JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



23 Disember 2010

ISU PERPADUAN : BUDAYA ETNIK PATUT JADI JAMBATAN KUKUHKAN PERPADUAN

 
Minggu lalu saya diminta untuk bercakap tentang peranan budaya etnik dalam konteks 1Malaysia di hadapan sekumpulan penulis dan budayawan. Sarawak dengan komposisi 30 etnik sering dijadikan suri teladan hubungan etnik yang harmoni. 1Malaysia bertujuan untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Saya menekankan konsep 1Malaysia mengenai sikap penerimaan rakyat berbilang kaum iaitu sesuatu kaum menerima keunikan kaum lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan aman, damai dan harmoni. Inilah dimaksudkan dengan kesatuan dalam kepelbagaian.

Kita perlu saling menghormati dan bertolak ansur, serta saling memahami budaya masing-masing. Kemajmukan atau pluraliti sepatutnya diterima sebagai satu realiti. Kemajmukan tidak harus menjadi tembok penghalang perpaduan dan kemajuan, sebaliknya sebagai keunikan dan sumber kekuatan bagi melonjakkan negara ini ke hadapan sebagai negara maju. Budaya etnik dapat memberikan jati diri kepada sesuatu kumpulan etnik. Budaya memberi sesuatu kumpulan etnik bukan saja untuk melihat dunia dan masyarakatnya, tetapi juga dunia luar, selain membantu mereka melihat dan mentakrif diri sendiri dan masyarakatnya. Ia menyemai, membentuk dan menentukan sikap, nilai, persepsi, malah perlakuan dan tindakan kumpulan etnik itu ketika berinteraksi, berkomunikasi dan bekerja dengan etnik lain sama ada di pasar, di tempat kerja atau di sesuatu majlis.
 
 
Kita boleh menyifatkan budaya etnik sebagai pengikat yang menyatupadukan anggota masyarakat bersama menerusi pemikiran, bahasa, adat resam, kepercayaan, kesenian, agama, pakaian, makanan, aspirasi dan pelakuan yang dikongsi bersama demi survival. Masyarakat kita juga dikenali dengan pluralisme bahasa dan budaya. Pluralisme adalah satu realiti hidup yang perlu kita terima dan kepelbagaian itu tidak seharusnya menjadi masalah dalam usaha kita mencapai perpaduan dan kemajuan. Namun, masalah pasti akan timbul jika ada pihak tertentu menjadikannya sebagai agenda politik sempit. Setakat ini, rakyat Malaysia sudah menerima kebudayaan kebangsaan dan bahasa kebangsaan sebagai antara tonggak perpaduan rakyat, manakala budaya etnik masing-masing pula dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. 
 
 
Namun, sejauh manakah rakyat pelbagai kaum di negara ini sedar dan saling memahami budaya etnik lain, selain etnik mereka sendiri? Sejauh manakah rakyat Malaysia di Semenanjung dan Sabah faham budaya etnik penduduk di Sarawak dan sejauh mana pula penduduk di Sarawak sedar dan faham budaya etnik di Semenanjung dan Sabah? Adakah kita umpama jiran yang tidak mengenali jiran sebelah-menyebelah? Tidaklah keterlaluan dikatakan, meskipun pelbagai langkah diambil untuk mewujudkan perpaduan dan integrasi, namun ia lebih bersifat top-down. Pengalaman saya mengajar kursus Hubungan Etnik di universiti mengesahkan hakikat ini apabila didapati sebahagian besar pelajar dari luar Sarawak tidak pun tahu kewujudan kebanyakan etnik di Sarawak, apatah lagi untuk mengenali budaya mereka. Keadaan sedemikian tentu tidak baik untuk masa depan generasi muda dan negara ini.
 
Polarisasi kaum dan polarisasi budaya berasaskan etnik tidak harus dibiarkan terus berlaku. Harus dicari jalan berkesan bagi memungkinkan berlakunya komunikasi silang budaya melalui pelbagai pendekatan dan kaedah bagi mengikiskan segala unsur negatif yang dapat menghambat kesepaduan dan perpaduan sosial. Kita bagai terkurung di dalam kepompong etnik, wilayah atau negeri kita sendiri disebabkan oleh pelbagai faktor segregasi, termasuk tempat tinggal dan sistem persekolahan. Budaya dapat memainkan peranan sebagai jambatan penghubung bagi pelbagai etnik di negara ini. Elemen budaya dapat dimanfaatkan sebagai unsur pemersatu rakyat daripada pelbagai etnik dan negeri.

Dengan kerencaman dan kepluralitian, tidak dapat tidak kita berdepan dengan pelbagai hambatan untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Sesuai dengan kelaziman, setiap etnik pasti memiliki sikap etnosentrisme yang tinggi, iaitu rasa bangga terhadap budaya etnik sendiri. Memang tidak ada salahnya dengan sikap sedemikian, tetapi sikap menanggapi dan melihat kelompok etnik lain menerusi kaca mata etnik sendiri tentu boleh mendatangkan masalah. Dalam usaha kita merealisasikan 1Malaysia, segala unsur negatif perlu diminimumkan atau dihapuskan, misalnya unsur prejudis dan stereotaip terhadap etnik lain akibat daripada pelbagai faktor termasuk jurang komunikasi dan tempat tinggal yang terpisah. Prejudis dan stereotaip terhadap etnik lain berlaku apabila timbul tanggapan negatif terhadap etnik berkenaan.
 
 
Oleh : Janeri Amir
pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak
 
Berita Harian
22 Disember 2010 

Tiada ulasan: