JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 Disember 2010

ISU SOSIAL : DADAH DAN RASUAH MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA


Kedaulatan dan kuasa di sesebuah negara bukan terletak kepada kepala negara tetapi di tangan rakyat jelata. Dalam sebuah negara demokratik seperti Malaysia, perkara ini menjadi bertambah jelas. Sebab itulah, sebarang ancaman yang dapat memporak-perandakan rakyat jelata, boleh dilihat sebagai ancaman kepada kedaulatan negara. Satu ketika dahulu, kita menjadi risau melihat bagaimana anak-anak muda yang terjebak dalam gejala dadah hilang arah tuju dan ramai juga di antara mereka yang terlibat dengan jenayah disebabkan ketagihan dadah. Masyarakat diseru untuk membenci segala aspek yang terlibat dengan dadah, termasuklah penagih dan pengedarnya. Seperti komunis pada masa itu, dadah turut menjadi musuh negara yang perlu diperangi oleh semua pihak.

Dadah pada hari ini pun masih lagi menjadi musuh negara dan perlu terus diperangi. Mereka yang didapati bersalah memiliki dadah melebihi kuantiti tertentu boleh dikenakan hukuman mandatori mati di tali gantung. Begitu serius sekali kita dalam menangani masalah ini sehinggakan kita sanggup dikutuk oleh beberapa buah negara yang menganggap undang-undang itu terlalu draconian kerana ada rakyat mereka yang didapati bersalah memiliki najis dadah telah dijatuhkan hukuman mati mandatori oleh mahkamah di Malaysia. Namun semua ini tidak mengurangkan ketagih mahupun menakutkan para pengedar dan penggunanya. Golongan penagih ini tidak pula merasa jijik dengan najis yang menjadi kawan baik mereka. 

Kerajaan terpaksa mewujudkan pusat-pusat pemulihan untuk mereka yang menagih dadah bagi membantu mereka tidak mengulangi tabiat buruk berkawan dengan najis dadah itu. Bagaimanapun, laporan dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan jumlah kes berulang iaitu mereka yang kembali menjadi penagih selepas keluar dari pusat serenti sudah hampir sama banyak dengan jumlah penagih baru. Ada antara mereka yang kembali ke 'universiti serenti' untuk ijazah kedua dan ramai juga yang menyambung ke peringkat ijazah kedoktoran tetapi bukan doktor falsafah, sebaliknya fasal dadah!

Sama bahayanya dengan dadah adalah rasuah. Rasuah juga adalah musuh negara kerana ia dapat merosakkan harapan dan inspirasi negara seperti yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. Malah, penyakit rasuah ini jika tidak dibendung akan menghancurkan negara. Mana mungkin negara menjadi maju kalau pemimpinnya sanggup dijual beli. Bagaimana untuk menjadi negara berpendapatan tinggi kalau kaki tangan perkhidmatan awam dan swastanya saling bertukar-tukar paket angpau, ganjaran wang diberikan kepada favour yang dilakukan tanpa merit sebenar untuk mendapat projek tertentu.

Apa akan berlaku kepada negara ini kalau semuanya boleh dibeli dan semua orang ada harganya masing-masing? Seperti penagih dadah yang sanggup mencuri dan membunuh ahli keluarga demi melepaskan gian mereka, negara yang dibelenggu rasuah pasti akan digadai oleh puak-puak yang ketagihkan rasuah. Perlukah kerajaan mewujudkan pusat pemulihan untuk mereka yang ketagih rasuah ini? Atau mungkinkah undang-undang mandatori seperti dadah untuk perasuah (penerima dan pemberi)? Mungkinkah itu penyelesaian yang dapat menghentikan kehinaan sikap tidak amanah yang semakin berleluasa ini?

Setiap hari kita dapat melihat pelbagai usaha pencegahan dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), namun mereka terus menjadi bahan kritikan masyarakat. Pelbagai kempen mereka lakukan melalui media cetak dan media elektronik dan kita hanya dapat berdoa agar usaha-usaha ini akan memberi impak kepada masyarakat secara jangka panjang. Seperti agensi-agensi penguat kuasa lain, SPRM juga berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan kritikan. Adakalanya tohmahan yang dibuat langsung tidak berasas. Kefahaman masyarakat tentang peranan SPRM juga agak terbatas. Ini selalu dapat kita lihat apabila kes-kes berprofil tinggi yang menghasilkan keputusan tidak berpihak kepada kerajaan, maka masyarakat dengan cepat membuat andaian dan selalunya memandang serong kepada SPRM. 

Mungkin juga perlu bagi pihak SPRM mendampingi masyarakat sambil mendidik kepentingan untuk rakyat agar terus memerangi rasuah. Masyarakat juga perlu diberitahu peranan dan ruang lingkup kuasa SPRM. Sekiranya tidak dimaklumkan, mungkin semakin ramai yang akan menuduh SPRM sebagai toothless tiger. Bertaring ataupun tidak, ia sepatutnya diadili oleh rakyat terbanyak hanya apabila mereka faham ruang lingkup sebenar kuasa yang ada pada SPRM. Sekiranya rakyat tidak faham, mereka tidak boleh disalahkan. Rakyat melalui kuasa yang ada pada mereka juga boleh membantu dalam memberi mandat yang lebih besar kepada SPRM. Syaratnya mereka perlu didekati dan diberi maklumat yang tepat. 

Pada waktu ini, rata-rata rakyat tidak dapat melihat magnitud impak rasuah kepada negara. Kos melepas yang sepatutnya menjadi hasil pendapatan kepada negara jika tidak kerana rasuah tidak siapa yang tahu. Mungkin elok untuk satu kajian dibuat agar rakyat dapat diberitahu mengenai jumlah kerugian negara yang disebabkan oleh perbuatan para perasuah ini. Kos melepas inilah antara sumber pendapatan negara untuk membina sekolah, hospital, jalan raya dan semua infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat jelata. Suka atau tidak, realitinya, rasuah adalah satu ancaman kepada keselamatan dan pembangunan negara.

Seperti dadah dan komunis, rasuah harus diperangi oleh semua lapisan rakyat dalam negara kita. Sokongan rakyat kepada usaha SPRM sangat penting untuk menjayakan hasrat murni kita ini. Janganlah hanya kerana satu dua insiden yang belum pun kita tahu duduk sebenar perkara, kita terus menghukum organisasi seperti SPRM. Lihatlah isu yang lebih besar dan kesannya kepada negara daripada diungkit perkara mengenai kepentingan peribadi pihak-pihak tertentu sahaja.

Felo Penyelidik Utama di Institut Kajian Etnik (KITA), 
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 
Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM.

Utusan Malaysia
7 Disember 2010

Tiada ulasan: