pembangkang - Parti Negara, Parti Buruh dan Semangat Pulau Pinang - menyokong penuh usaha Perikatan memperjuangkan kemerdekaan menerusi jalan perlembagaan. Ini bermakna mereka juga memberikan semangat kepada kewujudan kontrak nasional di Malaysia. Akhir sekali, semangat dan falsafah kontrak ini adalah terkandung dalam pelbagai perakuan dan persetujuan yang dicapai oleh Jawatankuasa Tiga Pihak atau Tripartite Working Party terdiri daripada wakil Perikatan, Raja-Raja Melayu dan pihak British yang menuntas serta merincikan Perlembagaan Persekutuan sebelum ia dikuatkuasakan. Huraian ini membuktikan bahawa kontrak nasional di Malaysia adalah terbentuk berasaskan semangat dan falsafah permuafakatan bangsa Melayu, bumiputera, keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya menerusi proses pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Hakikat ini menepati intipati teori yang dipelopori oleh Thomas Hobbes, John Locke dan Jean-Jacques Rousseau bahawa kontrak sosial wujud apabila terdapat permuafakatan, persetujuan dan penerimaan pelbagai pihak terhadap tuntutan masing-masing untuk membolehkan mereka membina satu masyarakat atau negara secara aman, damai dan harmoni. Dalam konteks Malaysia, kontrak ini muncul dalam bentuk permuafakatan, persetujuan dan penerimaan pelbagai pihak untuk mentransformasikan Malaysia daripada sebuah negara satu bangsa di era penjajah kepada negara pelbagai bangsa di era merdeka. Inilah sebabnya Perlembagaan Persekutuan menjadi instrumen undang-undang yang melahirkan warganegara Malaysia yang majmuk. Inilah sebabnya Perlembagaan ini perlu dipelihara bagi menjamin permuafakatan bangsa dan survival negara. Hakikatnya demikian kerana Perlembagaan Persekutuan inilah yang menyebabkan bangsa Melayu dan Bumiputera mengiktiraf keturunan Cina, India dan lain-lainnya sebagai warganegara. Hakikatnya juga demikian sebab Perlembagaan inilah juga yang menyebabkan keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya mengiktiraf bangsa Melayu dan Bumiputera sebagai penduduk asal dan perlu diberikan keistimewaan secara Perlembagaan, walaupun paling minimum.

Inilah sebabnya Perlembagaan Persekutuan memaktubkan pelbagai peruntukan bagi mencerminkan permuafakatan rakyatnya dan bagi meregulasikan perpaduan bangsa, keharmonian agama, keadilan ekonomi serta keselamatan nasional berasaskan prinsip-prinsip universal yang disesuaikan dengan keperluan tempatan. Inilah juga sebabnya kajian keselamatan menyifatkan Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen undang-undang tertinggi yang dibentuk untuk menjamin survival dan keselamatan nasional Malaysia sebagai negara majmuk. Lantas bila sesetengah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dicabar ke peringkat maksimum sehingga mencetuskan tragedi 13 Mei 1969, adalah wajar peruntukan berkenaan dipinda untuk menjamin perpaduan, kemakmuran, keselamatan dan survival negara. Lantas adalah malang bila tindakan ini dipropagandakan oleh parti-parti pembangkang kononnya sebagai usaha melindungi keselamatan politik pemerintah dan untuk melumpuhkan amalan demokrasi di Malaysia. Tetapi, mulai akhir 1990-an, bila para sarjana keselamatan antarabangsa memperluaskan konsep keselamatan untuk merangkumi keselamatan masyarakat atau societal security, tindakan kerajaan Malaysia ini terbukti proaktif dan mendepani zaman.

Oleh sebab itu, persepsi negatif mengenai pindaan ini perlu dirobah menerusi kewujudan satu badan bebas untuk menyelidik seluruh aspek keselamatan masyarakat dalam konteks Perlembagaan Persekutuan. Kesimpulannya, Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen kontrak nasional yang menyebabkan Malaysia menjadi negara majmuk. Ia juga satu dokumen susunan masyarakat yang menjamin kesejahteraan bangsa, kemakmuran ekonomi, keselamatan nasional dan kelangsungan negara. Oleh sebab itu, kerajaan perlu segera mewujudkan badan bebas untuk menyelidik secara berterusan dan mendalam seluruh impak Perlembagaan Persekutuan kepada keselamatan masyarakat, keselamatan negara dan survival Malaysia sebagai negara majmuk di hari muka.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
14 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: