Menatap muka depan akhbar ini semalam, penulis terpaku dan termenung sejenak memikirkan siapakah yang mampu membeli sebuah kediaman di Pulau Pinang yang kini mencecah sehingga RM540,000 seunit. Harga semahal itu meletakkan negeri tersebut sebagai negeri yang menawarkan kediaman paling mahal di negara ini. Bukan sahaja golongan berpendapatan bawahan, malah golongan pertengahan juga tidak mampu memiliki kediaman sendiri di negeri tersebut, khususnya di bahagian pulau. Akhirnya, yang mampu menikmati kediaman di bahagian tersebut adalah orang luar yang bukan warganegara Malaysia. Mereka tentulah golongan ekspatriat yang menikmati gaji yang dibayar dalam mata wang dolar Amerika Syarikat atau negara asal yang nilainya lebih tinggi daripada ringgit Malaysia.
Bagi mereka, harga yang ditawarkan itu adalah murah. Tetapi bagaimana pula dengan anak tempatan. Apakah mereka tidak layak mendiami rumah yang selesa untuk membesarkan anak-anak? Bagaimana pula nasib penduduk Melayu di negeri tersebut yang mana purata pendapatan isi rumah bagi kaum itu adalah kurang daripada RM3,000. Adakah ini salah satu strategi terancang kerajaan negeri untuk mengusir keluar penduduk Melayu dari bahagian pulau? Lihat saja kes penduduk Melayu di Kampung Jalan Pokok Asam yang terpaksa keluar dari kampung tersebut baru-baru ini. Kampung itu akan dimajukan dengan projek kediaman bertingkat berharga RM800,000 seunit oleh pemaju dari Kuala Lumpur. Adakah penduduk kampung tersebut mampu membelinya. Tentu jawapannya tidak dan terpaksalah mereka berhijrah ke kawasan lain. Walaupun tanah itu berstatus tanah ceti yang dijual kepada pemaju, tetapi jika kerajaan negeri prihatin, masalah perumahan rakyat tidaklah menjadi seperti sekarang.
Memetik kenyataan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk dalam satu laporan khas mengenai masalah penghakisan tanah milik orang Melayu di Pulau Pinang, katanya, purata pendapatan per kapita mengikut kumpulan etnik bagi tahun 2004 menunjukkan kaum bumiputera memperoleh RM2,856 berbanding kaum Cina RM4,268 dan kaum India RM2,687. Meneliti itu, bukan sahaja orang Melayu yang majoritinya berpendapatan rendah, malah orang Cina dari kelompok pertengahan juga tidak ramai yang mampu memilikinya. Yang mampu adalah orang luar seperti dari Korea dan Singapura yang semakin banyak membeli pangsapuri di pulau tersebut. Akhirnya, satu hari kelak bahagian pulau di negeri itu dipenuhi dengan golongan ekspatriat.
Masalah yang sama juga nampaknya semakin menular di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar lain di seluruh negara. Institut Kajian Sosioekonomi dan Alam Sekitar (SERI) melalui hasil kajiannya mendapati purata harga rumah di ibu kota kini mencecah RM390,000 seunit. Ia juga menyebabkan golongan bawahan dan pertengahan tidak mampu memiliki rumah. Dasar terbuka pasaran bebas yang membenarkan pelabur asing dan spekulator membeli rumah dan hartanah lain jika tidak diubah pasti akan memburukkan keadaan. Ini kerana rakyat dari setiap peringkat pendapatan memerlukan rumah untuk berteduh. Tidak kira sama ada mereka merupakan nelayan, buruh kasar, pekerja industri, pemandu bas atau teksi, penjawat awam, guru, pekerja sektor swasta dan lain-lain, kesemua mereka memerlukan rumah yang sesuai untuk didiami bagi membesarkan anak-anak yang diharap akan menjadi manusia berguna satu hari kelak.
Namun, jika harga rumah tidak dikawal oleh kerajaan dan dibiarkan ditentukan oleh pelabur serta spekulator, maka lambat laun kita akan dapat melihat rakyat bawahan terpaksa tinggal di bawah kolong, di bawah jambatan, di kaki lima dan sekadar menumpang di rumah saudara. Ia sudah mula kelihatan sekarang dan mungkin satu hari nanti, jumlah penduduk gelandangan ini akan bertambah dan menjadi sesuatu yang biasa di negara ini. Jika kerajaan negeri tidak memberi penyelesaian terhadap permasalahan ini, dibimbangi pula masalah lain akan muncul seperti demonstrasi penduduk, anak-anak tercicir dalam pendidikan sekali gus meningkatkan kejadian kadar jenayah. Jika semua itu berleluasa, maka tidak perlulah kita berbangga memiliki bangunan pencakar langit yang mewah menongkat langit yang di dalamnya hanya dipenuhi oleh mereka yang bergelar ekspatriat. Ini kerana ketika itu, golongan tersebut untuk keluar rumah pun akan berasa takut.
Takut menjadi mangsa ragut, takut meninggalkan rumah yang mungkin akan dimasuki pencuri dan lain-lain ketakutan yang akhirnya menyebabkan negara ini tidak selamat lagi untuk didiami. Ketika itu juga, pelancong asing kurang berminat untuk singgah sehari dua ke negara kita. Jika imej itu sudah melekat pada negara ini, maka tentulah sukar untuk mengikisnya. Justeru, apa yang patut dilakukan sekarang adalah kerajaan negeri yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat perlu memainkan peranan aktif dan serius menangani masalah perumahan rakyat. Langkah yang perlu dilakukan segera adalah memperbanyakkan rumah mampu milik dan projek pembinaan rumah mewah juga perlu dikawal. Ini kerana kelulusan sesuatu projek terletak di tangan pihak berkuasa tempatan. Jangan tunggu sehingga rakyat bangkit memberontak kerana tidak berumah sehingga kerajaan negeri mahu mengambil langkah itu dan ini bagi meredakan kemarahan rakyat. Sayang sekali ketika itu semuanya sudah terlewat dan tiada gunanya jika nasi sudah menjadi bubur.
Rohana Man
Utusan Malaysia
4 Disember 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan