Apakah agaknya reaksi anda apabila anak atau rakan sebaya menyuarakan hasrat berkahwin sedangkan pada masa sama, dia bergelut dengan tanggungjawab besar sebagai pelajar di menara gading? Adakah anda bersetuju atau menganggapnya tindakan luar jangkauan? Biarpun dipalit pelbagai tanggapan, hakikatnya budaya kahwin ketika belajar sudah lama berlaku di kalangan mahasiswa, malah ramai bertemu jodoh di kampus. Bebanan dan tanggungjawab sebagai pelajar juga tidak menjadi halangan mencari teman hidup hingga berani membuat keputusan menamatkan zaman bujang apabila bertemu pasangan sesuai. Bagaimanapun, ada beranggapan tindakan itu kurang bijak dan sengaja mengundang nahas kerana memperjudikan nasib dan masa depan yang masih samar. Ada menyokong kerana berpendapat itu lebih baik daripada membiarkan mereka terus terjebak dengan gejala sosial yang menjatuhkan maruah keluarga.
Persoalannya, salahkah jika ingin berkahwin atau ia hanya untuk memenuhi kehendak peribadi semata-mata? Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Dr Melati Sumari berkata, mereka yang ingin berkahwin sewaktu belajar perlu berfikir sedalam-dalamnya selain tidak dikuasai emosi semata-mata. Beliau berkata, perkahwinan adalah komitmen sepanjang hayat dan bukan keseronokan sementara hanya bagi memenuhi tuntutan biologi. Perkahwinan menjurus kepada persediaan memikul tanggungjawab dan membangunkan institusi keluarga serta masyarakat. Ia adalah komitmen yang menuntut pelbagai pengorbanan, cabaran dan kekuatan emosi juga fizikal. Ia bukan keseronokan sementara atau tempat 'menayangkan' kehebatan kepada orang lain. Malangnya, tidak ramai meletak tanggungjawab itu di tempat teratas, sebaliknya tunduk pada desakan hati serta pemikiran singkat.
Akibatnya, hidup bersimpang-siur kerana gagal merancang tanggungjawab dengan sempurna. Beliau berkata, berkahwin ketika belajar adalah tindakan normal, tidak menyalahi undang-undang juga adat budaya masyarakat, namun kerap dipersoalkan masyarakat yang tidak yakin golongan itu mampu memikul tanggungjawab dengan baik. Perkahwinan bukan semudah memetik jari, ada banyak proses serta cabarannya. Sudah tentu masyarakat akan mempersoalkan, adakah golongan yang berkahwin ketika belajar ini mampu melaksanakan tanggungjawab itu? Sedangkan mereka juga masih ditanggung ibu bapa, belum bekerja dan mampu menyara diri sepenuhnya, inikan pula mahu menanggung pasangan. Masyarakat menilai dari pelbagai perspektif menyeluruh manakala mahasiswa pula melihatnya dari sisi berbeza. Walaupun berkahwin ketika belajar tidak salah, banyak timbal balas perlu diambil kira, bukan sekadar mengaitkannya dengan hukum agama atau alasan logik semata-mata untuk 'menutup' nasihat masyarakat.
Budaya kahwin ketika belajar terutama di kalangan warga institusi pengajian tinggi meskipun tidak mengundang kontroversi namun masih mengundang persepsi dan komentar berbeza di kalangan masyarakat. Mengulas reaksi masyarakat itu, beliau berkata, masing-masing berhak menyuarakan pandangan namun individu paling berhak menentukan keputusan adalah mahasiswa. Menurutnya, jika mereka bersedia dan tegar menerima cabaran, perkahwinan boleh dilaksanakan namun lebih baik hasrat itu ditangguhkan hingga benar-benar bersedia. Malangnya, ramai mengambil tindakan drastik kerana merasakan diri sudah bersedia dan tidak sanggup berpisah dengan pasangan. Mereka tahu segala risiko tapi tetap melakukannya kerana perasaan sayang. Akhirnya kecundang di tengah jalan dan menyesal berpanjangan kerana sedar tidak dapat memberi sepenuh komitmen terhadap institusi perkahwinan juga pengajian. Segala yang indah dan muluk akhirnya menjadi mimpi ngeri. Lebih menyedihkan, apabila ibu bapa turut terheret menanggung mereka.
Meneliti senario ini, tentu tidak salah kalau ramai pihak tidak bersetuju. Mereka bukan menghalang, cuma mengingatkan komplikasi di sebalik tindakan itu, katanya mengakui mahasiswa yang berkahwin juga perlu bijak bermain dengan masa dan emosi. Apabila berkahwin, tanggungjawab bertambah. Selain menumpukan perhatian pada pengajian, perasaan, emosi dan kehendak pasangan juga perlu dilunaskan. Dengan kata lain, kematangan dalam setiap sudut diri mahasiswa perlu dipergunakan sepenuhnya. Tiada lagi tindakan kebudak-budakan atau mengikut kata hati kerana dunia perkahwinan adalah realiti. Malah tumpuan bukan saja pada pasangan, perhubungan antara keluarga juga perlu diselarikan supaya tidak menimbulkan tanggapan negatif mahupun konflik. Selain kekuatan emosi, mahasiswa juga perlu meletakkan asas ekonomi sebagai agenda utama apatah lagi jika masing- masing sedang belajar.
Menurutnya, faktor ekonomi boleh menjuruskan pasangan kepada kebahagiaan mahupun kemudaratan perhubungan kerana mereka tiada sumber kewangan kukuh bagi menampung perbelanjaan. Sebagai pelajar, faktor kewangan menjadi agenda utama. Persoalannya, dalam keadaan ekonomi tidak stabil selain tempoh pengajian masih berbaki, dapatkah mereka bertahan? Komitmen juga semakin tinggi di samping terpaksa membiasakan diri dengan suasana baru. Mahasiswa yang tidak kuat, pasti tersungkur dan akhirnya menamatkan pengajian semata-mata mahu melunaskan syarat pada awal pengajian. Beliau juga bersetuju, sebahagian besar mahasiswa yang berkahwin sewaktu belajar tidak mampu memperoleh keputusan cemerlang kerana terikat dengan pelbagai masalah. Kebanyakan meneruskan pengajian dalam keadaan tertekan, penat dan letih hingga menjejaskan mutu pencapaian.
Memang ada yang berjaya namun keputusannya tidak cemerlang. Bayangkan, dengan keputusan cukup makan, bagaimana pula ingin bersaing dengan graduan lain. Walaupun mengakui ada yang berjaya, namun tidak ramai dan hanya kes terpencil. Justeru, mereka yang ada keinginan untuk berkahwin ketika belajar, fahami tujuan sebenar perkahwinan itu dan jangan mengambil tindakan terburu-buru kerana musibahnya sangat besar. Ditanya adakah perkahwinan itu boleh menjadi benteng terjebak gejala sosial, beliau berkata, diri sendiri menjadi penentu dalam menentukan setiap tindakan serta hala tuju. Ramai menyalahkan faktor persekitaran namun sebenarnya, diri sendirilah yang menjadi 'hakim' dalam menilai dan menggerakkan segala tindakan. Sebagai golongan terpelajar, gunakan kelebihan itu untuk membuat keputusan matang bagi kebahagiaan diri sendiri dan masa depan.
SUMBER
HARIAN METRO
11 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan