JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



14 September 2011

ISU SOSIAL : PENTINGNYA MENGUASAI BAHASA KEDUA

Oleh Ruhaidini Abd Kadir


Tanggal 6 Januari 1975 merupakan hari pertama saya melangkah ke alam persekolahan – darjah satu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Khee Chee (Cina) Temerloh, Pahang. ‘Didesak’ oleh Allahyarham bapa, Abd Kadir Hashim untuk belajar di sekolah Cina, sindrom takut ke sekolah seperti yang dialami oleh rakan-rakan sebaya di darjah satu tidak membelenggu saya seminggu dua tapi berpanjangan sehingga tamat alam sekolah rendah. Rajuk yang terbit dalam hati terhadap Allahyarham bapa menebal dari hari ke hari. Ada banyak hal yang membuatkan hati dan fikiran kanak-kanak saya pada ketika itu rasa amat kecewa dengan keputusan Allahyarham bapa. Antaranya kerana ejekan segelintir rakan-rakan sebaya yang janggal melihat saya ke sekolah Cina. Selain dianggap pelik kerana tidak ada orang Melayu di kampung kami ketika itu yang menghantar anak mereka belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina, persoalan lain yang sering menghantui – kenapa saya satu-satunya di antara adik-beradik yang menjadi ‘mangsa’. Minat saya untuk belajar pada awalnya tidak ada dan itu paling saya tidak lupa kerana setiap kali pulang dari sekolah saya akan mengeluh betapa sukarnya untuk mempelajari bahasa Cina selain beban kerja sekolah yang begitu banyak.

Bahasa Cina mempunyai kira-kira 10,000 askara dan ia merupakan aksara logogram berbentuk pembayang atau maksud yang tidak tertakluk kepada sebutan perkataan. Terdiri daripada unsur radikal yang membayangkan maksud, serta unsur fonetik yang menunjukkan sebutan bagi aksara tersebut, mempelajari bahasa Cina sangat mencabar kerana semuanya perlu dihafal. Selain menghafal aksara, pelajar bahasa Cina juga perlu menghafal empat nada untuk membezakan perkataan kerana banyaknya bilangan perkataan dalam bahasa ini hanya dibezakan oleh nada. Kesukaran menguasai nada-nada setiap aksara akan membawa maksud yang berlainan. Justeru, menghafal nada yang betul adalah penting. Bagi saya, mempelajari bahasa Cina merupakan sesuatu yang sangat kompleks. Alasan itulah yang saya gunakan untuk menolak kehendak Allahyarham bapa yang mahu saya meneruskan persekolahan hingga ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa Mentakab. Pada masa yang sama, saya lebih rela memasuki kelas peralihan selama setahun sebelum ke tingkatan satu di Sekolah Menengah Sri Bahagia Temerloh. Pada waktu itu, saya tidak nampak langsung apa yang ‘dilihat’ oleh Allahyarham bapa bahawa betapa pentingnya seseorang itu menguasai bahasa kedua selepas bahasa pertama atau bahasa ibundanya kerana ia menjadi ‘senjata’ untuk saya bersedia bersaing dengan lebih mudah apabila dewasa sehinggalah saya bekerja sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebagai Ahli Parlimen Bera yang mempunyai kira-kira 32 peratus (14,000) pengundi berbangsa Cina, Ismail Sabri percaya bahawa bahasa Cina merupakan aset penting dalam khazanah kepelbagaian budaya di Malaysia selain bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar negara. Bagi Ismail Sabri, belajar bahasa orang lain ibarat kita mengenali budaya mereka secara keseluruhan dan secara tidak langsung ikatan perpaduan dapat dieratkan sekali gus meruntuhkan tembok penghalang dalam usaha kita memahami budaya kaum dan bangsa lain. Hal yang sama dibuktikan oleh Perdana Menteri, Datuk seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang sentiasa menggalakkan dua anak mereka supaya menguasai satu lagi bahasa selain bahasa ibunda dan Inggeris. Anak perempuan Perdana Menteri, Nooryana Najwa Mohd. Najib, 22, menunjukkan kebolehan bertutur dalam bahasa Arab, manakala Norashman Razak, 20, pula bertutur dalam bahasa Cina. Kemampuan dua anak Perdana Menteri menguasai bahasa Arab dan Mandarin amat mengujakan – menuntut di Amerika Syarikat (AS) tetapi menguasai dua bahasa utama Asia adalah satu pencapaian hebat.

Hakikatnya, kemahiran dalam pelbagai bahasa boleh membantu melahirkan minat terhadap budaya seterusnya mewujudkan hubungan baik dan saling mempercayai. Ia selari dengan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri sendiri. Itu yang ‘membuka mata’ saya. Dan tanggal 6 September lalu saya berangkat ke Beijing, China – meneruskan impian Allahyarham bapa yang sepatutnya saya tunaikan berdekad lalu. Saya mendaftar diri sebagai penuntut bahasa (Cina) di Beijing Language and Culture University untuk program selama satu semester. Semasa sesi pendaftaran, saya melihat hampir 800 senarai nama pelajar asing yang bakal mengikuti program sama ditampal di papan kenyataan dan mereka terdiri dari warga AS, Eropah, Timur Tengah, selain ASEAN. Ditanya apakah matlamat mengikuti program itu, rata-rata mereka mengakui, rempuhan globalisasi telah menyebabkan masyarakat dunia tidak dapat lari daripada berdepan dengan cabaran baru yang turut memaksa mereka bersaing dalam ekonomi global. Fenomena ini turut mendorong mereka untuk memperkasakan diri bagi mendepani cabaran baru realiti global dan antaranya ialah melalui kesedaran individu atau masyarakat terhadap peri pentingnya penguasaan bahasa kedua atau bahasa asing.

Michel Thomas Language Centre di Britain dalam satu kajiannya melaporkan, individu yang menguasai bahasa asing bukan sahaja berupaya meningkatkan kuasa pendapatannya bahkan berupaya menjadi ‘popular’ di kalangan jantina lawannya. Kajian oleh pusat bahasa yang telah beroperasi sejak tahun 1947 itu juga menunjukkan bahawa individu yang menguasai bahasa kedua berupaya meningkatkan pendapatan tahunannya sebanyak £3,000 (RM20,198.70) atau £145,000 (RM976,271) sepanjang hayatnya. Di kalangan golongan berpendapatan lebih tinggi, perbezaannya adalah lebih besar dan ini dibuktikan melalui kajian yang dijalankan Michel Thomas Language Center ke atas 2,700 buah firma di mana 90 peratus daripadanya mengakui pencapaian perniagaan mereka lebih baik melalui manfaat kemahiran bahasa kedua atau bahasa asing. Beberapa penuntut dari AS yang saya temui turut mengakui peri pentingnya penguasaan bahasa kedua atau bahasa asing. Selepas Tragedi 11 September 2001 serangan yang mengorbankan lebih 2,700 orang di New York, Washington semakin banyak pelajar AS memilih institusi pengajian tinggi di Timur Tengah untuk mendalami bahasa Arab dan pengajian Islam.

Pun begitu, selain bahasa Sepanyol, bahasa Cina kian menarik perhatian pelajar-pelajar di AS berikutan perkembangan ekonomi China yang menakjubkan sejak negara yang diperintah Parti Komunis China itu mengamalkan dasar buka pintu dan melaksanakan reformasi ekonomi. Kejayaan Parti Komunis China membawa kejayaan yang dikagumi – meletakkan Republik Rakyat China sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia dan ini secara langsung menjadikan bahasa Cina mendapat sambutan bukan sahaja di kalangan pelajar di AS bahkan di seluruh dunia. (Qianli zhi xing shi yu zuxia ): Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama – semoga usaha saya menuntut ilmu hingga ke negara China meraih ilmu pengetahuan yang berguna.

DATUK RUHAIDINI ABD. KADIR menulis
dari Beijing Language and Culture University

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
14 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: