Penganugerahan Professor Ulung telah melonjakkan martabat dan penghargaan yang tidak ternilai diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terhadap golongan akademia. Penjenamaan dan pengiktirafan ini juga setaraf dengan Anugerah Nobel walaupun diperkenalkan di peringkat negara. Ini menambah amanah, tanggungjawab dan peranan golongan pensyarah di universiti tempatan untuk menghasilkan bilangan modal insan yang cemerlang, berwibawa, berilmu, berwawasan jauh dan berupaya menandingi kepakaran antarabangsa. Peringatan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada komuniti pensyarah muda patut dijadikan penggerak dan pemaju untuk mencapai peningkatan yang lebih progresif dan tidak hanya terbatas di peringkat lokal. Kepakaran mereka perlu dikomersialkan dan diperdagangkan supaya Malaysia dikenali sebagai pusat akademia sedunia.
Ternyata KPT mempunyai barisan ahli akademik yang terdiri daripada pelbagai disiplin dan kepakaran ilmu. Tidak terkecuali sasaran akademia muda yang sentiasa mendapat perhatian daripada semua pihak dalam era globalisasi ini yang dilihat sebagai the new generation academia era. Kerajaan Malaysia tidak perlu berharap kepada bantuan kepakaran luar kerana negara sudah berjaya melahirkan seramai 28,571 orang ahli akademik. Daripada jumlah itu, sebanyak 28.1 peratus memegang Ijazah Kedoktoran (PhD) dan 56 peratus berkelulusan Sarjana. Angka ini akan bertambah menjelang 2020.
Memandangkan Malaysia kini sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi dan menyasarkan 75 peratus pensyarah IPT berkelulusan PhD pada 2020, pelbagai program dan pelan transformasi pendidikan diperkenalkan bagi menggalakkan golongan ini mengasah ilmu mereka mengikut kepakaran masing-masing. Seharusnya golongan akademik muda menyahut seruan daripada dasar negara sebagai cabaran untuk terus melangkah lebih jauh ke hadapan.
Bukan sekadar mendapatkan sijil atau kelulusan tetapi menjadikannya sebagai sebahagian daripada masyarakat 1Malaysia yang berinovasi tinggi, bermatlamat produktif dan pakar rujuk ilmu yang terulung dalam segala lapangan ilmu. Amanah ilmu kepada masyarakat merupakan amanah yang dituntut oleh setiap agama. Ilmu perlu dikongsi dan bukan dijual beli. Ilmu adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan oleh para pendidik hingga ke akhir hayat mereka. Keikhlasan mencurahkan ilmu adalah tonggak utama dalam institusi pendidikan tinggi negara. Melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), tenaga akademik akan bekerja lebih gigih apabila Malaysia menjadi titik tumpu pusat gedung ilmu menjelang 2020. Kebanjiran penuntut dari luar negara yang sanggup menjelajah jauh dari seluruh pelusuk dunia membuktikan bahawa universiti-universiti tempatan di Malaysia diiktiraf dan menawarkan pengajian yang menarik minat mereka untuk menjadikan universiti tempatan sebagai hab ilmu. Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berada dalam kelas dunia tersendiri kerana kesungguhan dan kewibawaan warga akademia yang sentiasa berusaha memartabatkan nama negara di peringkat lokal dan antarabangsa.
Mereka harus dinobat, diberi kredit, dipuji dan diberi pengiktirafan daripada sumbangan yang dizahirkan. Ini kerana pelbagai 'dugaan' perlu ditempuhi sepanjang tempoh perkhidmatan mereka di IPT terutama dalam era yang sangat mencabar ini. Sokongan penuh golongan akademia muda kepada KPT dan negara perlu diukur melalui prestasi para akademik muda yang mempunyai tahap kecemerlangan yang membanggakan. Serta memberi peluang kepada mereka untuk terus melonjak lebih tinggi supaya mereka dapat mengembangkan kepakaran ilmu masing- masing. Sekiranya usaha untuk mengiktiraf golongan akademia muda ini disukat berdasarkan kepada pencapaian dan merit, ia mampu membentuk persaingan yang sihat untuk mencipta atau membentuk model yang bakal dimartabatkan sebagai Profesor Ulung masa depan.
Galakan, sokongan, motivasi, pendekatan positif serta penyeragaman perlu diberi perhatian yang berterusan bagi mengkaji kekuatan dan kerelevanan sumbanagan golongan akademia muda ini bukan sahaja diiktiraf di peringkat universiti. Malah melangkaui garis sempadan negara bagi mewujudkan persaingan dan persekitaran yang lebih mesra akademik, sihat dan sempurna dalam kalangan ahli akademik. Golongan akademia muda hari ini merupakan generasi ilmuwan dan harus mencabar kehebatan diri dan ilmu untuk menjadi yang terbaik antara yang paling baik. Melalui sistem akademik yang mesra ilmu ini, IPTA dan golongan akademia muda berada di landasan yang betul. Penubuhan Majlis Profesor Negara (MPN) adalah contoh terbaik kerana majlis ini bukan sahaja dibentuk untuk para Profesor di seluruh negara. Tetapi pusat 'tabung uji' para pelapis kepada bakal Profesor masa depan yang merujuk kepada para akademia muda hari ini. Siapakah bakal Profesor masa depan? Sudah tentu ahli akademia muda yang ada di seluruh negara akan mengambil tempat mereka sebagai masyarakat MPN tidak lama lagi. Semangat beginilah yang diperlukan di dalam setiap individu yang bergelar akademia muda.
Sebelum bergelar pakar ilmu, golongan ini perlu mempersiapkan diri dengan ilmu, pemikiran yang lebih matang, sentiasa bersedia untuk bersama membantu KPT dan negara dalam segala pelan dan program yang dijalankan demi memartabatkan ilmu. Sebagai contoh, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept) merupakan antara akademi yang sangat aktif dalam melengkapkan barisan akademia yang berkualiti pada masa depan. Gelaran Dr., Profesor Madya, Profesor dan sebagainya bukanlah laluan untuk mendabik dada. Tetapi kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mengejar gelaran tersebut. Usaha ini perlu disemai dengan benih yang bergred tinggi, barulah hasilnya juga berkualiti tinggi.
Sehubungan itu, profesion pensyarah adalah sebuah kerjaya yang 'multi-tasking' kerana seorang pensyarah adalah agen kepada semua pihak seperti pelajar, ibu bapa, universiti, badan bukan kerajaan (NGO), negara dan seluruh masyarakat umum. Merekalah pakar rujuk utama yang sentiasa dicari untuk mendapatkan kepastian dan jawapan akademik yang melangkaui aspek sosial, ekonomi, politik, pemikiran dan lain-lain. Dengan usaha yang diperkenalkan oleh negara melalui Pelan Transformasi Negara di mana Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Malaysia bakal menambah bilangan ahli akademik menjelang 2020 dan profesion ini akan menjadi antara pilihan utama tanpa mengira jantina.
Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad
Pensyarah Kanan
Jabatan Antropologi dan Sosiologi
Panel Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya
Universiti Malaya (UMCEDEL)
Utusan Malaysia
23 Disember 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan