Enam bulan lalu, Majlis Profesor Negara ditubuhkan. Ia satu pengiktirafan kerajaan terhadap 1,550 profesor untuk menjadi intelektual awam dan pemikir negara. Semalam, kedudukan profesor diangkat lagi melalui anugerah Profesor Ulung. Kini semakin terserlah profesion pensyarah mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat negara ini. Ini sesuai dengan kedudukan golongan cerdik pandai dan pemikir demi kemajuan negara. Nama tokoh yang dipilih sebagai Profesor Ulung telah diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam. Setiap penerima diberi elaun tambahan RM10,000 selain gaji bulanan gred tertinggi turus dan geran penyelidikan.
Seperti dinyatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, pelantikan Profesor Ulung ini merupakan tindakan proaktif kementerian selepas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 pada Mac lepas bagi memperbaiki skim perkhidmatan akademik khususnya profesor. Peranan dan aktiviti Profesor Ulung bukan sahaja dalam kelompok universiti sahaja tetapi boleh dimanfaatkan kepada institusi kerajaan, organisasi awam dan juga masyarakat. Peranan ini sesuai dengan sifat Profesor Ulung yang dianggap sebagai milik negara. Sebab itu mereka patut mendapat layanan, sokongan dan dorongan dari kerajaan untuk terus menyumbang lebih banyak lagi penemuan kepada negara.
Mohamed Khaled sendiri pernah menyeru dan mengajak para profesor untuk keluar dari menara gading masing-masing dan tidak hanya menjadi 'super gurus' atau tertumpu kepada kemajuan kerjaya semata-mata, tetapi sebaliknya mengambil bahagian secara aktif dengan menawarkan kepakaran masing-masing dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Dalam erti kata lain, mereka sewajarnya menjadi intelektual awam dan ikon keilmuan di tengah-tengah kelompok masyarakat. Kita percaya dengan bekalan pengetahuan dan penguasaan ilmu yang dimiliki, para profesor di negara ini akan mempunyai status dan kedudukan yang tinggi dalam masyarakat yang tentunya menimbulkan rasa yakin dan percaya yang besar dalam penerimaan umum.
Malaysia sebenarnya memerlukan lebih ramai berstatus profesor kerana ia merupakan faktor kritikal kepada kejayaan mentransformasikan negara. Gelaran profesor merupakan satu gelaran yang eksklusif, hanya mereka yang berilmu dan diiktiraf di kalangan rakan akademik sahaja yang dapat menggunakan gelaran tersebut. Gelaran Profesor Ulung pula cukup istimewa, maka ia menjadi pendorong terbaru supaya lebih ramai ahli akademik meningkatkan kerjaya dan pemikiran mereka. Ia suatu usaha yang tidak sia-sia.
Utusan Malaysia
16 Disember 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan