Tragedi ngeri bas persiaran dua tingkat yang mengorbankan 27 orang – 25 pelancong Thailand dan dua rakyat tempatan di Perak, kelmarin, perlu dijadikan titik tolak oleh pihak berkuasa untuk mencari penyelesaian muktamad membabitkan nahas pengangkutan awam di negara ini. Kejadian di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dekat Kampung Juang itu adalah nahas terburuk negara setakat ini.
Kita tidak menolak kemungkinan kemalangan sebegini membabitkan bas akan berulang jika tidak ditangani secara serius dan komprehensif. Malah, mungkin lebih buruk jika kita mengambil mudah mengenainya. Ketika ini, kita lihat pihak berkuasa hanya mengamalkan pendekatan mengambil tindakan bermusim atau secara adhoc apabila nahas berlaku. Pada pemerhatian pelbagai pihak, belum nampak usaha lebih meyakinkan dilakukan pada pihak kerajaan untuk membendung kemalangan ngeri ini.
Yang jelas kita hanya berdebat, memberi cadangan atau mengkritik selepas sesuatu kejadian berlaku. Menteri, persatuan, ahli akademik, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ghairah memberi kenyataan, tetapi malangnya ia sekadar polemik dan lenyap begitu saja beberapa hari kemudian. Kita berharap tragedi di Cameron Highlands, Isnin lalu akan membuka mata, hati dan minda kalangan pihak berwajib untuk merungkai masalah serta mencari punca kemalangan, khususnya membabitkan bas yang tidak putus-putus sejak kebelakangan ini.
Bagi tempoh Januari lalu hingga kelmarin, sekurang-kurangnya 12 kes kemalangan serius membabitkan bas sekolah, bas pelancong, bas kilang serta bas ekspres direkodkan di seluruh negara. Kemalangan itu meragut 40 nyawa penumpang dan pemandu, selain mencederakan ratusan penumpang. Kekerapan kemalangan ini seolah-olah memperlihatkan ada sesuatu yang tidak kena dengan perkhidmatan pengangkutan bas. Tidak dinafikan, selain sikap pemandu, punca nahas juga ada kaitan dengan sistem operasi syarikat. Pihak pengurusan berdepan dilema untuk menjimatkan masa, kos dan tenaga kerja disebabkan peningkatan kos operasi yang tidak setimpal dengan keuntungan diperoleh.
Justeru, soal penjimatan terlalu ditekankan supaya operasi syarikat tidak merugikan. Keadaan ini turut mendorong banyak syarikat menggunakan bas dua tingkat untuk memaksimumkan penumpang dan keuntungan bagi setiap bas sambil meminimumkan kos operasi. Persoalannya, adakah bas dua tingkat sesuai dan selamat digunakan di negara ini? Sudahkah kerajaan atau syarikat bas melakukan kajian risiko ke atas bas dua tingkat yang melalui jalan di pergunungan atau tanah tinggi yang bengkang-bengkok, curam dan tidak stabil? Oleh itu, adalah wajar kerajaan mengaudit semua perkara berkaitan melalui makmal khas atau mengeluarkan garis panduan berhubung penggunaan bas dua tingkat di negara ini. Ini termasuk isu mutu perkhidmatan, imbuhan dan kebajikan pemandu, struktur bas dan penumpang, jadual perjalanan dan berhenti rehat, profil geografi laluan serta potensi bahaya.
Menerusi perbincangan makmal ini, kita percaya kerajaan dapat mengemukakan cadangan komprehensif dan praktikal yang menguntungkan semua pihak, pada masa sama, mampu mewujudkan perkhidmatan mesra, santai dan selamat untuk semua jarak perjalanan. Jika kerajaan boleh memasukkan komitmen mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP), pastinya rakyat akan berasa lega jika makmal khas diwujudkan untuk menaik taraf mutu perkhidmatan serta keselamatan bas ekspres.
Perlu diingat, nahas begini bukan setakat meragut nyawa dan mencederakan penumpang atau pengguna jalan raya lain. Ia kerugian besar kepada negara dari segi kehilangan nilai tenaga kerja, kerosakan harta awam serta bayaran pampasan. Kesan paling buruk ialah kepercayaan umum yang semakin terhakis terhadap kemampuan pengangkutan awam, khususnya bas ekspres ketika kerajaan komited memajukan sistem pengangkutan awam nasional menjelang 2020. Persepsi negatif ini bukan saja menakutkan pelancong untuk ke Malaysia, malah mencemar nama baik negara.
MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
22 DISEMBER 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan