Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian (MAHA) 2010 yang berlangsung hingga 5 Disember ini mesti dilihat sebagai medan ilmu, maklumat serta peluang perniagaan yang harus direbut orang ramai. Tidak semua negara berkemampuan menganjurkan acara yang begitu banyak mempamerkan pelbagai produk serta teknologi pertanian yang dihasilkan menerusi inovasi terbaru. Adalah merugikan sekiranya orang ramai sekadar datang menyaksikan apa yang dipamerkan tanpa memanfaatkan maklumat serta mengambil tahu mengenai teknologi dan inovasi pertanian yang ada di sebahagian daripada 2,500 gerai pada pameran itu. MAHA mempamerkan hasil kejayaan teknologi dan inovasi pertanian yang boleh dimanfaatkan individu atau syarikat yang sudah terbabit, dalam proses menceburi atau mahu mengembangkan bidang masing-masing.
Setiap kaunter menampilkan produk atau peluang berbeza. Banyak produk, benih, baka dan pelbagai maklumat lain boleh dimanfaatkan untuk memajukan kegiatan ekonomi dalam bidang berasaskan pertanian. Memang tepat apabila kerajaan menggunakan slogan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ kerana majoriti penduduk perlu membeli keperluan dan bekalan makanan mereka. Industri kecil berasaskan hasil pertanian adalah bidang yang kian berkembang dan perlu diterokai petani. Jika mereka selama ini menjual terus hasil tanaman atau ternakan, kini sudah tiba masanya mereka memberi nilai tambah atau memproses hasil menjadi produk baru. Hasil tanaman mentah lazimnya dijual dengan harga jauh lebih murah. Tetapi jika petani membuat sedikit inovasi dan pelaburan untuk memproses, membungkus dan memasarkan sendiri, mereka akan memperoleh pulangan lebih lumayan. Petani mesti kreatif dan berani meneroka satu lagi bidang, iaitu memproses hasil menjadi pelbagai produk hiliran kerana langkah itu menjamin mereka menikmati pendapatan berganda.
Oleh itu, apabila matlamat sebenar MAHA difahami dan dipraktikkan, kita yakin petani hari ini mampu keluar daripada kepompong kemiskinan, tetapi mampu hidup senang seperti petani di beberapa negara maju. Dengan penyertaan 22 negara dalam pameran MAHA kali ini, petani dan pemain sektor dalam bidang ini di Malaysia boleh mendapat pelbagai faedah untuk memperkukuhkan industri pertanian negara. Selain itu, inilah peluang kita menjalin hubungan dengan syarikat asing yang mungkin boleh mengembangkan ruang untuk produk kita memasuki pasaran di luar negara. Mereka juga berpotensi menjadi rakan kongsi untuk kegiatan berskala besar dalam negara. MAHA mungkin boleh dikembangkan sebagai wadah untuk mengumpulkan kalangan ahli ilmiah dan strategik, pemain industri serta penyelidik bagi mencerna kepakaran untuk memajukan sektor pertanian negara.
Memandangkan hasil pertanian adalah keperluan dalam kehidupan manusia, menceburi sektor itu tetap memberi pulangan lumayan. Tamadun manusia di serata dunia bermula dengan pertanian dan ia kekal relevan sehingga kini, walaupun dunia semakin maju sehingga manusia mampu meneroka angkasa lepas. Sebagai komponen strategi dalam membina kekuatan dan survival negara, sektor pertanian kita perlu dimajukan seiring dengan kepesatan industri dan tidak boleh diabaikan sama sekali. Justeru, penting bagi petani menggerakkan sektor itu menggunakan inovasi serta teknologi terkini bagi menghasilkan produk secara optimum dan berkualiti. Institusi berkaitan pertanian juga harus memperhebatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar bidang ini menjadi lebih berdaya saing.
Minda Pengarang
Berita Harian
30 November 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan