02 Disember 2010

ISU BAHASA : DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP) PERLU BERI PELUANG MAHASISWA BEBAS BERSUARA

 
Universiti adalah menara ilmu yang menjadi medan perkembangan, penggunaan dan memartabatkan ilmu dalam semua aspek. Ilmu menjadi nadi dalam setiap urusan kita. Kerana itu, usaha dilakukan secara berterusan dalam proses meneroka ilmu dan mengembangkannya. Pada masa sama, universiti yang hidup subur dalam masyarakat berbudaya dan bertamadun, berusaha menyediakan mahasiswanya menjadi mereka yang bukan saja berilmu malah memainkan peranan melakukan perubahan dalam masyarakat serta secara ideal menjadi contoh diikuti ahli masyarakat lain. Ini bermakna universiti juga adalah medan terbaik mahasiswa berfikir dan bertindak sebagai orang berilmu. Inilah idealisme yang ada dalam sesebuah universiti. Idealisme yang memerlukan setiap warga berusaha keras mencapai dan melakukan usaha bersungguh-sungguh dalam memacu kecemerlangan bagi mentransformasikan pengajian tinggi demi kelestarian hari esok. 
 
Untuk berbuat demikian, kita perlu terlebih dulu mentransformasikan pemikiran bagi mengubah set minda yang ada dalam menghargai dan membudayakan ilmu. Oleh demikian, kejayaan menubuhkan Dewan Perundingan Pelajar (DPP) di Universiti Sains Malaysia (USM) misalnya berupaya menjadi sebahagian usaha dan mekanisme pendidikan untuk menghasilkan pemimpin masa depan yang sentiasa berfikiran luas, terbuka dan bersifat global tanpa melupakan di mana bumi dipijak serta mengabaikan nilai dan jati diri yang perlu dimiliki dan dipertahankan selain tidak melupakan trilogi budi yang menjadi teras kepada pembangunan masyarakat yang lestari dan berbudaya tinggi. Trilogi budi itu ialah budi bahasa, budi pekerti dan budi bicara. Semuanya perlu dilihat dan dihayati untuk pemimpin berdebat dengan penuh adab, mengkritik dengan penuh fakta serta memberi cadangan berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang sesetengahnya boleh dilakukan dengan menggunakan kreativiti dan inovasi hebat dari minda orang muda.

DPP harus menjadi lambang kebebasan bersuara dan keupayaan mahasiswa mengupas hal yang mempunyai kepentingan bersama baik dalam kalangan orang muda mahu pun kepentingan manusia dan kemanusiaan seluruhnya. Dewan ini bakal menguji kematangan dan keupayaan mahasiswa dalam mengupas dan menganalisis sebagai persediaan berhadapan dengan masyarakat sebagai seorang pemimpin atau sekadar seorang yang dipimpin pada masa depan. DPP akan menjadi mercu tanda baru suara mahasiswa, anak-anak muda dan suara masa depan sebagai juru bicara rakyat yang telus dan penuh nilai perjuangan yang ikhlas untuk menjadikan masyarakat kita lebih hebat pemikirannya.  Oleh demikian, adalah wajar untuk ahli DPP malah mahasiswa seluruhnya membahaskan isu sejagat yang ada kepentingan manusia seluruhnya bukan hanya berfokus kepada isu kebajikan dalaman yang walaupun penting namun amat terhad ruang lingkupnya. Mahasiswa perlu berdebat mengenai bagaimana untuk menjadikan dunia ini lebih sejahtera untuk didiami semua. 
 
Mengenai isu kemanusiaan yang sering dipermainkan, isu kemiskinan yang terdapat di seluruh ceruk rantau dunia, isu keselamatan dan kesihatan yang mengancam hidup manusia, isu penindasan dan kekejaman yang masih menghantui ramai manusia apatah lagi isu pendidikan dan pengajian tinggi yang kian rencam sifatnya. Semua ini perlu benar-benar dihayati kerana ilmu yang dipelajari di dewan kuliah hanyalah setitis air di lautan. Sedangkan seluruh lautan itulah yang menyediakan lembah pengalaman yang perlu diterokai. Hutan belantaralah yang menyediakan tempat menguji kekuatan minda dan fizikal kita. Gunung-ganang menyediakan tempat untuk kita daki yang menguji kekuatan diri bagi melihat bumi yang terbentang luas di bawahnya dan langit biru bukanlah menjadi halangan untuk kita terbang meneroka setiap yang ada dalam ciptaan Tuhan, menerjah langit dan mencari setiap rahsia yang tersembunyi di seluruh dunia ini. Dewan Perundingan Pelajar yang baru bermula di kampus USM harus mengorak langkah untuk mahasiswa memberi makna kebebasan yang diberi dalam semangat itu yang diinginkan selama ini. 
 
Oleh Tan Sri Razali Ismail
Pro Canselor USM 
Bekas diplomat.

ISU BAHASA : BAHASA, BUDAYA MELAYU PERLU DIJADIKAN TONGGAK PEMBENTUKAN MALAYSIA



 
Bahasa dan budaya Melayu perlu dijadikan tonggak utama dalam cara hidup rakyat berbilang kaum di negara ini. Ia bagi memastikan gagasan 1Malaysia dilaksanakan dalam konteks warisan budaya, namun dalam masa sama tidak mengetepikan kebudayaan bangsa lain. Jika penerimaan dilakukan secara terbuka, mungkin tidak wujud lagi warga negara yang bertutur pelat dalam Bahasa Melayu. Juga, tidak berlaku perbuatan mengetepikan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi. Sebaliknya, memahami sejarah dapat membantu rakyat faham kenapa Perlembagaan itu dibentuk seperti apa yang termaktub dan dikuatkuasakan sekarang.

Nilai penerimaan dan menghormati Perlembagaan perlu wujud dikalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Golongan muda adalah antara yang tersasar jauh dan tidak memahaminya. Ini kerana wujudnya usaha mengelirukan pemikiran mereka hingga lahir tindakan dan tuntutan yang bercanggah dengan apa yang dipersetujui pemimpin terdahulu. Sama rata antara kaum adalah sesuatu yang mustahil dapat dipraktikkan di negara ini. Ini semua berpunca kerana wujudnya kelompok politik yang terlalu taksub untuk berkuasa dan konon mahu mentadbir negara. Akhirnya mereka sanggup mencabar kedaulatan undang-undang yang dipersetujui ketika cadangan untuk menerima ‘orang luar’ menjadi sebahagian daripada warga negara ini. Di pentas Forum Jati Diri Siri Ke-4, di Dewan Bestari, Jabatan Penerangan di ibu negara, tokoh budaya, Datuk Aziz Deraman, menegaskan tidak mungkin wujud sama rata dikalangan masyarakat di negara ini kerana secara nyata wujud perbezaan seperti kepelbagaian kaum, penduduk di bandar dan luar bandar selain bahasa, budaya malah kepercayaan.

“Sama rata kalau kita menubuhkan negara baru seperti Amerika. Kita masuk beramai-ramai dan menubuhkan satu negara baru. Malaysia bukan negara baru (kerana) 2,000 tahun sudah tertulis (sejarah) sebelum itu. Akar itu sudah ada,” katanya ketika mengupas tajuk Warisan Budaya Dalam Konteks 1Malaysia bersama seorang lagi ahli panel iaitu Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Lim Swee Tin. Ia dipengerusikan oleh Ketua II GAPENA, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar. Forum anjuran bersama Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) dengan kerjasama GAPENA, Persatuan Sarjana Komunikasi dan Media Malaysia (PERSKOM) serta Jabatan Penerangan. Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Abdullah Morad; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid, serta Pengarang Eksekutif (Rencana), Zainor Said.  
 
Aziz berkata, wujudnya masalah bahasa kerana orang ramai keliru untuk membezakan antara hak negara dengan hak kaum masing-masing. Bahasa sukuan, dialek baik dalam bahasa Cina mahupun India adalah milik peribadi tetapi perlu mengutamakan Bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa yang termaktub sebagai bahasa pengantar semua bentuk komunikasi rasmi negara. Prinsip penerimaan dan penghayatan adalah penting untuk masyarakat memahami kedudukan budaya Melayu sebagai teras budaya nasional. Katanya, budaya sekurang-kurangnya mempunyai empat teras. Pertama, falsafah dan pemikiran seperti ilmu pengetahuan, bahasa, mitos dan cerita lisan. Kedua, warisan kebendaan termasuk bangunan seperti Istana Iskandariah dan Bangunan Sultan Abdul Samad selain alat pertanian, kapal, makanan, perabot dan sebagainya. Ketiga kesenian, yang terdiri daripada lakonan, nyanyian, lukisan, tenunan dan anyaman. Keempat adalah nilai dan norma termasuk lapan nilai yang diterapkan dalam gagasan 1Malaysia.

“Banyak nilai yang tercerna dalam nilai budi. Kita punyai ribuan pantun menjelaskan mengenai budi,” katanya sambil menegaskan pendidikan sastera perlu diterapkan seawal mungkin dalam pendidikan. Aziz berkata, Kementerian Pelajaran wajar melihat lebih mendalam kepentingan memperkenalkan subjek Kesusasteraan Melayu pada peringkat sekolah rendah. Katanya, langkah itu bukan sekadar untuk memenuhi keperluan akademik semata-mata, malah lebih kepada diskusi mengenai maksud tersirat dalam peradaban budaya Melayu secara keseluruhannya. “Sebenarnya orang Melayu begitu kaya dengan peribahasa dan pelbagai lagi aspek budaya lain. Sebagai contoh, pantun kita cukup dikagumi masyarakat luar, tetapi kita sendiri mengabaikannya.

“Kekeliruan yang timbul mengenai pemahaman konsep 1Malaysia menjadi isu yang harus ditangani segera dengan cara berhemah dan menggunakan apa saja pendekatan termasuk memperkasakan bahasa serta budaya Melayu supaya dapat diserap masuk secara menyeluruh kepada masyarakat,” katanya.

Pandangan itu diluahkan Swee Tin yang berpendapat, isu mengenai 1Malaysia tidak boleh terus dibicarakan secara tersirat tetapi perlu diluahkan dengan jujur supaya tidak terus menerus timbul keraguan mengenai pemahaman konsepnya. “Ramai beranggapan 1Malaysia ialah menyamatarakan semua bangsa. Ia amat berbahaya sekiranya kita membiarkan anggapan ini berterusan. Dalam konteks hak sebagai rakyat Malaysia, kita perlu rujuk Perlembagaan yang menyebut bahawa semua rakyat mempunyai hak yang sama. “Namun, dalam hal tertentu, semua bersetuju dan menerima bahawa orang Melayu mempunyai hak khusus dan tertentu. Ia mengkehendaki semua rakyat perlu menerima bahawa orang Melayu ada hak istimewa tertentu seperti termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
 
Berita Harian
1 Disember 2010

ISU BAHASA : NEGARA PERLU IKTIRAF PEMIMPIN YANG GIAT PERJUANGKAN BAHASA KEBANGSAAN

Kepemimpinan  melalui teladan perlu diamalkan setiap pemimpin bermula dari peringkat atas hingga ke bawah. Perkara ini perlu dimulakan bagi memastikan apa juga pelaksanaan untuk membentuk jati diri rakyat Malaysia mampu dilakukan. Pemimpin perlu mempamerkan contoh yang baik terutama dalam penggunaan Bahasa Melayu. Menyedari pentingnya perkara ini, kakitangan Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan, Abdul Razak Ismail, mencadangkan supaya diwujudkan anugerah untuk ikon atau tokoh 1Malaysia pada peringkat kebangsaan dan negeri. Syarat utama pencalonan, individu itu mesti hebat berbahasa Melayu, kata beliau yang menghadiri Forum Jati Diri Ke-4 bersama kira-kira 100 kakitangan lain Jabatan Penerangan baru-baru ini.

Kata Razak, beliau melahirkan idea itu selepas menyedari pentingnya jati diri. Ahli panelnya, tokoh budaya yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Aziz Deraman dan Prof Madya Dr Lim Swee Tin, menyokong penuh cadangan itu. Menurut mereka, garis panduan perlu bagi memastikan tokoh yang sesuai dan cadangan ini perlu diuar-uarkan supaya mendapat perhatian pihak berkenaan. Seorang lagi peserta, Ahmad Badaruddin Abdul Haq, berpendapat penyelarasan bahasa Melayu perlu dilakukan terutama tulisan di papan tanda, iklan, bangunan dan nama tempat.  Katanya, semua papan tanda perlu mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ini membabitkan saiz tulisan, ketepatan ejaan, warna, jenis tulisan dan sebagainya bagi mengawal penyalahgunaan bahasa.

Pandangan itu mendapat reaksi Swee Tin. Katanya, mengapa PBT tidak mengambil langkah proaktif kerana dulu semua papan tanda dalam Bahasa Melayu tetapi kini bercampur aduk dengan pelbagai bahasa. “Menghairankan kenapa perkara ini boleh berlaku. Sedangkan pemimpin teratas hingga ke bawah semuanya Melayu. Lebih menyedihkan kini, semakin rancak surat bukan dalam bahasa Melayu diterima. “Saya sampai sekarang masih memulangkan surat-surat yang dihantar bukan dalam bahasa Melayu. Saya buka elok-elok, saya tengok bahasa Inggeris, saya lipat balik surat masukkan ke dalam sampul. Saya tulis di atas sampul - ‘tiada di alamat ini’. Saya pulangkan kepada asalnya,” katanya ketika mengulas cadangan itu. Oleh demikian, bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh ia memerlukan penjanaan dan kerjasama daripada semua pihak.

Seorang lagi peserta, Asiah Omar, berkata adakah perlu wujud satu bulan untuk memartabatkan Bahasa Melayu seperti sekarang kerana bukankah ia seharusnya menjadi kempen sepanjang tahun. Swee Tin dalam ulasannya, bersetuju dengan adanya bulan bahasa itu. “Langkah kerajaan menganjurkan Bulan Bahasa itu kena dan tepat. Bulan Bahasa yang diadakan setiap Oktober lebih berbentuk penjelasan dan pemantapan. Jika tidak ada bulan seperti itu kita tidak mempunyai ruang untuk menggembar-gemburkan sebenarnya. Di samping itu kempen lain yang sejajar dengannya harus diadakan. Umpamanya, Kempen Senyum yang diamalkan di Singapura. Kempen Salam 1Malaysia, kempen berterima kasih dalam bahasa Melayu, kempen pepatah dan membaca,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Hartini Hashim, membangkitkan mengenai pembentukan jati diri seharusnya bermula daripada peringkat kanak-kanak. Hairul Anuar Simon, pula menekankan isu kebanyakan orang Melayu yang gagal menjadi contoh kepada kaum lain dalam penggunaan Bahasa Melayu hinggakan wujud orang Melayu bercakap pelat. Forum kali ini membabitkan kakitangan Jabatan Penerangan dan mereka menyambut baik kerana memberi banyak input baru mengenai jati diri dan gagasan 1Malaysia. Omi Habibah Shariff, berkata forum itu banyak memberi maklumat kepada beliau. “Walaupun suami saya orang Kelantan, saya tidak pernah terdedah dengan budaya Cina Peranakan Kelantan yang pandai berbahasa Melayu dan menghormati orang tempatan. Oleh itu bagi memastikan anak dididik dengan baik, perkara asas perlu diterapkan kerana semua nilai murni terkandung dalam 1Malaysia.

Demi melahirkan warga yang sayangkan negara. Ramai remaja kita yang berpendidikan tinggi tetapi tidak bertanggung jawab kepada ibu bapa apatah lagi negara. Nilai sayangkan negara tidak ada menyebabkan mereka mudah mengutuk kepemimpinan dan negara. Ibu bapa hendaklah memulakannya dari rumah,” katanya. Sementara itu, selaku moderator, Ketua II GAPENA, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Bakar, mencadangkan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Induk Kabinet untuk Bahasa Kebangsaan memandangkan Dewan Bahasa dan Pustaka tidak mempunyai bidang kuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan terhadap salah laku penggunaan bahasa Melayu.

Berita Harian
1 Disember 2010

ISU SOSIAL : 20 JUTA KENDERAAN BERDAFTAR DI MALAYSIA PADA TAHUN 2010


Malaysia akan mempunyai lebih daripada 20 juta kenderaan berdaftar di jalan raya menjelang akhir tahun 2010. Ketika mendedahkan perkara ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, jumlah terkumpul kenderaan berdaftar mencapai lebih 19 juta pada 2009. Malaysia boleh dianggap sebagai salah sebuah negara bermotor yang tinggi di mana lebih daripada sejuta (1,017,361) unit kenderaan baru didaftarkan pada 2009 sahaja. Ini bermakna bahawa setiap 30 rakyat Malaysia, tua dan muda, memperoleh kenderaan bermotor baru setiap tahun. 

ISU UMUM : KAYA HANYA MELALUI UCAPAN SAHAJA

Seperti seorang penyanyi, pemidato tidak kira ahli politik atau ahli perniagaan, apa yang meluncur dari mulut mereka mampu mendatangkan duit. Berapa banyak mereka dibayar sekadar untuk berucap kadang-kala ia menjangkau daripada yang kita sendiri jangkakan. Orang ramai sanggup mengeluarkan wang hanya sekadar untuk mendengar individu-individu hebat ini berucap. Melihat kepada jumlah pendapatan yang diperoleh mungkin selepas ini ada yang ingin beralih arah ke bidang ucapan umum. Berikut 10 individu yang menerima bayaran tertinggi untuk berucap

Donald Trump - RM3 juta- RM4.6 juta. 

Pada 2006 hingga dan 2007, Learning Annex membayar taikun hartanah terkenal ini sebanyak RM3.5 juta bagi setiap satu ucapan di 17 seminar sempena expo hartanah anjuran syarikat tersebut. Trump hanya perlu berucap selama sejam tetapi penonton berkata wang yang dikeluarkan berbaloi kerana dia menjawab setiap soalan penonton.

Ronald Reagan - RM3.1 juta. 

Pada 1989, Fujisankei Communications Group di Jepun membayar bekas Presiden Amerika Syarikat itu sebanyak RM2.5 juta bagi satu ucapan. Jumlah tersebut dianggap tidak keterlaluan kerana Reagan telah berkongsi rahsia dan pengalamannya dalam perniagaan dan ketika menjadi presiden dengan syarikat tersebut yang ketika itu terdesak mendapatkan bantuan perhubungan awam. Kehadiran Reagan telah membantu menaikkan semula reputasi syarikat tersebut dan negara Jepun umumnya.

Tony Blair - RM1.9 juta 

Dengan bayaran sebegitu untuk sebuah ceramah Blair dianggap sebagai antara penceramah yang dibayar paling tinggi di dunia. Pada 2009 beliau memperoleh hampir RM 2 juta bagi satu ucapan selama dua setengah jam yang disampaikan di Filipina - bermakna lebih RM31,000 untuk seminit.

Bill Clinton - RM465,000 - RM1.39 juta. 

Bukan sesuatu yang luar biasa bagi bekas Presiden AS ini untuk meraih lebih setengah juta ringgit untuk satu ucapan. Clinton telah dipanggil sebagai penceramah dalam pelbagai acara di seluruh dunia daripada isu alam sekitar, perniagaan hingga kepada kempen kesedaran HIV/AIDS dan pembangunan kepimpinan. Karisma dan kelebihan yang sama itulah yang membantunya dipilih sebagai presiden selama dua penggal.

Rudy Guiliani - RM837,000

Dulu berjuta-juta penduduk New York dapat mendengar ucapan Guiliani secara percuma ketika beliau menjadi datuk bandar kota raya itu. Kini setelah bersara, ucapannya sudah tidak semurah itu, malah sejak memegang jawatan lagi pendapatan beliau hampir RM31 juta hasil daripada bayaran untuk berucap. Bayaran paling tinggi mencecah RM672,000 ketika berucap di Sage Capital, sebuah firma ekuiti.

Alan Greenspan - RM775,000 

Bekas Pengerusi Badan Simpanan Persekutuan AS ini meraih pendapatan lumayan dengan berucap selepas beliau bersara. Hanya seminggu selepas bersara, Greenspan berucap di majlis makan malam konglomerat terkenal AS, Lehman Brothers dengan meraih RM775,000.

Lance Armstrong - RM310,000 ke atas

Jaguh lumba basikal ini muncul sebagai pemidato utama selepas beliau menjadi inspirasi kepada ramai orang atas kejayaannya melawan penyakit barah yang dihidapi dan kemunculan semula dalam sukan tersebut seterusnya menjuarai kejohanan berprestij, Tour de France. Beliau dibayar lebih RM300,000 untuk muncul dalam sesuatu majlis, malah terdapat khabar angin bayarannya mencecah RM2.3 juta untuk siri ucapan di beberapa negara pada tahun lepas.

Al Gore - RM310,000 - RM465,000

Meraih populariti ketika menjadi Naib Presiden AS dan bertanding untuk jawatan Presiden. Beliau kini terkenal sebagai aktivis yang menentang pemanasan global dan aktivis alam sekitar.

Richard Branson - RM310,000 ke atas 

Taikun perniagaan ini terkenal di seluruh dunia melalui syarikat rakaman dan penerbangannya serta idea pelan perniagaan yang luar biasa. Jika anda ingin menjemputnya untuk berucap di majlis anda, bersedialah dengan bayaran sekurang-kurangnya RM310,000 walaupun khabar angin menyatakan bayaran untuknya lebih tinggi daripada jumlah itu.

Sarah Palin, RM310,000 ke atas. 

Beberapa tahun lalu tidak ramai orang di luar Alaska (tempat asal Palin) mengenali wanita ini. Tetapi selepas dia bertanding kerusi Naib Presiden Amerika Syarikat beberapa tahun lalu telah menaikkan nama dan nilai ucapannya. Sejak melepaskan jawatan sebagai gabenor, Palin telah meraih pendapatan hampir RM37 juta melalui royalti buku, bayaran ceramah dan realiti TV.

ISU ALAM SEKITAR : DENDA KESALAHAN HUTAN RM1 JUTA


Kadar denda dan hukuman bagi kesalahan hutan terutama pembalakan haram akan ditingkatkan kepada RM1 juta dan penjara antara lima dan 20 tahun apabila Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dipinda kelak. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebelum ini pesalah kesalahan hutan didenda tidak melebihi RM500,000 dan penjara antara setahun dan 20 tahun. Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) hari ini bersetuju meminda Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) bagi memantapkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan perhutanan dalam membanteras pembalakan haram dan kesalahan hutan.

Jabatan Peguam Negara akan mengkaji jumlah denda minimum sebelum Rang Undang-Undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2010 dibentangkan di Parlimen. Diharap pindaan itu dapat memastikan sektor perhutanan bergerak seiring dengan cabaran dan isu semasa yang mencakupi aspek-aspek pencegahan pembalakan haram, pelaksanaan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan yang lebih berkesan. Majlis Tanah Negara menggabungkan Majlis Perhutanan Negara dan Majlis Mineral Negara bertujuan membincangkan dasar dan perundangan untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah bagi perlombongan, pertanian serta perhutanan dalam usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran tanah negara.

Muhyiddin berkata, Rang Undang-Undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2010 memberi penekanan kepada aspek memindahkan prinsip beban bukti semasa perbicaraan di mahkamah bagi kes-kes kesalahan hutan daripada pihak pendakwaan kepada pihak yang didapati memiliki hasil balak. Sementara itu katanya, mesyuarat turut bersetuju dengan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) iaitu dari 2011 hingga 2015. Amalan CTT bagi penghasilan HSK di bawah rancangan Malaysia merupakan usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pengurusan hutan secara lestari. Beliau berkata, Majlis Perhutanan Negara bersetuju bahawa CTT dalam HSK di bawah RMK-10 ditetapkan seluas 199,165 hektar atau 39,833 hektar setahun bagi Semenanjung Malaysia. CTT bagi Sabah ditetapkan seluas 300,000 hektar atau 60,000 hektar setahun dan CTT bagi Sarawak ditetapkan seluas 775,000 hektar atau 155,000 hektar setahun.

01 Disember 2010

APABILA ORANG KATA "GURU SELALU JADI KERANI" SEHINGGA TIADA MASA UNTUK MENGAJAR.


Setelah sekian lama menceburi bidang perguruan ini, Cikgu Zul dah tidak ingat berapa kalikah persoalan "Guru Jadi Kerani" menusuki gegendang telinga ini. Cikgu Zul juga lupa, berapa orang gurukah yang telah mengucapkan ungkapan keramat itu? Semua golongan guru baik Pengetua Cemerlang, Guru Cemerlang, Guru Akademik, dan entah apa-apa lagi pangkat guru termasuk juga guru biasa yang tidak memiliki apa-apa pangkat dan keistimewaan seperti Cikgu Zul juga tidak terlepas daripada mempertikaikan perkara itu. 

Bagi Cikgu Zul, apa salahnya jika guru menjadi kerani? Seorang guru bukan sahaja berperanan sebagai kerani tetapi gurulah peguam, doktor, arketik, jururawat, akauntan, dan pelbagai lagi jawatan yang ada di dunia ini. Guru sebagai insan mulia yang menjadi pendidik, pengasuh, dan pengajar kepada anak-anak bangsa, seharusnya tahu dan berkebolehan dalam pelbagai perkara. Alangkah malangnya, jika ada guru yang beranggapan tugas seorang guru hanya mendidik dan mengajar. Bagaimanakah sekiranya pelajar yang diajar pengsan di dalam kelas? Bukankah guru perlu menjadi doktor untuk merawatnya? Bagaimanakah sekiranya berlaku kes kecurian barang dalam kalangan pelajar? Bukankah guru perlu menjadi polis, dan peguam untuk menyelesaikan masalah tersebut? 

Jika benar guru melakukan tugas-tugas kerani sewajarnya para guru tersebut berasa bangga kerana dapat menimba pengalaman sebelum hayat perkhidmatannya bernoktah. Cikgu Zul sendiripun pernah menyapu kelas, memadam papan hitam, menyusun meja, memasang langsir di dalam kelas sambil disaksikan oleh pelajar-pelajar yang berdiri sambil berpeluk tubuh. Adakah itu maknanya guru boleh dianggap sebagai orang gaji? Maknanya, sekiranya tugas guru disamakan dengan tugas orang lain di dunia ini, mungkin tidak dapat dikira jumlah jawatan yang boleh disamakan dengan jawatan guru.

Secara rasionalnya, sekiranya kita bersikap positif dengan setiap perkara yang kita lakukan, kita pasti akan tenang dan tabah dalam melakukan sesuatu sehingga akhirnya kita akan menemui jalan untuk menuju ke arah kejayaan. Jika kita sentiasa mengeluh dan ghairah membuat perbandingan yang bukan-bukan serta meracau tidak tentu hala, kita pasti akan lebih menderita walaupun masa kita bekerja hanya 6 jam sahaja sehari. Kita seolah-olah terkejar-kejar ke sana kemari disebabkan asyik mengungkit dan membangkit perkara-perkara yang sememangnya tidak membahagiakan kita.

Cetusan ini merupakan pandangan peribadi Cikgu Zul sendiri dan tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan sesiapa.

KITA TAK BOLEH LARI

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kita sebagai manusia yang hidup dikelilingi manusia memang tidak boleh lari dari beberapa perkara yang boleh menyebabkan hati kita berbunga atau berderai bak kaca terhempas ke batu. Pertama, kita tidak boleh lari dari manusia yang sentiasa cemburu dan iri hati dengan diri kita. Golongan ini sukar dikesan kerana mereka sentiasa bertindak di belakang dengan serangan-serangan yang maha hebat dan dahsyat. Selagi kita belum jatuh dan rebah hingga tersungkut atau terlantar parah, dia tidak akan berhenti daripada perbuatan dan tindakannya. Jika kita lemah maka kita akan kalah, namun jika kita kuat menghadapi ancaman dan serangannya tidak mustahil pula dia yang akan menyerah dan melutut menagih perhatian dan keprihatinan daripada kita. Inilah manusia.

Kedua, kita tidak boleh lari daripada insan yang sentiasa menagih pertolongan dan akhirnya menyerang kita dari belakang. Insan-insan seperti ini bertaburan di sekitar kita. Apabila dia susah dia akan datang meminta bantuan, menagih dorongan, namun setelah segala deritanya berakhir dia akan pergi tanpa pedulikan kita lagi. Segala pengorbanan kita yang diberikan kepadanya bukan sahaja tidak dihargai, malah dijadikan alasan untuk bermusuhan dengan kita pula. Di saat dia susah kitalah tempat dia meluah segala masalah. Di saat dia senang mulalah dia menjaja segala aib dan buruk kita kepada orang lain.

Ketiga, kita tidak boleh lari daripada manusia yang sentiasa memuji dan mengagumi kita. Dia sentiasa taksub dan memuja kita seolah-olah kita adalah Tuhan bagi dirinya. Segala yang kita lakukan semuanya serba sempurna baginya. Segala yang kita buat akan menjadi teladan kepadanya. Insan-insan sebegini boleh melemaskan dan merimaskan kerana kefanatikannya terhadap kita boleh menjadikan kita sesak nafas untuk melayan kerenah dan perlakuannya. Namun begitu, kita janganlah jadi khayal dan berlagak dengan pujian yang diberikan kerana dalam sekelip mata semua itu boleh bertukar menjadi kebencian yang berbara dan berapi. 

Konklusinya, hidup sebagai manusia yang dikelilingi oleh bermacam-macam manusia memerlukan kita berhati-hati dengan segala tindakan dan perlakuan kita. Yang indah tidak akan kekal indah. Yang gembira bukan selamanya gembira. Yang bahagia tidak semestinya bahagia selama-lamanya. Yang sedih tidak mungkin tiada pengakhirannya. Pandai-pandailah mengatur langkah dalam meniti jambatan emas laluan hidup diri sendiri.

Sekian, wasalam.

CERITA BAHASA MELAYU KERTAS 2 SPM YANG DIDAKWA BOCOR


Kementerian Pelajaran meminta semua pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini supaya tidak melayan khabar angin di Internet bahawa mereka mungkin perlu menduduki semula subjek Bahasa Melayu Kertas 2 atas dakwaan ia bocor. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, dakwaan bahawa kebocoran soalan bagi subjek tersebut berlaku di sebuah sekolah menengah di Kedah pada 23 November lalu adalah tidak benar sama sekali. Beliau berkata, berita tersebut sengaja disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab tanpa motif yang jelas. Tidak timbul langsung persoalan bagi kita untuk mengadakan semula peperiksaan kertas tersebut sebagaimana tersebar di Internet ketika ini.

30 November 2010

ISU PERTANIAN : MAHA 2010 MEDAN MAJUKAN INDUSTRI PERTANIAN NEGARA

 
Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian (MAHA) 2010 yang berlangsung hingga 5 Disember ini mesti dilihat sebagai medan ilmu, maklumat serta peluang perniagaan yang harus direbut orang ramai. Tidak semua negara berkemampuan menganjurkan acara yang begitu banyak mempamerkan pelbagai produk serta teknologi pertanian yang dihasilkan menerusi inovasi terbaru. Adalah merugikan sekiranya orang ramai sekadar datang menyaksikan apa yang dipamerkan tanpa memanfaatkan maklumat serta mengambil tahu mengenai teknologi dan inovasi pertanian yang ada di sebahagian daripada 2,500 gerai pada pameran itu. MAHA mempamerkan hasil kejayaan teknologi dan inovasi pertanian yang boleh dimanfaatkan individu atau syarikat yang sudah terbabit, dalam proses menceburi atau mahu mengembangkan bidang masing-masing. 
 
Setiap kaunter menampilkan produk atau peluang berbeza. Banyak produk, benih, baka dan pelbagai maklumat lain boleh dimanfaatkan untuk memajukan kegiatan ekonomi dalam bidang berasaskan pertanian. Memang tepat apabila kerajaan menggunakan slogan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ kerana majoriti penduduk perlu membeli keperluan dan bekalan makanan mereka. Industri kecil berasaskan hasil pertanian adalah bidang yang kian berkembang dan perlu diterokai petani. Jika mereka selama ini menjual terus hasil tanaman atau ternakan, kini sudah tiba masanya mereka memberi nilai tambah atau memproses hasil menjadi produk baru. Hasil tanaman mentah lazimnya dijual dengan harga jauh lebih murah. Tetapi jika petani membuat sedikit inovasi dan pelaburan untuk memproses, membungkus dan memasarkan sendiri, mereka akan memperoleh pulangan lebih lumayan. Petani mesti kreatif dan berani meneroka satu lagi bidang, iaitu memproses hasil menjadi pelbagai produk hiliran kerana langkah itu menjamin mereka menikmati pendapatan berganda.

Oleh itu, apabila matlamat sebenar MAHA difahami dan dipraktikkan, kita yakin petani hari ini mampu keluar daripada kepompong kemiskinan, tetapi mampu hidup senang seperti petani di beberapa negara maju. Dengan penyertaan 22 negara dalam pameran MAHA kali ini, petani dan pemain sektor dalam bidang ini di Malaysia boleh mendapat pelbagai faedah untuk memperkukuhkan industri pertanian negara. Selain itu, inilah peluang kita menjalin hubungan dengan syarikat asing yang mungkin boleh mengembangkan ruang untuk produk kita memasuki pasaran di luar negara. Mereka juga berpotensi menjadi rakan kongsi untuk kegiatan berskala besar dalam negara. MAHA mungkin boleh dikembangkan sebagai wadah untuk mengumpulkan kalangan ahli ilmiah dan strategik, pemain industri serta penyelidik bagi mencerna kepakaran untuk memajukan sektor pertanian negara.

Memandangkan hasil pertanian adalah keperluan dalam kehidupan manusia, menceburi sektor itu tetap memberi pulangan lumayan. Tamadun manusia di serata dunia bermula dengan pertanian dan ia kekal relevan sehingga kini, walaupun dunia semakin maju sehingga manusia mampu meneroka angkasa lepas. Sebagai komponen strategi dalam membina kekuatan dan survival negara, sektor pertanian kita perlu dimajukan seiring dengan kepesatan industri dan tidak boleh diabaikan sama sekali. Justeru, penting bagi petani menggerakkan sektor itu menggunakan inovasi serta teknologi terkini bagi menghasilkan produk secara optimum dan berkualiti. Institusi berkaitan pertanian juga harus memperhebatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar bidang ini menjadi lebih berdaya saing.
 
Minda Pengarang
Berita Harian
30 November 2010

ISU ALAM SEKITAR : CABARAN MELESTARIKAN INDUSTRI PERKAYUAN NEGARA


Apa yang hangat dan tiada dalam agenda global masa kini ditentukan berasaskan isu yang bukan saja mendapat perhatian atau tumpuan umum, malah bergantung kepada agenda nasional negara ekonomi gergasi. Justeru, usaha melobi secara sistematik dan teratur selain liputan berita bersepadu oleh syarikat media terbesar di dunia berupaya membina mahupun membinasakan trend, industri atau negara sekalipun. Contoh, kebangkitan pergerakan pencinta alam dan populariti istilah seperti pemanasan global, mesra alam dan perubahan iklim adalah fenomena baru. Walaupun kesedaran mengenai alam sekitar wujud lebih seabad, hanya pada 1970-an pergerakan pencinta alam moden mula bangkit di Barat. Hari ini, kebimbangan mengenai alam sekitar dan agenda hijau menjadi keutamaan dan perjuangan dalam kalendar sosial, politik dan ekonomi di seluruh dunia. 

Berasaskan paradigma semasa, ekonomi negara maju akan menentukan trend global dan negara sedang membangun terpaksa akur. Justeru, negara berasaskan eksport yang kaya dengan sumber asli sering tersepit. Sebagai contoh, Malaysia berbangga dengan penggunaan sumber aslinya yang berhemat, termasuk pengurusan hutan yang baik selama lebih seabad. Bagaimanapun, sebagai negara berasaskan eksport, Malaysia terdedah kepada tekanan ekonomi, alam sekitar atau perdagangan untuk mematuhi syarat dan peraturan yang ditentukan secara unilateral oleh pasaran negara maju. Pada 1990-an, Malaysia berdepan dengan kempen antipembalakan Tropika yang dilancarkan negara maju tertentu dan badan pencinta alam. Ini membawa implikasi serius terhadap industri perkayuan Malaysia. Kerajaan kemudian meluluskan penubuhan Majlis Perkayuan Malaysia (MTC) untuk menangkis serangan kempen itu.
 
Usaha lebih tertumpu dalam pengurusan hutan lestari (SFM) menyusul. Pada 1994, Jawatankuasa Kebangsaan bagi SFM di Malaysia ditubuhkan untuk memastikan sumber hutan diurus mengikut amalan terbaik antarabangsa bagi kelestarian hutan Tropika. Ini diikuti penubuhan skim Majlis Pensijilan Kayu Malaysia pada 1998 untuk memberikan jaminan kepada pembeli bahawa produk kayu Malaysia berasal dari hutan yang diuruskan secara lestari. Pada hakikatnya perhutanan lestari diamalkan di Malaysia lebih seabad. Tanpa amalan perhutanan lestari, sebahagian besar kawasan hutan tentu tandus pada masa ini. Pemuliharaan hutan di Malaysia tertumpu di kawasan yang terlindung sepenuhnya, termasuk taman negara dan negeri, kawasan paya dan santuri burung, rizab hutan dara dan hutan terlindung yang merangkumi 21 peratus atau 3.78 juta hektar hutan Malaysia. Kebanyakan orang termasuk rakyat Malaysia, terkejut apabila diberitahu 62 peratus kawasan di Malaysia masih dilitupi hutan berbanding Brazil( 61 peratus), Amerika Syarikat (32 peratus) dan United Kingdom (12 peratus). (Sumber FAO, Penilaian Sumber Hutang Global 2010).
 
Walaupun MTC melaksanakan pelbagai inisiatif menangani perdebatan ‘hijau’ sejak 1992, penyokong kempen hijau turut berjaya mengubah pendekatan selama ini.  Pergerakan yang bermula sebagai kempen antikayu Tropika bertukar menjadi permintaan pensijilan untuk membuktikan kayu dari hutan yang diuruskan secara lestari. Ia berkembang menjadi desakan bagi membuktikan kesahihan kayu. Selama ini, Malaysia menerima dan menyesuaikan diri dengan keperluan dan permintaan pasaran. Namun, trend aktivisme alam sering membelenggu industri kerana tidak dapat memenuhi desakan pencinta alam yang sentiasa berubah dan juga tafsiran mereka mengenai ciri ‘sesuai pasaran.’  
 
Pelaksanaan Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) pada Oktober 2001 antara pendekatan yang digunakan untuk mengatasi dilema ini. MTCS mengesahkan amalan SFM dalam hutan sah Malaysia dan ini menjadi piawaian yang diterima pakai negara maju seperti Denmark, Perancis, Jepun, UK, New Zealand, Belanda dan Bandar Raya Hamburg. Pensijilan itu kini mendapat pengiktirafan antarabangsa oleh Program Pengiktirafan Skim Pensijilan Hutan (PEFC) yang diasaskan Jerman bagi membolehkan MTCC saling diiktiraf pihak yang menerima pensijilan PEFC. Dalam tempoh beberapa tahun lepas, Malaysia berunding secara aktif dengan Kesatuan Eropah (EU) mengenai Perjanjian Pakatan Sukarela (VPA) di bawah rangka kerja Undang-Undang, Penguatkuasaan, Urus Tadbir dan Perdagangan (FLEGT). Rancangan Tindakan FLEGT bertumpu kepada usaha untuk memastikan kayu dieksport ke EU hanya berasal daripada sumber sah dan menyasarkan rantau serta negara penting seperti Afrika Tengah, Russia, Amerika Selatan Tropika dan Asia Tenggara, yang secara tergabung merangkumi 60 peratus daripada hutan dunia dan membekalkan sebahagian besar kayu yang diperdagangkan pada peringkat antarabangsa.

FLEGT menangani isu pembalakan haram dan menggalakkan urus tadbir yang baik di negara pengeluar kayu dan juga pasaran produk kayu di Eropah. VPA akan menyediakan label yang diiktiraf bersama bagi penentusahan kayu Malaysia di pasaran Eropah, menggalakkan perdagangan global kayu yang dihasilkan dan ditebang secara sah. Namun, cabaran lain muncul khususnya dalam bentuk Akta Lacey di Amerika Syarikat yang diketatkan. Akta yang dikemas kini itu pada asasnya menjadikan pengimportan hidupan liar, bahagian hidupan liar, tumbuhan liar dan produk berkaitannya ke Amerika Syarikat yang diambil, dipegang, diangkut atau dijual dengan cara yang mencabuli undang-undang asing sebagai jenayah. Malaysia berusaha memainkan peranan mematuhi protokol dan piawaian bertaraf antarabangsa yang ketat ini. Dari segi FLEGT-VPA, industri perkayuan Malaysia berhasrat menandatangani VPA secepat mungkin. Bagaimanapun, masih ada beberapa kemusykilan sahih yang perlu diatasi. Kita perlu memastikan kepentingan pengeksport kayu Malaysia tidak terjejas akibat perjanjian ini, khususnya di Sabah dan Sarawak.

NGO hijau sudah lama mendesak pensijilan dijadikan satu keperluan untuk menjamin amalan SFM. Namun, proses mentauliahkan hutan dan balak yang diperoleh daripadanya menelan belanja besar, lantas meningkatkan jumlah kos produk.  Walaupun kebanyakan pihak berkuasa kawal selia menerima idea pensijilan, realitinya tiada bukti yang menunjukkan pengguna sanggup membayar harga lebih tinggi untuk produk bersijil. Hakikat yang sering diabaikan ialah walaupun tanpa sijil, kayu Malaysia biasanya berasal dari sumber sah. Jadi apabila keputusan perlu dibuat untuk memilih kayu bersijil yang lebih mahal atau tanpa sijil yang lebih murah, mudah untuk meneka yang mana menjadi pilihan. Inilah peluang bagi NGO hijau dan aktivis alam sekitar untuk menyumbang secara positif kepada industri. Daripada melobi untuk pensijilan, mereka patut melengkapkan kitaran dan berkempen supaya harga lebih tinggi untuk kayu bersijil. Permintaan pasaran harus munasabah dan lebih penting lagi, tidak perlu menyebabkan perniagaan menjadi tidak lagi berdaya maju. Risiko menjadikan peraturan kemasukan pasaran terlalu ketat ialah eksport dialihkan kepada pasaran yang tidak sensitif kepada alam sekitar. China dan India yang menjadi kuasa ekonomi dunia mengenakan halangan pasaran lebih rendah. Mereka sanggup mengambil apa jua bahan mentah tidak kira bersijil atau tidak.

Malaysia sentiasa berusaha memenuhi permintaan pasaran selagi munasabah dan berdaya maju. MTC khususnya, menerusi program komunikasi di Eropah, sering mendukung keseimbangan antara pertimbangan alam sekitar dan pembangunan perdagangan. Bagaimanapun dengan seruan hijau oleh NGO di satu sudut dan realiti komersial untuk mengekalkan perniagaan, nampaknya industri perkayuan menghadapi pelbagai isu hanya untuk melangsungkan perniagaan. MTC terus berganding bahu dengan industri untuk terus menongkah arus cabaran demi memastikan sektor terus berkembang maju dalam jangka panjang, khususnya mencapai matlamat eksport kayu RM53 bilion menjelang 2020.

Oleh Cheah Kam Huan
Ketua Pegawai Eksekutif MTC

Berita Harian
30 November 2010