23 Disember 2010

ISU SOSIAL : PELUANG MEMILIKI RUMAH SENDIRI


Tanyalah kepada sesiapa sekali pun, pasti tidak ada yang menafikan antara yang menjadi impian ialah untuk memiliki rumah sendiri. Namun berapa ramai pula daripada kita yang mampu berbuat demikian? Ini adalah antara dilema yang wujud dalam sektor hartanah negara apabila banyak projek perumahan yang dibangunkan tidak terjangkau oleh kelompok masyarakat majoriti. Sebaliknya, projek-projek perumahan itu hanya mesra kumpulan mewah apabila harganya terlalu tinggi sehingga boleh disifatkan tidak munasabah. Keadaan itu semakin ketara terutamanya di kawasan-kawasan bandar seperti di sekitar Lembah Klang. Adalah sesuatu yang mustahil ketika ini untuk mencari projek-projek perumahan yang ditawarkan di bawah RM150,000 di sekitar kawasan Lembah Klang. 

Jika ada sekali pun, kekangan lain pula dihadapi oleh pembeli apabila perlu menyediakan bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus. Mengambil contoh rumah berharga RM150,000, pembeli perlu menyediakan wang sendiri sebanyak RM15,000 bagi bayaran pendahuluan. Itu belum ditambah dengan bayaran lain seperti yuran guaman dan sebagainya yang mana pembeli mungkin mengeluarkan wang sendiri sehingga RM20,000. Jumlah ini bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta mereka yang baru bekerja adalah terlalu besar. Ini menyebabkan impian untuk memiliki rumah sendiri akhirnya hanya boleh dipenuhi oleh golongan kaya yang bukan sahaja memiliki sebuah rumah, malah lebih daripada itu. Justeru apabila kerajaan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku dengan jaminan pinjaman 100 peratus, ia membuka peluang yang lebih luas kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah sendiri.

Skim itu yang berkuatkuasa bermula Januari ini diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011, Oktober lalu. Skim itu akan menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000 dan dibuka untuk pembelian rumah pertama yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan. Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) adalah antara syarikat terawal yang menyahut saranan kerajaan itu apabila menawarkan kira-kira 11,000 unit rumah yang sudah siap sepenuhnya kepada pembeli bermula 1 Januari ini. Rumah yang berharga antara RM35,000 hingga RM220,000 itu ditawarkan kepada pembeli rumah pertama yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Daripada jumlah itu, kira-kira 6,300 unit akan ditawarkan tanpa dikenakan bayaran deposit sebanyak 10 peratus iaitu menepati dengan program Skim Rumah Pertamaku. 

Jumlah itu tidak termasuk kira-kira 1,200 unit rumah mampu milik yang akan dibina di bawah projek-projek baru SPNB mulai tahun depan. Projek baru itu meliputi beberapa kawasan di sekitar Selangor, Johor, Kedah dan Sabah. Menurut Pengarah Urusan SPNB, Prof. Dr. Kamarul Rashdan Salleh, SPNB sehingga kini sudah pun menerima beberapa permohonan untuk dipertimbangkan di bawah skim tersebut.  Begitu pun, tidak semua rumah kos rendah boleh ditawarkan di bawah Skim Rumah Pertamaku. Sebaliknya ia hanya dibuka kepada kumpulan sasar yang benar-benar layak seperti golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta golongan yang tidak bernasib baik. Golongan muda, mereka yang baru bekerja, warga emas dan keluarga dengan isi rumah yang besar juga antara yang akan dipertimbangkan untuk membeli rumah mampu milik tanpa deposit itu. ''SPNB bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengenalpasti mereka yang benar-benar layak untuk membeli rumah di bawah Skim Rumah Pertamaku ini,'' kata beliau. 

Namun di sebalik kemudahan pemilikan rumah yang ditawarkan menerusi skim itu, masih ada beberapa perkara yang perlu diperincikan. Ia terutama berkait dengan keuntungan dan kelebihan secara keseluruhan kepada golongan sasaran tersebut. Antaranya ialah lokasi rumah kos rendah dan sederhana itu yang terletak di pinggir bandar dan agak jauh daripada infrastruktur serta prasarana yang sempurna. Ini menyukarkan pembeli terutama mereka yang bekerja di bandar untuk berulang-alik ke tempat kerja. Malah jika dibuat perhitungan, pembeli rumah mampu milik ini masih perlu menanggung perbelanjaan yang tinggi terutamanya kos perjalanan seperti minyak dan tol. Begitu pun dalam hal ini, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh SPNB kerana tanggungjawab menyediakan prasarana dan infrastruktur yang sempurna terletak di bawah agensi kerajaan yang lain. Namun SPNB turut mengakui, ia adalah antara yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan dalam memastikan program pemilikan rumah bagi setiap penduduk benar-benar memberi manfaat secara menyeluruh.

Sebagai penyelesaian yang lain, SPNB melihat adalah lebih baik sekiranya syarikat itu boleh menyediakan rumah kos rendah dan mampu milik di kawasan bandar terutamanya di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur. Ia sememangnya kedengaran tidak munasabah kerana adalah mustahil untuk mendapatkan tanah pada harga yang murah di tengah-tengah bandar. Namun Dr. Kamarul tetap berkeyakinan ia boleh dilaksanakan antaranya dengan membangunkan tanah-tanah milik kerajaan yang terdapat di sekitar bandar. Kerjasama juga boleh dijalankan dengan mendapatkan tanah-tanah milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di lokasi strategik untuk dibangunkan rumah kos rendah dan mampu milik. Malah, SPNB juga tidak menolak sekiranya ada tuan tanah yang mahu membangunkan tanah wakaf mereka dengan projek rumah kos rendah dan mampu milik dengan keuntungan secara bersama. 

Kaedah lain yang difikirkan sesuai oleh SPNB juga ialah menerusi kerjasama dengan DBKL untuk membaikpulih flat-flat lama untuk dijadikan kediaman yang lebih selesa dan mampu milik. Bagi SPNB, usaha seperti itu bukanlah satu halangan kerana ia masih meliputi skop tanggungjawab syarikat berkenaan yang turut mengambilalih projek-projek terbengkalai untuk dibaikpulih. SPNB sehingga kini misalnya, sudah membaikpulih kira-kira 77 buah projek terbengkalai sehingga boleh didiami dengan enam projek lain sedang dalam proses baik pulih. Begitu pun bagi Dr. Kamarul, usaha memenuhi impian setiap rakyat Malaysia untuk memiliki kediaman sendiri tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di atas bahu agensi kerajaan seperti SPNB. 

Sebaliknya, semua pihak yang terbabit secara langsung dalam industri hartanah perlu bekerjasama untuk menyediakan satu persekitaran perniagaan hartanah yang boleh disertai oleh setiap kelompok masyarakat. Dari sudut pakej pinjaman misalnya, apa yang boleh dicadangkan ialah tawaran pinjaman diberi berdasarkan pendapatan atau kemampuan individu. Sebagai contoh ialah dengan menawarkan skim bayaran berkala yang murah pada tahun-tahun awal dan ditingkatkan sesuai dengan kenaikan gaji peminjam. Selain bank, pihak-pihak lain yang terbabit dalam sektor pembinaan juga perlu dikawal supaya tidak berlakunya monopoli yang menyebabkan harga rumah meningkat. 

''Begitu juga dengan pihak-pihak lain dalam sektor ini yang tidak seharusnya menjadikan keuntungan sebagai agenda perniagaan semata-mata. Ini kerana pada akhirnya, meskipun SPNB sedaya upaya membina rumah kos rendah, sederhana dan mampu milik kepada orang ramai, ia tidak dapat dimanfaatkan oleh kumpulan sasar kerana tidak sealiran dengan pihak-pihak lain dalam sektor hartanah yang lebih berorientasikan keuntungan dan komersial," katanya.

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL 
Utusan Malaysia
23 Disember 2010

ISU PENDUDUK : JUMLAH PENDIDIK MALAYSIA KINI IALAH 27.6 JUTA ORANG


Malaysia kini mempunyai 27,565,821 penduduk dengan lelaki melebihi wanita pada nisbah 105:100. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, statistik itu berdasarkan laporan kiraan permulaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010. Katanya, penduduk lelaki kini adalah 14,112,667 orang dan wanita 13,453,154 orang. Purata kadar pertumbuhan penduduk tahunan dalam tempoh 2000 hingga 2010 ialah 2.17 peratus, menurun berbanding 2.60 peratus dari 1991 hingga 2000. 

ISU PENDIDIKAN : AKADEMIA NEGARA KHAZANAH DUNIA


Penganugerahan Professor Ulung telah melonjakkan martabat dan penghargaan yang tidak ternilai diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terhadap golongan akademia. Penjenamaan dan pengiktirafan ini juga setaraf dengan Anugerah Nobel walaupun diperkenalkan di peringkat negara. Ini menambah amanah, tanggungjawab dan peranan golongan pensyarah di universiti tempatan untuk menghasilkan bilangan modal insan yang cemerlang, berwibawa, berilmu, berwawasan jauh dan berupaya menandingi kepakaran antarabangsa. Peringatan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada komuniti pensyarah muda patut dijadikan penggerak dan pemaju untuk mencapai peningkatan yang lebih progresif dan tidak hanya terbatas di peringkat lokal. Kepakaran mereka perlu dikomersialkan dan diperdagangkan supaya Malaysia dikenali sebagai pusat akademia sedunia.

Ternyata KPT mempunyai barisan ahli akademik yang terdiri daripada pelbagai disiplin dan kepakaran ilmu. Tidak terkecuali sasaran akademia muda yang sentiasa mendapat perhatian daripada semua pihak dalam era globalisasi ini yang dilihat sebagai the new generation academia era. Kerajaan Malaysia tidak perlu berharap kepada bantuan kepakaran luar kerana negara sudah berjaya melahirkan seramai 28,571 orang ahli akademik. Daripada jumlah itu, sebanyak 28.1 peratus memegang Ijazah Kedoktoran (PhD) dan 56 peratus berkelulusan Sarjana. Angka ini akan bertambah menjelang 2020.
Memandangkan Malaysia kini sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi dan menyasarkan 75 peratus pensyarah IPT berkelulusan PhD pada 2020, pelbagai program dan pelan transformasi pendidikan diperkenalkan bagi menggalakkan golongan ini mengasah ilmu mereka mengikut kepakaran masing-masing. Seharusnya golongan akademik muda menyahut seruan daripada dasar negara sebagai cabaran untuk terus melangkah lebih jauh ke hadapan. 


Bukan sekadar mendapatkan sijil atau kelulusan tetapi menjadikannya sebagai sebahagian daripada masyarakat 1Malaysia yang berinovasi tinggi, bermatlamat produktif dan pakar rujuk ilmu yang terulung dalam segala lapangan ilmu. Amanah ilmu kepada masyarakat merupakan amanah yang dituntut oleh setiap agama. Ilmu perlu dikongsi dan bukan dijual beli. Ilmu adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan oleh para pendidik hingga ke akhir hayat mereka. Keikhlasan mencurahkan ilmu adalah tonggak utama dalam institusi pendidikan tinggi negara. Melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), tenaga akademik akan bekerja lebih gigih apabila Malaysia menjadi titik tumpu pusat gedung ilmu menjelang 2020. Kebanjiran penuntut dari luar negara yang sanggup menjelajah jauh dari seluruh pelusuk dunia membuktikan bahawa universiti-universiti tempatan di Malaysia diiktiraf dan menawarkan pengajian yang menarik minat mereka untuk menjadikan universiti tempatan sebagai hab ilmu. Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berada dalam kelas dunia tersendiri kerana kesungguhan dan kewibawaan warga akademia yang sentiasa berusaha memartabatkan nama negara di peringkat lokal dan antarabangsa.

Mereka harus dinobat, diberi kredit, dipuji dan diberi pengiktirafan daripada sumbangan yang dizahirkan. Ini kerana pelbagai 'dugaan' perlu ditempuhi sepanjang tempoh perkhidmatan mereka di IPT terutama dalam era yang sangat mencabar ini. Sokongan penuh golongan akademia muda kepada KPT dan negara perlu diukur melalui prestasi para akademik muda yang mempunyai tahap kecemerlangan yang membanggakan. Serta memberi peluang kepada mereka untuk terus melonjak lebih tinggi supaya mereka dapat mengembangkan kepakaran ilmu masing- masing. Sekiranya usaha untuk mengiktiraf golongan akademia muda ini disukat berdasarkan kepada pencapaian dan merit, ia mampu membentuk persaingan yang sihat untuk mencipta atau membentuk model yang bakal dimartabatkan sebagai Profesor Ulung masa depan.

Galakan, sokongan, motivasi, pendekatan positif serta penyeragaman perlu diberi perhatian yang berterusan bagi mengkaji kekuatan dan kerelevanan sumbanagan golongan akademia muda ini bukan sahaja diiktiraf di peringkat universiti. Malah melangkaui garis sempadan negara bagi mewujudkan persaingan dan persekitaran yang lebih mesra akademik, sihat dan sempurna dalam kalangan ahli akademik. Golongan akademia muda hari ini merupakan generasi ilmuwan dan harus mencabar kehebatan diri dan ilmu untuk menjadi yang terbaik antara yang paling baik. Melalui sistem akademik yang mesra ilmu ini, IPTA dan golongan akademia muda berada di landasan yang betul. Penubuhan Majlis Profesor Negara (MPN) adalah contoh terbaik kerana majlis ini bukan sahaja dibentuk untuk para Profesor di seluruh negara. Tetapi pusat 'tabung uji' para pelapis kepada bakal Profesor masa depan yang merujuk kepada para akademia muda hari ini. Siapakah bakal Profesor masa depan? Sudah tentu ahli akademia muda yang ada di seluruh negara akan mengambil tempat mereka sebagai masyarakat MPN tidak lama lagi. Semangat beginilah yang diperlukan di dalam setiap individu yang bergelar akademia muda. 

Sebelum bergelar pakar ilmu, golongan ini perlu mempersiapkan diri dengan ilmu, pemikiran yang lebih matang, sentiasa bersedia untuk bersama membantu KPT dan negara dalam segala pelan dan program yang dijalankan demi memartabatkan ilmu. Sebagai contoh, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept) merupakan antara akademi yang sangat aktif dalam melengkapkan barisan akademia yang berkualiti pada masa depan. Gelaran Dr., Profesor Madya, Profesor dan sebagainya bukanlah laluan untuk mendabik dada. Tetapi kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mengejar gelaran tersebut. Usaha ini perlu disemai dengan benih yang bergred tinggi, barulah hasilnya juga berkualiti tinggi.

Sehubungan itu, profesion pensyarah adalah sebuah kerjaya yang 'multi-tasking' kerana seorang pensyarah adalah agen kepada semua pihak seperti pelajar, ibu bapa, universiti, badan bukan kerajaan (NGO), negara dan seluruh masyarakat umum. Merekalah pakar rujuk utama yang sentiasa dicari untuk mendapatkan kepastian dan jawapan akademik yang melangkaui aspek sosial, ekonomi, politik, pemikiran dan lain-lain. Dengan usaha yang diperkenalkan oleh negara melalui Pelan Transformasi Negara di mana Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Malaysia bakal menambah bilangan ahli akademik menjelang 2020 dan profesion ini akan menjadi antara pilihan utama tanpa mengira jantina.

Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad
Pensyarah Kanan 
Jabatan Antropologi dan Sosiologi
Panel Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya 
Universiti Malaya (UMCEDEL)

Utusan Malaysia
23 Disember 2010

ISU PERPADUAN : BUDAYA ETNIK PATUT JADI JAMBATAN KUKUHKAN PERPADUAN

 
Minggu lalu saya diminta untuk bercakap tentang peranan budaya etnik dalam konteks 1Malaysia di hadapan sekumpulan penulis dan budayawan. Sarawak dengan komposisi 30 etnik sering dijadikan suri teladan hubungan etnik yang harmoni. 1Malaysia bertujuan untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Saya menekankan konsep 1Malaysia mengenai sikap penerimaan rakyat berbilang kaum iaitu sesuatu kaum menerima keunikan kaum lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan aman, damai dan harmoni. Inilah dimaksudkan dengan kesatuan dalam kepelbagaian.

Kita perlu saling menghormati dan bertolak ansur, serta saling memahami budaya masing-masing. Kemajmukan atau pluraliti sepatutnya diterima sebagai satu realiti. Kemajmukan tidak harus menjadi tembok penghalang perpaduan dan kemajuan, sebaliknya sebagai keunikan dan sumber kekuatan bagi melonjakkan negara ini ke hadapan sebagai negara maju. Budaya etnik dapat memberikan jati diri kepada sesuatu kumpulan etnik. Budaya memberi sesuatu kumpulan etnik bukan saja untuk melihat dunia dan masyarakatnya, tetapi juga dunia luar, selain membantu mereka melihat dan mentakrif diri sendiri dan masyarakatnya. Ia menyemai, membentuk dan menentukan sikap, nilai, persepsi, malah perlakuan dan tindakan kumpulan etnik itu ketika berinteraksi, berkomunikasi dan bekerja dengan etnik lain sama ada di pasar, di tempat kerja atau di sesuatu majlis.
 
 
Kita boleh menyifatkan budaya etnik sebagai pengikat yang menyatupadukan anggota masyarakat bersama menerusi pemikiran, bahasa, adat resam, kepercayaan, kesenian, agama, pakaian, makanan, aspirasi dan pelakuan yang dikongsi bersama demi survival. Masyarakat kita juga dikenali dengan pluralisme bahasa dan budaya. Pluralisme adalah satu realiti hidup yang perlu kita terima dan kepelbagaian itu tidak seharusnya menjadi masalah dalam usaha kita mencapai perpaduan dan kemajuan. Namun, masalah pasti akan timbul jika ada pihak tertentu menjadikannya sebagai agenda politik sempit. Setakat ini, rakyat Malaysia sudah menerima kebudayaan kebangsaan dan bahasa kebangsaan sebagai antara tonggak perpaduan rakyat, manakala budaya etnik masing-masing pula dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. 
 
 
Namun, sejauh manakah rakyat pelbagai kaum di negara ini sedar dan saling memahami budaya etnik lain, selain etnik mereka sendiri? Sejauh manakah rakyat Malaysia di Semenanjung dan Sabah faham budaya etnik penduduk di Sarawak dan sejauh mana pula penduduk di Sarawak sedar dan faham budaya etnik di Semenanjung dan Sabah? Adakah kita umpama jiran yang tidak mengenali jiran sebelah-menyebelah? Tidaklah keterlaluan dikatakan, meskipun pelbagai langkah diambil untuk mewujudkan perpaduan dan integrasi, namun ia lebih bersifat top-down. Pengalaman saya mengajar kursus Hubungan Etnik di universiti mengesahkan hakikat ini apabila didapati sebahagian besar pelajar dari luar Sarawak tidak pun tahu kewujudan kebanyakan etnik di Sarawak, apatah lagi untuk mengenali budaya mereka. Keadaan sedemikian tentu tidak baik untuk masa depan generasi muda dan negara ini.
 
Polarisasi kaum dan polarisasi budaya berasaskan etnik tidak harus dibiarkan terus berlaku. Harus dicari jalan berkesan bagi memungkinkan berlakunya komunikasi silang budaya melalui pelbagai pendekatan dan kaedah bagi mengikiskan segala unsur negatif yang dapat menghambat kesepaduan dan perpaduan sosial. Kita bagai terkurung di dalam kepompong etnik, wilayah atau negeri kita sendiri disebabkan oleh pelbagai faktor segregasi, termasuk tempat tinggal dan sistem persekolahan. Budaya dapat memainkan peranan sebagai jambatan penghubung bagi pelbagai etnik di negara ini. Elemen budaya dapat dimanfaatkan sebagai unsur pemersatu rakyat daripada pelbagai etnik dan negeri.

Dengan kerencaman dan kepluralitian, tidak dapat tidak kita berdepan dengan pelbagai hambatan untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Sesuai dengan kelaziman, setiap etnik pasti memiliki sikap etnosentrisme yang tinggi, iaitu rasa bangga terhadap budaya etnik sendiri. Memang tidak ada salahnya dengan sikap sedemikian, tetapi sikap menanggapi dan melihat kelompok etnik lain menerusi kaca mata etnik sendiri tentu boleh mendatangkan masalah. Dalam usaha kita merealisasikan 1Malaysia, segala unsur negatif perlu diminimumkan atau dihapuskan, misalnya unsur prejudis dan stereotaip terhadap etnik lain akibat daripada pelbagai faktor termasuk jurang komunikasi dan tempat tinggal yang terpisah. Prejudis dan stereotaip terhadap etnik lain berlaku apabila timbul tanggapan negatif terhadap etnik berkenaan.
 
 
Oleh : Janeri Amir
pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak
 
Berita Harian
22 Disember 2010 

22 Disember 2010

ISU WANITA : PENCAPAIAN WANITA MALAYSIA TERUS MENYERLAH PADA TAHUN 2010

 
Kemuncak kecemerlangan pencapaian wanita di negara ini cukup manis dan menyerlah sebelum 2010 melabuhkan tirainya apabila Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dinobatkan sebagai wanita pertama Tokoh Maal Hijrah, baru-baru ini. Malah kejayaan itu juga memecah rekod lelaki yang mendominasi anugerah itu sejak diperkenalkan 24 tahun lalu. Anugerah berkenaan sememangnya wajar memihak kepada Dr Zeti Akhtar kerana beliau dianggap sebagai ikon dalam industri perbankan dengan memberikan banyak sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara termasuk mengilhamkan penubuhan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) pada 2006, selain diiktiraf sebagai wanita paling berkuasa dalam kewangan pada 2000 oleh Majalah Global Finance. 
 
Kejayaan itu tidak saja dianggap pencapaian hebat wanita yang begitu membanggakan, malah mampu memartabat serta meletakkan golongan Hawa ke tahap tertinggi menyaingi lelaki. Mengungkap kenangan pahit manis sejarah sepanjang hampir 365 hari, pembabitan wanita dalam pembangunan negara tidak seharusnya dipinggirkan. Rentetan dari setahun ke setahun, pencapaian wanita dalam pelbagai bidang terus menyerlah. Sejajar dengan separuh populasi penduduk wanita, sepatutnya tenaga, masa, kemahiran dan pengetahuan mereka dijana sepenuhnya untuk kepentingan negara dan masyarakat, selain dapat meningkatkan kemampuan diri. Tembok diskriminasi monopoli lelaki dalam bidang kehakiman syariah dapat ditembusi apabila kerajaan buat julung kalinya melantik dua hakim syarie wanita pertama negara, iaitu Suraya Ramli, 31 dan Rafidah Abdul Razak, 39, pada Mei lalu. Kedua-duanya yang masing-masing bertugas di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Putrajaya diharapkan sebagai pembuka jalan ke arah penambahan lebih ramai lagi hakim syarie wanita pada masa depan terutama membabitkan kes bersifat gender. 
 
 
Dalam mencari permata hebat dalam kalangan wanita, pada tahun ini, Datuk Robiah Abdul Ghani, 57, juga memecah tradisi sebagai polis wanita pertama dilantik Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, selain itu, sebelumnya, beliau turut melakar sejarah wanita pertama menjadi Ketua Polis Negeri Pahang. Apa yang diharapkan tembok penguasaan lelaki dalam jawatan atasan dalam bidang kepolisan perlu terus dirempuh bagi mempamerkan wanita juga gagah menyumbang tenaga untuk memastikan keamanan dan keselamatan negara terus terjamin. Potensi dan kewibawaan wanita perlu dipertingkatkan lagi. Kita sewajarnya melahirkan lebih ramai lagi tokoh seperti bekas wanita pertama dilantik menganggotai jemaah menteri Malaysia (Menteri Kebajikan), Tun Fatimah Hashim yang kembali ke rahmatullah, tanggal 7 Januari lalu ketika usianya mencecah 85 tahun akibat sakit tua, benar-benar satu kehilangan besar.

Ketokohan, kegigihan dan semangat yang mengalir dalam darahnya dengan pembabitan cukup aktif dalam arena politik sepatut wujud kepada wanita pada zaman ini bagi meneruskan legasi kewibawaan wanita di negara ini.
Namun ketika negara mencatat kejayaan demi kejayaan membabitkan wanita, negara dikejutkan dengan tragedi paling menyayat hati serta menggemparkan seluruh masyarakat apabila Pengasas Syarikat Kosmetik Nouvelle Beauty Care Sdn Bhd, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama tiga lagi pemandu, pegawai bank dan peguam peribadinya disahkan dibunuh dan mayatnya dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebuah sungai dekat Ladang Gadong, di Tanjung Sepat, Banting. Pembunuhan kejam jutawan kosmetik itu yang dilaporkan pada 30 Ogos lalu ketika berada di Banting untuk urusan pembelian tanah disifatkan kehilangan besar ikon dan contoh kepada dunia keusahawanan wanita Melayu. Kegigihan dan kecekalan yang bermula menjual barangan kecantikan dari rumah ke rumah, akhirnya mampu empayar perniagaan kosmetik seharusnya dijadikan teladan wanita lain. 
 
 
Dalam bidang sukan, Datuk Nicol Ann David, 27, terus unggul sebagai pemain skuasy nombor satu dunia masih belum dapat ditandingi. Kejayaan terbaru menyumbang pingat emas dalam Sukan Asia, di Guangzhou memperlihatkan prestasi cemerlang dengan terus mendominasi skuasy wanita dunia sejak lima tahun lalu serta dianggap antara legenda skuasy dalam senarai kedudukan dunia sejak Januari 2006 dengan memenangi banyak permainan pada peringkat dunia. Laporan pula menunjukkan Malaysia menduduki tempat kelima di seluruh dunia dengan 31 peratus wanita memegang jawatan kanan dalam Perusahaan Sederhana hingga Besar (PSB) negara. Agenda memperkasa dan meningkatkan martabat wanita tidak pernah padam.

Justeru wanita yang menjadi Ahli Parlimen, pembuat keputusan, khususnya sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif dan dalam bidang lain masih belum mencukupi bilangannya, sedang wanita mewakili setengah populasi penduduk perlu dibuktikan dengan melakukan pembaharuan dan dasar yang dapat memastikan kemajuan dan kesejahteraan wanita dan isu berkaitan wanita.
Selain itu, beberapa pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun ini untuk mengiktiraf sumbangan wanita dalam kemajuan negara, umpamanya memperuntukkan RM30 juta bagi meningkatkan penyertaan golongan itu dalam bidang keusahawanan sewajarnya dijadikan batu loncatan kepada golongan itu untuk memacu peranan mereka ke tahap paling tinggi.

 
Pada masa sama, pengumuman tempoh cuti bersalin 90 hari berbanding 60 hari kepada penjawat awam wanita yang turut dijangka dinikmati sama oleh kakitangan sektor (akan dikemukakan kepada Kabinet Januari depan) adalah sebagai bonus kepada wanita untuk menumpukan perhatian demi kesejahteraan rumah tangga.  Begitu juga keupayaan wanita terus dipacu sepenuhnya. Bagi wanita suri rumah, pesara, ibu tunggal, orang kurang upaya dan pelajar universiti pengajian tinggi pula, boleh bekerja separuh masa mengikut Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 mulai 1 Oktober lalu bakal memberi jaminan faedah kepada lebih 6.5 juta rakyat.

Pada masa sama, forum dan sidang pada peringkat nasional dan antarabangsa dijadikan platform bagi mewarnai program seumpamanya sepanjang tahun ini. Antaranya atas usaha Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ialah mengumpulkan lebih 15 wanita pertama di seluruh dunia menyertai Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama yang berlangsung selama tiga hari, pada 11 hingga 13 Oktober lalu.
Selain membincangkan pelbagai isu dibincangkan khususnya memperkasakan kanak-kanak untuk menjadi pemimpin masa depan, apa yang nyata peranan Wanita Pertama ini tidak saja dilihat tipikal, mengiringi suami masing-masing dalam setiap majlis sebaliknya begitu signifikan sebagai penyokong perubahan strategik yang memberi penekanan kepada inisiatif komuniti seperti bidang kepemimpinan, pendidikan, memperkasakan dan pembangunan sosial secara keseluruhan. Majlis itu dianggap sebagai titik tolak membincangkan isu kewanitaan yang lebih mencabar pada masa depan.

Apa juga sejarah manis yang tercatat sepanjang 2010, hakikatnya, banyak lagi isu yang belum selesai menunggu bagi memperkasakan konflik, keadilan dan kesedaran terhadap isu tertentu membabitkan wanita yang perlu diselesaikan perjuangannya, sebaik saja memasuki tahun baru nanti.
 
 
Oleh Jami'ah Shukri
Berita Harian
22 Disember 2010 

ISU BAHASA : 1 BAHASA, 1 SEMANGAT JATI DIRI KEBANGSAAN

 
Pemilihan hanya satu bahasa, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa negara perlu difahami lagi dihayati dalam konteks Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (disemak pada 1971). Begitu juga dengan pemupukan serta pelestarian jati diri, taraf dan citranya dalam semua bidang. Sehubungan ini, ia perlu juga dilihat dari dimensi muhibah ekoran daripada kontrak sosial yang dipersetujui bersama. Namun, penggunaannya yang sejati dalam kuantiti banyak serta kualiti yang baik pada setiap masa oleh semua pihak, lebih-lebih lagi dalam semua kegiatan budaya tinggi adalah jauh lebih penting daripada perlindungan perundangan itu. Ini adalah untuk menjamin kelangsungannya, bukan saja dalam bentuk yang perkasa, tetapi juga sebagai bahasa bermaruah tinggi.  Sebetulnya semua ini memerlukan iltizam setiap rakyat. 
 
Setiap satu daripada kita perlu memupuk kecekapan berbahasa Melayu, di samping kesetiaan dan kebanggaan terhadap bahasa Melayu dalam jiwa pada setiap masa. Ini bertujuan antaranya untuk memastikan kedudukan bahasa Melayu sentiasa teguh, sejajar statusnya sebagai bahasa negara. Pemilihan dan lebih penting lagi penggunaan hanya 1bahasa, iaitu bahasa Melayu untuk negara ini tidak dapat dinafikan, khususnya dalam menyatupadukan rakyatnya yang pelbagai kaum, boleh membentuk satu jati diri nasional yang sama. Ia juga mampu memupuk 1semangat kebangsaan yang sama, untuk dipamerkan setiap rakyat sebagai 1Bangsa Malaysia yang bersatu padu, selain sebagai 1Negara Malaysia yang bersekutu. Ini bertepatan sekali dengan idea perpaduan dalam Gagasan 1Malaysia, selain moto negara, iaitu Bersekutu Bertambah Mutu. Dalam hal ini, satu isomorfi, iaitu hubungan kerakyatan dengan penggunaan bahasa negara perlu wujud. Selain kumpulan etnik Melayu/Bumiputera, rakyat Malaysia lain yang berasal daripada pelbagai latar budaya dan menggunakan bahasa etnik masing-masing perlu memperlihatkan hubungan lebih erat antara kerakyatan dengan bahasa Melayu. 
 
Dengan kata lain, kesetiaan sebagai rakyat Malaysia perlu juga diperlihatkan melalui penggunaan bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara. Sehubungan itu, rakyat Malaysia, khususnya yang bukan asal selain perlu mementingkan, harus menggunakan bahasa Melayu selaku bahasa utama di negara ini pada setiap masa, dalam kadar yang banyak selain bentuk yang bermutu. Penggunaan begini bukan saja untuk komunikasi rasmi, iaitu dalam majlis rasmi/formal yang dituntut oleh perundangan, tetapi juga untuk tidak rasmi, iaitu interaksi tidak formal sesama kenalan atas inisiatif sendiri. Isomorfi begini adalah satu fenomena yang bukan saja lumrah di seluruh dunia, tetapi mantap di beberapa negara. Antaranya Indonesia di rantau ini. Hal sama berlaku di Thailand. Malangnya, ia tidak di Malaysia.

 
Isomorfi antara kerakyatan Malaysia dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam kuantiti yang banyak, selain dalam bentuk yang baik dan betul, khususnya dalam aspek kehidupan nasional, adalah sesuatu yang belum wujud secara utuh di negara ini. Sebaliknya ia dalam keadaan masih tidak memuaskan. Sehubungan ini, rakyat Malaysia daripada semua kelompok etnik, khususnya yang bukan asal perlu menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Dalam konteks ini, mereka perlu menganggap bahasa Melayu lebih daripada sebuah lingua franca. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dilihat lebih daripada hanya digunakan secara rutin dan selalunya dalam bentuk jelik pula. Ia tidak boleh hanya digunakan semata-mata dalam kegiatan budaya rendah, seperti urusan jual beli di pasar saja. Ia perlu disanjungi lebih daripada itu.

Bahasa Melayu selaku bahasa negara bukan saja ‘jiwa kepada Bangsa Malaysia’, dalam konteks pengertian ungkapan ‘bahasa jiwa bangsa’, tetapi sebetulnya adalah maruah negara dan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, khususnya dalam pengertian isomorfi yang diperkata itu, martabat serta kehormatan dan reputasi bahasa Melayu meliputi, antara penggunaannya yang baik dan betul pada setiap masa, lebih-lebih lagi dalam mandala rasmi/formal. Taraf bahasa Melayu juga hendaklah selalu berada pada kedudukan teratas, yakni mengatasi mana-mana bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris, apatah lagi bahasa etnik. Meletakkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara di bawah, misalnya bahasa etnik tertentu, adalah satu tindakan yang bukan saja menghina bahasa Melayu, tetapi ikut mengeji negara dan rakyat. Bahasa Melayu selaku bahasa negara adalah simbol nasional, iaitu lambang keagungan negara yang berdaulat dan kemuliaan rakyatnya yang berwibawa, khususnya penduduk etnik Melayu yang menjadi penutur natif kepada bahasa Melayu.

Isomorfi ini juga perlu dikaitkan dengan satu jati diri nasional sama, yakni untuk kedua-dua negara dan rakyat, yang disalurkan melalui satu bahasa saja, iaitu bahasa Melayu selaku bahasa negara. Jati diri negara dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini, melalui bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara, sebetulnya tidak menjadi masalah lagi, kepada sesiapa pun selaku rakyat Malaysia yang setia, lebih-lebih lagi selepas negara ini mencapai kemerdekaannya 53 tahun yang lalu.  Dalam konteks ini, isomorfi ini jati diri negara dan rakyat menerusi bahasa Melayu sebagai bahasa negara perlu bertitik tolak daripada penggunaan yang banyak selain baik dan betul, khususnya dalam mandala rasmi/formal oleh semua rakyat pada setiap masa. Bagi bukan Melayu, jati diri nasional sama serta semangat kebangsaan yang juga sama ini, melalui bahasa Melayu selaku bahasa Melayu perlu bermula dengan penyebutan dan intonasi yang terlepas daripada pengaruh dan gangguan bahasa ibunda masing-masing, khususnya ketika bertutur dalam bahasa Melayu pada setiap masa.

 
Citra negara dan rakyat Malaysia, yakni gambaran yang ingin ditonjolkan mengenai Malaysia sebagai satu entiti politik, sosial dan budaya, khususnya kepada masyarakat luar, adalah juga melalui bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu yang kurang dan tidak baik pula dengan segala macam kesalahan dalamnya, adalah contoh yang boleh merosakkan imej negara dan rakyat. Begitu juga dengan bahasa rojak, yakni percampuran bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris misalnya dan segala macam lain yang negatif. Imej positif bahasa Melayu antaranya perlu dibina dan dipupuk melalui penggunaannya sebagai satu-satunya bahasa pengantar dan/atau bahasa ilmu dalam sistem pendidikan nasional. Ini perlu dilakukan melalui sekolah satu aliran saja, daripada peringkat prasekolah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi dalam semua bidang ilmu/pengetahuan lebih-lebih sains dan teknologi.

Bahasa negara adalah sebahagian yang penting dalam mana-mana kerakyatan. Sehubungan itu, bahasa Melayu adalah komponen penting dalam kerakyatan Malaysia. Justeru, adalah amat malangnya sekali untuk negara ini jika masih ada dalam kalangan kita, walaupun seorang yang tidak boleh berbahasa Melayu. Di manakah kesetiaan mereka ini kepada negara dalam konteks isomorfi yang diperkata itu?

Oleh : Teo Kok Seong
Felo Penyelidik Utama,
Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM

ISU SOSIAL : MAKMAL KHAS PATUT DIWUJUDKAN UNTUK PANTAU KHIDMAT BAS EKSPRESS


Tragedi ngeri bas persiaran dua tingkat yang mengorbankan 27 orang – 25 pelancong Thailand dan dua rakyat tempatan di Perak, kelmarin, perlu dijadikan titik tolak oleh pihak berkuasa untuk mencari penyelesaian muktamad membabitkan nahas pengangkutan awam di negara ini. Kejadian di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dekat Kampung Juang itu adalah nahas terburuk negara setakat ini.
Kita tidak menolak kemungkinan kemalangan sebegini membabitkan bas akan berulang jika tidak ditangani secara serius dan komprehensif. Malah, mungkin lebih buruk jika kita mengambil mudah mengenainya. Ketika ini, kita lihat pihak berkuasa hanya mengamalkan pendekatan mengambil tindakan bermusim atau secara adhoc apabila nahas berlaku. Pada pemerhatian pelbagai pihak, belum nampak usaha lebih meyakinkan dilakukan pada pihak kerajaan untuk membendung kemalangan ngeri ini. 


Yang jelas kita hanya berdebat, memberi cadangan atau mengkritik selepas sesuatu kejadian berlaku. Menteri, persatuan, ahli akademik, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ghairah memberi kenyataan, tetapi malangnya ia sekadar polemik dan lenyap begitu saja beberapa hari kemudian. Kita berharap tragedi di Cameron Highlands, Isnin lalu akan membuka mata, hati dan minda kalangan pihak berwajib untuk merungkai masalah serta mencari punca kemalangan, khususnya membabitkan bas yang tidak putus-putus sejak kebelakangan ini.

Bagi tempoh Januari lalu hingga kelmarin, sekurang-kurangnya 12 kes kemalangan serius membabitkan bas sekolah, bas pelancong, bas kilang serta bas ekspres direkodkan di seluruh negara.  Kemalangan itu meragut 40 nyawa penumpang dan pemandu, selain mencederakan ratusan penumpang. Kekerapan kemalangan ini seolah-olah memperlihatkan ada sesuatu yang tidak kena dengan perkhidmatan pengangkutan bas. Tidak dinafikan, selain sikap pemandu, punca nahas juga ada kaitan dengan sistem operasi syarikat. Pihak pengurusan berdepan dilema untuk menjimatkan masa, kos dan tenaga kerja disebabkan peningkatan kos operasi yang tidak setimpal dengan keuntungan diperoleh.

 
Justeru, soal penjimatan terlalu ditekankan supaya operasi syarikat tidak merugikan. Keadaan ini turut mendorong banyak syarikat menggunakan bas dua tingkat untuk memaksimumkan penumpang dan keuntungan bagi setiap bas sambil meminimumkan kos operasi. Persoalannya, adakah bas dua tingkat sesuai dan selamat digunakan di negara ini? Sudahkah kerajaan atau syarikat bas melakukan kajian risiko ke atas bas dua tingkat yang melalui jalan di pergunungan atau tanah tinggi yang bengkang-bengkok, curam dan tidak stabil? Oleh itu, adalah wajar kerajaan mengaudit semua perkara berkaitan melalui makmal khas atau mengeluarkan garis panduan berhubung penggunaan bas dua tingkat di negara ini. Ini termasuk isu mutu perkhidmatan, imbuhan dan kebajikan pemandu, struktur bas dan penumpang, jadual perjalanan dan berhenti rehat, profil geografi laluan serta potensi bahaya.

Menerusi perbincangan makmal ini, kita percaya kerajaan dapat mengemukakan cadangan komprehensif dan praktikal yang menguntungkan semua pihak, pada masa sama, mampu mewujudkan perkhidmatan mesra, santai dan selamat untuk semua jarak perjalanan. Jika kerajaan boleh memasukkan komitmen mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP), pastinya rakyat akan berasa lega jika makmal khas diwujudkan untuk menaik taraf mutu perkhidmatan serta keselamatan bas ekspres.

 
Perlu diingat, nahas begini bukan setakat meragut nyawa dan mencederakan penumpang atau pengguna jalan raya lain. Ia kerugian besar kepada negara dari segi kehilangan nilai tenaga kerja, kerosakan harta awam serta bayaran pampasan. Kesan paling buruk ialah kepercayaan umum yang semakin terhakis terhadap kemampuan pengangkutan awam, khususnya bas ekspres ketika kerajaan komited memajukan sistem pengangkutan awam nasional menjelang 2020. Persepsi negatif ini bukan saja menakutkan pelancong untuk ke Malaysia, malah mencemar nama baik negara.
 
MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
22 DISEMBER 2010

20 Disember 2010

ISU SOSIAL : REMAJA PERLU TERLIBAT DALAM TRANFORMASI NEGARA


Golongan remaja perempuan di luar bandar perlu dilibatkan bersama dalam program transformasi negara kerana mereka mempunyai pengaruh dalam menentukan kejayaan program itu. Profesor Ulung, Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, golongan itu yang aktif dan gemar bekerja secara berkumpulan mempunyai pengaruh tersendiri dari segi kehidupan dan juga politik. Beliau berkata, malah sebanyak 30 peratus daripada pengundi muda terdiri daripada wanita di luar bandar. Katanya, golongan itu tidak harus diketepikan kerana mereka bekerja secara kolektif, umpamanya dalam kelas jahitan serta masakan dan juga mampu menggerakkan kuasa politik. Jangan sekali-kali melabelkan golongan remaja dengan beberapa panggilan yang negatif kerana sebagai kerajaan pendekatan positif perlu ditonjolkan.

Remaja lelaki pula merupakan golongan yang amat berpengaruh di bandar-bandar dan kerana itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara simbolik telah bertindak mendekati dan berbincang dengan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau yang juga Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengulas kenyataan Najib semalam yang menyarankan golongan remaja dijadikan "rakan kongsi" bagi menarik penglibatan mereka dalam menggerakkan transformasi negara. Shamsul Amri menyarankan agar kerajaan menubuhkan lebih banyak pusat maklumat mengenai peluang pendidikan dan kerjaya di kawasan luar bandar supaya golongan remaja berusia 21 hingga 30 tahun dapat bergerak bersama transformasi yang diperlukan negara.

Sementara itu, Pemangku Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Datuk Seri Abdul Aziz Rahman berkata, maklumat yang diperoleh menerusi Internet menjadikan golongan remaja hari ini berfikiran terbuka dan pantas bergerak. Katanya, mereka juga lebih "bertenaga" dan kerana itu terpaksa mencari tempat untuk meluahkan pemikiran baru dan semangat tinggi yang mereka peroleh melalui Internet. Oleh yang demikian katanya, semua pihak perlu menyediakan program-program yang proaktif yang diilhamkan oleh golongan tersebut dan bukan daripada pihak atasan atau kerajaan. Jelasnya, bagi melengkapi program yang sesuai untuk golongan remaja selaras dengan transformasi negara, satu penyelidikan mengenai sains sosial yang mendalam perlu dilakukan. Kita jangan cepat melabelkan remaja hari ini secara negatif sebaliknya mendekati dan "memeluk" mereka untuk melibatkan diri dalam program-program transformasi yang membantu mereka maju ke tahap lebih tinggi. Beliau menambah, program yang banyak menekankan kepada aspek mental dan fizikal perlu diperbanyakkan supaya menarik minat golongan remaja melibatkan diri.

Utusan Malaysia
20 Disember 2010

ISU KESIHATAN : KEMATIAN AKIBAT DEMAM DENGGI MENINGKAT


Sebanyak 133 kematian akibat demam denggi dicatatkan di seluruh negara sejak 1 Januari lalu hingga semalam dengan kes kematian terbaru dilaporkan berlaku di Johor pada Isnin lepas. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, angka itu menunjukkan peningkatan berbanding 84 kematian yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lalu. Beliau berkata, Selangor muncul sebagai negeri tertinggi yang mencatatkan kematian akibat demam denggi dengan 44 kematian. Jumlah kes denggi yang dilaporkan di seluruh negara juga meningkat iaitu 45,106 kes berbanding 39,711 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu. Selangor juga merupakan negeri yang mencatatkan kes demam denggi tertinggi iaitu 15,978 kes. 

Mengulas mengenai peningkatan kes dan angka kematian akibat demam denggi Rosnah berkata, ia menunjukkan penglibatan masyarakat setempat dalam program gotong-royong untuk mencegah denggi dan kesedaran individu tentang bahaya nyamuk aedes masih rendah. Kata beliau, masalah itu perlu ditangani kerana walaupun kerajaan telah mengadakan pelbagai program kesedaran seperti 10 minit dalam seminggu, Jom Ganyang Aedes dan Combi tetapi jika masih tiada kesedaran dan sokongan daripada masyarakat ia tidak akan berjaya. Selain program kesedaran, katanya, kerajaan juga telah melepaskan nyamuk jantan mandul atau nyamuk G (genetik) di kawasan Bentong, Pahang dan Alor Gajah, Melaka untuk diuji keberkesanannya dalam mengurangkan pembiakan aedes.  Ujian itu berkesan mengurangkan pembiakan nyamuk di kepulauan Cayman. Jadi kita sedang uji sama ada ia berkesan di negara kita dan mampu mengatasi masalah pembiakan aedes. 

Utusan Malaysia
20 Disember 2010

ISU SOSIAL : TARAF DAN KEDUDUKAN TIDAK SAMA PUNCA PENCERAIAN


Tahap pendidikan dan ekonomi golongan wanita yang semakin meningkat dikhuatiri antara punca utama berlakunya penceraian di kalangan pasangan suami isteri pada masa kini. Peguam Syarie, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, berdasarkan pengalamannya mengendalikan kes-kes penceraian pasangan beragama Islam, faktor tersebut didapati semakin berleluasa atas beberapa sebab. Si isteri yang mempunyai kerjaya dan pendidikan serta taraf ekonomi lebih baik berbanding suami didapati mudah berasa bosan dengan kedudukan suami yang lebih rendah. Golongan isteri ini juga akan hilang rasa hormat terhadap suami apabila mereka terlalu biasa dengan kehidupan sebagai pemimpin di tempat kerja atau di dalam masyarakat. Jadi jalan penyelesaian adalah bercerai.

Khairul Anwar berkata, berdasarkan pengalamannya, sebanyak tiga daripada 10 kes penceraian yang dikendalikannya kini adalah disebabkan kedudukan dan taraf isteri yang melebihi si suaminya. Pada hari ini kita melihat ramai wanita yang berkelulusan tinggi berbanding lelaki. Jadi ini sebenarnya menjadi cabaran pada kaum lelaki untuk memperbaiki tahap ekonomi, pendidikan dan sosial mereka. Bagi si isteri pula, mereka akan mampu mempertahankan perkahwinan jika mereka patuh dan sedar tanggungjawab sebagai isteri walaupun suami tidak sama taraf dengan mereka. Jangan bawa sikap pemimpin di tempat kerja ke rumah.  Beliau berkata, amat penting bagi wanita hari ini memilih suami yang 'sekufu' atau setaraf dengan kedudukan mereka supaya dapat mengelak berlakunya penceraian.

Utusan Malaysia
20 Disember 2010

ISU PEKERJA ASING : PEKERJA INDONESIA HANTAR BALIK RM16.1 BILION SETAHUN


Lebih empat juta rakyat Indonesia menjadi pekerja asing di luar negara terutamanya di Malaysia, Singapura, Arab Saudi, Hong Kong, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait. Menurut rekod Bank Indonesia (BI) sehingga September 2010, pekerja Indonesia di luar negara pada tahun ini menghantar pulang wang berjumlah AS$5.03 bilion (RM16.1 bilion), meningkat 2.44 peratus berbanding AS$4.91 bilion (RM15.22 bilion) dalam tempoh sama tahun lepas, lapor agensi berita Antara semalam. Jurucakap bank pusat itu, Difi A. Djohansyah baru-baru ini berkata, pada tahun ini sehingga September 2010, Indonesia menghantar 427,000 pekerja ke luar negara, menurun 12 peratus berbanding 479,000 pekerja dalam tempoh sama pada 2009. Dengan pertambahan pekerja itu, jumlah pekerja Indonesia di luar negara pada September 2010 mencecah 4.32 juta orang.

Kemiskinan dan kekurangan pekerjaan di negara sendiri adalah antara faktor yang memaksa mereka bekerja di luar negara. Di sebalik banyak cerita gembira, terdapat juga beberapa kisah duka kerana pekerja menjadi mangsa tragedi dan penderitaan. Ada yang kembali ke tanah air di dalam keranda kerana menjadi mangsa penyakit, pembunuhan dan kemalangan, manakala sesetengah pembantu rumah hilang upaya akibat diseksa oleh majikan mereka. Baru-baru ini Sumiati Salan Mustafa dari Nusa Tenggara Barat (NTB) dilaporkan didera oleh majikannya di Madinah, Arab Saudi, dengan tubuhnya diseterika dan sebahagian bibirnya digunting. Buat masa ini terdapat 927,500 pekerja Indonesia di Arab Saudi, menjadikannya pengguna tenaga kerja Indonesia yang kedua terbesar selepas Malaysia.

Pengarah Eksekutif pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Migrant Care, Anis Hidayah baru-baru ini berkata, penderaan yang dialami oleh Sumiati kerap berlaku pada pekerja lain tetapi kerajaan Indonesia tidak menganggapnya sebagai masalah serius yang memerlukan tindakan konkrit.

Utusan Malaysia
20 Disember 2010