Apabila majalah Foreign Policy mengeluarkan senarai 100 pemikir terbaik dunia, kali kedua dalam edisinya, ia menimbulkan persoalan yang pelbagai. Mungkin kerana majoriti penerima anugerah ini masih terdiri dari pemikir Barat yang menguasai kedudukan teratas dan teramai dalam senarai. Bagaimanapun semua mereka yang tersenarai telah menzahirkan pemikiran dan kecenderungan mereka dalam mewujudkan dunia yang lebih baik dengan cara mereka yang tersendiri sama ada dari sudut politik, ekonomi, kepimpinan mahupun agama. Namun untuk berlaku jujur senarai kali ini dilihat agak berbeza apabila beberapa pemimpin syarikat teknologi yang banyak membantu memudahkan kehidupan manusia turut tersenarai.
Mendahului senarai teratas adalah dua orang terkaya dunia, Warren Buffet dan Bill Gates. Namun sumbangan mereka kali ini bukan diiktiraf kerana kekayaan yang dimiliki tetapi melalui sumbangan wang ringgit untuk dunia yang lebih baik. Semua sedia maklum bahawa kekayaan kedua mereka ini sahaja mencecah AS$101 bilion (RM313 bilion) tetapi kekayaan mereka ini nyata tidak menggelapkan hati mereka. Kedua-dua mereka ini telah mengembara hampir ke seluruh dunia untuk berjumpa tokoh-tokoh perniagaan dan bilionair dunia dalam usaha memujuk mereka menyertai apa yang dipanggil kelab Great Givers. Penubuhan Yayasan Gates nyata telah membuka hati Buffet yang berikrar untuk menyerahkan 99 peratus asetnya untuk kegiatan kebajikan sejak 2006.
Manakala Gates sendiri telah mengeluarkan lebih AS$2 bilion (RM6.2 bilion) setahun untuk membaik pulih pembangunan kesihatan awam di seluruh dunia. Memandangkan dunia kini semakin hilang minat terhadap pertubuhan dunia yang jelas semakin hilang arah tujuan seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), apa yang ditawarkan melalui Yayasan Gates dilihat sebagai satu alternatif yang berbeza. Beliau menawarkan kesediaan dan bantuan syarikat-syarikat besar, usaha membantu mewujudkan dunia yang lebih baik dengan meningkatkan tahap kesihatan dan pendidikan di seluruh dunia. Sehingga kini 40 bilionair dari seluruh dunia telah menyatakan persetujuan untuk terlibat dalam usaha ini dan dijangka lebih AS$600 bilion (RM ) dapat dikumpul dalam menjayakan misi ini.
Ditempat kedua, juga terdiri dari dua orang merupakan orang yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan kewangan dunia iaitu Dominique Strauss-Kahn dan Robert Zoellick. Kahn merupakan Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) manakala Zoellick adalah Presiden Bank Dunia. Peranan kedua-dua pusat kewangan ini menimbulkan banyak syak wasangka dan serampang dua mata seperti yang berlaku kepada Malaysia ketika krisis kewangan 1997 serta yang berlaku di Ireland ketika ini dalam usaha menyelamatkan ekonomi mereka. Namun usaha kedua-dua tokoh ini telah diiktiraf berdasarkan sumbangan dalam mengelakkan apa yang dipanggil “keadaan ekonomi menjadi lebih buruk” di negara-negara seperti Pakistan, Greece dan Hungary. Negara-negara ini merupakan antara negara yang terjejas teruk akibat krisis ekonomi 2008 namun kini semakin pulih walaupun pelan bantuan ekonominya dilihat banyak merugikan negara-negara berkenaan.
Kedudukan seterusnya dilihat mampu memulihkan imej Presiden Barack Obama yang kini terpalit “dakwat merah” akibat kehilangan pengaruh di negaranya sendiri walaupun diterima baik oleh negara-negara lain. Namun apa yang berlaku di negaranya akibat keadaan ekonomi yang merudum bukanlah sesuatu yang boleh dielakkan, apatah lagi jika ia diwarisi dari kepimpinan dungu sebelumnya yang bertindak hanya untuk kepentingan kelompok tertentu.
Tempat keempat diduduki Zhou Xiaochuan yang juga Gabenor People’s Bank of China yang bertanggungjawab menaikkan ekonomi negara itu selain turut terlibat dalam menentukan kedudukan ekonomi dunia secara tidak langsung.
Seterusnya adalah Pengerusi Federal Reserve Amerika Syarikat, Ben Bernanke, kedudukan yang mungkin boleh dipertikaikan berdasarkan keadaan ekonomi semasa manakala tempat keenam pula jauh lebih membanggakan dengan pemilihan Menteri Luar Brazil, Celso Amorim yang bertanggungjawab memacu status dan kedudukan negara itu ke kedudukan tertinggi di peringkat antarabangsa.
Pemikir seterusnya adalah antara orang yang bertanggungjawab menjadikan peranan Turki sebagai antara negara yang perlu diberi perhatian di peringkat antarabangsa. Menteri luarnya, Ahmet Davutoglu adalah orang yang lantang menggunakan kedudukan negara Islam yang sekular dalam menjalin hubungan yang lebih rapat antara Barat dan dan dunia Arab.
Kedudukan sebagai Jeneral pemerintah di Afghanistan telah melayakkan David Petraeus menduduki tempat ke lapan walaupun hakikatnya ia lebih kepada memporakperandakan negara itu manakala tempat seterusnya juga boleh dipersoalkan kewibawaannya apabila Setiausaha Pertahanan, Robert Gates dikatakan mampu memperkasakan kekuatan tentera AS pada alaf-21.
Pemikir ke 10 pula adalah satu-satunya wanita yang menduduki tempat teratas senarai dan dengan peranan yang dilakukan sebagai Canselor Jerman, Angela Merkel dilihat layak untuk menduduki tempat tersebut.
Tempat seterusnya memang membanggakan terutama apabila tokoh kontroversi di sebalik penubuhan Pusat Islam berhampiran tapak bekas Pusat Dagangan Dunia di New York, Imam Feisal Abdul Rauf terpilih memandangkan peranan beliau dalam mewujudkan pemahaman yang lebih baik dalam perbezaan antara agama.
Lebih membanggakan kedudukan ini dikongsi bersama dengan bekas Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg yang berbangsa Yahudi yang pernah memberi kenyataan bahawa penduduk Islam adalah sebahagian dari AS. Mungkin dilihat kedua mereka adalah satu pasangan yang pelik namun usaha mereka dalam mewujudkan keharmonian antara agama wajar dipuji dan dipelihara.
Bagi kedudukan lain antara yang menarik perhatian adalah bekas presiden bersama isterinya yang juga Setiausaha Negara AS, Bill dan Hilliary Clinton menduduki tempat. Peranan mereka diiktiraf bersandarkan kepada peranan penting yang dimainkan selain membuktikan tidak perlu menjadi presiden untuk bertindak sebagai presiden.
Spekulator ekonomi George Soros turut tersenarai dengan menduduki tempat ke 15, walaupun dunia mengenali beliau sebagai orang yang bertanggungjawab dalam krisis ekonomi pada 1997. Namun usaha yang menaikkan nama Yahudi kelahiran Hungary itu adalah dengan pemberian AS$100 juta (RM310 juta) kepada Human Right Watch pada September lepas, sesuatu yang mungkin dilihat sebagai agenda untuk memanipulasi pertubuhan itu mengikut selera Barat.
Seterusnya berkongsi di tempat ke 17 adalah Ketua Pegawai Eksekutif Amazon dan Apple, Jeff Bezos dan Steve Jobs. Penerimaan mereka di dalam senarai ini dilihat sebagai di luar jangkaan namun usaha mereka diiktiraf kerana meluaskan usaha pembacaan melalui penciptaan mereka melalui e-reader. Amazon's Kindle dan iPad dilihat sebagai teknologi masa depan dalam memudahkan manusia meluaskan pembacaan.
Begitu juga dengan penyenaraian pengasas Google, Sergey Brin and Larry Page yang menduduki tempat ke 21. Selain membantu memudahkan urusan berjuta-juta manusia melalui Google kedua mereka diiktiraf kerana keberanian melawan kerajaan China dengan mengancam untuk keluar dari negara itu selepas berlaku satu percubaan serius untuk menceroboh sistem komputernya oleh penggodam kerajaan tersebut.
Selain itu, Perdana Menteri Palestin Salem Fayyad melalui usaha membawa pembangunan selain kepercayaan bahawa akan wujud sebuah negara Palestin yang merdeka telah meletakkan dirinya di senarai 23 pemikir terbaik dunia.
Termasuk dalam senarai adalah empat veteran politik AS seperti Henry Kissinger, Sam Nunn, William Perry dan George Shultz. Keempat-empat mereka ini yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Negara, Senator dan Setiausaha Pertahanan telah bersungguh-sungguh memperjuangkan dunia tanpa nuklear untuk hidup yang lebih sempurna.
Demikian antara senarai 100 pemikir terbaik dunia namun ada bukan semua yang bernasib baik untuk tersenarai semula tahun ini. Pastinya orang yang paling malang adalah pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terkeluar walaupun menduduki tempat ke-32 tahun lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan