JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 Januari 2011

ISU BAHASA : KEJAYAAN MELALUI PERPADUAN BAHASA


Perbezaan antara Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia adalah antara lainnya kecenderungan penggunaan perkataan yang asal-usulnya berbeza. Bahasa Indonesia cenderung menggunakan perkataan yang asalnya daripada bahasa Sanskrit. Sementara Bahasa Malaysia dari bahasa Arab. Umpamanya, ideologi negara Indonesia dinamakan Pancasila, perkataan asal daripada bahasa Sanskrit. Di Malaysia dinamakan Rukun Negara. Rukun asalnya daripada perkataan bahasa Arab. Kedua-dua Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia adalah bahasa Melayu. Cumanya bahasa Melayu di Indonesia dipengaruhi kuat oleh bahasa Sanskrit kerana kedudukan tamadun Jawa yang dipengaruhi Hindu-Buddha berasaskan bahasa Sanskrit amat kuat. Sementara bahasa Melayu di Malaysia berpaksikan Kesultanan Melayu di Melaka telah dipengaruhi dengan Islam hingga bahasa Arab menggantikan bahasa Sanskrit sebagai bahasa ilmu.

Itu asasnya. Apabila penjajah Inggeris dan Belanda membahagikan wilayah Melayu menjadi dua iaitu Indonesia dan Malaysia, maka bahasa di kedua-dua negara juga berkembang secara berpisah. Maka banyaklah perkataan Inggeris masuk ke dalam Bahasa Malaysia, dan istilah Belanda masuk ke Bahasa Indonesia. Maka istilah kantor, kamar dan koran yang asalnya Belanda menjadi perkataan dalam Bahasa Indonesia. Sedangkan di Malaysia, ia menggunakan istilah pejabat, bilik dan akhbar. Katakanlah dulu proses Islamisasi tidak berlaku di Indonesia, maka bahasa Melayu antara kedua-dua negara akan menjauh. Bahasa Indonesia akan penuh dengan perkataan Sanskrit dan Bahasa Malaysia penuh dengan bahasa Arab. Maka Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia jadi seperti Hindi dan Urdu. Ia asalnya merupakan satu bahasa. Jadi apabila kerajaan Moghul memerintah India, maka banyaklah istilah Parsi yang masuk ke bahasa itu. Muncullah bahasa Urdu.

Kini bahasa rasmi Pakistan ialah Urdu, yang penuh dengan istilah Parsi. Sementara Hindi menjadi bahasa rasmi India, penuh dengan perkataan Sanskrit. Selama ini penutur Urdu dan Hindi boleh memahami satu sama lain tetapi akhirnya akan berpisah jauh dan satu hari mungkin tidak akan lagi memahami di antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi tulisan kedua-duanya berbeza. Urdu menggunakan tulisan jawi Parsi sementara Hindi menggunakan tulisan Devanagari. Begitu juga dengan Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia akan berpisah jauh kerana perbezaan istilah yang akhirnya membuat penuturnya tidak memahami di antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi jika bahasa Belanda mempengaruhi kuat ke atas Bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris ke atas Bahasa Malaysia. Tambahan pula dengan perbezaan tulisan. Ketika Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945, tulisan Bahasa Indonesia adalah rumi sedangkan bahasa Melayu di Malaya menggunakan tulisan Jawi. Hanya setelah negara ini mencapai kemerdekaan barulah usaha dibuat supaya bahasa Melayu menggunakan tulisan rumi. Tetapi ejaan rumi Melayu di Malaya berbeza dengan Bahasa Indonesia. Secara rasminya bahasa Melayu di Hindi Belanda menjadi Bahasa Indonesia ialah pada tahun 28 Oktober 1928 melalui Sumpah Pemuda.

Berpisah

Sementara bahasa Melayu di Malaya menjadi Bahasa Malaysia pada 16 September 1963. Dengan ejaan berbeza, ia semakin berpisah jauh. Maka apa yang disebut sebagai bahasa Melayu adalah bahasa Melayu di Thailand dan Brunei yang menggunakan tulisan jawi. Oleh kerana Singapura pada mulanya negeri dalam Malaysia, maka ia juga menggunakan Bahasa Malaysia. Hanya apabila ia berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965, bahasa sana dikenali semula sebagai bahasa Melayu. Tetapi tulisannya menggunakan kaedah rumi Bahasa Malaysia. Selepas Konfrontasi dan semasa pemerintahan Presiden Suharto dan Perdana Menteri Tun Razak, terdapat perasaan jelas bahawa kedua-dua bahasa, Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia tidak wajar dibiarkan hanyut semakin berpisah jauh. Maka pada 16 Ogos 1972, ejaan kedua bahasa diseragamkan. Komitmen penyeragaman ejaan ini menunjukkan bahawa kedua bahasa mahu disatukan. Maka ejaan rumi diseragamkan ini turut diikut serta oleh bahasa Melayu di Thailand, Singapura dan Brunei yang melihat Kuala Lumpur sebagai paksi bahasanya.

Kepentingan bahasa Belanda yang semakin berkurangan di Indonesia dan digantikan dengan bahasa Inggeris menyebabkan Bahasa Indonesia mengikut jejak Bahasa Malaysia dalam mengambil istilah-istilah yang asalnya dari bahasa Inggeris. Dominasi Amerika Syarikat ke atas Indonesia dan kemunculan teknologi maklumat akhirnya akan merapatkan lagi bahasa Malaysia dan Indonesia. Bahasa Malaysia juga banyak mengambil istilah Bahasa Indonesia yang asal-usulnya dari Sanskrit seperti wisma, siswa dan pustaka. Nama tempat di Malaysia juga ada yang asalnya Sanskrit seperti Titiwangsa, Mahameru, Suria dan Damansara. Istilah Sanskrit dan Arab amat dekat dengan lidah bahasa Melayu. Bahasa Malaysia juga tidak keberatan mengambil perkataan Indonesia yang asalnya dari Belanda seperti organisasi dan prestasi. Masa depan cerah bagi Bahasa Malaysia terletak pada penyatuan semua bahasa Melayu. Baik dengan Bahasa Indonesia mahupun dengan bahasa Melayu di Thailand, Singapura dan Brunei.

Seperti kata cogan jata kedua negara: Bersekutu Bertambah Mutu dan Bhineka Tunggal Ika, dalam bahasa Sanskrit bermaksud Perpaduan dalam Kepelbagaian. Sememangnya terdapat banyak perbezaan di antara kedua bahasa. Tetapi dengan sentiasa mencari jalan supaya kedua bahasa semakin mendekat, maka itulah masa depan bahasa kita.

Oleh
Zin Mahmud

Mingguan Malaysia
16 Januari 2010

Tiada ulasan: