JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



19 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : MOBILITI AKADEMIK MANFAAT KEPAKARAN ILMU


Ketika Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi menyampaikan amanat tahunan di hadapan pegawai kanan kementerian dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta profesor, beliau memperkenalkan gagasan baru untuk mengurus bakat melalui pendekatan 'mobiliti akademik'. Beliau percaya bakat yang berada di IPT perlu digilap dan lebih penting, bakat ini kepunyaan negara dan perlu diurus untuk menyumbang pada peringkat kebangsaan dan global. Golongan cerdik pandai dan cendekiawan yang berada di universiti tempatan adalah bakat keintelektualan yang unggul merentasi jabatan, fakulti atau universiti tempat mereka bertugas. Kepakaran dan keilmuan yang ada pada seseorang individu akademik adalah unik, tidak dimiliki oleh sumber manusia lain di dalam negara, malah mungkin juga di seluruh dunia. Oleh itu, setiap ahli akademik mempunyai ilmu atau keupayaan intelek tersendiri dan seharusnya dimanfaatkan untuk faedah negara.

Kerjaya akademik unik dan bersifat universal kerana ilmu dan kepakaran dibangunkan sepanjang hayat. Ahli akademik sentiasa meneroka ufuk ilmu, memperkenalkan idea, konsep dan dapatan baru untuk kepentingan sejagat. Sebahagian besar daripada dapatan penyelidikan ahli akademik jauh terkehadapan daripada masyarakatnya, sehinggakan ia perlu mengambil masa yang lama sebelum berjaya diterjemahkan untuk faedah pembangunan negara. Dalam dunia moden yang mana ilmu menjadi sumber perniagaan, jurang antara pengetahuan dan praktis semakin menyempit, komuniti ilmuwan tidak boleh mengasingkan diri di menara gading, tetapi sebaliknya perlu berhadapan dengan komuniti awam dan swasta. Dalam konteks ini, dasar dan strategi mobiliti akademik perlu dihalusi dan diperkemaskan lagi.

Ada tiga senario penting yang memerlukan perhatian untuk memperkasa mobiliti akademik. Pertama, mobiliti di dalam sesebuah universiti. Ahli akademik yang ditempatkan dalam sesebuah jabatan atau fakulti, dianggap sebagai sumber manusia untuk jabatan atau fakulti itu saja. Pembabitan akademik mereka di luar fakulti dianggap di luar tugasan rasmi, oleh itu kurang disenangi. Tidak banyak interaksi dan mobiliti yang membabitkan perkongsian tugas antara jabatan atau fakulti. Dalam keadaan begini, hanya urusan tradisi yang lazimnya bersifat disiplin yang digalakkan. Gagasan pendidikan dan pembangunan ilmu yang bersifat multidisiplin sukar berlaku dan jika berlaku pun, dalam keadaan yang serba kekurangan. Idea menstruktur program pengajian atau penyelidikan bersifat sektor sukar dilaksanakan kerana tembok jabatan dan fakulti masih terlalu tebal untuk dirobohkan!

Senario kedua membabitkan mobiliti akademik antara universiti. Kebanyakan universiti masih mengamalkan pendekatan ‘sistem tertutup’, dan semuanya perlu diurus dan dilaksanakan oleh sumber manusianya tersendiri. Pinjaman ahli akademik untuk mengajar kursus tertentu hanya bersifat sementara kerana sebahagian daripada universiti yang masih muda kekurangan tenaga akademik. Bagi beberapa universiti yang sudah mantap, suasana persaingan yang negatif mengatasi usaha untuk menggalakkan jaringan pengajaran dan penyelidikan. Sehingga kini, aktiviti mobiliti akademik di antara universiti masih terlalu terhad.

Senario ketiga membabitkan jaringan dan sumbangan kepakaran antara ahli akademik dengan agensi awam dan swasta. Banyak agensi kerajaan, sama ada yang bersifat pembuat atau pelaksana dasar, atau institusi penyelidikan terfokus boleh memanfaatkan kepakaran dan keilmuan yang ada pada golongan akademik. Ahli akademik boleh menyumbang dalam proses menggubal dasar dan strategi untuk melaksanakan program untuk pembangunan negara. Gabungan input idea dan keilmuan yang ada pada ahli akademik dengan pengalaman melaksana pegawai pelaksana boleh memantapkan lagi hala tuju dan objektif pelbagai aktiviti untuk kesejahteraan masyarakat. Walaupun usaha untuk menjaring akademik dengan pengamal industri sudah diperkenalkan dan dirangsang dengan pelbagai insentif, hubungan kedua-dua pihak masih pada tahap minimum. 

Masih banyak halangan yang perlu diharungi untuk memperkukuhkan hubungan ini, antaranya masih yang bersifat struktur tadbir urus sumber manusia pada peringkat universiti. Sebetulnya mekanisme mobiliti akademik di antara universiti sudah lama wujud. Ini meliputi pelbagai pendekatan seperti lawatan, sangkutan dan kerjasama penyelidikan. Konsep ‘profesor pelawat’ dan ‘profesor adjung’ diperkenalkan bagi membolehkan seseorang ahli akademik memberikan sumbangan ke universiti lain, di dalam atau luar negara untuk berkongsi ilmu dan kepakarannya.

Cuti sabatikal atau cuti penyelidikan membolehkan ahli akademik disangkut di universiti luar selama antara tiga hingga 12 bulan, untuk mempelajari teknik baru atau berguru dengan profesor terkenal. Sangkutan sebagai pascadoktoral membolehkan ahli akademik muda yang baru memperoleh ijazah kedoktorannya (PhD) ditempatkan di makmal atau malim terkenal untuk memperkukuhkan kemahiran penyelidikan. Di beberapa universiti, konsep felo bersekutu diperkenalkan bagi membolehkan ahli akademik daripada fakulti terbabit untuk menjalankan penyelidikan secara bersama dengan penyelidik di institut penyelidikan.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) umpamanya, pendekatan ‘pelantikan berganda’, di fakulti dan institut penyelidikan membolehkan kepakaran dikongsi bersama. Bagaimanapun, mobiliti akademik antara universiti dengan agensi awam dan swasta masih sukar dilaksanakan. Walaupun wujud secara terhad, mereka lazimnya hanya dipinjamkan dan perlu berkerja secara sepenuh masa di tempat barunya. Ramai yang memilih terus untuk berpindah kerja! Dalam senario baru, apabila kerajaan memberikan tumpuan melaksanakan model ekonomi baru berteraskan industri berasaskan ilmu dan teknologi termaju, ahli akademik perlu memainkan peranan yang lebih luas. Mereka tidak boleh memberikan tumpuan kepada tugas hakiki iaitu mengajar dan menyelidik saja. Tumpuan perlu juga diberikan kepada khidmat masyarakat dan jaringan industri. 

Dalam sekitaran yang baru ini, dasar dan pendekatan mobiliti akademik perlu diteliti dan dimantapkan. Mobiliti akademik perlu diarusperdanakan, dan benteng yang menghalang pelaksanaan, terutama berkaitan ganjaran, penilaian dan pengiktirafan perlu diberikan perhatian segera. Lampu hijau sudah diberikan oleh menteri, terserahlah kepada pucuk pimpinan universiti tempatan untuk memperkasakannya.

Oleh Dr Ibrahim Komoo
Ketua Kluster,
Sumber Asli dan Alam Sekitar,
Majlis Profesor Negara

BERITA HARIAN
19 JANUARI 2011

Tiada ulasan: