JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 Disember 2010

ISU PENGANGKUTAN : PINDAAN AKTA PENGANGKUTAN JALAN


Dalam usaha memperhalusi undang-undang lalu lintas ke arah menjamin keselamatan pengguna jalan raya di negara ini, mahu tak mahu Kementerian Pengangkutan perlu meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987. Langkah ini perlu diambil agar ia selari dengan hasrat kerajaan untuk memperketatkan peraturan jalan raya, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan maut yang kian meningkat di negara ini. Sikap melanggar undang-undang dalam kalangan pengguna jalan raya dikatakan sebagai antara faktor penyumbang kadar kemalangan yang semakin meningkat.

Perangkaan pada tahun 2009 menunjukkan jumlah kemalangan jalan raya adalah 397,330 kes. Indeks kadar kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar adalah 3.55 pada tahun 2009. Di peringkat antarabangsa, Malaysia menduduki tempat ke-46 daripada 172 negara dari segi indeks kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar.
Adalah didapati 62.6 peratus punca utama kemalangan berkaitan dengan kelajuan dan 8.5 peratus dikaitkan dengan perlanggaran peraturan lampu isyarat. Daripada jumlah 397,330 kes tersebut, 6,745 kes melibatkan kematian dengan purata 18 kematian sehari. Kemalangan dan kematian jalan raya memberi impak kepada ekonomi negara di mana kerugian kerajaan dianggarkan sebanyak RM9 bilion setiap tahun atau dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar. 

Jumlah kemalangan jalan raya yang semakin meningkat akibat daripada peningkatan jumlah penduduk dan kenderaan amat membimbangkan. Mengikut perangkaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jumlah pendaftaran kenderaan baru adalah dianggarkan sebanyak 1 juta setahun. Manakala jumlah pemandu baru kira-kira 450,000 orang setahun. Jumlah kenderaan terkumpul sehingga Ogos 2010 adalah sebanyak 19.8 juta. Jumlah pemandu terkumpul dalam tempoh yang sama ialah seramai 12.1 juta orang. Mengapa budaya tidak mematuhi undang-undang jalan raya terus wujud dalam kalangan rakyat Malaysia? Ia adalah kerana terdapatnya beberapa kelemahan tertentu di dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang sedia ada. Oleh itu, ada justifikasi pindaan-pindaan perlu dibuat bagi memastikan undang-undang lebih mantap dan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan jalan raya. Malah ada keperluan dan kesegeraan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Hasil perbincangan dengan semua agensi yang berkaitan, kerajaan telah merumuskan lima teras pindaan seperti berikut: * Kesan daripada penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD); * Menyokong inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) - Pengangkutan Awam Bandar; membanteras amalan rasuah dan menangani perbuatan jenayah; * Memantapkan penguatkuasaan JPJ dan juga agensi-agensi penguat kuasa lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan SPAD serta Pihak Berkuasa Tempatan; * Melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Secara Automatik (Automated Enforcement System - AES); dan * Mengemas kini peruntukan-peruntukan tertentu Akta 333.

Seperti mana kita sedia maklum, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat telah diluluskan pada 2 April 2010. Dengan wujudnya kedua-dua akta baru ini, pindaan perlu dibuat ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987. Bacaan kali kedua pindaan Akta Pengangkutan Jalan akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam masa terdekat bagi membolehkan SPAD mempunyai kuasa dalam penguatkuasaan dan pelesenan. Sepatutnya, SPAD sudah diluluskan pada September lalu tetapi penangguhan pindaan Akta Pengangkutan Jalan telah menyebabkan kelewatan SPAD dan pelaksanaan fungsinya. Pindaan itu penting bagi membolehkan suruhanjaya itu memainkan peranan sebagai badan yang menyelia pengangkutan awam darat serta menyerap unit-unit sektor kerajaan yang berkaitan ke dalam SPAD.

SPAD yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 itu bertujuan memperbaiki landskap pengangkutan awam dan menambah baik keadaan sedia ada. Sasaran untuk melaksanakan 25 peratus Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menjadi fokus utama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) menjelang tahun 2012. Menjelang tahun 2020, SPAD menyasarkan untuk mencapai 30 peratus NKRA. Antara NKRA tersebut ialah peningkatan masa perjalanan bas dengan pengenalan perkhidmatan Bas Ekspres Transit (BET) dan pengenalan semula laluan-laluan bas serta penyusunan semula sistem pengangkutan bas di Lembah Klang. Selain itu, penekanan juga diberikan kepada aspek bangunan dan proses penambahbaikan lebih 1,000 perhentian bas di Lembah Klang dan menyatupadukan tiket pintar.

Cabaran yang harus dihadapi suruhanjaya itu ialah harapan tinggi yang diletakkan oleh rakyat untuk melihat satu proses transformasi berkenaan sistem pengangkutan awam. Bagi memantapkan penguatkuasaan antara agensi iaitu JPJ, PDRM, PBT, SPAD, cadangan pindaan-pindaan telah dibuat terhadap 29 seksyen. Antara seksyen-seksyen utama tersebut adalah berkaitan dengan perkara-perkara mengenai hukuman penalti dinaikkan supaya selaras dengan perkembangan semasa; kuasa JPJ untuk menahan lesen memandu mana-mana orang yang disyaki positif dadah; kuasa JPJ menangkap tanpa waran bagi mana-mana orang yang melakukan kesalahan berhubung dengan pemanduan berbahaya dan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Tanpa pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 juga, kerajaan tidak boleh melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Secara Automatik (Automated Enforcement System - AES) yang merakamkan kesalahan-kesalahan trafik seperti pemanduan yang melebihi had laju, kesalahan melanggar lampu isyarat dan penyalahgunaan laluan bas.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan tujuan pemasangan kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) di 831 lokasi di seluruh negara hujung tahun ini bukan bertujuan meningkat hasil saman, sebaliknya untuk mengurangkan kemalangan. Lagi pun papan tanda peringatan akan dipasang sebelum tiba di kawasan AES supaya pengguna jalan raya bersedia. Selaras dengan perubahan teknologi dan teknologi kenderaan, pindaan perlu dibuat terhadap beberapa peruntukan seperti yang berkaitan dengan transaksi pendaftaran kenderaan secara elektronik dan pelesenan kenderaan elektrik.

Sekiranya Kementerian Pengangkutan lewat mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi membolehkan kenderaan elektrik didaftarkan dalam negara ini, maka hasrat Proton untuk mengeluarkan kenderaan berkuasa elektrik sendiri menjelang 2012 mungkin terjejas. Pada masa ini, kenderaan elektrik tidak boleh didaftarkan disebabkan oleh akta itu yang mengkehendaki pendaftaran nombor casis dan enjin, sedangkan kenderaan elektrik tidak mempunyai nombor enjin. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha meminta pengguna jalan memberi kerjasama kepada pihak berwajib supaya sasaran sifar kemalangan maut dapat dicapai. Usaha bersepadu harus dijalankan untuk mencapai pelan jangka panjang untuk mencapai visi sifar kematian jalan raya.

Bagi mencapai matlamat jangka panjang, kita perlukan polisi keselamatan yang merangkumi semua aspek membabitkan pemandu, kenderaan, kemudahan infrastruktur jalan raya dan persekitaran. Matlamat jangka panjang itu diyakini membawa negara mencapai matlamat bahawa tiada seorang pun patut menjadi korban atau mengalami kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya.

Azman Anuar
Utusan Malaysia
4 Disember 2010

Tiada ulasan: