Universiti adalah menara ilmu yang menjadi medan perkembangan, penggunaan dan memartabatkan ilmu dalam semua aspek. Ilmu menjadi nadi dalam setiap urusan kita. Kerana itu, usaha dilakukan secara berterusan dalam proses meneroka ilmu dan mengembangkannya. Pada masa sama, universiti yang hidup subur dalam masyarakat berbudaya dan bertamadun, berusaha menyediakan mahasiswanya menjadi mereka yang bukan saja berilmu malah memainkan peranan melakukan perubahan dalam masyarakat serta secara ideal menjadi contoh diikuti ahli masyarakat lain. Ini bermakna universiti juga adalah medan terbaik mahasiswa berfikir dan bertindak sebagai orang berilmu. Inilah idealisme yang ada dalam sesebuah universiti. Idealisme yang memerlukan setiap warga berusaha keras mencapai dan melakukan usaha bersungguh-sungguh dalam memacu kecemerlangan bagi mentransformasikan pengajian tinggi demi kelestarian hari esok.
DPP harus menjadi lambang kebebasan bersuara dan keupayaan mahasiswa mengupas hal yang mempunyai kepentingan bersama baik dalam kalangan orang muda mahu pun kepentingan manusia dan kemanusiaan seluruhnya. Dewan ini bakal menguji kematangan dan keupayaan mahasiswa dalam mengupas dan menganalisis sebagai persediaan berhadapan dengan masyarakat sebagai seorang pemimpin atau sekadar seorang yang dipimpin pada masa depan. DPP akan menjadi mercu tanda baru suara mahasiswa, anak-anak muda dan suara masa depan sebagai juru bicara rakyat yang telus dan penuh nilai perjuangan yang ikhlas untuk menjadikan masyarakat kita lebih hebat pemikirannya. Oleh demikian, adalah wajar untuk ahli DPP malah mahasiswa seluruhnya membahaskan isu sejagat yang ada kepentingan manusia seluruhnya bukan hanya berfokus kepada isu kebajikan dalaman yang walaupun penting namun amat terhad ruang lingkupnya. Mahasiswa perlu berdebat mengenai bagaimana untuk menjadikan dunia ini lebih sejahtera untuk didiami semua.
Mengenai isu kemanusiaan yang sering dipermainkan, isu kemiskinan yang terdapat di seluruh ceruk rantau dunia, isu keselamatan dan kesihatan yang mengancam hidup manusia, isu penindasan dan kekejaman yang masih menghantui ramai manusia apatah lagi isu pendidikan dan pengajian tinggi yang kian rencam sifatnya. Semua ini perlu benar-benar dihayati kerana ilmu yang dipelajari di dewan kuliah hanyalah setitis air di lautan. Sedangkan seluruh lautan itulah yang menyediakan lembah pengalaman yang perlu diterokai. Hutan belantaralah yang menyediakan tempat menguji kekuatan minda dan fizikal kita. Gunung-ganang menyediakan tempat untuk kita daki yang menguji kekuatan diri bagi melihat bumi yang terbentang luas di bawahnya dan langit biru bukanlah menjadi halangan untuk kita terbang meneroka setiap yang ada dalam ciptaan Tuhan, menerjah langit dan mencari setiap rahsia yang tersembunyi di seluruh dunia ini. Dewan Perundingan Pelajar yang baru bermula di kampus USM harus mengorak langkah untuk mahasiswa memberi makna kebebasan yang diberi dalam semangat itu yang diinginkan selama ini.
Oleh Tan Sri Razali Ismail
Pro Canselor USM Bekas diplomat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan