20 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : PENGAJIAN TINGGI KE ARAH TRANSFORMASI NEGARA


Dalam konteks negara kita Malaysia, sektor pengajian tinggi merupakan faktor kritikal dalam mentransformasi negara melalui sumbangan pengeluaran modal insan yang berkualiti. Kita perlu bersama menjayakan transformasi kerajaan, transformasi ekonomi dan seterusnya menggalas amanah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dan Model Baharu Ekonomi (MBE) dengan meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara. Bagi menentukan agar Malaysia berjaya menjadi negara maju berpendapatan tinggi dan mempunyai peranan penting dalam ekonomi global, satu-satunya pilihan kita ialah menggerak aktifkan semua potensi, kemahiran dan bakat seluruh rakyat Malaysia. Apabila kita sedar bahawa negara China dan India mampu melahirkan empat juta graduan setahun, negara kita yang kecil ini tidak mungkin dapat meminggirkan potensi setiap seorang anak Malaysia dan mengabaikan bakat anak-anak muda kita. Kita mesti memastikan setiap orang, tidak kira latar belakang etnik, agama, ekonomi dan daerah mendapat peluang bukan sahaja dalam menguasai ilmu di bidang pendidikan, tetapi juga melibatkan diri dalam program-program yang mengetengahkan bakat dan potensi mereka di mana ianya selari dengan konsep keterangkuman. Universiti pada dekad ini, arah tujunya banyak dipengaruhi dan ditentukan oleh proses globalisasi dan kuasa pasaran. Semua ini menuntut pengorbanan dan pembaharuan malah keberanian melakukan rejuvenasi, mengembali dan menyuburkan semula budaya akademia sebenar dalam universiti.

Sebagai sebuah organisasi yang berteraskan pendidikan, universiti harus menjadi medan di mana semua idea dan pemikiran dapat diperdebatkan secara ilimiah dan terbuka, dan juga memberi ruang kepada idealisme positif berkembang memandangkan komitmen mencari kebenaran sememangnya mendasari kewujudan sesebuah universiti. Selain itu, komitmen yang tinggi terhadap kecemerlangan dan kepelbagaian juga perlu diperkukuhkan. Tiada kejayaan yang bermakna jika sesuatu itu tidak mencapai tahap kecemerlangan. Oleh itu, kecemerlangan harus membudaya dan dibudaya terutamanya dalam kalangan masyarakat universiti. Pengurusan universiti mesti peka yang mereka adalah institusi yang mengurus pekerja berilmu dan pendekatan pengurusan perlulah memenuhi aspirasi ini. Mereka mesti membangunkan budaya bekerja secara berkumpulan, mampu menguruskan bakat yang ada dan bersedia serta terbuka dalam soal peralihan kuasa kepemimpinan. Dalam menjayakan hasrat kerajaan agar ada nilai dalam perbelanjaan (value for money), semua peruntukan yang diberikan kepada universiti mesti diuruskan sebaik mungkin, telus dan impaknya mesti dirasakan. Pimpinan utama universiti perlu mempunyai visi dan misi yang jelas, memahami budaya dan kehendak universiti masing-masing, mempunyai kesungguhan dan semangat, dan berlumba-lumba untuk meningkatkan kemajuan prestasi dan kreadibiliti universitinya. 

Kesemua pemimpin terutama Naib Canselor mestilah mampu menonjolkan kepemimpinan akademik yang berupaya mendapat penghormatan, menjadi rujukan, dan mendapat sanjungan ahli akademik yang lain. Dalam masa yang sama, Naib-naib Canselor mesti mampu membangun dan menjalinkan jaringan dan hubungan intelektual termasuk di peringkat antarabangsa terutamanya dalam usaha mengumpul dana bagi mengukuhkan pendapatan dan kedudukan kewangan universiti. Pendek kata, Naib Canselor dan kepemimpinannya mesti berani melagang perubahan untuk memastikan universiti mereka mampu bersaing dalam mendapatkan pelajar paling berbakat, menjadi fakulti paling tersohor dan mendapat geran penyelidikan paling ternama. Sudah sampai masanya pemimpin utama di universiti memainkan peranan yang lebih luas dari lingkungan universiti masing-masing terutamanya bagi universiti penyelidikan untuk menjayakan peranan yang lebih global sifatnya. Sehubungan dengan itu, sebahagian universiti kita juga mesti memiliki pengiktirafan antarabangsa jika kita ingin mengekalkan daya saing Malaysia. Sektor pengajian tinggi terutamanya di peringkat universiti, sudah menjadi perkara universal. Bila kita bercakap mengenai Universiti Oxford atau Harvard, kita tidak melihatnya sebagai sebuah universiti milik negara atau bertaraf kebangsaan semata-mata tetapi mereka dilihat sebagai universiti milik antarabangsa yang diiktiraf dunia.

Oleh itu, universiti kita harus berani mengambil cabaran untuk meningkatkan kedudukan masing-masing di peringkat antarabangsa. Naib-naib Canselor dan pasukan kepemimpinannya mestilah bersedia mengorak langkah untuk meletakkan universiti mereka sebagai entiti yang memiliki pengiktirafan antarabangsa melangkaui lingkungan kebangsaan atau negara. Justeru, saya ingin menyeru agar kedudukan dan pencapaian universiti diukur berasaskan kepada sama ada mereka kekal 'Relevant' (relevan), 'Referred' (dirujuk) dan 'Respected' (dihormati). Dan ukuran 3R ini mestilah diasaskan kepada tiga (3) peringkat persekitaran yang mengelilinginya iaitu di peringkat kebangsaan, serantau dan juga global. Setiap universiti perlu berusaha membangun dan mencapai kedudukan itu secara berperingkat. Dan ukuran tersebut pula perlu diasaskan kepada hubungan dan peranan setiap universiti dengan semua pemegang taruhnya iaitu kerajaan, pelajar, industri dan masyarakat, di mana setiap pemegang taruh akan melihat dan menilai setiap institusi kita sama ada ia kekal relevan, dirujuk dan dihormati. Mungkin bagi memenuhi keperluan ini, maka setiap universiti perlu untuk membangunkan niche area mereka masing-masing lantaran terus menjadikannya sebagai satu kekuatan. 

Kalau bidang tujahan kita adalah dalam pengurusan atau keusahawanan atau pengurusan dalam kewangan Islam atau perubatan tropikal, kita mesti yakin dan tahu di tahap manakah kita berada dalam jangkauan status universiti kita, adakah kita telah diterima dan diiktiraf di peringkat kebangsaan, serantau dan global, atau universiti kita masih tidak mencapai mana-mana peringkat yang diikitiraf. Ruang lingkup dan sumber persediaan kita tidak harus bersifat terlalu kecil sebaliknya mestilah melangkaui ruang lingkup yang besar agar kita dapat bergerak dan bertindak dengan berkesan di kesemua peringkat. Tidak dinafikan, universiti pada hari ini, bukanlah semata-mata menjadi menara gading dan gedung ilmu tetapi ia juga sepatutnya menjadi tempat penjana tenaga masyarakat yang dinamik, sentiasa membangun dan maju. Bagi memperkukuhkan lagi peranan dan kedudukan universiti untuk memimpin masyarakat dan negara, kementerian akan memperkenalkan satu lagi Projek Agenda Kritikal (Critical Agenda Project-CAP) iaitu Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Programme, KTP), menjadikan jumlah CAP di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) kepada 23 kesemuanya. Selain dari menjayakan usaha pemindahan ilmu, bersesuaian dengan kesejagatan kerjaya ahli akademik, mereka perlu digalakkan untuk terlibat dengan mobiliti untuk menyumbang kepakaran kepada sektor-sektor perkhidmatan awam yang lain sama ada melalui kaedah peminjaman, berkhidmat secara pentadbiran dan sebagainya.

Bagi menjayakan mobiliti akademik ini, beberapa perkara perlu diberikan penekanan, antaranya pengurusan universiti perlu membina dasar baharu yang mendukung "peranan ahli akademik untuk pembangunan negara". Kepimpinan universiti perlu mempunyai pemikiran terbuka serta mempercayai bahawa sumber akademik yang bernilai universal, perlu dimanfaatkan untuk pembangunan negara dalam kerangka pelan mobiliti akademik yang baharu. Walaupun penting bagi ahli akademik untuk menjalankan tugas asas di institusinya, mereka perlu digalakkan menyumbang merentasi fakulti/institusi, universiti atau agensi luar (kerajaan mahupun swasta) berasaskan kepakaran dan keupayaan mereka. Justeru, konsep pelantikan bersama (double-triple, multi appointment) boleh dikaji dan dipertimbangkan. Selain itu juga, bagi mengiktiraf tenaga akademik yang terlibat dalam mobiliti akademik ini, penilaian tahunan, penghormatan, kenaikan pangkat dan penilaian pencapaian perlu mengambil kira keseluruhan sumbangan mereka di semua peringkat di luar fakulti selain universitinya.

Hari ini misalnya, terdapat ramai tenaga akademik daripada IPTA khususnya, dipinjamkan untuk mengisi jawatan-jawatan terbuka atau open post di pelbagai kementerian dan jabatan, sama ada di dalam atau di luar negara. Peminjaman mereka pastinya berasaskan kepada kemampuan dan kepakaran yang dimiliki oleh mereka, justeru itu, kementerian dan jabatan-jabatan yang terlibat amat menghargai kesediaan dan komitmen mereka untuk bersama-sama menggembleng tenaga membantu negara dalam kapasiti yang berbeza. Kepulangan mereka nanti ke IPTA masing-masing iaitu selepas tempoh peminjaman tamat, diharapkan pengiktirafan dan kedudukan yang bersesuaian wajarlah diberikan kepada mereka dengan mengambil semangat kerangka mobiliti akademik yang akan kita perkenalkan ini. Seperti yang kita semua sedia maklum, kerajaan telah memperkenalkan konsep cross-fertilization di mana beberapa ahli akademik boleh dilantik berkhidmat di pelbagai kementerian dan agensi dan saya berhasrat untuk melihat pengalaman mereka dapat dimanfaatkan oleh kerajaan dan swasta dan pengalaman baharu itu pula dapat di bawa pulang semula ke universiti masing-masing. Universiti hendaklah bersedia menerima mereka dalam kapasiti baharu sesuai dengan pengalaman dan pengiktirafan yang telah diberikan.

Justeru, universiti diminta meneliti semula perkara ini agar bakat mereka dapat dimanfaat di pelbagai peringkat untuk membantu negara, serta dalam masa yang sama dapat mengekalkannya untuk kembali berkhidmat dengan universiti apabila kemudiaan kelak. Jika ini gagal dilaksanakan, saya bimbang universiti akan kehilangan lebih ramai bakat pada masa hadapan dan hasrat negara untuk perkongsian ilmu tidak akan tercapai.


ARTIKEL ini dipetik daripada Amanat Tahun Baharu 2011 Kementerian Pengajian Tinggi oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 17 Januari 2011.

BERITA HARIAN
20 JANUARI 2011

ISU SOSIAL : SINDIKET JUAL BAYI


Beberapa kes penjualan bayi yang berjaya dikesan pihak berkuasa sejak pertengahan tahun lalu amat membimbangkan. Ia menunjukkan ada pihak sanggup memperdagangkan manusia, termasuk bayi baru lahir semata-mata untuk mengaut hasil lumayan. Kegiatan mereka menggunakan sindiket yang mempunyai rangkaian besar melepasi sempadan negara membuktikan ia dilakukan secara terancang. Antara kes ketara dikesan, termasuk serbuan polis Sarawak pada 12 Julai tahun lalu yang berjaya menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia 23 hari yang cuba dijual wanita warga Indonesia pada harga RM10,000. Siasatan lanjut membawa kepada penahanan sepasang tokoh perniagaan terkemuka bergelar Datuk dan Datin di Kuching. Berikutan kejayaan itu, polis juga berjaya menyelamatkan tiga lagi bayi dan kanak-kanak di sebuah rumah mewah, juga di Kuching. Pada 1 November tahun lalu pula, akhbar ini mendedahkan satu kegiatan sindiket menjual bayi di sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, selepas anggota polis yang menyamar sebagai pembeli menahan enam suspek sebaik saja selesai menjalankan urusan jual beli seorang bayi perempuan berharga RM21,000. Kes terbaru Selasa lalu, polis menumpaskan satu sindiket menjual bayi di Selayang dan Subang Jaya, apabila menahan empat wanita termasuk dua warga asing yang menjadi dalang kegiatan itu. Dalam kebanyakan kes dikesan, pihak terbabit bukan saja dipercayai menjalankan kegiatan mencari pembeli, tetapi juga dapat menguruskan dokumen kelahiran, lengkap dengan nama pembeli sebagai ibu dan bapa kepada bayi berkenaan dalam sijil kelahirannya. Ini tidak mungkin dapat dilakukan tanpa bantuan ‘orang dalam’ di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Pegawai JPN difahamkan memperoleh upah separuh daripada harga setiap penjualan bayi oleh sindiket yang didalangi pihak tertentu, tidak kira rakyat tempatan mahupun warga asing. Justeru, JPN mesti mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan terbabit dengan segera seperti yang dijanjikan Ketua Pengarahnya, Datuk Alwi Abdul Rahman kelmarin, sekali gus membersihkan nama baik jabatan berkenaan. 

Siasatan susulan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman juga mendapati sindiket penjualan bayi itu dipercayai mempunyai rangkaian di luar negara, yang membolehkan mereka mencari pelanggan di beberapa negara asing, termasuk Singapura. Memandangkan kegiatan menjual bayi ini membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Kesihatan, adalah wajar satu tindakan bersepadu diambil bagi menanganinya dengan lebih cekap dan berkesan. Walaupun suspek ditahan reman kini disiasat mengikut Seksyen 14 Akta-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007, penelitian lanjut juga perlu dilakukan untuk melihat sama ada mereka yang terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang lain. Ini penting bagi memastikan mereka tidak terlepas hukuman kerana kekurangan bukti bagi mensabitkan mereka dengan kesalahan dilakukan. Melihat operasi penjualan bayi dan sindiket kehamilan wanita dengan tujuan memperdagangkan bayi semakin berleluasa, terutama di Lembah Klang, Sarawak dan Johor, adalah wajar kerajaan memikirkan satu bentuk hukuman lebih berat bagi membanteras kegiatan ini, seterusnya mengelak Malaysia dianggap pusat utama sindiket penjualan bayi bagi pasaran antarabangsa. Sebarang tindakan penguatkuasaan tidak lengkap dan mungkin sukar ditangani sehingga ke akar umbi tanpa kerjasama dan bantuan orang awam.

BERITA HARIAN
20 JANUARI 2011

19 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : MOBILITI AKADEMIK MANFAAT KEPAKARAN ILMU


Ketika Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi menyampaikan amanat tahunan di hadapan pegawai kanan kementerian dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta profesor, beliau memperkenalkan gagasan baru untuk mengurus bakat melalui pendekatan 'mobiliti akademik'. Beliau percaya bakat yang berada di IPT perlu digilap dan lebih penting, bakat ini kepunyaan negara dan perlu diurus untuk menyumbang pada peringkat kebangsaan dan global. Golongan cerdik pandai dan cendekiawan yang berada di universiti tempatan adalah bakat keintelektualan yang unggul merentasi jabatan, fakulti atau universiti tempat mereka bertugas. Kepakaran dan keilmuan yang ada pada seseorang individu akademik adalah unik, tidak dimiliki oleh sumber manusia lain di dalam negara, malah mungkin juga di seluruh dunia. Oleh itu, setiap ahli akademik mempunyai ilmu atau keupayaan intelek tersendiri dan seharusnya dimanfaatkan untuk faedah negara.

Kerjaya akademik unik dan bersifat universal kerana ilmu dan kepakaran dibangunkan sepanjang hayat. Ahli akademik sentiasa meneroka ufuk ilmu, memperkenalkan idea, konsep dan dapatan baru untuk kepentingan sejagat. Sebahagian besar daripada dapatan penyelidikan ahli akademik jauh terkehadapan daripada masyarakatnya, sehinggakan ia perlu mengambil masa yang lama sebelum berjaya diterjemahkan untuk faedah pembangunan negara. Dalam dunia moden yang mana ilmu menjadi sumber perniagaan, jurang antara pengetahuan dan praktis semakin menyempit, komuniti ilmuwan tidak boleh mengasingkan diri di menara gading, tetapi sebaliknya perlu berhadapan dengan komuniti awam dan swasta. Dalam konteks ini, dasar dan strategi mobiliti akademik perlu dihalusi dan diperkemaskan lagi.

Ada tiga senario penting yang memerlukan perhatian untuk memperkasa mobiliti akademik. Pertama, mobiliti di dalam sesebuah universiti. Ahli akademik yang ditempatkan dalam sesebuah jabatan atau fakulti, dianggap sebagai sumber manusia untuk jabatan atau fakulti itu saja. Pembabitan akademik mereka di luar fakulti dianggap di luar tugasan rasmi, oleh itu kurang disenangi. Tidak banyak interaksi dan mobiliti yang membabitkan perkongsian tugas antara jabatan atau fakulti. Dalam keadaan begini, hanya urusan tradisi yang lazimnya bersifat disiplin yang digalakkan. Gagasan pendidikan dan pembangunan ilmu yang bersifat multidisiplin sukar berlaku dan jika berlaku pun, dalam keadaan yang serba kekurangan. Idea menstruktur program pengajian atau penyelidikan bersifat sektor sukar dilaksanakan kerana tembok jabatan dan fakulti masih terlalu tebal untuk dirobohkan!

Senario kedua membabitkan mobiliti akademik antara universiti. Kebanyakan universiti masih mengamalkan pendekatan ‘sistem tertutup’, dan semuanya perlu diurus dan dilaksanakan oleh sumber manusianya tersendiri. Pinjaman ahli akademik untuk mengajar kursus tertentu hanya bersifat sementara kerana sebahagian daripada universiti yang masih muda kekurangan tenaga akademik. Bagi beberapa universiti yang sudah mantap, suasana persaingan yang negatif mengatasi usaha untuk menggalakkan jaringan pengajaran dan penyelidikan. Sehingga kini, aktiviti mobiliti akademik di antara universiti masih terlalu terhad.

Senario ketiga membabitkan jaringan dan sumbangan kepakaran antara ahli akademik dengan agensi awam dan swasta. Banyak agensi kerajaan, sama ada yang bersifat pembuat atau pelaksana dasar, atau institusi penyelidikan terfokus boleh memanfaatkan kepakaran dan keilmuan yang ada pada golongan akademik. Ahli akademik boleh menyumbang dalam proses menggubal dasar dan strategi untuk melaksanakan program untuk pembangunan negara. Gabungan input idea dan keilmuan yang ada pada ahli akademik dengan pengalaman melaksana pegawai pelaksana boleh memantapkan lagi hala tuju dan objektif pelbagai aktiviti untuk kesejahteraan masyarakat. Walaupun usaha untuk menjaring akademik dengan pengamal industri sudah diperkenalkan dan dirangsang dengan pelbagai insentif, hubungan kedua-dua pihak masih pada tahap minimum. 

Masih banyak halangan yang perlu diharungi untuk memperkukuhkan hubungan ini, antaranya masih yang bersifat struktur tadbir urus sumber manusia pada peringkat universiti. Sebetulnya mekanisme mobiliti akademik di antara universiti sudah lama wujud. Ini meliputi pelbagai pendekatan seperti lawatan, sangkutan dan kerjasama penyelidikan. Konsep ‘profesor pelawat’ dan ‘profesor adjung’ diperkenalkan bagi membolehkan seseorang ahli akademik memberikan sumbangan ke universiti lain, di dalam atau luar negara untuk berkongsi ilmu dan kepakarannya.

Cuti sabatikal atau cuti penyelidikan membolehkan ahli akademik disangkut di universiti luar selama antara tiga hingga 12 bulan, untuk mempelajari teknik baru atau berguru dengan profesor terkenal. Sangkutan sebagai pascadoktoral membolehkan ahli akademik muda yang baru memperoleh ijazah kedoktorannya (PhD) ditempatkan di makmal atau malim terkenal untuk memperkukuhkan kemahiran penyelidikan. Di beberapa universiti, konsep felo bersekutu diperkenalkan bagi membolehkan ahli akademik daripada fakulti terbabit untuk menjalankan penyelidikan secara bersama dengan penyelidik di institut penyelidikan.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) umpamanya, pendekatan ‘pelantikan berganda’, di fakulti dan institut penyelidikan membolehkan kepakaran dikongsi bersama. Bagaimanapun, mobiliti akademik antara universiti dengan agensi awam dan swasta masih sukar dilaksanakan. Walaupun wujud secara terhad, mereka lazimnya hanya dipinjamkan dan perlu berkerja secara sepenuh masa di tempat barunya. Ramai yang memilih terus untuk berpindah kerja! Dalam senario baru, apabila kerajaan memberikan tumpuan melaksanakan model ekonomi baru berteraskan industri berasaskan ilmu dan teknologi termaju, ahli akademik perlu memainkan peranan yang lebih luas. Mereka tidak boleh memberikan tumpuan kepada tugas hakiki iaitu mengajar dan menyelidik saja. Tumpuan perlu juga diberikan kepada khidmat masyarakat dan jaringan industri. 

Dalam sekitaran yang baru ini, dasar dan pendekatan mobiliti akademik perlu diteliti dan dimantapkan. Mobiliti akademik perlu diarusperdanakan, dan benteng yang menghalang pelaksanaan, terutama berkaitan ganjaran, penilaian dan pengiktirafan perlu diberikan perhatian segera. Lampu hijau sudah diberikan oleh menteri, terserahlah kepada pucuk pimpinan universiti tempatan untuk memperkasakannya.

Oleh Dr Ibrahim Komoo
Ketua Kluster,
Sumber Asli dan Alam Sekitar,
Majlis Profesor Negara

BERITA HARIAN
19 JANUARI 2011

ISU KENEGARAAN : MALAYSIA CONTOH TERBAIK NEGARA MEMBANGUN


Pertemuan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton dalam lawatan selama enam hari ke negara itu dari 9 Januari hingga 14 Januari lalu berhasil menjalinkan hubungan lebih rapat antara Malaysia dan kuasa besar dunia itu. Malaysia dapat membangkitkan pelbagai perkara penting sekali gus menerima maklum balas positif daripada pentadbiran AS sama ada dalam konteks hubungan dua hala kedua-dua negara atau hal ehwal antarabangsa. 
Ini jelas apabila Hillary tanpa berselindung menyatakan AS mempunyai komitmen untuk membantu Malaysia kerana menganggap negara adalah model negara membangun dalam tiga bidang iaitu demokrasi, kerajaan efektif dan mempunyai pembangunan berterusan.  
Hillary menjelaskan Malaysia berbeza dengan negara membangun lain yang hanya mempunyai dua daripada tiga atau satu daripada tiga bidang itu. 



“Dalam pertemuan itu, Hillary berkali-kali menekankan pencapaian Malaysia dan mahu jadikan negara sebagai model untuk negara membangun,” kata Muhyiddin kepada wartawan Malaysia selepas pertemuannya dengan Hillary di Jabatan Negara AS di Washington, Jumaat lalu.  
Justeru, bagi Hillary penting menyokong apa jua inisiatif yang dilakukan Malaysia sama ada pada peringkat negara mahu pun antarabangsa. Ini satu pengiktirafan kepada sebuah negara kecil seperti Malaysia. AS menghargai Malaysia kerana berpendapat negara ini mempunyai aspirasi untuk manfaat kedua-dua negara. 
Malaysia bukan bertepuk sebelah tangan kerana minat menjalin hubungan lebih rapat itu bukan datangnya dari pemimpin negara ini tetapi datang daripada pentadbiran AS. 



Sebagai membuktikan kesungguhan itu, pemimpin tertinggi AS kini mula membuat lawatan ke Malaysia iaitu satu perkara yang sudah lama mereka tinggalkan – kali terakhir Presiden AS melawat Malaysia untuk menjalin kerjasama ialah Lyndon B Johnson pada 1967, ketika gambar kedua-dua pemimpin sedang berjabat tangan masih hitam putih. 
Ia dimulakan Hillary apabila beliau datang ke Malaysia akhir tahun lalu sebelum mengundang pemimpin negara ini berkunjung ke AS yang kemudian diterjemahkan Muhyiddin. 
Kehadiran Muhyiddin dalam lawatan itu yang juga bertujuan memberi mesej Perdana Menteri untuk mempelawa Presiden AS, Barack Obama melawat ke negara ini disambut Hillary apabila menyatakan akan menyampaikan hasrat berkenaan kepada pemimpin tertinggi AS terbabit. 


Selain hubungan dua hala kedua-dua negara, Muhyiddin juga mendapat gambaran mengenai lawatan Hillary ke Asia Barat dengan beliau memberikan pandangan berhubung apa yang berlaku di sana sekali gus memberi kesempatan kepada Malaysia menjelaskan pendiriannya mengenai isu Palestin. 
Dalam pertemuan itu, Malaysia turut memaklumkan kepada AS bantuan akan disalurkan kepada Palestin untuk pembangunan dan pemulihan ekonomi negara itu. Ia akan dilakukan selepas Perdana Menteri membuat lawatan kerja ke Palestin tidak lama lagi. 
Mengenai penyertaan sulung dalam Perjanjian Perkongsian Rentas Pasifik (TPPA), Malaysia berharap AS menyokong usaha negara mencapai perdagangan dan perkongsian kekayaan pada peringkat global. 

Bagi Malaysia, TPPA satu perkongsian penting dalam konteks mengembangkan perdagangan di kalangan anggota TPPA kerana Malaysia baru diterima menjadi ahli.  
Menerusi perjanjian itu, dijangkakan nilai perdagangan dengan AS meningkat melebihi 70 peratus, berbanding 20 peratus sebelum ini. 
Pada tahun lalu, nilai perdagangan kedua-dua negara ialah 20 peratus atau RM15.79 bilion, manakala tahun sebelumnya RM13.98 bilion. 
TPPA penting bagi Malaysia kerana ia satu bentuk kerjasama yang amat strategik dalam usaha memperluaskan bidang perdagangan dan pelaburan dengan rakan perniagaan di rantau Asia Pasifik. 
Selain Malaysia yang pertama kali menjadi anggota TPPA, kumpulan berkenaan turut disertai AS, Brunei, Australia, New Zealand, Chile, Peru, Singapura dan Vietnam. 

Paling menarik mengenai Program Sukarelawan Amerika Syarikat (AS Peace Corp) khususnya dalam pengajaran Bahasa Inggeris yang dicadangkan Perdana Menteri kepada Obama supaya dilaksanakan semula sudah mendapat lampu hijau daripada pentadbiran AS. 
“Hillary memaklumkan memang ini sudah dipersetujui. Sudah ada banyak persiapan dibuat. Saya juga memaklumkan pada peringkat kita, Malaysia memang sudah sediakan kerangka bagaimana pelaksanaan program itu.  
“Saya percaya apabila bawa ke Kabinet... tiada masalah kerana memang kita sudah setuju dan kini sedang merangka bagaimana hendak dilaksanakan,” kata Muhyiddin.  
Menerusi program itu, AS akan mengenal pasti jumlah dan kualiti guru yang hendak dihantar, manakala Malaysia memikirkan bentuk imbuhan, penempatan guru dan keperluan orientasi. 


Mengenai pendidikan, Malaysia akan bekerjasama dengan AS dalam membangunkan bidang pendidikan negara seperti persetujuan dicapai ketika pertemuan berasingan Muhyiddin dengan Setiausaha Pendidikan AS, Arne Duncan. 
Muhyiddin menyifatkan lawatannya selama enam hari ke AS amat berhasil dalam menjalinkan hubungan lebih rapat antara Malaysia dan kuasa besar dunia itu.  
Yang jelas mesej Najib untuk menjalinkan hubungan dengan negara itu sampai ke seluruh pentadbiran AS dan ini dapat membantu meningkatkan lagi ‘kemesraan’ yang terjalin dan pembangunan negara. 

Oleh Rashid Rahaman

BERITA HARIAN
19 JANUARI 2010

ISU BAHASA : BAHASA MELAYU BUKAN PENGHALANG KEMAJUAN


Sesi persekolahan 2011 bagi semua pelajar Tahun Satu menandakan berakhirnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Mulai tahun ini, yakni setahun lebih awal daripada 2012 yang diumumkan, semua pelajar Tahun Satu akan mempelajari dua mata pelajaran ini dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan. Di sekolah vernakular, Sains dan Matematik akan diajar kepada pelajar Tahun Satu dalam bahasa etnik masing-masing, iaitu bahasa Mandarin atau Tamil.


Golongan ini mahu diberi pilihan untuk anak mereka supaya dapat terus mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Mereka mahu keistimewaan ini diberikan dan membandingkan penggunaan bahasa Inggeris di beberapa sekolah yang akan dipilih khas, dengan sekolah vernakular yang diberi kebenaran untuk mengendalikan dua mata pelajaran itu dalam bahasa etnik masing-masing. 

Penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil dalam konteks ini, hendaklah dilihat sebagai bahasa ibunda kepada sektor bukan Melayu dalam kependudukan Malaysia. Sehubungan ini, sesetengah pihak mempercayai penggunaan bahasa ibunda adalah kaedah terbaik untuk tujuan pendidikan, khususnya pada peringkat awal. Ini antaranya kerana pelajar didapati lebih mudah mengikuti pelajaran dalam bahasa yang mereka ketahui, lebih-lebih lagi yang dituturkan sebagai bahasa ibunda, apabila menjejak kaki ke sekolah. Dalil penggunaan bahasa ibunda ini ikut digunakan oleh orang Melayu yang mahu dua mata pelajaran ini diajar semula dalam bahasa Melayu. 

Alasan ini ada rasionalnya walaupun tidak selalunya benar. Ini dapat dilihat pada pelajar bukan Melayu yang belajar di sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Sebilangan mereka didapati berjaya mengikuti pelajaran yang disampaikan dalam bahasa Melayu dengan baik sekali. Ramai juga yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang, sedangkan bahasa Melayu bukan pun bahasa ibunda mereka. Tambahan pula, sesetengah mereka ini tidak pernah pun didedahkan kepada bahasa Melayu ketika zaman prasekolah. 

Begitu juga halnya dengan pelajar Melayu dan pelajar lain di sekolah vernakular Cina. Sesetengah mereka mampu meraihkan kejayaan luar biasa, sehingga berjaya mengatasi prestasi pelajar Cina yang bertutur dalam bahasa Mandarin, sesetengahnya sejak dari kecil lagi sebagai bahasa ibunda. Dalam kes ini, bahasa Mandarin bukan pun bahasa ibunda pelajar bukan Cina ini, dan rata-ratanya tidak pernah mempelajarinya secara formal sebelum memasuki sekolah.  
Sebagai bahasa negara yakni bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, bahasa Melayu adalah bahasa semua rakyat Malaysia. Ia mewakili seluruh negara dan setiap seorang rakyat Malaysia, sama ada yang Melayu mahupun bukan Melayu. Dalam konteks ini, bahasa Melayu adalah simbol negara. Statusnya sebagai bahasa pribumi menambahkan lagi kepentingan peranannya untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang berasal daripada pelbagai kaum. 

Berdasarkan hal ini saja, bahasa Melayu bukan saja bahasa yang sah, tetapi adalah pilihan yang tepat lagi bijak untuk dijadikan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu adalah bahasa yang dapat membangkitkan selain memupuk semangat kebangsaan. 

Sebagai bahasa yang boleh membawa kejayaan pragmatik kepada rakyat Malaysia, bahasa Melayu mempunyai modal linguistik yang bukan saja mencukupi, malah agam sekali. Ia memiliki korpus yang efisien sekali. Antaranya, sistem ejaan yang kemas, dua sistem tulisan Rumi dan Jawi yang mantap, kosa kata yang senantiasa berkembang, bilangan lebih daripada sejuta istilah ilmiah dan nahu yang dibakukan. 

Tetapi malangnya, bahasa Melayu tidak pernah diyakini sepenuhnya oleh rakyatnya sendiri, sejak dinobatkan sebagai bahasa negara pada 1957. Untuk sekian lama, ia dibelenggu pelbagai persoalan kemasyarakatan yang semuanya ditimbulkan rakyat Malaysia sendiri, sering kali pula oleh orang Melayu sebagai penutur natifnya. Pelbagai komen yang memperlihat sikap negatif daripada orang Melayu sendiri terhadap kemampuan bahasa Melayu, bukan saja amat dikesali tetapi yang lebih mudarat lagi adalah ia boleh memberi implikasi tidak baik kepada orang bukan Melayu untuk terus menghormati bahasa Melayu, apatah lagi menyanjunginya! 

Sudah tiba masanya dengan pemansuhan PPSMI pada 2011 ini, rakyat Malaysia menganugerahkan penghormatan linguistik tertinggi yang dapat kita semua kurniakan kepada bahasa Melayu, di tanah watannya sendiri. Kita perlu berhenti daripada selalu menyalahkan bahasa keramat ini yang dicipta Tuhan untuk memajukan, selain menyatupadukan kita semua di tanah yang kita cintai ini. 

Sesungguhnya bahasa Melayu tidak pernah menjadi penghalang kepada kemajuan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, bahasa Melayu bukan penyebab utama kepada penguasaan bahasa Inggeris yang lemah dalam kalangan rakyat, faktor penghalang kepada kemajuan rakyat pada era globalisasi ini yang mementingkan bahasa Inggeris, dan faktor penentang kepada hak linguistik rakyat Malaysia untuk mendidik anak bangsa dalam bahasa Inggeris. 

Mari kita semua memperlihat keyakinan penuh kepada bahasa Melayu untuk mendidik anak bangsa Malaysia serta generasi mendatang, sama ada untuk memahami asas sains dan juga lunas ilmu lain. Sebenarnya tidak ada sebarang cacat cela pun pada bahasa Melayu yang tidak membolehkannya digunakan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan. 

Ia adalah sistem linguistik yang sempurna, seperti yang ada pada bahasa besar lain di dunia. Dalam konteks ini, bahasa Melayu mampu menyampaikan ilmu pengetahuan moden, dengan berkesan sekali, seperti yang diperlihatkan oleh bahasa Inggeris dan lain-lain. 



Oleh : Teo Kok Siong
Timbalan Pengarah, 

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), 
UKM. 

BERITA HARIAN
19 JANUARI 2011

ISU SOSIAL : TRANSFORMASI SOSIAL PELENGKAP PERUBAHAN


Sejak kebelakangan ini, kita dihidangkan dengan istilah transformasi. Terbaru, istilah transformasi digandingkan dengan istilah sosial, maka lahirlah Transformasi Sosial (TS). Istilah-istilah ini cukup membuatkan sesiapa sahaja teruja. Namun, sejauh manakah kesemuanya ini difahami adalah satu perkara yang perlu diberi keutamaan. Mana mungkin ia dapat dihayati dan diamalkan dengan baik melalui pelaksanaan dasar jika tidak terlebih dahulu difahami. TS yang baru diperkatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin lalu merupakan satu lagi transformasi yang boleh mengubah struktur ekonomi dan kemakmuran negara ke landasan yang terbaik. Ia memerlukan satu anjakan paradigma dan juga perubahan budaya secara menyeluruh terutamanya perubahan ke arah bekerja dengan lebih produktif, berinovasi dan menerapkan elemen kreativiti. Sebelum ini, kita berpegang pada Dasar Pandang ke Timur berasaskan negara Jepun. Soalnya, adakah dasar ini berjaya dilaksanakan di Malaysia bagi mengubah budaya kerja rakyat Malaysia sebagaimana rakyat Jepun? Begitu juga, kegigihan rakyat negara Korea juga boleh dijadikan contoh bagi mengubah sikap rakyat Malaysia.

Suatu ketika dahulu, Korea terpaksa meminjam wang daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Bagaimana mereka bangkit semula selepas itulah yang perlu dihayati oleh rakyat Malaysia. Tidakkah ini menggambarkan perubahan sosial yang berjaya dilaksanakan oleh mereka. Tidak guna bercakap mengenai istilah sahaja jika tidak dihayati. Kita mungkin boleh mempunyai satu dasar terbaik, tetapi dasar hanya tinggal dasar jika tidak dilaksanakan dan diamalkan dengan baik. Kita tidak boleh lagi menunggu sahaja. Ia akan membuatkan kita akan lebih ketinggalan jauh berbanding negara lain. Kita perlukan satu perubahan sosial yang lebih positif bermula dengan perubahan minda dan disusuli dengan perubahan sikap. Kita tidak boleh membuang masa dengan membicarakan perkara-perkara remeh yang tidak memberi apa-apa erti. Pertelingkahan sesama sendiri mengenai perkara-perkara sebegini akan membantutkan lagi agenda negara untuk menjadi sebuah negara maju. Kita perlu membudayakan minda positif dalam masyarakat dan membicarakan mengenai perkara-perkara yang lebih positif ke arah sikap yang lebih baik. Dengan kata lain, negara memerlukan rakyatnya yang berfikiran positif untuk mengorak ke hadapan.

Barulah perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku akan beransur-ansur hilang. Umpamanya, gejala sosial hari ini mampu diatasi jika kita dapat mencantas simptom-simptomnya dari awal lagi. Bentuk satu budaya yang baik melalui pemikiran yang positif kepada anak-anak agar tidak terjebak dalam gejala sosial. Sudah tentu sistem pendidikan memainkan peranan terpenting. Tidak kiralah pendidikan secara formal mahupun tidak, kedua-duanya penentu kepada sikap generasi muda. Kenapakah isu-isu mengenai masalah sosial ini tidak pernah luput dalam perbincangan sehingga kini? Ini kerana, tiada satu transformasi sosial yang dilaksanakan dengan begitu mantap melalui pelaksanaan dari peringkat atasan sehingga bawahan bagi melahirkan generasi muda yang bukan sahaja baik untuk diri sendiri tetapi juga baik untuk orang lain. Barulah boleh kita bercakap mengenai jati diri yang kukuh kepada negara.

Oleh ROHAMI SHAFIE

UTUSAN MALAYSIA
19 JANUARI 2011

16 Januari 2011

TITISAN TINTA DARI SEORANG PENDIDIK

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua terutamanya pembaca setia blog Cikgu Zul ini,


Sejak bulan November 2010 hingga kini, Cikgu Zul hanya memenuhi intpati blog ini dengan rencana-rencana yang dipetik dari akhbar-akhbar tempatan sahaja. Hal ini demikian kerana Cikgu Zul sibuk dengan pelbagai urusan kerja yang perlu diselesaikan di samping urusan sendiri yang tidak pernah ada titik noktahnya. Insyallah, mulai esok, pengisian intipati blog ini akan kembali seperti biasa. 

Adik-adik pelajar yang bakal menduduki STPM 2011 pasti sedang memasang angan untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam STPM yang bakal diduduki pada bulan November nanti. Cikgu Zul berharap adik-adik sekalian, mulakan usaha dari sekarang kerana semakin awal anda memasang strategi makin kukuh keyakinan anda untuk merangkul jaya. Jika hendak mendapat keputusan 4 atau mencatat sejarah sebagai pelajar paling cemerlang dalam STPM 2011 di Malaysia, adik-adik sekalian kenalah berusaha. Semua ini bukan mustahil untuk dicapai andai ada usaha yang berterusan.

Sebagai pembangkit semangat dan menyemarakkan keinsafan dihati dan dijiwa, hayatilah bait-bait lagi berjudul "Awan Nano" nyanyian Hafiz AF7 ini. 


Sekian.
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart
Sibu, Sarawak

ISU BAHASA : KEJAYAAN MELALUI PERPADUAN BAHASA


Perbezaan antara Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia adalah antara lainnya kecenderungan penggunaan perkataan yang asal-usulnya berbeza. Bahasa Indonesia cenderung menggunakan perkataan yang asalnya daripada bahasa Sanskrit. Sementara Bahasa Malaysia dari bahasa Arab. Umpamanya, ideologi negara Indonesia dinamakan Pancasila, perkataan asal daripada bahasa Sanskrit. Di Malaysia dinamakan Rukun Negara. Rukun asalnya daripada perkataan bahasa Arab. Kedua-dua Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia adalah bahasa Melayu. Cumanya bahasa Melayu di Indonesia dipengaruhi kuat oleh bahasa Sanskrit kerana kedudukan tamadun Jawa yang dipengaruhi Hindu-Buddha berasaskan bahasa Sanskrit amat kuat. Sementara bahasa Melayu di Malaysia berpaksikan Kesultanan Melayu di Melaka telah dipengaruhi dengan Islam hingga bahasa Arab menggantikan bahasa Sanskrit sebagai bahasa ilmu.

Itu asasnya. Apabila penjajah Inggeris dan Belanda membahagikan wilayah Melayu menjadi dua iaitu Indonesia dan Malaysia, maka bahasa di kedua-dua negara juga berkembang secara berpisah. Maka banyaklah perkataan Inggeris masuk ke dalam Bahasa Malaysia, dan istilah Belanda masuk ke Bahasa Indonesia. Maka istilah kantor, kamar dan koran yang asalnya Belanda menjadi perkataan dalam Bahasa Indonesia. Sedangkan di Malaysia, ia menggunakan istilah pejabat, bilik dan akhbar. Katakanlah dulu proses Islamisasi tidak berlaku di Indonesia, maka bahasa Melayu antara kedua-dua negara akan menjauh. Bahasa Indonesia akan penuh dengan perkataan Sanskrit dan Bahasa Malaysia penuh dengan bahasa Arab. Maka Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia jadi seperti Hindi dan Urdu. Ia asalnya merupakan satu bahasa. Jadi apabila kerajaan Moghul memerintah India, maka banyaklah istilah Parsi yang masuk ke bahasa itu. Muncullah bahasa Urdu.

Kini bahasa rasmi Pakistan ialah Urdu, yang penuh dengan istilah Parsi. Sementara Hindi menjadi bahasa rasmi India, penuh dengan perkataan Sanskrit. Selama ini penutur Urdu dan Hindi boleh memahami satu sama lain tetapi akhirnya akan berpisah jauh dan satu hari mungkin tidak akan lagi memahami di antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi tulisan kedua-duanya berbeza. Urdu menggunakan tulisan jawi Parsi sementara Hindi menggunakan tulisan Devanagari. Begitu juga dengan Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia akan berpisah jauh kerana perbezaan istilah yang akhirnya membuat penuturnya tidak memahami di antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi jika bahasa Belanda mempengaruhi kuat ke atas Bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris ke atas Bahasa Malaysia. Tambahan pula dengan perbezaan tulisan. Ketika Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945, tulisan Bahasa Indonesia adalah rumi sedangkan bahasa Melayu di Malaya menggunakan tulisan Jawi. Hanya setelah negara ini mencapai kemerdekaan barulah usaha dibuat supaya bahasa Melayu menggunakan tulisan rumi. Tetapi ejaan rumi Melayu di Malaya berbeza dengan Bahasa Indonesia. Secara rasminya bahasa Melayu di Hindi Belanda menjadi Bahasa Indonesia ialah pada tahun 28 Oktober 1928 melalui Sumpah Pemuda.

Berpisah

Sementara bahasa Melayu di Malaya menjadi Bahasa Malaysia pada 16 September 1963. Dengan ejaan berbeza, ia semakin berpisah jauh. Maka apa yang disebut sebagai bahasa Melayu adalah bahasa Melayu di Thailand dan Brunei yang menggunakan tulisan jawi. Oleh kerana Singapura pada mulanya negeri dalam Malaysia, maka ia juga menggunakan Bahasa Malaysia. Hanya apabila ia berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965, bahasa sana dikenali semula sebagai bahasa Melayu. Tetapi tulisannya menggunakan kaedah rumi Bahasa Malaysia. Selepas Konfrontasi dan semasa pemerintahan Presiden Suharto dan Perdana Menteri Tun Razak, terdapat perasaan jelas bahawa kedua-dua bahasa, Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia tidak wajar dibiarkan hanyut semakin berpisah jauh. Maka pada 16 Ogos 1972, ejaan kedua bahasa diseragamkan. Komitmen penyeragaman ejaan ini menunjukkan bahawa kedua bahasa mahu disatukan. Maka ejaan rumi diseragamkan ini turut diikut serta oleh bahasa Melayu di Thailand, Singapura dan Brunei yang melihat Kuala Lumpur sebagai paksi bahasanya.

Kepentingan bahasa Belanda yang semakin berkurangan di Indonesia dan digantikan dengan bahasa Inggeris menyebabkan Bahasa Indonesia mengikut jejak Bahasa Malaysia dalam mengambil istilah-istilah yang asalnya dari bahasa Inggeris. Dominasi Amerika Syarikat ke atas Indonesia dan kemunculan teknologi maklumat akhirnya akan merapatkan lagi bahasa Malaysia dan Indonesia. Bahasa Malaysia juga banyak mengambil istilah Bahasa Indonesia yang asal-usulnya dari Sanskrit seperti wisma, siswa dan pustaka. Nama tempat di Malaysia juga ada yang asalnya Sanskrit seperti Titiwangsa, Mahameru, Suria dan Damansara. Istilah Sanskrit dan Arab amat dekat dengan lidah bahasa Melayu. Bahasa Malaysia juga tidak keberatan mengambil perkataan Indonesia yang asalnya dari Belanda seperti organisasi dan prestasi. Masa depan cerah bagi Bahasa Malaysia terletak pada penyatuan semua bahasa Melayu. Baik dengan Bahasa Indonesia mahupun dengan bahasa Melayu di Thailand, Singapura dan Brunei.

Seperti kata cogan jata kedua negara: Bersekutu Bertambah Mutu dan Bhineka Tunggal Ika, dalam bahasa Sanskrit bermaksud Perpaduan dalam Kepelbagaian. Sememangnya terdapat banyak perbezaan di antara kedua bahasa. Tetapi dengan sentiasa mencari jalan supaya kedua bahasa semakin mendekat, maka itulah masa depan bahasa kita.

Oleh
Zin Mahmud

Mingguan Malaysia
16 Januari 2010

ISU ALAM SEKITAR : BAHANA CUACA DI AUSTRALIA


Tiada kata dapat diluahkan dengan kecelakaan yang melanda Australia akibat banjir antara paling buruk pernah melanda negara itu. Malang yang melanda Australia ini seolah-olah sudah sinonim dengan kejadian buruk yang berlaku pada setiap hujung tahun. Pada hujung tahun 2009 sehinggalah pertengahan Januari 2010, Australia dilanda bencana ribut debu merah yang dianggap paling buruk dalam sejarah negara itu sejak tahun 1940-an. Kehadiran ribut yang tidak diundang itu telah menyebabkan bandar-bandar berkenaan menjadi kelam kabut. Kehidupan penduduk tergugat dan perkhidmatan awam terjejas. Ternyata bulan Disember sehingga Januari seolah-olah menjadi 'bulan bencana' kepada Australia kerana selepas ribut debu merah yang melanda tahun lepas, kini negara itu diancam banjir teruk dan salji yang melanda secara mengejut. Perubahan cuaca mendadak akibat cuaca yang tidak menentu telah memberi kesan yang ketara pada kehidupan masyarakatnya yang sehingga kini masih terkial-kial dengan kemelut ini.

Lebih menarik lagi di beberapa bahagian Australia seperti New South Wales dan Victoria pula keadaan bersalji berlaku secara mengejut yang mana pada kebiasaannya bulan Disember adalah musim panas. Dengan keadaan begini telah membolehkan penduduk menikmati perayaan Krismas dalam keadaan salji sebenar. Sehingga kini banjir terburuk yang melanda timur laut Australia telah meragut lebih 20 nyawa, sementara 80 lagi dilaporkan hilang ketika situasi di Brisbane semakin buruk dengan lebih 7,000 hartanah terancam. Setakat ini banjir terburuk telah menjejaskan 200,000 penduduk di bahagian timur laut negara ini. Perdana Menteri Julia Gillard yang turut cemas dengan kejadian ini memberi amaran angka kematian mungkin meningkat selepas banjir kilat melanda bandar Toowoomba menyebabkan banyak kenderaan dan kediaman dihanyutkan air. Gillard turut mengeluarkan amaran terhadap kemungkinan banjir lebih buruk akan berlaku selepas seluruh bandar di timur laut negara ini terputus hubungan akibat ditenggelami air dan pihak tentera telah memindahkan beratus penduduk menggunakan helikopter.

Berpuluh-puluh ribu penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka selepas banjir menenggelamkan kawasan lebih luas dari Jerman dan Perancis selain perkhidmatan kapal terbang serta perkhidmatan kereta api terpaksa ditutup. Ketua Menteri Queensland, Anna Bligh pula berkata, angka korban mungkin meningkat secara mendadak ekoran usaha menyelamatkan mereka yang hilang terhalang ekoran hujan lebat dan jalan raya yang ditenggelami air. Empat helikopter tentera dihantar untuk menyertai usaha menyelamat, tetapi operasi itu tergendala akibat hujan lebat di wilayah Lembah Lockyer itu. Beribu-ribu orang dilaporkan bergegas meninggalkan tengah bandar Brisbane menggunakan bas, kereta api dan kenderaan ekoran pengumuman amaran banjir di berpuluh-puluh daerah selepas tebing sungai Brisbane pecah. Hampir beratus-ratus orang pula dipindahkan menggunakan pengangkutan udara ekoran banjir yang telah pun menyebabkan kerugian berbilion dolar terus merebak. Hujan lebat akibat hujan tropika menyebabkan banyak kawasan di Queensland ditenggelami air dengan 1,000 penduduk setakat ini telah dipindahkan dan 38 daerah diisytihar sebagai kawasan bencana alam.

Bantuan

Selain itu sebagai langkah tambahan, Gillard turut melancarkan tabung bantuan dan menjanjikan bantuan kerajaan berjumlah AS$1 juta (RM3.09 juta) bagi membantu mangsa banjir dahsyat itu. "Sebilangan masyarakat menyaksikan banjir kali ini lebih besar daripada banjir yang pernah berlaku beberapa dekad sebelum ini, manakala sebilangan lagi tidak pernah mengalami situasi seperti ini," kata Gillard kepada wartawan. Kawasan ini dilihat seperti laut luas di pedalaman dengan tanaman dan kawasan ladang bernilai berbilion dolar ditenggelami banjir, kata seorang ahli Parlimen tempatan, Vaughan Johnson. "Saya meninjau dari kawasan Alpha ke Barcaldine dengan menaiki helikopter semalam, dan saya tidak pernah melihat situasi sebegini teruk sebelum ini," kata Johnson kepada radio ABC Kini penduduk di Queensland dilanda satu lagi ancaman baru iaitu ular dan buaya yang berkeliaran.

Penduduk mendakwa melihat buaya berkeliaran dan berita mula tersebar di sekitar pusat penternakan lembu di Brisbane yang dihuni 75,000 penduduk selain ular sepanjang dua meter juga dilihat berkeliaran di pusat bandar. Penduduk berkata, mereka ternampak ular berbisa seperti spesies taipan, ular perut merah dan ular coklat melingkari pokok-pokok dan bersembunyi di rumah penduduk bagi mencari tempat kering. Pegawai kecemasan memberi amaran, ular-ular spesies itu boleh bertindak agresif, sementara buaya yang dilihat di sungai-sungai mungkin sebenarnya sampah atau serpihan yang dihanyutkan banjir. "Tempoh ini adalah musim mengawan bagi ular dan ia 'dihalau' keluar daripada habitatnya disebabkan banjir. Jadi ia mungkin bersikap agresif. "Sampah atau serpihan yang banyak di sungai mungkin disalah anggap sebagai buaya," kata Pengarah Operasi Perkhidmatan Kecemasan Negeri, Scott Mahaffey. Beribu-ribu katak tebu berbisa turut dilihat di sekitar Rockhampton dan pihak berkuasa berkata, bandar itu juga mungkin diancam agas dan nyamuk pembawa penyakit.

Berlainan pula keadaan di negeri-negeri pantai Timur apabila salji turun sejak 20 Disember lepas. Selalunya keadaan cuaca yang biasanya panas pada bulan Disember tiba-tiba digantikan dengan angin dingin yang bertiup dari Lautan Selatan di beberapa bahagian, sekaligus memberikan negara ini merasai nikmat menyambut Krismas dalam keadaan bersalji. Salji turun di beberapa bahagian di negeri-negeri New South Wales dan Victoria, menyebabkan pusat peranginan meluncur ski yang ada di antara kawasan itu biasanya tidak bersalji pada masa ini saban tahun, diliputi dengan salji sehingga 10 sentimeter tebal. Jumlah salji seperti itu adalah perkara yang luar biasa pada awal Disember yang kebiasaannya menjadi kemuncak kepada musim bunga liar di kawasan pergunungan New South Wales. Terletak jauh di selatan negeri Victoria, Gunung Hotham diliputi salji setebal 10 sentimeter dan Gunung Buller pula diliputi salji sehingga lima sentimeter tebal, kata jurucakap Laporan Salji Victoria, Maureen Gearon.

Oleh Hafizahril Hamid

Mingguan Malaysia
16 Januari 2010