19 Disember 2010

PENDAPAT TOKOH

"Kita buatlah program yang boleh membawa mereka bersama dan jangan anggap semua yang kita suka mereka akan suka. Kita tak boleh kata semua mat rempit samseng jalanan, kena faham kenapa (mereka merempit). Budaya ini (merempit) hendaklah kita juruskan kepada perlakuan yang baik, ikut undang-undang, jangan menunggang secara berbahaya dan jangan ada ‘hadiah’ istimewa,”
Remaja dan belia sekarang sedang melalui perubahan besar terutama dengan kemudahan komunikasi teknologi maklumat, justeru, pendekatan lama bersifat memaksa atau memberi label buruk sudah tidak relevan sekarang. Saya yakin, jika itu dipraktikkan pemimpin dan masyarakat, semua remaja termasuk yang bermasalah boleh disatukan seterusnya menghindarkan mereka daripada kegiatan tidak bermanfaat,” 
Perdana Menteri Malaysia Keenam
Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak
Program Himpunan Remaja Terengganu 2010

16 Disember 2010

ISU KEMUDAHAN AWAM : MEREVOLUSIKAN PEMIKIRAN TENTANG TANDAS


Ramai pengunjung asing yang datang ke Malaysia memberi gambaran yang baik tentang negara ini. Tetapi pandangan mereka jauh berbeza terhadap keadaan tandas awam dan tandas di kedai-kedai dan restoran. Di sebalik pelbagai kempen kebersihan tandas, kita seperti tidak mencapai apa yang diharapkan dan budaya kebersihan tandas nampaknya semakin jauh daripada memuaskan. Tidak memeranjatkan melihat kepada laporan audit baru-baru ini yang dijalankan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan yang melaporkan bahawa 51.6 peratus daripada 5,764 tandas awam yang diaudit didapati tidak memuaskan.

Seseorang hanya perlu menggunakan tandas awam untuk melihat sendiri betapa jijik keadaannya. Tandas awam di kompleks membeli-belah juga tidak banyak berbeza walaupun orang awam terpaksa membayar untuk kemudahan tersebut. Pengusaha makanan sentiasa cuba meningkatkan kualiti makanan yang dijual tetapi tidak mengindahkan langsung tentang kualiti kebersihan tandas. Ia bertitik tolak kepada persoalan penyelenggaraan, cara penggunaan dan yang paling penting ialah budaya kebersihan. Terkecuali tandas awam di Lebuhraya Utara Selatan, tandas awam di lebuh raya lain juga secara umumnya tidak memuaskan dan masih ada banyak ruang untuk penambahbaikan. 

Di sebelah pihak ia dilihat dari sudut masalah penyelengaraan manakala di sebelah pihak yang lain ialah isu pengguna yang tidak tahu mengguna tandas awam dengan betul. Akibat tidak menjalankan penyelengaraan dengan baik, terdapat kunci pintu tandas yang tidak berfungsi malah penyangkut pakaian yang berada di dalam juga didapati hilang. Sudah tiba masanya, masyarakat dididik bagaimana menggunakan tandas awam dengan betul. Wujud keperluan bagi menerapkan budaya kebersihan tandas awam supaya ia lebih mesra pengguna.

Secara ringkas kita memerlukan satu revolusi terhadap budaya kebersihan untuk kita lakukan demi menjaga kebersihan tandas dan tidak mengotorkannya. Kita perlu merevolusikan pemikiran tentang isu tandas. Kita tidak boleh mempunyai kefahaman bahawa tandas ialah tempat yang kotor dan kita tidak perlu melakukan apa-apa berkenaan dengannya. Sebaliknya, kita sepatutnya menerima kenyataan bahawa kita perlu menjaga kebersihan tandas awam setiap masa walaupun ia adalah tempat dianggap kotor. Tandas bukan sahaja yang menjadi isu malah longkang, jalan dan lorong belakang, taman awam, perhentian bas dan teksi juga sangat memerlukan penyelenggaraan dan keselamatan yang diabaikan.

Sudah tiba masanya kerajaan tempatan, agensi kerajaan, pihak swasta dan setiap rakyat Malaysia untuk mengenal pasti kekurangan dari segi keselamatan, perkhidmatan dan penyelenggaraan. Penyelenggaraan dan perkhidmatan tidak pernah dijadikan peradaban negara walaupun Malaysia secara umumnya semua maklum bahawa sebuah negara membangun yang mempunyai infrastruktur bertaraf dunia. Demi memastikan Malaysia menjadi negara dunia kelas pertama dengan infrastruktur kelas pertama bertaraf dunia, kita memerlukan juga perkhidmatan dan penyelengaraan bertaraf dunia.

Menambah baik imej negara bukan sahaja terletak dibahu pihak berkuasa, pemilik bangunan dan industri perkhidmatan semata-mata, ia juga adalah tanggungjawab setiap lapisan masyarakat dan rakyat negara ini. 

Oleh Lee Lam Thye 
Aktivis Masyarakat
Utusan Malaysia
16 Disember 2010

ISU PENDIDIKAN : PROFESOR ULUNG PENGANGKAT MARTABAT PEMIKIR NEGARA

Enam bulan lalu, Majlis Profesor Negara ditubuhkan. Ia satu pengiktirafan kerajaan terhadap 1,550 profesor untuk menjadi intelektual awam dan pemikir negara. Semalam, kedudukan profesor diangkat lagi melalui anugerah Profesor Ulung. Kini semakin terserlah profesion pensyarah mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat negara ini. Ini sesuai dengan kedudukan golongan cerdik pandai dan pemikir demi kemajuan negara. Nama tokoh yang dipilih sebagai Profesor Ulung telah diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam. Setiap penerima diberi elaun tambahan RM10,000 selain gaji bulanan gred tertinggi turus dan geran penyelidikan.

Seperti dinyatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, pelantikan Profesor Ulung ini merupakan tindakan proaktif kementerian selepas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 pada Mac lepas bagi memperbaiki skim perkhidmatan akademik khususnya profesor. Peranan dan aktiviti Profesor Ulung bukan sahaja dalam kelompok universiti sahaja tetapi boleh dimanfaatkan kepada institusi kerajaan, organisasi awam dan juga masyarakat. Peranan ini sesuai dengan sifat Profesor Ulung yang dianggap sebagai milik negara. Sebab itu mereka patut mendapat layanan, sokongan dan dorongan dari kerajaan untuk terus menyumbang lebih banyak lagi penemuan kepada negara.

Mohamed Khaled sendiri pernah menyeru dan mengajak para profesor untuk keluar dari menara gading masing-masing dan tidak hanya menjadi 'super gurus' atau tertumpu kepada kemajuan kerjaya semata-mata, tetapi sebaliknya mengambil bahagian secara aktif dengan menawarkan kepakaran masing-masing dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Dalam erti kata lain, mereka sewajarnya menjadi intelektual awam dan ikon keilmuan di tengah-tengah kelompok masyarakat. Kita percaya dengan bekalan pengetahuan dan penguasaan ilmu yang dimiliki, para profesor di negara ini akan mempunyai status dan kedudukan yang tinggi dalam masyarakat yang tentunya menimbulkan rasa yakin dan percaya yang besar dalam penerimaan umum.

Malaysia sebenarnya memerlukan lebih ramai berstatus profesor kerana ia merupakan faktor kritikal kepada kejayaan mentransformasikan negara. Gelaran profesor merupakan satu gelaran yang eksklusif, hanya mereka yang berilmu dan diiktiraf di kalangan rakan akademik sahaja yang dapat menggunakan gelaran tersebut. Gelaran Profesor Ulung pula cukup istimewa, maka ia menjadi pendorong terbaru supaya lebih ramai ahli akademik meningkatkan kerjaya dan pemikiran mereka. Ia suatu usaha yang tidak sia-sia.

Utusan Malaysia
16 Disember 2010

13 Disember 2010

MOTIVASI CIKGU ZUL : JANGAN SIBUK BERCINTA SEHINGGA LUPA CITA-CITA DAN PELAJARAN


Pesanan ini lahir daripada hati seorang guru yang mahu melihat anak muridnya berjaya dalam kehidupan. Usia remaja yang kamu lalui hari ini penuh dengan cabaran, godaan dan ujian. Salah satu godaan terbesar ialah perasaan cinta. Cinta itu fitrah, tetapi jika salah ditangani, ia boleh menjadi racun yang memusnahkan masa depan.

Anak-anakku, janganlah terlalu sibuk bercinta sehingga kamu melupakan cita-cita dan pelajaran. Ingatlah bahawa tujuan utama kamu datang ke sekolah adalah untuk menuntut ilmu, membina masa depan, dan mencapai kejayaan. Ilmu ialah jambatan untuk keluar daripada kegelapan hidup, manakala cinta yang terlalu awal sering kali hanya membawa duka. Betapa ramai remaja yang jatuh kerana cinta, gagal menamatkan pelajaran, dan akhirnya menyesal seumur hidup.

Cita-cita adalah kompas yang menentukan arah hidupmu. Jika kamu mahu menjadi doktor, jurutera, peguam, guru atau apa sahaja profesion mulia, semuanya bermula dengan kejayaan dalam pelajaran. Tetapi jika masa dan tenaga dihabiskan untuk cinta yang belum tentu kesudahannya, cita-cita itu akan lenyap begitu sahaja. Percayalah, pelajaran yang terabai tidak mungkin dapat ditebus dengan mudah.

Anak-anakku, cinta itu indah apabila tiba pada masanya. Namun, usia remaja bukanlah masa yang sesuai untuk kamu mengikat diri dengan janji-janji manis yang belum tentu dapat ditunaikan. Usia remaja ialah masa untuk membina peribadi, menimba ilmu, dan menanam cita-cita setinggi langit. Jika kamu berjaya dalam pelajaran, kelak cinta yang sebenar akan hadir dengan sendirinya, membawa kebahagiaan yang lebih bermakna.

Guru ingin mengingatkan, jangan biarkan cinta remaja yang rapuh memadamkan semangat belajarmu. Jangan biarkan mesej di telefon bimbit lebih penting daripada buku teks di hadapanmu. Jangan biarkan janji temu dengan pasangan lebih utama daripada masa belajar. Jika kamu benar-benar menyayangi seseorang, buktikan dengan menjadi insan yang berjaya, supaya kamu dapat membina masa depan yang terjamin dan mampu membahagiakan orang yang kamu sayangi.

Anak-anakku, dalam hidup ini kamu akan diuji dengan pilihan. Pilihan untuk tekun belajar atau leka bercinta, pilihan untuk mengejar cita-cita atau melayan perasaan. Pilihan yang kamu buat hari ini akan menentukan masa depanmu. Jadilah remaja yang bijak, yang tahu membezakan antara perkara utama dan perkara sampingan.

Akhir kata, pesanan gurumu ini ringkas tetapi bermakna: jangan sibuk bercinta sehingga lupa pada cita-cita dan pelajaran. Cinta boleh datang pada bila-bila masa, tetapi cita-cita dan pelajaran hanya datang sekali dalam hidupmu. Jika kamu mengabaikannya, kamu mungkin tidak berpeluang untuk memperbaikinya lagi.

Ingatlah, kejayaan hari esok ditentukan oleh usaha kamu pada hari ini. Jika kamu menjaga pelajaran, cita-cita akan tercapai, dan cinta sejati akan hadir pada waktu yang tepat.

07 Disember 2010

ISU SOSIAL : DADAH DAN RASUAH MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA


Kedaulatan dan kuasa di sesebuah negara bukan terletak kepada kepala negara tetapi di tangan rakyat jelata. Dalam sebuah negara demokratik seperti Malaysia, perkara ini menjadi bertambah jelas. Sebab itulah, sebarang ancaman yang dapat memporak-perandakan rakyat jelata, boleh dilihat sebagai ancaman kepada kedaulatan negara. Satu ketika dahulu, kita menjadi risau melihat bagaimana anak-anak muda yang terjebak dalam gejala dadah hilang arah tuju dan ramai juga di antara mereka yang terlibat dengan jenayah disebabkan ketagihan dadah. Masyarakat diseru untuk membenci segala aspek yang terlibat dengan dadah, termasuklah penagih dan pengedarnya. Seperti komunis pada masa itu, dadah turut menjadi musuh negara yang perlu diperangi oleh semua pihak.

Dadah pada hari ini pun masih lagi menjadi musuh negara dan perlu terus diperangi. Mereka yang didapati bersalah memiliki dadah melebihi kuantiti tertentu boleh dikenakan hukuman mandatori mati di tali gantung. Begitu serius sekali kita dalam menangani masalah ini sehinggakan kita sanggup dikutuk oleh beberapa buah negara yang menganggap undang-undang itu terlalu draconian kerana ada rakyat mereka yang didapati bersalah memiliki najis dadah telah dijatuhkan hukuman mati mandatori oleh mahkamah di Malaysia. Namun semua ini tidak mengurangkan ketagih mahupun menakutkan para pengedar dan penggunanya. Golongan penagih ini tidak pula merasa jijik dengan najis yang menjadi kawan baik mereka. 

Kerajaan terpaksa mewujudkan pusat-pusat pemulihan untuk mereka yang menagih dadah bagi membantu mereka tidak mengulangi tabiat buruk berkawan dengan najis dadah itu. Bagaimanapun, laporan dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan jumlah kes berulang iaitu mereka yang kembali menjadi penagih selepas keluar dari pusat serenti sudah hampir sama banyak dengan jumlah penagih baru. Ada antara mereka yang kembali ke 'universiti serenti' untuk ijazah kedua dan ramai juga yang menyambung ke peringkat ijazah kedoktoran tetapi bukan doktor falsafah, sebaliknya fasal dadah!

Sama bahayanya dengan dadah adalah rasuah. Rasuah juga adalah musuh negara kerana ia dapat merosakkan harapan dan inspirasi negara seperti yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. Malah, penyakit rasuah ini jika tidak dibendung akan menghancurkan negara. Mana mungkin negara menjadi maju kalau pemimpinnya sanggup dijual beli. Bagaimana untuk menjadi negara berpendapatan tinggi kalau kaki tangan perkhidmatan awam dan swastanya saling bertukar-tukar paket angpau, ganjaran wang diberikan kepada favour yang dilakukan tanpa merit sebenar untuk mendapat projek tertentu.

Apa akan berlaku kepada negara ini kalau semuanya boleh dibeli dan semua orang ada harganya masing-masing? Seperti penagih dadah yang sanggup mencuri dan membunuh ahli keluarga demi melepaskan gian mereka, negara yang dibelenggu rasuah pasti akan digadai oleh puak-puak yang ketagihkan rasuah. Perlukah kerajaan mewujudkan pusat pemulihan untuk mereka yang ketagih rasuah ini? Atau mungkinkah undang-undang mandatori seperti dadah untuk perasuah (penerima dan pemberi)? Mungkinkah itu penyelesaian yang dapat menghentikan kehinaan sikap tidak amanah yang semakin berleluasa ini?

Setiap hari kita dapat melihat pelbagai usaha pencegahan dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), namun mereka terus menjadi bahan kritikan masyarakat. Pelbagai kempen mereka lakukan melalui media cetak dan media elektronik dan kita hanya dapat berdoa agar usaha-usaha ini akan memberi impak kepada masyarakat secara jangka panjang. Seperti agensi-agensi penguat kuasa lain, SPRM juga berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan kritikan. Adakalanya tohmahan yang dibuat langsung tidak berasas. Kefahaman masyarakat tentang peranan SPRM juga agak terbatas. Ini selalu dapat kita lihat apabila kes-kes berprofil tinggi yang menghasilkan keputusan tidak berpihak kepada kerajaan, maka masyarakat dengan cepat membuat andaian dan selalunya memandang serong kepada SPRM. 

Mungkin juga perlu bagi pihak SPRM mendampingi masyarakat sambil mendidik kepentingan untuk rakyat agar terus memerangi rasuah. Masyarakat juga perlu diberitahu peranan dan ruang lingkup kuasa SPRM. Sekiranya tidak dimaklumkan, mungkin semakin ramai yang akan menuduh SPRM sebagai toothless tiger. Bertaring ataupun tidak, ia sepatutnya diadili oleh rakyat terbanyak hanya apabila mereka faham ruang lingkup sebenar kuasa yang ada pada SPRM. Sekiranya rakyat tidak faham, mereka tidak boleh disalahkan. Rakyat melalui kuasa yang ada pada mereka juga boleh membantu dalam memberi mandat yang lebih besar kepada SPRM. Syaratnya mereka perlu didekati dan diberi maklumat yang tepat. 

Pada waktu ini, rata-rata rakyat tidak dapat melihat magnitud impak rasuah kepada negara. Kos melepas yang sepatutnya menjadi hasil pendapatan kepada negara jika tidak kerana rasuah tidak siapa yang tahu. Mungkin elok untuk satu kajian dibuat agar rakyat dapat diberitahu mengenai jumlah kerugian negara yang disebabkan oleh perbuatan para perasuah ini. Kos melepas inilah antara sumber pendapatan negara untuk membina sekolah, hospital, jalan raya dan semua infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat jelata. Suka atau tidak, realitinya, rasuah adalah satu ancaman kepada keselamatan dan pembangunan negara.

Seperti dadah dan komunis, rasuah harus diperangi oleh semua lapisan rakyat dalam negara kita. Sokongan rakyat kepada usaha SPRM sangat penting untuk menjayakan hasrat murni kita ini. Janganlah hanya kerana satu dua insiden yang belum pun kita tahu duduk sebenar perkara, kita terus menghukum organisasi seperti SPRM. Lihatlah isu yang lebih besar dan kesannya kepada negara daripada diungkit perkara mengenai kepentingan peribadi pihak-pihak tertentu sahaja.

Felo Penyelidik Utama di Institut Kajian Etnik (KITA), 
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 
Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM.

Utusan Malaysia
7 Disember 2010

ISU PERINDUSTRIAN : INDUSTRI AEROANGKASA NEGARA


Kerajaan menyasarkan perolehan industri aeroangkasa negara akan menyumbang RM50 bilion kepada ekonomi negara dalam tempoh dua tahun lagi. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, industri itu yang ketika ini digunakan oleh sektor pertahanan, penguatkuasaan dan keselamatan serta komersial telah menjana pendapatan RM25.7 bilion kepada ekonomi negara. Menurut beliau, sasaran itu berdasarkan kepada jangkaan ekonomi negara ASEAN akan pulih sepenuhnya dan merealisasikan negara sebagai hab bagi aset berkenaan di rantau ini dengan mendapat kerjasama syarikat prinsipal dalam industri itu. Ketika ini industri pertahanan, penguatkuasaan dan keselamatan negara banyak menggunakan aset yang dipasang dalam negara tetapi masih terdapat juga yang diperoleh daripada luar negara.

Kerajaan amat menekankan program pemindahan teknologi (offset) dengan beberapa komponen yang dikeluarkan di sini dapat dijadikan nilai tambah kepada aset import itu.
"Contohnya Keupayaan Littoral Cobatant Ship (LCS), simulator bagi helikopter utiliti EC725 yang akan digunakan oleh negara ASEAN. Ia sebahagian offset yang dipersetujui oleh EADS, (kumpulan aeroangkasa dan pertahanan utama Eropah) yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat tempatan. Negara juga menyasarkan tahun 2015 bagi Malaysia untuk menjadi hab kepada industri pertahanan di rantau Asia Tenggara. Pada masa ini, industri pertahanan bagi pasaran tempatan telah mencapai perolehan hampir RM5 bilion setiap tahun manakala bagi pasaran luar negara hanya sekadar 50 peratus daripada perolehan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhasrat mahu industri ini berkembang pesat iaitu bukan hanya sekadar pengguna sahaja tetapi turut mampu menjadikannya sebagai industri yang mampu memberi keuntungan kepada ekonomi negara. Ahmad Zahid berkata, pada prinsipnya negara telah mendapat sambutan dan kerjasama memberangsangkan daripada negara-negara ASEAN lain. Pada dasarnya mereka bersetuju bahawa industri pertahanan rantau ini bukan hanya bertujuan memperkasakan pertahanan negara semata-mata tetapi menjadikannya sebagai industri yang akan mengguatkan ekonomi seluruh negara terlibat. Pada masa ini jalinan dan kerjasama antara syarikat tempatan dan negara jiran telah berjalan, ia amat positif dan percaya akan memberikan hasil yang baik kepada negara menjelang 2015.

Utusan Malaysia
7 Disember 2010

ISU TENAGA PAKAR : BEBERAPA STRATEGI BARU DICADANGKAN UNTUK MENGELAKKAN TENAGA PAKAR BERHIJRAH KE LUAR NEGARA

DATUK JIMMY CHOO
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan beberapa inisiatif baru bagi mengekalkan bakat berkemahiran tinggi sedia ada dalam negara dan menarik kemasukan diaspora Malaysia di luar negara dalam usaha transformasi ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi. Perdana Menteri berkata, dasar itu melibatkan kelonggaran kepada para pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang terpilih untuk bekerja dengan syarikat berkaitan kerajaan dan swasta terutama dalam sektor membabitkan Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) sebagai syarat membayar balik tempoh kontrak dengan kerajaan. Menurutnya, kerajaan juga akan menawarkan pas pemastautin kepada ekspatriat berkemahiran tinggi untuk menetap dan bekerja di negara ini bagi tempoh yang lebih lama tanpa terikat dengan majikan tertentu.

Permohonan bagi mendapatkan pas tersebut boleh dibuat dengan Jabatan Imigresen menjelang pertengahan tahun depan. Pas pemastautin juga akan diberikan kepada diaspora Malaysia iaitu membabitkan mereka yang asalnya dari negara ini atau anak-anak mereka yang tidak lagi menjadi warganegara Malaysia. Pas tersebut merupakan satu cara untuk menghubungkan mereka dengan Malaysia dan memberi kelonggaran untuk kembali bekerja di negara ini atau tinggal bersama dengan kaum keluarga di sini. Malaysia melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan pada 26 Oktober 2010 dijangka menjana lebih tiga juta peluang pekerjaan dalam industri bernilai tinggi dan untuk itu negara ini perlu melaksanakan inisiatif bagi menarik, membangun dan mengekalkan modal insan berkemahiran tinggi yang diperlukan bagi ekonomi berpendapatan tinggi. 

Difahamkan sehingga kini terdapat kira-kira 700,000 rakyat Malaysia bekerja di luar negara terutama di Singapura dan Hong Kong. Perdana Menteri juga mengumumkan keputusan Kabinet meluluskan penghapusan syarat-syarat mendapatkan pas pekerjaan iaitu melibatkan syarat mengiklankan bagi jawatan-jawatan ekspatriat utama, had maksimum 10 tahun dan mandatori bagi pengganti jawatan eksekutif. Kata beliau, dasar-dasar yang melibatkan Imigresen itu adalah antara penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri termasuk sistem pemarkahan baru bagi permohonan taraf penduduk tetap (PR) sejak Julai 2010. 

PROF. DANNY QUAH
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, ramai rakyat Malaysia meraih kejayaan di peringkat dunia ketika bekerja di luar negara seperti Datuk Jimmy Choo yang menjadi ikon fesyen dan pada masa sama memberikan sumbangan bermakna kepada negara. Beliau sekarang bekerja dari London bagi membentuk sebuah institut pembuatan kasut di Malaysia. Satu lagi contoh ialah Prof. Danny Quah yang merupakan Ketua Jabatan dan Profesor Pengajian Ekonomi dan Sains Politik London yang berprestij selain pada masa sama berkhidmat sebagai anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara. Sementara kita mengalu-alukan kepulangan diaspora Malaysia, kita juga akan terus berhubung dengan mereka yang tinggal di seberang laut untuk mendapatkan sumbangan terbaik mereka bagi menjayakan proses transformasi negara. 

Utusan Malaysia
7 Disember 2010

ISU PENYAKIT BERJANGKIT : WABAK TAUN DI HAITI SEMAKIN PARAH


Lebih 2,000 orang daripada 90,000 kes pengidap wabak taun yang melanda Haiti telah mati, menurut perangkaan terbaru yang dikeluarkan kementerian kesihatan negara itu semalam. Perangkaan kematian akibat taun terus meningkat setelah lebih enam minggu kes pertama dikesan pada Oktober lalu dan wabak itu kini telah merebak hampir ke seluruh negara, namun tidak ada jumlah tepat mengenai mereka yang dijangkiti. Perangkaan rasmi menunjukkan jumlah kematian akibat penyebaran bakteria melalui air minuman kini seramai 2,013 orang dan sebanyak 88,789 kes jangkitan taun telah direkodkan.

05 Disember 2010

ISU UMUM : 100 ORANG PEMIKIR TERBAIK DI DUNIA

Apabila majalah Foreign Policy mengeluarkan senarai 100 pemikir terbaik dunia, kali kedua dalam edisinya, ia menimbulkan persoalan yang pelbagai. Mungkin kerana majoriti penerima anugerah ini masih terdiri dari pemikir Barat yang menguasai kedudukan teratas dan teramai dalam senarai. Bagaimanapun semua mereka yang tersenarai telah menzahirkan pemikiran dan kecenderungan mereka dalam mewujudkan dunia yang lebih baik dengan cara mereka yang tersendiri sama ada dari sudut politik, ekonomi, kepimpinan mahupun agama. Namun untuk berlaku jujur senarai kali ini dilihat agak berbeza apabila beberapa pemimpin syarikat teknologi yang banyak membantu memudahkan kehidupan manusia turut tersenarai.


Mendahului senarai teratas adalah dua orang terkaya dunia, Warren Buffet dan Bill Gates. Namun sumbangan mereka kali ini bukan diiktiraf kerana kekayaan yang dimiliki tetapi melalui sumbangan wang ringgit untuk dunia yang lebih baik. Semua sedia maklum bahawa kekayaan kedua mereka ini sahaja mencecah AS$101 bilion (RM313 bilion) tetapi kekayaan mereka ini nyata tidak menggelapkan hati mereka. Kedua-dua mereka ini telah mengembara hampir ke seluruh dunia untuk berjumpa tokoh-tokoh perniagaan dan bilionair dunia dalam usaha memujuk mereka menyertai apa yang dipanggil kelab Great Givers. Penubuhan Yayasan Gates nyata telah membuka hati Buffet yang berikrar untuk menyerahkan 99 peratus asetnya untuk kegiatan kebajikan sejak 2006. 


Manakala Gates sendiri telah mengeluarkan lebih AS$2 bilion (RM6.2 bilion) setahun untuk membaik pulih pembangunan kesihatan awam di seluruh dunia. Memandangkan dunia kini semakin hilang minat terhadap pertubuhan dunia yang jelas semakin hilang arah tujuan seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), apa yang ditawarkan melalui Yayasan Gates dilihat sebagai satu alternatif yang berbeza. Beliau menawarkan kesediaan dan bantuan syarikat-syarikat besar, usaha membantu mewujudkan dunia yang lebih baik dengan meningkatkan tahap kesihatan dan pendidikan di seluruh dunia. Sehingga kini 40 bilionair dari seluruh dunia telah menyatakan persetujuan untuk terlibat dalam usaha ini dan dijangka lebih AS$600 bilion (RM ) dapat dikumpul dalam menjayakan misi ini.


Ditempat kedua, juga terdiri dari dua orang merupakan orang yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan kewangan dunia iaitu Dominique Strauss-Kahn dan Robert Zoellick. Kahn merupakan Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) manakala Zoellick adalah Presiden Bank Dunia. Peranan kedua-dua pusat kewangan ini menimbulkan banyak syak wasangka dan serampang dua mata seperti yang berlaku kepada Malaysia ketika krisis kewangan 1997 serta yang berlaku di Ireland ketika ini dalam usaha menyelamatkan ekonomi mereka. Namun usaha kedua-dua tokoh ini telah diiktiraf berdasarkan sumbangan dalam mengelakkan apa yang dipanggil “keadaan ekonomi menjadi lebih buruk” di negara-negara seperti Pakistan, Greece dan Hungary. Negara-negara ini merupakan antara negara yang terjejas teruk akibat krisis ekonomi 2008 namun kini semakin pulih walaupun pelan bantuan ekonominya dilihat banyak merugikan negara-negara berkenaan.


Kedudukan seterusnya dilihat mampu memulihkan imej Presiden Barack Obama yang kini terpalit “dakwat merah” akibat kehilangan pengaruh di negaranya sendiri walaupun diterima baik oleh negara-negara lain. Namun apa yang berlaku di negaranya akibat keadaan ekonomi yang merudum bukanlah sesuatu yang boleh dielakkan, apatah lagi jika ia diwarisi dari kepimpinan dungu sebelumnya yang bertindak hanya untuk kepentingan kelompok tertentu.


Tempat keempat diduduki Zhou Xiaochuan yang juga Gabenor People’s Bank of China yang bertanggungjawab menaikkan ekonomi negara itu selain turut terlibat dalam menentukan kedudukan ekonomi dunia secara tidak langsung.


Seterusnya adalah Pengerusi Federal Reserve Amerika Syarikat, Ben Bernanke, kedudukan yang mungkin boleh dipertikaikan berdasarkan keadaan ekonomi semasa manakala tempat keenam pula jauh lebih membanggakan dengan pemilihan Menteri Luar Brazil, Celso Amorim yang bertanggungjawab memacu status dan kedudukan negara itu ke kedudukan tertinggi di peringkat antarabangsa.


Pemikir seterusnya adalah antara orang yang bertanggungjawab menjadikan peranan Turki sebagai antara negara yang perlu diberi perhatian di peringkat antarabangsa. Menteri luarnya, Ahmet Davutoglu adalah orang yang lantang menggunakan kedudukan negara Islam yang sekular dalam menjalin hubungan yang lebih rapat antara Barat dan dan dunia Arab.


Kedudukan sebagai Jeneral pemerintah di Afghanistan telah melayakkan David Petraeus menduduki tempat ke lapan walaupun hakikatnya ia lebih kepada memporakperandakan negara itu manakala tempat seterusnya juga boleh dipersoalkan kewibawaannya apabila Setiausaha Pertahanan, Robert Gates dikatakan mampu memperkasakan kekuatan tentera AS pada alaf-21.


Pemikir ke 10 pula adalah satu-satunya wanita yang menduduki tempat teratas senarai dan dengan peranan yang dilakukan sebagai Canselor Jerman, Angela Merkel dilihat layak untuk menduduki tempat tersebut.


Tempat seterusnya memang membanggakan terutama apabila tokoh kontroversi di sebalik penubuhan Pusat Islam berhampiran tapak bekas Pusat Dagangan Dunia di New York, Imam Feisal Abdul Rauf terpilih memandangkan peranan beliau dalam mewujudkan pemahaman yang lebih baik dalam perbezaan antara agama.


Lebih membanggakan kedudukan ini dikongsi bersama dengan bekas Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg yang berbangsa Yahudi yang pernah memberi kenyataan bahawa penduduk Islam adalah sebahagian dari AS. Mungkin dilihat kedua mereka adalah satu pasangan yang pelik namun usaha mereka dalam mewujudkan keharmonian antara agama wajar dipuji dan dipelihara.


Bagi kedudukan lain antara yang menarik perhatian adalah bekas presiden bersama isterinya yang juga Setiausaha Negara AS, Bill dan Hilliary Clinton menduduki tempat. Peranan mereka diiktiraf bersandarkan kepada peranan penting yang dimainkan selain membuktikan tidak perlu menjadi presiden untuk bertindak sebagai presiden.


Spekulator ekonomi George Soros turut tersenarai dengan menduduki tempat ke 15, walaupun dunia mengenali beliau sebagai orang yang bertanggungjawab dalam krisis ekonomi pada 1997. Namun usaha yang menaikkan nama Yahudi kelahiran Hungary itu adalah dengan pemberian AS$100 juta (RM310 juta) kepada Human Right Watch pada September lepas, sesuatu yang mungkin dilihat sebagai agenda untuk memanipulasi pertubuhan itu mengikut selera Barat.


Seterusnya berkongsi di tempat ke 17 adalah Ketua Pegawai Eksekutif Amazon dan Apple, Jeff Bezos dan Steve Jobs. Penerimaan mereka di dalam senarai ini dilihat sebagai di luar jangkaan namun usaha mereka diiktiraf kerana meluaskan usaha pembacaan melalui penciptaan mereka melalui e-reader. Amazon's Kindle dan iPad dilihat sebagai teknologi masa depan dalam memudahkan manusia meluaskan pembacaan.


Begitu juga dengan penyenaraian pengasas Google, Sergey Brin and Larry Page yang menduduki tempat ke 21. Selain membantu memudahkan urusan berjuta-juta manusia melalui Google kedua mereka diiktiraf kerana keberanian melawan kerajaan China dengan mengancam untuk keluar dari negara itu selepas berlaku satu percubaan serius untuk menceroboh sistem komputernya oleh penggodam kerajaan tersebut.


Selain itu, Perdana Menteri Palestin Salem Fayyad melalui usaha membawa pembangunan selain kepercayaan bahawa akan wujud sebuah negara Palestin yang merdeka telah meletakkan dirinya di senarai 23 pemikir terbaik dunia.

Termasuk dalam senarai adalah empat veteran politik AS seperti Henry Kissinger, Sam Nunn, William Perry dan George Shultz. Keempat-empat mereka ini yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Negara, Senator dan Setiausaha Pertahanan telah bersungguh-sungguh memperjuangkan dunia tanpa nuklear untuk hidup yang lebih sempurna.

Demikian antara senarai 100 pemikir terbaik dunia namun ada bukan semua yang bernasib baik untuk tersenarai semula tahun ini. Pastinya orang yang paling malang adalah pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terkeluar walaupun menduduki tempat ke-32 tahun lepas.

04 Disember 2010

ISU PERUMAHAN : TANGGUNGJAWAB KERAJAAN NEGERI KAWAL HARGA RUMAH


Menatap muka depan akhbar ini semalam, penulis terpaku dan termenung sejenak memikirkan siapakah yang mampu membeli sebuah kediaman di Pulau Pinang yang kini mencecah sehingga RM540,000 seunit. Harga semahal itu meletakkan negeri tersebut sebagai negeri yang menawarkan kediaman paling mahal di negara ini. Bukan sahaja golongan berpendapatan bawahan, malah golongan pertengahan juga tidak mampu memiliki kediaman sendiri di negeri tersebut, khususnya di bahagian pulau. Akhirnya, yang mampu menikmati kediaman di bahagian tersebut adalah orang luar yang bukan warganegara Malaysia. Mereka tentulah golongan ekspatriat yang menikmati gaji yang dibayar dalam mata wang dolar Amerika Syarikat atau negara asal yang nilainya lebih tinggi daripada ringgit Malaysia.

Bagi mereka, harga yang ditawarkan itu adalah murah. Tetapi bagaimana pula dengan anak tempatan. Apakah mereka tidak layak mendiami rumah yang selesa untuk membesarkan anak-anak? Bagaimana pula nasib penduduk Melayu di negeri tersebut yang mana purata pendapatan isi rumah bagi kaum itu adalah kurang daripada RM3,000. Adakah ini salah satu strategi terancang kerajaan negeri untuk mengusir keluar penduduk Melayu dari bahagian pulau? Lihat saja kes penduduk Melayu di Kampung Jalan Pokok Asam yang terpaksa keluar dari kampung tersebut baru-baru ini. Kampung itu akan dimajukan dengan projek kediaman bertingkat berharga RM800,000 seunit oleh pemaju dari Kuala Lumpur. Adakah penduduk kampung tersebut mampu membelinya. Tentu jawapannya tidak dan terpaksalah mereka berhijrah ke kawasan lain. Walaupun tanah itu berstatus tanah ceti yang dijual kepada pemaju, tetapi jika kerajaan negeri prihatin, masalah perumahan rakyat tidaklah menjadi seperti sekarang.

Memetik kenyataan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk dalam satu laporan khas mengenai masalah penghakisan tanah milik orang Melayu di Pulau Pinang, katanya, purata pendapatan per kapita mengikut kumpulan etnik bagi tahun 2004 menunjukkan kaum bumiputera memperoleh RM2,856 berbanding kaum Cina RM4,268 dan kaum India RM2,687. Meneliti itu, bukan sahaja orang Melayu yang majoritinya berpendapatan rendah, malah orang Cina dari kelompok pertengahan juga tidak ramai yang mampu memilikinya. Yang mampu adalah orang luar seperti dari Korea dan Singapura yang semakin banyak membeli pangsapuri di pulau tersebut. Akhirnya, satu hari kelak bahagian pulau di negeri itu dipenuhi dengan golongan ekspatriat. 

Masalah yang sama juga nampaknya semakin menular di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar lain di seluruh negara. Institut Kajian Sosioekonomi dan Alam Sekitar (SERI) melalui hasil kajiannya mendapati purata harga rumah di ibu kota kini mencecah RM390,000 seunit. Ia juga menyebabkan golongan bawahan dan pertengahan tidak mampu memiliki rumah. Dasar terbuka pasaran bebas yang membenarkan pelabur asing dan spekulator membeli rumah dan hartanah lain jika tidak diubah pasti akan memburukkan keadaan. Ini kerana rakyat dari setiap peringkat pendapatan memerlukan rumah untuk berteduh. Tidak kira sama ada mereka merupakan nelayan, buruh kasar, pekerja industri, pemandu bas atau teksi, penjawat awam, guru, pekerja sektor swasta dan lain-lain, kesemua mereka memerlukan rumah yang sesuai untuk didiami bagi membesarkan anak-anak yang diharap akan menjadi manusia berguna satu hari kelak.

Namun, jika harga rumah tidak dikawal oleh kerajaan dan dibiarkan ditentukan oleh pelabur serta spekulator, maka lambat laun kita akan dapat melihat rakyat bawahan terpaksa tinggal di bawah kolong, di bawah jambatan, di kaki lima dan sekadar menumpang di rumah saudara. Ia sudah mula kelihatan sekarang dan mungkin satu hari nanti, jumlah penduduk gelandangan ini akan bertambah dan menjadi sesuatu yang biasa di negara ini. Jika kerajaan negeri tidak memberi penyelesaian terhadap permasalahan ini, dibimbangi pula masalah lain akan muncul seperti demonstrasi penduduk, anak-anak tercicir dalam pendidikan sekali gus meningkatkan kejadian kadar jenayah. Jika semua itu berleluasa, maka tidak perlulah kita berbangga memiliki bangunan pencakar langit yang mewah menongkat langit yang di dalamnya hanya dipenuhi oleh mereka yang bergelar ekspatriat. Ini kerana ketika itu, golongan tersebut untuk keluar rumah pun akan berasa takut. 

Takut menjadi mangsa ragut, takut meninggalkan rumah yang mungkin akan dimasuki pencuri dan lain-lain ketakutan yang akhirnya menyebabkan negara ini tidak selamat lagi untuk didiami. Ketika itu juga, pelancong asing kurang berminat untuk singgah sehari dua ke negara kita. Jika imej itu sudah melekat pada negara ini, maka tentulah sukar untuk mengikisnya. Justeru, apa yang patut dilakukan sekarang adalah kerajaan negeri yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat perlu memainkan peranan aktif dan serius menangani masalah perumahan rakyat. Langkah yang perlu dilakukan segera adalah memperbanyakkan rumah mampu milik dan projek pembinaan rumah mewah juga perlu dikawal. Ini kerana kelulusan sesuatu projek terletak di tangan pihak berkuasa tempatan. Jangan tunggu sehingga rakyat bangkit memberontak kerana tidak berumah sehingga kerajaan negeri mahu mengambil langkah itu dan ini bagi meredakan kemarahan rakyat. Sayang sekali ketika itu semuanya sudah terlewat dan tiada gunanya jika nasi sudah menjadi bubur. 

Rohana Man
Utusan Malaysia
4 Disember 2010

ISU PENGANGKUTAN : PINDAAN AKTA PENGANGKUTAN JALAN


Dalam usaha memperhalusi undang-undang lalu lintas ke arah menjamin keselamatan pengguna jalan raya di negara ini, mahu tak mahu Kementerian Pengangkutan perlu meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987. Langkah ini perlu diambil agar ia selari dengan hasrat kerajaan untuk memperketatkan peraturan jalan raya, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan maut yang kian meningkat di negara ini. Sikap melanggar undang-undang dalam kalangan pengguna jalan raya dikatakan sebagai antara faktor penyumbang kadar kemalangan yang semakin meningkat.

Perangkaan pada tahun 2009 menunjukkan jumlah kemalangan jalan raya adalah 397,330 kes. Indeks kadar kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar adalah 3.55 pada tahun 2009. Di peringkat antarabangsa, Malaysia menduduki tempat ke-46 daripada 172 negara dari segi indeks kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar.
Adalah didapati 62.6 peratus punca utama kemalangan berkaitan dengan kelajuan dan 8.5 peratus dikaitkan dengan perlanggaran peraturan lampu isyarat. Daripada jumlah 397,330 kes tersebut, 6,745 kes melibatkan kematian dengan purata 18 kematian sehari. Kemalangan dan kematian jalan raya memberi impak kepada ekonomi negara di mana kerugian kerajaan dianggarkan sebanyak RM9 bilion setiap tahun atau dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar. 

Jumlah kemalangan jalan raya yang semakin meningkat akibat daripada peningkatan jumlah penduduk dan kenderaan amat membimbangkan. Mengikut perangkaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jumlah pendaftaran kenderaan baru adalah dianggarkan sebanyak 1 juta setahun. Manakala jumlah pemandu baru kira-kira 450,000 orang setahun. Jumlah kenderaan terkumpul sehingga Ogos 2010 adalah sebanyak 19.8 juta. Jumlah pemandu terkumpul dalam tempoh yang sama ialah seramai 12.1 juta orang. Mengapa budaya tidak mematuhi undang-undang jalan raya terus wujud dalam kalangan rakyat Malaysia? Ia adalah kerana terdapatnya beberapa kelemahan tertentu di dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang sedia ada. Oleh itu, ada justifikasi pindaan-pindaan perlu dibuat bagi memastikan undang-undang lebih mantap dan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan jalan raya. Malah ada keperluan dan kesegeraan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Hasil perbincangan dengan semua agensi yang berkaitan, kerajaan telah merumuskan lima teras pindaan seperti berikut: * Kesan daripada penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD); * Menyokong inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) - Pengangkutan Awam Bandar; membanteras amalan rasuah dan menangani perbuatan jenayah; * Memantapkan penguatkuasaan JPJ dan juga agensi-agensi penguat kuasa lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan SPAD serta Pihak Berkuasa Tempatan; * Melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Secara Automatik (Automated Enforcement System - AES); dan * Mengemas kini peruntukan-peruntukan tertentu Akta 333.

Seperti mana kita sedia maklum, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat telah diluluskan pada 2 April 2010. Dengan wujudnya kedua-dua akta baru ini, pindaan perlu dibuat ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987. Bacaan kali kedua pindaan Akta Pengangkutan Jalan akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam masa terdekat bagi membolehkan SPAD mempunyai kuasa dalam penguatkuasaan dan pelesenan. Sepatutnya, SPAD sudah diluluskan pada September lalu tetapi penangguhan pindaan Akta Pengangkutan Jalan telah menyebabkan kelewatan SPAD dan pelaksanaan fungsinya. Pindaan itu penting bagi membolehkan suruhanjaya itu memainkan peranan sebagai badan yang menyelia pengangkutan awam darat serta menyerap unit-unit sektor kerajaan yang berkaitan ke dalam SPAD.

SPAD yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 itu bertujuan memperbaiki landskap pengangkutan awam dan menambah baik keadaan sedia ada. Sasaran untuk melaksanakan 25 peratus Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menjadi fokus utama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) menjelang tahun 2012. Menjelang tahun 2020, SPAD menyasarkan untuk mencapai 30 peratus NKRA. Antara NKRA tersebut ialah peningkatan masa perjalanan bas dengan pengenalan perkhidmatan Bas Ekspres Transit (BET) dan pengenalan semula laluan-laluan bas serta penyusunan semula sistem pengangkutan bas di Lembah Klang. Selain itu, penekanan juga diberikan kepada aspek bangunan dan proses penambahbaikan lebih 1,000 perhentian bas di Lembah Klang dan menyatupadukan tiket pintar.

Cabaran yang harus dihadapi suruhanjaya itu ialah harapan tinggi yang diletakkan oleh rakyat untuk melihat satu proses transformasi berkenaan sistem pengangkutan awam. Bagi memantapkan penguatkuasaan antara agensi iaitu JPJ, PDRM, PBT, SPAD, cadangan pindaan-pindaan telah dibuat terhadap 29 seksyen. Antara seksyen-seksyen utama tersebut adalah berkaitan dengan perkara-perkara mengenai hukuman penalti dinaikkan supaya selaras dengan perkembangan semasa; kuasa JPJ untuk menahan lesen memandu mana-mana orang yang disyaki positif dadah; kuasa JPJ menangkap tanpa waran bagi mana-mana orang yang melakukan kesalahan berhubung dengan pemanduan berbahaya dan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Tanpa pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 juga, kerajaan tidak boleh melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Secara Automatik (Automated Enforcement System - AES) yang merakamkan kesalahan-kesalahan trafik seperti pemanduan yang melebihi had laju, kesalahan melanggar lampu isyarat dan penyalahgunaan laluan bas.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan tujuan pemasangan kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) di 831 lokasi di seluruh negara hujung tahun ini bukan bertujuan meningkat hasil saman, sebaliknya untuk mengurangkan kemalangan. Lagi pun papan tanda peringatan akan dipasang sebelum tiba di kawasan AES supaya pengguna jalan raya bersedia. Selaras dengan perubahan teknologi dan teknologi kenderaan, pindaan perlu dibuat terhadap beberapa peruntukan seperti yang berkaitan dengan transaksi pendaftaran kenderaan secara elektronik dan pelesenan kenderaan elektrik.

Sekiranya Kementerian Pengangkutan lewat mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi membolehkan kenderaan elektrik didaftarkan dalam negara ini, maka hasrat Proton untuk mengeluarkan kenderaan berkuasa elektrik sendiri menjelang 2012 mungkin terjejas. Pada masa ini, kenderaan elektrik tidak boleh didaftarkan disebabkan oleh akta itu yang mengkehendaki pendaftaran nombor casis dan enjin, sedangkan kenderaan elektrik tidak mempunyai nombor enjin. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha meminta pengguna jalan memberi kerjasama kepada pihak berwajib supaya sasaran sifar kemalangan maut dapat dicapai. Usaha bersepadu harus dijalankan untuk mencapai pelan jangka panjang untuk mencapai visi sifar kematian jalan raya.

Bagi mencapai matlamat jangka panjang, kita perlukan polisi keselamatan yang merangkumi semua aspek membabitkan pemandu, kenderaan, kemudahan infrastruktur jalan raya dan persekitaran. Matlamat jangka panjang itu diyakini membawa negara mencapai matlamat bahawa tiada seorang pun patut menjadi korban atau mengalami kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya.

Azman Anuar
Utusan Malaysia
4 Disember 2010