Pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin mengenai penubuhan Universiti Penyelidikan Sains Sosial sebenarnya memberi satu penghormatan kepada ilmu sains sosial yang menyumbang kepada pembangunan insan dalam pembinaan peradaban dan ketamadunan bangsa dan negara. Tulisan ini ingin menjawab artikel yang ditulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Mohamad Md Yusof berhubung persetujuan mengenai penubuhan sebuah Universiti Penyelidikan Sains Sosial yang dilaporkan akhbar ini pada 12 Julai lalu. Dalam ilmu sains sosial penghasilan pengetahuan tidaklah terpisah daripada keadaan kehidupan sosial yang menjadi tempat yang merentangi dan melampaui negara-bangsa, mencakupi komuniti dan wilayah. Persoalan sekarang perlukah kita kepada penubuhan sebuah Universiti Penyelidikan Sains Sosial dan apakah pengumuman Khaled itu memberi makna bahawa fakulti dan pusat pengajian sains sosial atau yang berkaitan dengannya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia tidak memainkan peranannya dalam proses pembangunan negara.
Seperkara lagi tidakkah ini juga membawa kepada pembaziran dana yang cukup besar. Adalah dirasakan buat masa sekarang negara kita sudah mempunyai 20 IPTA dan ini tidak mengira IPTS ternama yang juga dapat mengembangkan fakulti sains sosial mereka. Pembinaan sebuah Universiti Penyelidikan Sains Sosial memakan masa yang lama dan ia memerlukan sumber tenaga profesional yang besar datangnya daripada pelbagai bidang dan disiplin. Apa yang penting dan harus dilakukan Kementerian Pengajian Tinggi dan ahli akademik sains sosial ialah menimbang kembali pengajaran ilmu sains sosial di fakulti dan pusat pengajian yang sedia ada supaya lebih relevan dengan situasi Malaysia dan budaya kepelbagaian kaum dan etnik. Ia dapat memberikan sumbangan bermakna kepada pembinaan ilmu sains sosial Asia dan Malaysia dalam pembangunan dan pencapaian kemajuan di negara ini. Perkara asas yang perlu digerakkan di sini ialah reformasi kepada ilmu sains sosial kita. Antara isu besar ialah Eurosentrisme. Meskipun kritikan dan kesedaran terhadap Eurosentrisme (pemusatan kepada Eropah dan Amerika Utara) telah merebak ke dalam ilmu sains sosial tetapi ia harus diterjemahkan ke dalam pengajaran ilmu sains sosial yang menjadi dasar di fakulti dan pusat pengajian di universiti di negara ini.
Mata pelajaran dan kuliah penghantar dasar ilmu sains sosial yang condong kepada perspektif teoritis, ilustrasi dan bahan bacaan Barat sama ada Inggeris atau Amerika Utara perlu dirombak bagi memperlihatkan perspektif Asia dan Malaysia. Di pihak lain kesedaran dan kritik terhadap Eurosentrisme, Orientalisme, kebergantungan ahli akademik dan masalah dalam ilmu sains sosial adalah suatu pengembangan dan pengawalan kepada pembinaan konsep dan teori alternatif yang tidak bergantung kepada Barat sebagai satu-satunya kayu ukur dan sumber pengetahuan. Ini agar wacana alternatif dapat dimasukkan ke dalam pengajaran dan penyelidikan dan supaya kritikan terhadap Eurosentrisme menjadi sebahagian daripada pokok silibus ilmu sains sosial. Dengan ini Eurosentrisme akan muncul menjadi tema dalam pengajaran nanti. Ahli akademik di universiti negara ini perlulah cuba menghadirkan tradisi kritis wacana alternatif di dalam perkuliahan mereka. Ini tidaklah bermakna perkara seumpama ini tidak dilakukan di universiti tempatan tetapi hal ini tidak menjadi suatu perkara utama dan penting.
Bidang penyelidikan dilakukan hanya semata-mata untuk dimasukkan kepada ISI atau jurnal antarabangsa yang bertauliah dan cuba mengejar senarai atau ‘ranking dunia.’ Ini amat dikesali kerana pengiktirafan ISI ini berada ini di bawah bidang kuasa penerbitan yang bernaung di Barat. Ia juga bermakna Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan kecemerlangan pensyarah universiti kita berada di bawah ketentuan Barat. Ini adalah satu bentuk kolonisasi halus yang harus diteliti. Sejauh manakah relevan dan kaitannya lingkungan budaya kita yang pelbagai kaum dan etnik iaitu wilayah dunia bukan Eropah pada masa sekarang dengan situasi wilayah Eropah Barat abad ke-19 itu? Apakah kita langsung tidak mempunyai teori komunikasi dan teori sosiologi tempatan untuk diketengahkan? Bertitik tolak dari senario ini, kita haruslah berusaha menyelesaikan masalah pengajaran teori sosiologi mahukan komunikasi dengan mendekati kajian teori kedua-duanya secara lebih universal yang mencakupi persoalan apakah teori sosiologi atau komunikasi telah dilakukan di luar batas moden Eropah dan Amerika Utara.
Penulis ialah Ketua Program Sarjana, Fakulti Komunikasi dan Media, UNISEL, Kampus Shah Alam.
SUMBER
BERITA HARIAN
16 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan