Oleh MOHAMAD MD. YUSOFF
PROF. MADYA MOHAMAD MD. YUSOFF ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang
Penubuhan satu universiti penyelidikan sains sosial seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap pada majlis penutupan Kongres Profesor Negara di Kuala Lumpur baru-baru ini sememang merupakan satu langkah wajar dan amat dialu-alukan. Sama ada ia mungkin satu universiti baru atau sebuah universiti penyelidikan sedia ada yang dinaik taraf, langkah ini adalah satu pengiktirafan betapa ilmu sains sosial perlu dimanfaatkan semaksimum mungkin dalam proses dan agenda pembinaan negara. Jika ilmu sains dan teknologi menunjangi agenda pembinaan negara ke arah Wawasan 2020, maka ilmu sains sosial seperti komunikasi, sains sosial, kemanusiaan, pengurusan, pendidikan, ekonomi, dan kesenian wajar diperkasakan sebagai pengisian jati diri bangsa. Bahkan, sejarah negara bangsa banyak memanfaatkan ilmu sains sosial sebagai pemangkin dan sekali gus penggenap sesuatu bangsa sambil ia memperkasakan ketamadunan bangsa dan mempertingkatkan kecemerlangan citra negara.
Negara jiran Indonesia banyak mencemerlangkan ketamadunan bangsa mereka menerusi kegiatan kesenian, inovasi kebudayaan kreatif dan pemupukan budaya yang segar lagi kontemporari sesuai dengan tuntutan masa. Sifat dan corak kesenian dan kebudayaan yang segar lagi kontemporari memungkinkan ketamadunan bangsa menjadi relevan dan diminati ramai. Aspek penyemaian tradisi dan nilai kebudayaan dan kesusasteraan serta kesenian penting dalam konteks arus globalisasi yang mengganas. Usaha membumikan teori sosial sedang rancak di laksanakan. Yang penting, sains sosial mengasah dan mengasuh para mahasiswa pengertian dan perihal falsafah, pemikiran, nilai, pandangan hidup, jati diri, dan asas ketamadunan negara bangsa seiring dengan aspek sosial, politik dan ekonomi sesebuah tamadun dan negara bangsa. Bahkan perihal ilmu komunikasi dan kebudayaan perhubungan kaum, etnik, mahupun perpaduan, integrasi kaum, dan proses sosialisasi politik dan pemerintahan dalam konteks dunia kontemporari perlu dikaji dan didokumentasi dalam proses pembinaaan negara bangsa.
Universiti ini mesti dan harus melebarkan korpus keilmuan sains sosial ke persada dunia dengan penyelidikan dan penerbitan bahan sumber yang terunggul. Ia mesti menjadi hab dan rujukan para sarjana antarabangsa bidang kepakaran kita seperti ketamadunan Melayu dan Islam dalam konteks nusantara bukan sebaliknya. Bidang ilmu baru seperti sains pemerintahan, sosiologi dan antropologi Melayu/Islam dan aspek pengurusan dan perekonomian Islam dan Komunikasi Melayu - Islam dan Malaysia perlu diterokai. Tidak mungkinkah nanti satu rangka teori tulen dalam semua bidang sains sosial dapat diwujudkan sesuai dengan arus perdana merakyatkan dan melenyapkan ilmu sains sosial jauh daripada pendekatan, paradigma dan penjajahan Barat? Kita mesti melestarikan nilai kebudayaan bangsa sambil merekayasakan falsafah dan aspek teori asli bukan sekadar adaptasi. Kita mesti merekayasakan dan mencipta teori dan paradigma baru demi melenyapkan keilmuan sosial yang berpijak di bumi nyata.
Bahkan sehingga kini, kita masih tidak ada model dan teori ciptaan kita? Contohnya, teori komunikasi yang diajar masih berpaksikan falsafah dan pendekatan Barat? Bagaimana pula asas perihal pengurusan dan perekonomian Islam, sains pemerintahan dan politik Islam-Melayu dan teori sosial Islam ala Malaysia mahupun Nusantara. Pendeknya, universiti sains sosial nanti perlu menekankan perihal penyelidikan baru sains sosial bukan sekadar merekayasa pendekatan Barat yang kini sudah dikritik sebagai asas sekali gus punca perbalahan ilmu atas nama 'free inquiry" dan bahan penyelidikan yang tidak membawa perpaduan atau penyelesaian bahkan mencetuskan konflik dan krisis demi krisis. Ini sekali gus, ia melestarikan proses kolonialisasi serta penjajahan minda ala baru. Sambil melengahkan pengisian dan penerimaan gagasan Wawasan 2020. Justeru, saya amat menyokong gagasan Universiti Sains Sosial agar proses dekolonilsasi pendekatan Barat dalam ilmu sains sosial dan inovasi ilmu sains sosial ala acuan Melayu-Islam dan Malaysia dapat direalisasikan segera sesuai dengan hasrat mencemerlangkan ketamadunan negara bangsa.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan