JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



30 November 2010

ISU ALAM SEKITAR : CABARAN MELESTARIKAN INDUSTRI PERKAYUAN NEGARA


Apa yang hangat dan tiada dalam agenda global masa kini ditentukan berasaskan isu yang bukan saja mendapat perhatian atau tumpuan umum, malah bergantung kepada agenda nasional negara ekonomi gergasi. Justeru, usaha melobi secara sistematik dan teratur selain liputan berita bersepadu oleh syarikat media terbesar di dunia berupaya membina mahupun membinasakan trend, industri atau negara sekalipun. Contoh, kebangkitan pergerakan pencinta alam dan populariti istilah seperti pemanasan global, mesra alam dan perubahan iklim adalah fenomena baru. Walaupun kesedaran mengenai alam sekitar wujud lebih seabad, hanya pada 1970-an pergerakan pencinta alam moden mula bangkit di Barat. Hari ini, kebimbangan mengenai alam sekitar dan agenda hijau menjadi keutamaan dan perjuangan dalam kalendar sosial, politik dan ekonomi di seluruh dunia. 

Berasaskan paradigma semasa, ekonomi negara maju akan menentukan trend global dan negara sedang membangun terpaksa akur. Justeru, negara berasaskan eksport yang kaya dengan sumber asli sering tersepit. Sebagai contoh, Malaysia berbangga dengan penggunaan sumber aslinya yang berhemat, termasuk pengurusan hutan yang baik selama lebih seabad. Bagaimanapun, sebagai negara berasaskan eksport, Malaysia terdedah kepada tekanan ekonomi, alam sekitar atau perdagangan untuk mematuhi syarat dan peraturan yang ditentukan secara unilateral oleh pasaran negara maju. Pada 1990-an, Malaysia berdepan dengan kempen antipembalakan Tropika yang dilancarkan negara maju tertentu dan badan pencinta alam. Ini membawa implikasi serius terhadap industri perkayuan Malaysia. Kerajaan kemudian meluluskan penubuhan Majlis Perkayuan Malaysia (MTC) untuk menangkis serangan kempen itu.
 
Usaha lebih tertumpu dalam pengurusan hutan lestari (SFM) menyusul. Pada 1994, Jawatankuasa Kebangsaan bagi SFM di Malaysia ditubuhkan untuk memastikan sumber hutan diurus mengikut amalan terbaik antarabangsa bagi kelestarian hutan Tropika. Ini diikuti penubuhan skim Majlis Pensijilan Kayu Malaysia pada 1998 untuk memberikan jaminan kepada pembeli bahawa produk kayu Malaysia berasal dari hutan yang diuruskan secara lestari. Pada hakikatnya perhutanan lestari diamalkan di Malaysia lebih seabad. Tanpa amalan perhutanan lestari, sebahagian besar kawasan hutan tentu tandus pada masa ini. Pemuliharaan hutan di Malaysia tertumpu di kawasan yang terlindung sepenuhnya, termasuk taman negara dan negeri, kawasan paya dan santuri burung, rizab hutan dara dan hutan terlindung yang merangkumi 21 peratus atau 3.78 juta hektar hutan Malaysia. Kebanyakan orang termasuk rakyat Malaysia, terkejut apabila diberitahu 62 peratus kawasan di Malaysia masih dilitupi hutan berbanding Brazil( 61 peratus), Amerika Syarikat (32 peratus) dan United Kingdom (12 peratus). (Sumber FAO, Penilaian Sumber Hutang Global 2010).
 
Walaupun MTC melaksanakan pelbagai inisiatif menangani perdebatan ‘hijau’ sejak 1992, penyokong kempen hijau turut berjaya mengubah pendekatan selama ini.  Pergerakan yang bermula sebagai kempen antikayu Tropika bertukar menjadi permintaan pensijilan untuk membuktikan kayu dari hutan yang diuruskan secara lestari. Ia berkembang menjadi desakan bagi membuktikan kesahihan kayu. Selama ini, Malaysia menerima dan menyesuaikan diri dengan keperluan dan permintaan pasaran. Namun, trend aktivisme alam sering membelenggu industri kerana tidak dapat memenuhi desakan pencinta alam yang sentiasa berubah dan juga tafsiran mereka mengenai ciri ‘sesuai pasaran.’  
 
Pelaksanaan Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) pada Oktober 2001 antara pendekatan yang digunakan untuk mengatasi dilema ini. MTCS mengesahkan amalan SFM dalam hutan sah Malaysia dan ini menjadi piawaian yang diterima pakai negara maju seperti Denmark, Perancis, Jepun, UK, New Zealand, Belanda dan Bandar Raya Hamburg. Pensijilan itu kini mendapat pengiktirafan antarabangsa oleh Program Pengiktirafan Skim Pensijilan Hutan (PEFC) yang diasaskan Jerman bagi membolehkan MTCC saling diiktiraf pihak yang menerima pensijilan PEFC. Dalam tempoh beberapa tahun lepas, Malaysia berunding secara aktif dengan Kesatuan Eropah (EU) mengenai Perjanjian Pakatan Sukarela (VPA) di bawah rangka kerja Undang-Undang, Penguatkuasaan, Urus Tadbir dan Perdagangan (FLEGT). Rancangan Tindakan FLEGT bertumpu kepada usaha untuk memastikan kayu dieksport ke EU hanya berasal daripada sumber sah dan menyasarkan rantau serta negara penting seperti Afrika Tengah, Russia, Amerika Selatan Tropika dan Asia Tenggara, yang secara tergabung merangkumi 60 peratus daripada hutan dunia dan membekalkan sebahagian besar kayu yang diperdagangkan pada peringkat antarabangsa.

FLEGT menangani isu pembalakan haram dan menggalakkan urus tadbir yang baik di negara pengeluar kayu dan juga pasaran produk kayu di Eropah. VPA akan menyediakan label yang diiktiraf bersama bagi penentusahan kayu Malaysia di pasaran Eropah, menggalakkan perdagangan global kayu yang dihasilkan dan ditebang secara sah. Namun, cabaran lain muncul khususnya dalam bentuk Akta Lacey di Amerika Syarikat yang diketatkan. Akta yang dikemas kini itu pada asasnya menjadikan pengimportan hidupan liar, bahagian hidupan liar, tumbuhan liar dan produk berkaitannya ke Amerika Syarikat yang diambil, dipegang, diangkut atau dijual dengan cara yang mencabuli undang-undang asing sebagai jenayah. Malaysia berusaha memainkan peranan mematuhi protokol dan piawaian bertaraf antarabangsa yang ketat ini. Dari segi FLEGT-VPA, industri perkayuan Malaysia berhasrat menandatangani VPA secepat mungkin. Bagaimanapun, masih ada beberapa kemusykilan sahih yang perlu diatasi. Kita perlu memastikan kepentingan pengeksport kayu Malaysia tidak terjejas akibat perjanjian ini, khususnya di Sabah dan Sarawak.

NGO hijau sudah lama mendesak pensijilan dijadikan satu keperluan untuk menjamin amalan SFM. Namun, proses mentauliahkan hutan dan balak yang diperoleh daripadanya menelan belanja besar, lantas meningkatkan jumlah kos produk.  Walaupun kebanyakan pihak berkuasa kawal selia menerima idea pensijilan, realitinya tiada bukti yang menunjukkan pengguna sanggup membayar harga lebih tinggi untuk produk bersijil. Hakikat yang sering diabaikan ialah walaupun tanpa sijil, kayu Malaysia biasanya berasal dari sumber sah. Jadi apabila keputusan perlu dibuat untuk memilih kayu bersijil yang lebih mahal atau tanpa sijil yang lebih murah, mudah untuk meneka yang mana menjadi pilihan. Inilah peluang bagi NGO hijau dan aktivis alam sekitar untuk menyumbang secara positif kepada industri. Daripada melobi untuk pensijilan, mereka patut melengkapkan kitaran dan berkempen supaya harga lebih tinggi untuk kayu bersijil. Permintaan pasaran harus munasabah dan lebih penting lagi, tidak perlu menyebabkan perniagaan menjadi tidak lagi berdaya maju. Risiko menjadikan peraturan kemasukan pasaran terlalu ketat ialah eksport dialihkan kepada pasaran yang tidak sensitif kepada alam sekitar. China dan India yang menjadi kuasa ekonomi dunia mengenakan halangan pasaran lebih rendah. Mereka sanggup mengambil apa jua bahan mentah tidak kira bersijil atau tidak.

Malaysia sentiasa berusaha memenuhi permintaan pasaran selagi munasabah dan berdaya maju. MTC khususnya, menerusi program komunikasi di Eropah, sering mendukung keseimbangan antara pertimbangan alam sekitar dan pembangunan perdagangan. Bagaimanapun dengan seruan hijau oleh NGO di satu sudut dan realiti komersial untuk mengekalkan perniagaan, nampaknya industri perkayuan menghadapi pelbagai isu hanya untuk melangsungkan perniagaan. MTC terus berganding bahu dengan industri untuk terus menongkah arus cabaran demi memastikan sektor terus berkembang maju dalam jangka panjang, khususnya mencapai matlamat eksport kayu RM53 bilion menjelang 2020.

Oleh Cheah Kam Huan
Ketua Pegawai Eksekutif MTC

Berita Harian
30 November 2010

Tiada ulasan: