16 Julai 2011

ISU DISIPLIN : TINDAKAN RANTAI PELAJAR HUKUMAN TIDAK BERTAMADUN


Tindakan menghukum pelajar secara keterlaluan atas apa juga kesalahan sehingga ke tahap mendera tidak sepatutnya berlaku. Walaupun hukuman itu perlu bagi mendisiplinkan pelajar, tetapi ia tidak sepatutnya hingga boleh mencederakan atau menyebabkan mereka menjadi trauma. Kejadian seorang pelajar berusia 13 tahun di sebuah sekolah agama di Bachok, Kelantan yang bukan saja dipukul, malah dirantai gurunya adalah keterlaluan dan tidak wajar. Dalam kejadian 6 Julai lalu, pelajar terbabit, Mohd Ihsaan Mohd Hussin yang belajar di Tahfizul Quran Al Ikhlas, dirantai kedua-dua kakinya selama sejam atas kesalahan menghisap rokok. Walaupun merokok itu satu kesalahan serius bagi seorang pelajar, namun hukuman yang dikenakan itu boleh dianggap tidak bertamadun. Kita simpati dengan ibu bapa serta keluarga pelajar terbabit. Ketika mengharapkan anak mereka mendapat ilmu agama yang mencukupi bagi bekalan dunia akhirat dan dijaga dengan baik oleh pihak sekolah, tetapi ia tidak berlaku seperti yang mereka hajati.

Pihak sekolah sepatutnya mengenakan hukuman lebih sesuai bagi mendisiplinkan pelajar mereka. Kita bimbang pelajar akan berada dalam keadaan ketakutan melampau selama berada di sekolah atau asrama. Suasana itu pastinya tidak sesuai untuk pelajar menimba ilmu kerana bimbang hukuman yang berbentuk ‘seksaan’ ini akan dikenakan ke atas mereka pada bila-bila masa. Kita juga bimbang kesan daripada hukuman yang keterlaluan ini akan menghantui mereka sepanjang hidup, malah lebih buruk ia akan terbawa-bawa sehingga mereka dewasa. Justeru, kita berharap pihak terbabit sama ada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau Jabatan Agama Islam negeri yang mengawal selia sekolah agama dapat memantau keadaan ini. Pihak berkenaan sepatutnya mempunyai garis panduan jelas mengenai bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap pelajar seperti diamalkan di sekolah kebangsaan (SK) atau sekolah menengah kebangsaan (SMK).

Kita tidak mahu kejadian sama di Kangar, Mac lalu berulang apabila seorang guru agama di Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, dituduh mendera murid Tahun Satu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee hingga mati. Kita berasa kecewa kerana sekolah agama yang sepatutnya menerapkan nilai disiplin yang tinggi berteraskan ajaran Islam, namun berlaku pula sebaliknya. Lebih mengejutkan maahad tahfiz terbabit belum didaftarkan walaupun sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu. Apapun, kita berharap ibu bapa yang mahu menghantar anak masing-masing ke sekolah agama supaya memastikan terlebih dulu sekolah terbabit berdaftar dengan pihak berkuasa dan mempunyai peraturan jelas. Selain itu ibu bapa juga harus memastikan tenaga pengajarnya juga terlatih supaya mereka tahu peraturan serta garis panduan yang perlu dipatuhi.

SUMBER
BERITA HARIAN
15 MEI 2011

ISU PENDIDIKAN : UNIVERSITI PENYELIDIKAN SAINS SOSIAL DIKAJI


Pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin mengenai penubuhan Universiti Penyelidikan Sains Sosial sebenarnya memberi satu penghormatan kepada ilmu sains sosial yang menyumbang kepada pembangunan insan dalam pembinaan peradaban dan ketamadunan bangsa dan negara. Tulisan ini ingin menjawab artikel yang ditulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Mohamad Md Yusof berhubung persetujuan mengenai penubuhan sebuah Universiti Penyelidikan Sains Sosial yang dilaporkan akhbar ini pada 12 Julai lalu. Dalam ilmu sains sosial penghasilan pengetahuan tidaklah terpisah daripada keadaan kehidupan sosial yang menjadi tempat yang merentangi dan melampaui negara-bangsa, mencakupi komuniti dan wilayah. Persoalan sekarang perlukah kita kepada penubuhan sebuah Universiti Penyelidikan Sains Sosial dan apakah pengumuman Khaled itu memberi makna bahawa fakulti dan pusat pengajian sains sosial atau yang berkaitan dengannya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia tidak memainkan peranannya dalam proses pembangunan negara.

Seperkara lagi tidakkah ini juga membawa kepada pembaziran dana yang cukup besar. Adalah dirasakan buat masa sekarang negara kita sudah mempunyai 20 IPTA dan ini tidak mengira IPTS ternama yang juga dapat mengembangkan fakulti sains sosial mereka. Pembinaan sebuah Universiti Penyelidikan Sains Sosial memakan masa yang lama dan ia memerlukan sumber tenaga profesional yang besar datangnya daripada pelbagai bidang dan disiplin. Apa yang penting dan harus dilakukan Kementerian Pengajian Tinggi dan ahli akademik sains sosial ialah menimbang kembali pengajaran ilmu sains sosial di fakulti dan pusat pengajian yang sedia ada supaya lebih relevan dengan situasi Malaysia dan budaya kepelbagaian kaum dan etnik. Ia dapat memberikan sumbangan bermakna kepada pembinaan ilmu sains sosial Asia dan Malaysia dalam pembangunan dan pencapaian kemajuan di negara ini. Perkara asas yang perlu digerakkan di sini ialah reformasi kepada ilmu sains sosial kita. Antara isu besar ialah Eurosentrisme. Meskipun kritikan dan kesedaran terhadap Eurosentrisme (pemusatan kepada Eropah dan Amerika Utara) telah merebak ke dalam ilmu sains sosial tetapi ia harus diterjemahkan ke dalam pengajaran ilmu sains sosial yang menjadi dasar di fakulti dan pusat pengajian di universiti di negara ini.

Mata pelajaran dan kuliah penghantar dasar ilmu sains sosial yang condong kepada perspektif teoritis, ilustrasi dan bahan bacaan Barat sama ada Inggeris atau Amerika Utara perlu dirombak bagi memperlihatkan perspektif Asia dan Malaysia. Di pihak lain kesedaran dan kritik terhadap Eurosentrisme, Orientalisme, kebergantungan ahli akademik dan masalah dalam ilmu sains sosial adalah suatu pengembangan dan pengawalan kepada pembinaan konsep dan teori alternatif yang tidak bergantung kepada Barat sebagai satu-satunya kayu ukur dan sumber pengetahuan. Ini agar wacana alternatif dapat dimasukkan ke dalam pengajaran dan penyelidikan dan supaya kritikan terhadap Eurosentrisme menjadi sebahagian daripada pokok silibus ilmu sains sosial. Dengan ini Eurosentrisme akan muncul menjadi tema dalam pengajaran nanti. Ahli akademik di universiti negara ini perlulah cuba menghadirkan tradisi kritis wacana alternatif di dalam perkuliahan mereka. Ini tidaklah bermakna perkara seumpama ini tidak dilakukan di universiti tempatan tetapi hal ini tidak menjadi suatu perkara utama dan penting.

Bidang penyelidikan dilakukan hanya semata-mata untuk dimasukkan kepada ISI atau jurnal antarabangsa yang bertauliah dan cuba mengejar senarai atau ‘ranking dunia.’ Ini amat dikesali kerana pengiktirafan ISI ini berada ini di bawah bidang kuasa penerbitan yang bernaung di Barat. Ia juga bermakna Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan kecemerlangan pensyarah universiti kita berada di bawah ketentuan Barat. Ini adalah satu bentuk kolonisasi halus yang harus diteliti. Sejauh manakah relevan dan kaitannya lingkungan budaya kita yang pelbagai kaum dan etnik iaitu wilayah dunia bukan Eropah pada masa sekarang dengan situasi wilayah Eropah Barat abad ke-19 itu? Apakah kita langsung tidak mempunyai teori komunikasi dan teori sosiologi tempatan untuk diketengahkan? Bertitik tolak dari senario ini, kita haruslah berusaha menyelesaikan masalah pengajaran teori sosiologi mahukan komunikasi dengan mendekati kajian teori kedua-duanya secara lebih universal yang mencakupi persoalan apakah teori sosiologi atau komunikasi telah dilakukan di luar batas moden Eropah dan Amerika Utara.

Penulis ialah Ketua Program Sarjana, Fakulti Komunikasi dan Media, UNISEL, Kampus Shah Alam.

SUMBER
BERITA HARIAN
16 JULAI 2011

ISU DISIPLIN : FORMULA 1:3:7 SELESAI KES DISIPLIN PULIH REPUTASI SEKOLAH


Langkah Kementerian Pelajaran untuk menyegerakan penyelesaian kes disi-plin pelajar sememangnya dialu-alukan semua pihak, terutama ibu bapa. Jika kes disiplin pelajar dibiarkan berlarutan, ia bukan saja menjejaskan reputasi serta prestasi sesebuah sekolah dan kementerian, bahkan mengganggu pembelajaran pelajar terbabit. Arahan terbaru kementerian yang mewajibkan kes disiplin di sekolah diselesaikan dalam masa seminggu pada semua peringkat, sudah pasti dapat mengurangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka yang terbabit, termasuk ibu bapa pelajar. Walaupun statistik Kementerian Pelajaran menunjukkan hanya kira-kira tiga peratus daripada lebih lima juta pelajar di 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh terbabit dalam kegiatan salah laku sepanjang sesi persekolahan tahun lalu, namun dari segi angka, ia agak tinggi. Mengikut rekod kementerian, sejumlah 111,484 pelajar atau 72,557 pelajar sekolah menengah dan 38,927 murid sekolah rendah dikesan terbabit dalam pelbagai salah laku disiplin pada 2010. Antara kes salah laku disiplin yang sering dilakukan pelajar termasuk jenayah sebanyak 17,595 kes, ponteng sekolah 19,545 kes, kelucahan 3,031 kes, vandalisme 5,212 kes dan kenakalan 8,563 kes.

Beberapa kes yang pernah dilaporkan media sebelum ini termasuk kes pelajar perempuan menendang guru di dalam kelas, pelajar lelaki menumbuk guru di bilik guru dan banyak lagi, sesetengahnya dirakam dengan telefon bimbit dan dapat dilihat menerusi YouTube. Justeru, masalah disiplin seperti ponteng, berkelakuan buruk, kecurian dan pergaduhan yang menyebabkan kecederaan tidak boleh diterima walaupun masalah berkenaan tidak begitu membimbangkan dan terkawal. Langkah terbaru kementerian bagi menangani kes disiplin pelajar ini terkandung dalam surat pekeliling ditandatangani Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, mewajibkan sekolah mengambil tindakan perlu pada hari pertama kes itu berlaku dan menyerahkannya kepada Pejabat Pelajaran Daerah untuk tindakan susulan dan seterusnya ke Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) serta kementerian. Sebelum ini ada kes atau kejadian yang hanya dilaporkan kepada kementerian selepas beberapa hari ia berlaku atau apabila diminta kementerian. Ada juga kes yang disiarkan oleh media massa terlebih dulu sebelum pihak kementerian dimaklumkan secara rasmi mengenainya. Kita berharap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baru itu serta kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat membantu semua pihak menangani masalah disiplin dan salah laku yang mengganggu proses pembelajaran di sekolah.

SUMBER
BERITA HARIAN
16 JULAI 2011

14 Julai 2011

ISU UMUM : MENGAPA PERLEKEH BAKAT TEMPATAN

Oleh Rejal Arbee

Rakyat patut fikir 
kenapa Barat sering memburukkan 
negara kita


Kenapa rakyat Malaysia khususnya orang Melayu, bukan saja suka merendahkan diri, tetapi lebih menghairankan suka pula memperlekehkan kebolehan atau pencapaian sendiri. Ada kalanya tidak pun mengetahui ada insan dalam kalangan kita yang disanjungi dan diberi pengiktirafan di luar negara. Itulah agaknya kenapa kadang-kadang institusi pengajian tinggi tempatan dipandang rendah hanya kerana menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantarnya. Inilah yang dialami Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) buat beberapa tahun pada awal penubuhannya hinggalah berpuluh-puluh tahun kemudian baru mendapat pengiktirafan sebagai sebuah universiti ulung yang mampu mengeluarkan graduan yang diiktiraf dunia. Misalnya, lulusan doktor perubatannya dipandang tinggi hanya selepas Kerajaan Singapura mula ‘menyambar’ graduannya sebaik saja mereka tamat pengajian. Maka itulah juga ada antara kita yang memandang rendah terhadap barisan profesor kita.

Ada yang menganggap mereka sebagai profesor ‘kangkung’ pada hal kebanyakan mereka diberi pengiktirafan antarabangsa. Malah ada yang pernah bertugas di pelbagai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu pun melakukan penyelidikan di universiti ulung dunia seperti Harvard dan mendapat tempat di Oxford.  Orang yang memandang serong terhadap profesor kita ini hanya kerana dia tidak senang dengan tulisan profesor itu dalam ‘e-group’ mereka yang terhad memuji Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap kepada Majlis Profesor Negara baru-baru ini yang katanya sudah diberikan tepukan gemuruh (standing ovation) oleh peserta.  Teringat lagi pandangan seorang rakan yang kesal bagaimana seorang pemikir ulung kita, Prof Syed Naquib Alatas tidak mendapat sanjungan seperti mana sepatutnya dalam negara sendiri, sedangkan beliau amat disanjungi di luar negara khususnya negara Islam di Asia Barat yang kagum dengan tahap pemikiran dan penulisan serta karyanya.

Demikian juga kita sudah banyak mengeluarkan bakat baru di bidang seni seperti lukisan dan perfileman hingga ada yang dianggap mempunyai bakat berkelas dunia, tetapi tidak pun diketahui, jauh sekali mendapat pengiktirafan dalam negara.  Pengumpul lukisan, Farouk Khan dan isterinya Aliya menyebut beberapa pelukis tanah air yang tidak pun diketahui ramai di sini, tetapi mendapat pengiktirafan sebagai pelukis bertaraf antarabangsa. Mereka menamakan pelukis seperti Ahmad Shukri, Yusof Ghani, Tan Chin Kuan, Muthalib Musa dan Shooshie Sulaiman yang dianggap sebagai pelukis bertaraf dunia, malah mendapat sanjungan apabila mempamerkan karya lukisan mereka di luar negara seperti di New York atau London.  Pelukis itu, antaranya tidak diketahui langsung dalam negara, tetapi sudah menggegarkan pelukis antarabangsa dengan pemikiran, kemahiran dan karya mereka. Farouk pula menyebut bagaimana bakat pelukis dan artis kita yang menceburi diri dalam dunia kreatif sungguh mengagumkan, tetapi tidak mendapat perhatian media atau rakyat negara ini.

Ini berbeza sekali dengan apa yang berlaku di Barat yang mana warga mereka yang mempunyai bakat demikian disanjungi.  Apakah keadaan demikian ini bersangkutan dengan budaya Barat yang mudah menyanjungi orang berbakat pada hal kita di Malaysia mengamalkan budaya mahu menjatuhkan seseorang?  Kita juga harus faham peranan yang boleh dimainkan bakat kita itu untuk kedudukan negara dalam sejarahnya kelak. Apakah kita tidak ketahui era Renaissance di Eropah yang lebih terkenal hingga sekarang kerana barisan pelukisnya dari Itali seperti Michelangelo dan Donatello dan bukan saja kerana pemikiran hingga membawa kepada era penemuan berteraskan pengetahuan sains.  Demikian juga pada era pemerintahan Moghul di India yang lebih terkenal bukan kerana luasnya pemerintahan dinasti itu, tetapi bertumpu kepada keindahan bangunan Taj Mahal yang didirikan oleh seorang rajanya, Shah Jahan.

Kita sepatutnya berfikir apakah tidak cukup negara ini mendapat liputan buruk saja dalam rangkaian berita dunia seperti CNN yang biasanya memuatkan berita buruk saja mengenai negara ini. Kita juga seharusnya faham kenapa rangkaian berita dunia sering saja memburuk-burukkan negara membangun seperti Malaysia. Kita juga harus bertanya kenapa orang lain berterusan memperlekehkan kita? Kenapa pula kita sendiri pun mahu menyokong pandangan serong mereka itu? Apakah yang mereka lakukan itu bukan usaha mahu memberi gambaran negatif kepada dunia bagaimana tidak stabilnya negara ini atau pun negara membangun? Apakah ini bukannya kerana mahu menghalang keyakinan pelabur mereka terhadap kita? Apakah ini juga bukan kerana mereka tidak mahu menggalakkan syarikat mereka melabur keluar supaya berterusan melabur dalam negara mereka, membeli saham syarikat mereka di bursa saham mereka untuk kepentingan ekonomi sendiri?  Tidak cukupkah pertubuhan demikian memperlekehkan kita tanpa kita sendiri pula mahu menjatuhkan kedudukan negara sendiri? Inilah satu persoalan yang harus kita fikirkan dengan matang.

Penulis ialah Felo Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
14 JULAI 2011

13 Julai 2011

ISU KESIHATAN : ETIKA DI MEJA MAKAN BENTUK KANAK-KANAK

Oleh Liow Tiong Lai

Ibu bapa, guru kena 
berkorban bimbing anak jauhi 
laluan ke arah obesiti


Tidak lama selepas Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa kantin sekolah dikehendaki menjual pelbagai jenis makanan sihat, saya melihat tindakan seorang ibu yang menuruti desakan anaknya yang mahukan makanan segera. Kanak-kanak lelaki itu mungkin berumur 10 tahun dan ternyata mempunyai berat badan berlebihan. Si ibu cuba memujuk anaknya supaya pulang ke rumah untuk makan tengah hari, tetapi budak itu terus mendesak mahu makan di restoran makanan segera. Ibu berkenaan mungkin menyangka dia menyokong anaknya dengan menurut kemahuan budak itu, namun hakikat adalah sebaliknya, tindakannya itu lebih mendatangkan keburukan kepada anaknya. Semakin ramai kanak-kanak hari ini membesar seperti budak lelaki berkenaan, diberi makanan bergoreng, gula-gula (“mak, tak mahu sayur!”), selain dilayani permainan video dan komputer.  Amalan pemakanan sedemikian, yang dipupuk sejak kecil dan akhirnya menjadi sebati di kalangan kanak-kanak, akhirnya menjadi amalan sepanjang hayat.

Jika amalan pemakanan yang tidak betul itu dididik oleh ibu bapa anda sejak zaman kanak-kanak, besar kemungkinan tabiat anda itu tidak berubah apabila dewasa kelak. Lebih teruk lagi, anda juga mungkin memberikan didikan yang salah itu kepada anak anda kelak.  Kita tidak perlu menunggu sehingga anak meningkat dewasa untuk melihat kesan amalan pemakanan tidak sihat ke atas mereka. Kajian tempatan mendapati lebih ramai kanak-kanak kini mempunyai berat badan berlebihan, gemuk dan obes.  Beberapa kajian dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan peratusan kanak-kanak gemuk (berumur 6 hingga 12 tahun) meningkat daripada 11 peratus kepada 12.8 peratus pada 2008. Peratusan kanak-kanak obes juga meningkat daripada 9.7 peratus kepada 13.7 peratus pada tahun sama.  Di Amerika Syarikat dan United Kingdom, lebih ramai remaja belasan tahun didiagnosis menghidap diabetes mellitus Jenis 2, penyakit yang biasanya dihidapi orang dewasa selepas meningkat umur 40 tahun.

Kini kanak-kanak semuda usia 10 tahun mempunyai penyakit kronik ini. Pada 2010, seramai 305 kanak-kanak di bawah 12 tahun yang menghidap diabetes mellitus dirawat di hospital kerajaan. Bagaimanakah kesannya terhadap masa depan mereka? Apakah mereka akan mati lebih awal akibat komplikasi diabetes seperti sakit buah pinggang atau jantung? Di manakah letaknya kesilapan kita?  Ramai ibu bapa membuat kesilapan membiarkan amalan buruk menular pada zaman awal kanak-kanak. Mereka sangka anak itu masih kecil dan boleh berubah kemudian. Tetapi zaman awal kanak-kanak adalah masanya apabila segala pengajaran diberikan itu menyerap dalam otak mereka.  Saya menjadi vegetarian bukan pada zaman kanak-kanak, tetapi oleh kerana ibu bapa saya makan banyak sayur-sayuran, saya belajar mengamalkannya sebagai sebahagian daripada diet harian. Oleh itu, tidak sukar bagi saya bertukar menjadi vegetarian selepas tamat pengajian di universiti.  

Saya dan isteri tidak pernah melarang anak kami supaya jangan makan itu atau ini. Mereka boleh makan apa saja, baik coklat mahupun aiskrim, asalkan jangan berlebihan. Kami beritahu mereka baik buruk mengenai pelbagai jenis makanan, supaya mereka mengetahui nilai yang betul dan boleh membuat keputusan sendiri.  Satu lagi pengajaran buruk yang kanak-kanak pelajari di meja makan ialah makan segala-gala yang ada di atas pinggan. “Jangan membazirkan makanan kamu!” tegas ibu bapa mereka yang memarahi mereka sambil menyumbat butiran akhir nasi ke mulut mereka.  Ya, saya setuju makanan tidak harus dibazirkan memandangkan ramai kanak-kanak kecil di seluruh dunia mati kebuluran.  Kita tidak perlu memaksa anak melicinkan makanan di pinggan mereka, sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah mengurangkan bahagian makanan diberikan kepada mereka, waima di rumah atau apabila membuat pesanan makanan di restoran.

Jika kita terus menyediakan bahagian makanan berukuran ‘super-size’, ukuran badan kanak-kanak itu pastinya akan bertukar menjadi super-size juga!  Apabila saya kenang kembali zaman kanak-kanak dulu, saya teringat yang saya lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah. Jarang sekali duduk berkurung di rumah selepas waktu sekolah. Sebaliknya, ibu bapa saya menggalakkan supaya keluar dan menunggang basikal bersama kawan, pergi memancing atau menjelajah kawasan di sekitar.  Anak zaman sekarang, terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar akan mendapati gaya hidup sedemikian agak janggal. Pada kebiasaannya mereka terus dibawa pulang ke rumah selepas sekolah, kemudian ke pusat tuisyen. Di rumah, waktu santai dihabiskan di hadapan televisyen, bermain ‘playstation atau permainan yang ada pada telefon bimbit.  Saya faham cabaran dihadapi ibu bapa moden sekarang, terutama mencari kawasan selamat supaya anak mereka boleh bermain atau beriadah. Bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga boleh membawa anak mereka ke pusat rekreasi atau taman permainan pada sebelah petang atau hujung minggu, di mana mereka boleh bebas ke sana sini. Mereka hendaklah berusaha melakukan semua ini.

Penulis ialah Menteri Kesihatan www.liowtionglai.com/blog atau Twitter (@liowtionglai)

SUMBER
BERITA HARIAN
13 JULAI 2011

ISU SOSIAL : PROGRAM PEMUTIHAN PENDATANG BIAR TELITI ELAK CETUS MASALAH LAIN


Bilangan rakyat asing yang semakin meningkat terutama yang memasuki negara ini tanpa dokumen sah sudah menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Namun, pada masa sama, negara amat memerlukan tenaga pekerja asing untuk berkhidmat dalam pelbagai sektor ekonomi terutama pembinaan dan pembantu rumah. Sehingga kini terdapat kira-kira 1.9 juta pekerja asing yang didaftarkan di negara ini. Bagaimanapun, jumlah itu dipercayai melebihi angka dua juta jika diambil kira pekerja asing yang tidak berdaftar.  Keadaan itu, bukan saja menimbulkan masalah kepada kerajaan untuk menguruskan pendatang asing terbabit, malah ia turut membimbangkan rakyat negara ini berikutan masalah sosial yang wujud. Justeru, pada 22 Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan melaksanakan program pemutihan pendatang tanpa izin (PATI) yang sepatutnya bermula pada 12 Julai 2011.

Bagaimanapun, pelaksanaannya tidak dapat dibuat mengikut jadual kerana ada beberapa perkara berbangkit yang perlu diselesaikan, terutama membabitkan aspek keselamatan. Malah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kelmarin menjelaskan beliau masih belum berpuas hati dengan proses pendaftaran PATI yang dirancang, termasuk pendaftaran secara biometrik. Apapun, kita berharap langkah pemutihan dan pengampunan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan ini tidak dibuat secara tergesa-gesa, tetapi terlebih dulu memerlukan komitmen semua pihak. Kita mahu program pemutihan ini dibuat dengan berkesan agar mencapai matlamatnya. Sasaran program adalah untuk memastikan hanya pendatang asing yang mempunyai dokumen sah dan berdaftar boleh bekerja di negara ini. Pada masa sama, kita tidak mahu sama ada di pihak majikan, mahupun agensi pengambilan pekerja asing mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada kadar yuran yang dikenakan daripada program pemutihan yang dijalankan.

Kita juga tidak mahu disebabkan semua pihak terbabit belum bersedia melaksanakannya, sehingga timbul pula masalah lain yang akan menyulitkan lagi keadaan. Program pemutihan ini diharap dapat memastikan hanya pendatang asing yang layak saja dibenarkan bekerja di negara ini. Mereka yang tidak mempunyai dokumen sah perlu dihantar pulang ke negara asal. Malaysia tidak wajar dijadikan pusat lambakan pekerja asing tidak mahir atau terlatih, apatah lagi memasuki negara ini secara haram. Bagi mencapai matlamat program ini, kerajaan dan agensinya terutama Jabatan Imigresen perlu bertindak lebih tegas. Walaupun kita memerlukan tenaga pekerja asing dalam sektor tertentu, ini tidak bermakna kita perlu mengorbankan peraturan dan undang-undang negara.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
13 JULAI 2011

12 Julai 2011

ISU DUNIA : KRISIS KEMANUSIAAN TERBURUK DI DUNIA

Oleh AZNAN BAKAR


Bangkai binatang ternakan bergelimpangan, bekalan air semakin meruncing dan makanan semakin sukar didapati. Ini merupakan senario yang berlaku di wilayah timur Afrika menyebabkan jutaan penduduknya kini diancam kebuluran. Senario ini juga bakal mencetuskan malapetaka dan krisis kemanusiaan yang terburuk dunia. Setiap hari kira-kira 60 orang bayi mati akibat kelaparan dan kekurangan zat makanan. Dalam tempoh 24 jam lebih 3,000 orang yang keletihan dan kekurangan makanan tiba di kem-kem bantuan. Mereka ini semuanya merupakan mangsa musim kering dan panas berpanjangan di timur Afrika. Kehidupan kira-kira setengah juta kanak-kanak kini terancam. Keseluruhannya, tidak kurang daripada 12 juta penduduk wilayah itu kini diancam kebuluran. Saban hari kehidupan mereka semakin nazak. Ini dapat dilihat pada keadaan fizikal setiap kanak-kanak yang tiba di kem-kem pelarian. Semua mereka kurus kering dan lesu.

Ada yang berjalan selama 20 hari dalam keadaan cuaca panas mencecah 50 darjah celsius sebelum sampai ke kem-kem yang menyediakan makanan untuk mereka. Menurut Pengarah agensi bantuan perubatan British, Merlin di Kenya dan Somalia, Louise Paterson, situasi sekarang lebih teruk daripada apa yang berlaku di Ethiopia pada 1980-an. Negara yang teruk diancam kebuluran ketika ini ialah Sudan, Kenya, Ethiopia, Djibouti dan Somalia. Dalam usaha mencari makanan, beberapa keluarga sanggup jalan berkaki ayam berhari-hari merentasi padang pasir yang panas dan kering. Tidak semua daripada mereka yang berjaya. Ada antaranya terutama kanak-kanak mati ketika dalam usaha mencari makanan itu. Kemarau yang paling teruk dalam tempoh 60 tahun itu bukan sahaja memusnahkan tanaman, tetapi turut mengorbankan haiwan ternakan. Akibatnya harga makanan melambung tinggi dan di luar kemampuan penduduk.

Wajah kanak-kanak yang kurus kering kerana kekurangan zat makanan kini merupakan pemandangan biasa. Jurucakap Unicef, Marixie Mercado berkata, terdapat dua juta kanak-kanak di wilayah tersebut berhadapan dengan krisis kekurangan makanan. "Setengah juta daripada mereka kini dalam keadaan kritikal yang mengancam nyawa," katanya. Di kem Dadaab di timur Kenya yang kini merupakan kem pelarian terbesar dunia, kira-kira 382,000 orang berhimpit-himpit dalam kemudahan yang hanya sesuai untuk 90,000 orang. Sekitar 1,400 orang dalam keadaan terdesak dan kelaparan yang kebanyakannya kanak-kanak tiba di kem itu setiap hari. Di kem yang terdapat di Ethiopia pula, setiap hari terdapat 1,700 penghuni baru tiba. Suruhanjaya Bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan kerajaan Ethiopia telah menyediakan kem di Dolo Ado bagi memenuhi kebanjiran pelarian yang kebuluran.

Kem yang terdapat di beberapa bandar itu kini dipenuhi hampir 100,000 dan PBB mewujudkan beberapa lagi kem untuk keperluan 120,000 orang. Ketua UNHCR, Antonio Guterres berkata, ini merupakan malapetaka kemanusiaan yang paling teruk dihadapi dunia. Di Somalia sahaja satu perempat daripada 7.5 juta orang telah dipindahkan atau menjadi pelarian. Malah ketua kumpulan militan utama di negara itu turut meminta pertolongan daripada agensi-agensi bantuan yang selama ini di larang masuk ke kawasan mereka. Bagi penduduk yang kelaparan, mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan seteguk air dan sesuap makanan. Ada yang sanggup berjalan berhari-hari untuk ke kem-kem pelarian yang menyediakan makanan dan ubatan. Di Somalia, ramai penduduk luar bandar yang kelaparan dan kepenatan membanjiri ibu negara, Mogadishu dengan harapan ada pihak akan membantu mereka.

Tetapi ramai yang hampa dan ada pula yang meneruskan perjalanan ke Kenya. Di Sudan Selatan, negara yang baru mencapai kemerdekaan, turut dilanda krisis makanan. Satu daripada sembilan kanak-kanaknya mati sebelum berusia lima tahun. Krisis yang melanda wilayah timur Afrika itu bakal meragut jutaan nyawa jika bantuan dunia tidak disalurkan segera secara sistematik. Kerajaan British telah berjanji akan menyalurkan 38 juta pound kepada Program Makanan Dunia (WFP). Jumlah itu hanya cukup untuk memberi makan kepada 1.3 juta orang untuk tempoh tiga bulan. Suruhanjaya Eropah pula telah menghantar AS$8 juta sebagai bantuan kecemasan ke Dadaab. Pada Jumaat lalu, Jawatankuasa Kecemasan Bencana (DEC) iaitu organisasi yang menaungi 14 agensi bantuan British telah melancarkan rayuan bagi menangani situasi di timur Afrika itu. Ia termasuk rayuan di radio dan televisyen yang berjaya mendapat sumbangan 6 juta pound.

WFP turut menganggarkan 3.5 juta di Kenya, 3.2 juta di Ethiopia, 2.5 juta di Somalia, lebih setengah juta di Uganda dan lebih 100,000 di Dijbouti kini terdesak memerlukan bantuan makanan. Walaupun penduduk di wilayah tersebut sebenar biasa dengan kemarau yang panjang, tetapi situasi kali ini agak berbeza daripada biasa. Kajian perubahan iklim tahun ini mendapati keadaan kering di Timur Afrika dijangka berterusan. "Suhu global dijangka terus meningkat dan kami menjangka purata hujan di Kenya dan Ethiopia akan terus menurun atau kekal di bawah paras terendah dalam sejarah. "Malah langsung tiada hujan pada Mac hingga Jun yang sepatutnya merupakan musim hujan," kata saintis Chris Funk.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 JULAI 2011

ISU PENDIDIKAN : SAINS SOSIAL UNTUK PEMBANGUNAN NEGARA

Oleh MOHAMAD MD. YUSOFF

PROF. MADYA MOHAMAD MD. YUSOFF ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang


Penubuhan satu universiti penyelidikan sains sosial seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap pada majlis penutupan Kongres Profesor Negara di Kuala Lumpur baru-baru ini sememang merupakan satu langkah wajar dan amat dialu-alukan. Sama ada ia mungkin satu universiti baru atau sebuah universiti penyelidikan sedia ada yang dinaik taraf, langkah ini adalah satu pengiktirafan betapa ilmu sains sosial perlu dimanfaatkan semaksimum mungkin dalam proses dan agenda pembinaan negara. Jika ilmu sains dan teknologi menunjangi agenda pembinaan negara ke arah Wawasan 2020, maka ilmu sains sosial seperti komunikasi, sains sosial, kemanusiaan, pengurusan, pendidikan, ekonomi, dan kesenian wajar diperkasakan sebagai pengisian jati diri bangsa. Bahkan, sejarah negara bangsa banyak memanfaatkan ilmu sains sosial sebagai pemangkin dan sekali gus penggenap sesuatu bangsa sambil ia memperkasakan ketamadunan bangsa dan mempertingkatkan kecemerlangan citra negara.

Negara jiran Indonesia banyak mencemerlangkan ketamadunan bangsa mereka menerusi kegiatan kesenian, inovasi kebudayaan kreatif dan pemupukan budaya yang segar lagi kontemporari sesuai dengan tuntutan masa. Sifat dan corak kesenian dan kebudayaan yang segar lagi kontemporari memungkinkan ketamadunan bangsa menjadi relevan dan diminati ramai. Aspek penyemaian tradisi dan nilai kebudayaan dan kesusasteraan serta kesenian penting dalam konteks arus globalisasi yang mengganas. Usaha membumikan teori sosial sedang rancak di laksanakan. Yang penting, sains sosial mengasah dan mengasuh para mahasiswa pengertian dan perihal falsafah, pemikiran, nilai, pandangan hidup, jati diri, dan asas ketamadunan negara bangsa seiring dengan aspek sosial, politik dan ekonomi sesebuah tamadun dan negara bangsa. Bahkan perihal ilmu komunikasi dan kebudayaan perhubungan kaum, etnik, mahupun perpaduan, integrasi kaum, dan proses sosialisasi politik dan pemerintahan dalam konteks dunia kontemporari perlu dikaji dan didokumentasi dalam proses pembinaaan negara bangsa.

Universiti ini mesti dan harus melebarkan korpus keilmuan sains sosial ke persada dunia dengan penyelidikan dan penerbitan bahan sumber yang terunggul. Ia mesti menjadi hab dan rujukan para sarjana antarabangsa bidang kepakaran kita seperti ketamadunan Melayu dan Islam dalam konteks nusantara bukan sebaliknya. Bidang ilmu baru seperti sains pemerintahan, sosiologi dan antropologi Melayu/Islam dan aspek pengurusan dan perekonomian Islam dan Komunikasi Melayu - Islam dan Malaysia perlu diterokai. Tidak mungkinkah nanti satu rangka teori tulen dalam semua bidang sains sosial dapat diwujudkan sesuai dengan arus perdana merakyatkan dan melenyapkan ilmu sains sosial jauh daripada pendekatan, paradigma dan penjajahan Barat? Kita mesti melestarikan nilai kebudayaan bangsa sambil merekayasakan falsafah dan aspek teori asli bukan sekadar adaptasi. Kita mesti merekayasakan dan mencipta teori dan paradigma baru demi melenyapkan keilmuan sosial yang berpijak di bumi nyata.

Bahkan sehingga kini, kita masih tidak ada model dan teori ciptaan kita? Contohnya, teori komunikasi yang diajar masih berpaksikan falsafah dan pendekatan Barat? Bagaimana pula asas perihal pengurusan dan perekonomian Islam, sains pemerintahan dan politik Islam-Melayu dan teori sosial Islam ala Malaysia mahupun Nusantara. Pendeknya, universiti sains sosial nanti perlu menekankan perihal penyelidikan baru sains sosial bukan sekadar merekayasa pendekatan Barat yang kini sudah dikritik sebagai asas sekali gus punca perbalahan ilmu atas nama 'free inquiry" dan bahan penyelidikan yang tidak membawa perpaduan atau penyelesaian bahkan mencetuskan konflik dan krisis demi krisis. Ini sekali gus, ia melestarikan proses kolonialisasi serta penjajahan minda ala baru. Sambil melengahkan pengisian dan penerimaan gagasan Wawasan 2020. Justeru, saya amat menyokong gagasan Universiti Sains Sosial agar proses dekolonilsasi pendekatan Barat dalam ilmu sains sosial dan inovasi ilmu sains sosial ala acuan Melayu-Islam dan Malaysia dapat direalisasikan segera sesuai dengan hasrat mencemerlangkan ketamadunan negara bangsa.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 JULAI 2011

11 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : NAK KAHWIN ATAU NAK BELAJAR?



Apakah agaknya reaksi anda apabila anak atau rakan sebaya menyuarakan hasrat berkahwin sedangkan pada masa sama, dia bergelut dengan tanggungjawab besar sebagai pelajar di menara gading? Adakah anda bersetuju atau menganggapnya tindakan luar jangkauan? Biarpun dipalit pelbagai tanggapan, hakikatnya budaya kahwin ketika belajar sudah lama berlaku di kalangan mahasiswa, malah ramai bertemu jodoh di kampus. Bebanan dan tanggungjawab sebagai pelajar juga tidak menjadi halangan mencari teman hidup hingga berani membuat keputusan menamatkan zaman bujang apabila bertemu pasangan sesuai. Bagaimanapun, ada beranggapan tindakan itu kurang bijak dan sengaja mengundang nahas kerana memperjudikan nasib dan masa depan yang masih samar. Ada menyokong kerana berpendapat itu lebih baik daripada membiarkan mereka terus terjebak dengan gejala sosial yang menjatuhkan maruah keluarga.

Persoalannya, salahkah jika ingin berkahwin atau ia hanya untuk memenuhi kehendak peribadi semata-mata? Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Dr Melati Sumari berkata, mereka yang ingin berkahwin sewaktu belajar perlu berfikir sedalam-dalamnya selain tidak dikuasai emosi semata-mata. Beliau berkata, perkahwinan adalah komitmen sepanjang hayat dan bukan keseronokan sementara hanya bagi memenuhi tuntutan biologi. Perkahwinan menjurus kepada persediaan memikul tanggungjawab dan membangunkan institusi keluarga serta masyarakat. Ia adalah komitmen yang menuntut pelbagai pengorbanan, cabaran dan kekuatan emosi juga fizikal. Ia bukan keseronokan sementara atau tempat 'menayangkan' kehebatan kepada orang lain. Malangnya, tidak ramai meletak tanggungjawab itu di tempat teratas, sebaliknya tunduk pada desakan hati serta pemikiran singkat.

Akibatnya, hidup bersimpang-siur kerana gagal merancang tanggungjawab dengan sempurna. Beliau berkata, berkahwin ketika belajar adalah tindakan normal, tidak menyalahi undang-undang juga adat budaya masyarakat, namun kerap dipersoalkan masyarakat yang tidak yakin golongan itu mampu memikul tanggungjawab dengan baik. Perkahwinan bukan semudah memetik jari, ada banyak proses serta cabarannya. Sudah tentu masyarakat akan mempersoalkan, adakah golongan yang berkahwin ketika belajar ini mampu melaksanakan tanggungjawab itu? Sedangkan mereka juga masih ditanggung ibu bapa, belum bekerja dan mampu menyara diri sepenuhnya, inikan pula mahu menanggung pasangan. Masyarakat menilai dari pelbagai perspektif menyeluruh manakala mahasiswa pula melihatnya dari sisi berbeza. Walaupun berkahwin ketika belajar tidak salah, banyak timbal balas perlu diambil kira, bukan sekadar mengaitkannya dengan hukum agama atau alasan logik semata-mata untuk 'menutup' nasihat masyarakat.

Budaya kahwin ketika belajar terutama di kalangan warga institusi pengajian tinggi meskipun tidak mengundang kontroversi namun masih mengundang persepsi dan komentar berbeza di kalangan masyarakat. Mengulas reaksi masyarakat itu, beliau berkata, masing-masing berhak menyuarakan pandangan namun individu paling berhak menentukan keputusan adalah mahasiswa. Menurutnya, jika mereka bersedia dan tegar menerima cabaran, perkahwinan boleh dilaksanakan namun lebih baik hasrat itu ditangguhkan hingga benar-benar bersedia. Malangnya, ramai mengambil tindakan drastik kerana merasakan diri sudah bersedia dan tidak sanggup berpisah dengan pasangan. Mereka tahu segala risiko tapi tetap melakukannya kerana perasaan sayang. Akhirnya kecundang di tengah jalan dan menyesal berpanjangan kerana sedar tidak dapat memberi sepenuh komitmen terhadap institusi perkahwinan juga pengajian. Segala yang indah dan muluk akhirnya menjadi mimpi ngeri. Lebih menyedihkan, apabila ibu bapa turut terheret menanggung mereka.

Meneliti senario ini, tentu tidak salah kalau ramai pihak tidak bersetuju. Mereka bukan menghalang, cuma mengingatkan komplikasi di sebalik tindakan itu, katanya mengakui mahasiswa yang berkahwin juga perlu bijak bermain dengan masa dan emosi. Apabila berkahwin, tanggungjawab bertambah. Selain menumpukan perhatian pada pengajian, perasaan, emosi dan kehendak pasangan juga perlu dilunaskan. Dengan kata lain, kematangan dalam setiap sudut diri mahasiswa perlu dipergunakan sepenuhnya. Tiada lagi tindakan kebudak-budakan atau mengikut kata hati kerana dunia perkahwinan adalah realiti. Malah tumpuan bukan saja pada pasangan, perhubungan antara keluarga juga perlu diselarikan supaya tidak menimbulkan tanggapan negatif mahupun konflik. Selain kekuatan emosi, mahasiswa juga perlu meletakkan asas ekonomi sebagai agenda utama apatah lagi jika masing- masing sedang belajar.

Menurutnya, faktor ekonomi boleh menjuruskan pasangan kepada kebahagiaan mahupun kemudaratan perhubungan kerana mereka tiada sumber kewangan kukuh bagi menampung perbelanjaan. Sebagai pelajar, faktor kewangan menjadi agenda utama. Persoalannya, dalam keadaan ekonomi tidak stabil selain tempoh pengajian masih berbaki, dapatkah mereka bertahan? Komitmen juga semakin tinggi di samping terpaksa membiasakan diri dengan suasana baru. Mahasiswa yang tidak kuat, pasti tersungkur dan akhirnya menamatkan pengajian semata-mata mahu melunaskan syarat pada awal pengajian. Beliau juga bersetuju, sebahagian besar mahasiswa yang berkahwin sewaktu belajar tidak mampu memperoleh keputusan cemerlang kerana terikat dengan pelbagai masalah. Kebanyakan meneruskan pengajian dalam keadaan tertekan, penat dan letih hingga menjejaskan mutu pencapaian.

Memang ada yang berjaya namun keputusannya tidak cemerlang. Bayangkan, dengan keputusan cukup makan, bagaimana pula ingin bersaing dengan graduan lain. Walaupun mengakui ada yang berjaya, namun tidak ramai dan hanya kes terpencil. Justeru, mereka yang ada keinginan untuk berkahwin ketika belajar, fahami tujuan sebenar perkahwinan itu dan jangan mengambil tindakan terburu-buru kerana musibahnya sangat besar. Ditanya adakah perkahwinan itu boleh menjadi benteng terjebak gejala sosial, beliau berkata, diri sendiri menjadi penentu dalam menentukan setiap tindakan serta hala tuju. Ramai menyalahkan faktor persekitaran namun sebenarnya, diri sendirilah yang menjadi 'hakim' dalam menilai dan menggerakkan segala tindakan. Sebagai golongan terpelajar, gunakan kelebihan itu untuk membuat keputusan matang bagi kebahagiaan diri sendiri dan masa depan.

SUMBER
HARIAN METRO
11 JULAI 2011

ISU BAHASA : TOLONG! TOLONG! MARTABATKAN BAHASA MELAYU!!!!

Oleh Ku Seman Ku Hussain


Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di negara ini masih belum difahami dengan mendalam oleh banyak pihak. Walaupun bahasa Melayu (bukan bahasa Malaysia) adalah bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan, tetapi dari segi perjuangan kebahasaan, banyak yang tidak dapat melihatnya dalam konteks bahasa rasmi bagi sebuah negara. Adalah suatu yang sangat malang apabila pihak yang tidak faham perjuangan kebahasaan ini terdiri daripada kalangan pembuat dan pelaksana dasar. Mereka sepatutnya lebih faham kedudukan bahasa Melayu kerana kefahaman mereka itulah yang akan melaksanakan dasar bahasa di negara ini. Satu contoh terdekat yang masih segar dalam ingatan kita adalah sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menggunakan bahasa Inggeris pada papan tanda sebuah premis pelancongan di Kuala Kangsar, Perak. Pihak PBT berkenaan mempertahankan tindakan menggunakan bahasa Inggeris.

Kononnya untuk memberi kemudahan kepada pelancong luar negara. Maknanya tindakan tersebut dibuat ada sebabnya yang pada sudut pandangan PBT berkenaan adalah wajar. Padahal tindakan menggunakan bahasa Inggeris itu melanggar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dalam perkara ini, kefahamaan kebahasaan dalam hubungannya dengan Perlembagaan agak kurang. Tindakan atau keputusan berkaitan bahasa Melayu dibuat berdasarkan pada munasabah akal tetapi bukan kerana perjuangan kebahasaan. Perkara ini banyak berlaku dalam kalangan pembuat dan pelaksana dasar yang diharapkan memartabatkan bahasa Melayu, tetapi malangnya mereka pula yang merendahkan bahasa Melayu. Bagaimanapun pihak berkenaan tidak sedar merendahkan bahasa Melayu kerana kefahaman mereka tentang kedudukan bahasa Melayu sangat sedikit.

Persoalan yang sering dibangkitkan seperti ada kalangan pemimpin yang tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul pada acara rasmi tidak dianggap serius oleh kalangan yang kurang kefahaman tentang kedudukan bahasa Melayu. Dalam majlis yang dihadiri oleh seorang atau dua kalangan tetamu asing, majlis berkenaan dilangsungkan dalam bahasa Inggeris bukan suatu perkara yang luar biasa. Ada kalangan orang Melayu sendiri yang lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris dalam acara rasmi kerana menganggap bahasa Inggeris adalah lambang status. Tetapi mereka tidak tahu banyak kalangan pejuang bahasa Melayu adalah orang yang berpendidikan Inggeris dan menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Cuma bezanya pemikiran mereka ini tidak dijajah kononnya bahasa Inggeris adalah lambang status. Satu lagi, janganlah sama sekali dasar bahasa Melayu diubahsuai kononnya untuk keperluan keilmuan. Kalau buat juga, ini adalah kedunguan yang tidak dapat dimaafkan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 JULAI 2011