Tiada kata dapat diluahkan dengan kecelakaan yang melanda Australia akibat banjir antara paling buruk pernah melanda negara itu. Malang yang melanda Australia ini seolah-olah sudah sinonim dengan kejadian buruk yang berlaku pada setiap hujung tahun. Pada hujung tahun 2009 sehinggalah pertengahan Januari 2010, Australia dilanda bencana ribut debu merah yang dianggap paling buruk dalam sejarah negara itu sejak tahun 1940-an. Kehadiran ribut yang tidak diundang itu telah menyebabkan bandar-bandar berkenaan menjadi kelam kabut. Kehidupan penduduk tergugat dan perkhidmatan awam terjejas. Ternyata bulan Disember sehingga Januari seolah-olah menjadi 'bulan bencana' kepada Australia kerana selepas ribut debu merah yang melanda tahun lepas, kini negara itu diancam banjir teruk dan salji yang melanda secara mengejut. Perubahan cuaca mendadak akibat cuaca yang tidak menentu telah memberi kesan yang ketara pada kehidupan masyarakatnya yang sehingga kini masih terkial-kial dengan kemelut ini.
Lebih menarik lagi di beberapa bahagian Australia seperti New South Wales dan Victoria pula keadaan bersalji berlaku secara mengejut yang mana pada kebiasaannya bulan Disember adalah musim panas. Dengan keadaan begini telah membolehkan penduduk menikmati perayaan Krismas dalam keadaan salji sebenar. Sehingga kini banjir terburuk yang melanda timur laut Australia telah meragut lebih 20 nyawa, sementara 80 lagi dilaporkan hilang ketika situasi di Brisbane semakin buruk dengan lebih 7,000 hartanah terancam. Setakat ini banjir terburuk telah menjejaskan 200,000 penduduk di bahagian timur laut negara ini. Perdana Menteri Julia Gillard yang turut cemas dengan kejadian ini memberi amaran angka kematian mungkin meningkat selepas banjir kilat melanda bandar Toowoomba menyebabkan banyak kenderaan dan kediaman dihanyutkan air. Gillard turut mengeluarkan amaran terhadap kemungkinan banjir lebih buruk akan berlaku selepas seluruh bandar di timur laut negara ini terputus hubungan akibat ditenggelami air dan pihak tentera telah memindahkan beratus penduduk menggunakan helikopter.
Berpuluh-puluh ribu penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka selepas banjir menenggelamkan kawasan lebih luas dari Jerman dan Perancis selain perkhidmatan kapal terbang serta perkhidmatan kereta api terpaksa ditutup. Ketua Menteri Queensland, Anna Bligh pula berkata, angka korban mungkin meningkat secara mendadak ekoran usaha menyelamatkan mereka yang hilang terhalang ekoran hujan lebat dan jalan raya yang ditenggelami air. Empat helikopter tentera dihantar untuk menyertai usaha menyelamat, tetapi operasi itu tergendala akibat hujan lebat di wilayah Lembah Lockyer itu. Beribu-ribu orang dilaporkan bergegas meninggalkan tengah bandar Brisbane menggunakan bas, kereta api dan kenderaan ekoran pengumuman amaran banjir di berpuluh-puluh daerah selepas tebing sungai Brisbane pecah. Hampir beratus-ratus orang pula dipindahkan menggunakan pengangkutan udara ekoran banjir yang telah pun menyebabkan kerugian berbilion dolar terus merebak. Hujan lebat akibat hujan tropika menyebabkan banyak kawasan di Queensland ditenggelami air dengan 1,000 penduduk setakat ini telah dipindahkan dan 38 daerah diisytihar sebagai kawasan bencana alam.
Bantuan
Selain itu sebagai langkah tambahan, Gillard turut melancarkan tabung bantuan dan menjanjikan bantuan kerajaan berjumlah AS$1 juta (RM3.09 juta) bagi membantu mangsa banjir dahsyat itu. "Sebilangan masyarakat menyaksikan banjir kali ini lebih besar daripada banjir yang pernah berlaku beberapa dekad sebelum ini, manakala sebilangan lagi tidak pernah mengalami situasi seperti ini," kata Gillard kepada wartawan. Kawasan ini dilihat seperti laut luas di pedalaman dengan tanaman dan kawasan ladang bernilai berbilion dolar ditenggelami banjir, kata seorang ahli Parlimen tempatan, Vaughan Johnson. "Saya meninjau dari kawasan Alpha ke Barcaldine dengan menaiki helikopter semalam, dan saya tidak pernah melihat situasi sebegini teruk sebelum ini," kata Johnson kepada radio ABC Kini penduduk di Queensland dilanda satu lagi ancaman baru iaitu ular dan buaya yang berkeliaran.
Penduduk mendakwa melihat buaya berkeliaran dan berita mula tersebar di sekitar pusat penternakan lembu di Brisbane yang dihuni 75,000 penduduk selain ular sepanjang dua meter juga dilihat berkeliaran di pusat bandar. Penduduk berkata, mereka ternampak ular berbisa seperti spesies taipan, ular perut merah dan ular coklat melingkari pokok-pokok dan bersembunyi di rumah penduduk bagi mencari tempat kering. Pegawai kecemasan memberi amaran, ular-ular spesies itu boleh bertindak agresif, sementara buaya yang dilihat di sungai-sungai mungkin sebenarnya sampah atau serpihan yang dihanyutkan banjir. "Tempoh ini adalah musim mengawan bagi ular dan ia 'dihalau' keluar daripada habitatnya disebabkan banjir. Jadi ia mungkin bersikap agresif. "Sampah atau serpihan yang banyak di sungai mungkin disalah anggap sebagai buaya," kata Pengarah Operasi Perkhidmatan Kecemasan Negeri, Scott Mahaffey. Beribu-ribu katak tebu berbisa turut dilihat di sekitar Rockhampton dan pihak berkuasa berkata, bandar itu juga mungkin diancam agas dan nyamuk pembawa penyakit.
Berlainan pula keadaan di negeri-negeri pantai Timur apabila salji turun sejak 20 Disember lepas. Selalunya keadaan cuaca yang biasanya panas pada bulan Disember tiba-tiba digantikan dengan angin dingin yang bertiup dari Lautan Selatan di beberapa bahagian, sekaligus memberikan negara ini merasai nikmat menyambut Krismas dalam keadaan bersalji. Salji turun di beberapa bahagian di negeri-negeri New South Wales dan Victoria, menyebabkan pusat peranginan meluncur ski yang ada di antara kawasan itu biasanya tidak bersalji pada masa ini saban tahun, diliputi dengan salji sehingga 10 sentimeter tebal. Jumlah salji seperti itu adalah perkara yang luar biasa pada awal Disember yang kebiasaannya menjadi kemuncak kepada musim bunga liar di kawasan pergunungan New South Wales. Terletak jauh di selatan negeri Victoria, Gunung Hotham diliputi salji setebal 10 sentimeter dan Gunung Buller pula diliputi salji sehingga lima sentimeter tebal, kata jurucakap Laporan Salji Victoria, Maureen Gearon.
Oleh Hafizahril Hamid
Mingguan Malaysia
16 Januari 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan