JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



12 Julai 2011

ISU DUNIA : KRISIS KEMANUSIAAN TERBURUK DI DUNIA

Oleh AZNAN BAKAR


Bangkai binatang ternakan bergelimpangan, bekalan air semakin meruncing dan makanan semakin sukar didapati. Ini merupakan senario yang berlaku di wilayah timur Afrika menyebabkan jutaan penduduknya kini diancam kebuluran. Senario ini juga bakal mencetuskan malapetaka dan krisis kemanusiaan yang terburuk dunia. Setiap hari kira-kira 60 orang bayi mati akibat kelaparan dan kekurangan zat makanan. Dalam tempoh 24 jam lebih 3,000 orang yang keletihan dan kekurangan makanan tiba di kem-kem bantuan. Mereka ini semuanya merupakan mangsa musim kering dan panas berpanjangan di timur Afrika. Kehidupan kira-kira setengah juta kanak-kanak kini terancam. Keseluruhannya, tidak kurang daripada 12 juta penduduk wilayah itu kini diancam kebuluran. Saban hari kehidupan mereka semakin nazak. Ini dapat dilihat pada keadaan fizikal setiap kanak-kanak yang tiba di kem-kem pelarian. Semua mereka kurus kering dan lesu.

Ada yang berjalan selama 20 hari dalam keadaan cuaca panas mencecah 50 darjah celsius sebelum sampai ke kem-kem yang menyediakan makanan untuk mereka. Menurut Pengarah agensi bantuan perubatan British, Merlin di Kenya dan Somalia, Louise Paterson, situasi sekarang lebih teruk daripada apa yang berlaku di Ethiopia pada 1980-an. Negara yang teruk diancam kebuluran ketika ini ialah Sudan, Kenya, Ethiopia, Djibouti dan Somalia. Dalam usaha mencari makanan, beberapa keluarga sanggup jalan berkaki ayam berhari-hari merentasi padang pasir yang panas dan kering. Tidak semua daripada mereka yang berjaya. Ada antaranya terutama kanak-kanak mati ketika dalam usaha mencari makanan itu. Kemarau yang paling teruk dalam tempoh 60 tahun itu bukan sahaja memusnahkan tanaman, tetapi turut mengorbankan haiwan ternakan. Akibatnya harga makanan melambung tinggi dan di luar kemampuan penduduk.

Wajah kanak-kanak yang kurus kering kerana kekurangan zat makanan kini merupakan pemandangan biasa. Jurucakap Unicef, Marixie Mercado berkata, terdapat dua juta kanak-kanak di wilayah tersebut berhadapan dengan krisis kekurangan makanan. "Setengah juta daripada mereka kini dalam keadaan kritikal yang mengancam nyawa," katanya. Di kem Dadaab di timur Kenya yang kini merupakan kem pelarian terbesar dunia, kira-kira 382,000 orang berhimpit-himpit dalam kemudahan yang hanya sesuai untuk 90,000 orang. Sekitar 1,400 orang dalam keadaan terdesak dan kelaparan yang kebanyakannya kanak-kanak tiba di kem itu setiap hari. Di kem yang terdapat di Ethiopia pula, setiap hari terdapat 1,700 penghuni baru tiba. Suruhanjaya Bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan kerajaan Ethiopia telah menyediakan kem di Dolo Ado bagi memenuhi kebanjiran pelarian yang kebuluran.

Kem yang terdapat di beberapa bandar itu kini dipenuhi hampir 100,000 dan PBB mewujudkan beberapa lagi kem untuk keperluan 120,000 orang. Ketua UNHCR, Antonio Guterres berkata, ini merupakan malapetaka kemanusiaan yang paling teruk dihadapi dunia. Di Somalia sahaja satu perempat daripada 7.5 juta orang telah dipindahkan atau menjadi pelarian. Malah ketua kumpulan militan utama di negara itu turut meminta pertolongan daripada agensi-agensi bantuan yang selama ini di larang masuk ke kawasan mereka. Bagi penduduk yang kelaparan, mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan seteguk air dan sesuap makanan. Ada yang sanggup berjalan berhari-hari untuk ke kem-kem pelarian yang menyediakan makanan dan ubatan. Di Somalia, ramai penduduk luar bandar yang kelaparan dan kepenatan membanjiri ibu negara, Mogadishu dengan harapan ada pihak akan membantu mereka.

Tetapi ramai yang hampa dan ada pula yang meneruskan perjalanan ke Kenya. Di Sudan Selatan, negara yang baru mencapai kemerdekaan, turut dilanda krisis makanan. Satu daripada sembilan kanak-kanaknya mati sebelum berusia lima tahun. Krisis yang melanda wilayah timur Afrika itu bakal meragut jutaan nyawa jika bantuan dunia tidak disalurkan segera secara sistematik. Kerajaan British telah berjanji akan menyalurkan 38 juta pound kepada Program Makanan Dunia (WFP). Jumlah itu hanya cukup untuk memberi makan kepada 1.3 juta orang untuk tempoh tiga bulan. Suruhanjaya Eropah pula telah menghantar AS$8 juta sebagai bantuan kecemasan ke Dadaab. Pada Jumaat lalu, Jawatankuasa Kecemasan Bencana (DEC) iaitu organisasi yang menaungi 14 agensi bantuan British telah melancarkan rayuan bagi menangani situasi di timur Afrika itu. Ia termasuk rayuan di radio dan televisyen yang berjaya mendapat sumbangan 6 juta pound.

WFP turut menganggarkan 3.5 juta di Kenya, 3.2 juta di Ethiopia, 2.5 juta di Somalia, lebih setengah juta di Uganda dan lebih 100,000 di Dijbouti kini terdesak memerlukan bantuan makanan. Walaupun penduduk di wilayah tersebut sebenar biasa dengan kemarau yang panjang, tetapi situasi kali ini agak berbeza daripada biasa. Kajian perubahan iklim tahun ini mendapati keadaan kering di Timur Afrika dijangka berterusan. "Suhu global dijangka terus meningkat dan kami menjangka purata hujan di Kenya dan Ethiopia akan terus menurun atau kekal di bawah paras terendah dalam sejarah. "Malah langsung tiada hujan pada Mac hingga Jun yang sepatutnya merupakan musim hujan," kata saintis Chris Funk.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 JULAI 2011

Tiada ulasan: