18 Oktober 2010

ISU KENEGARAAN : MEMAHAMI MAKSUD TANGGUNGJAWAB TRANSFORMASI

Transformasi menjadi agenda utama kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Apa yang dimaksudkan dengan ‘transformasi’? Soalan ini sengaja dilontarkan kerana ramai tidak memahami erti transformasi, kabur istilahnya dan gagal memahami apa yang ingin dimaksudkan Perdana Menteri mengenai transformasi yang beliau bawa. Jika mahu dihuraikan pengertian transformasi, kita perlu meneliti akar kata atau kata dasar yang membentuk perkataan itu. Istilah transformasi adalah daripada perkataan Inggeris iaitu transformation yang dibina daripada dua kata dasar iaitu trans dan form.
 
Trans bermaksud melintasi dari satu sisi ke sisi lainnya (across), atau melampaui (beyond), manakala kata form bererti bentuk. Jika istilah transformasi digunakan dalam bentuk kata kerja, maka kita menyebutnya sebagai mentransformasikan yang bermakna mengubah (rupa, bentuk, sifat dan fungsi) dan juga bererti mengalihkan. Jelas, perkataan transformasi yang digunakan oleh kerajaan hari ini bukan istilah jargon yang tidak mempunyai makna signifikan terhadap kehidupan masyarakat dan negara. Ia mempunyai makna sangat luas. Jika dikaitkan kepada perubahan sistem pentadbiran negara, maka kata transformasi itu merujuk perubahan dalam pembangunan nasional yang menjadi visi dan misi pemerintahan kerajaan pada hari ini. Ini bermakna transformasi mengandung makna perubahan yang biasanya menyebabkan perpindahan bentuk atau corak yang jelas. Ia berlaku secara terarah dan bertahap, bukan radikal tetapi tetap mengikut perancangan, malah ada jangka masanya. Demikian, dalam usaha membangun dan menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 maka agenda transformasi menjadi sangat mendesak.

Untuk memulakannya Najib terlebih dulu memperkenalkan Gagasan 1Malaysia menjadi asas dan landasan penting bagi menjayakan agenda itu. Gagasan itu mendukung falsafah ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Slogan ini menjadi asas beberapa program transformasi kerajaan lain. Dalam bidang pentadbiran, Najib memperkenalkan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), manakala dalam bidang ekonomi diperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).  Sambutan hari kemerdekaan tahun ini juga memakai tema ‘1Malaysia Menjana Transformasi’.  Usaha melaksanakan transformasi membabitkan seluruh rakyat. Ia bukan satu haluan transformasi yang mementingkan kelompok tertentu. Rakyat diberi harapan dan perubahan selari dengan objektif, maksud dan tujuan transformasi itu sendiri.  Satu lagi perkara perlu difahami ialah untuk menjayakan transformasi bukan hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata. Rakyat sebagai aset modal insan harus membabitkan diri secara aktif dalam menjayakan transformasi nasional.  Mereka harus didorong untuk memikul sama usaha menjayakan transformasi.  Ia perlukan transformasi pola atau cara berfikir dan pola perilaku (budaya) rakyat untuk membentuk dinamisme perubahan yang diharapkan itu.

Masyarakat yang mempunyai kesedaran penuh terhadap sikap dan tindakan dirinya untuk menjayakan transformasi akan berupaya membentuk momentum transformasi yang memberangsangkan. Sebab itu, lapan nilai yang digariskan di bawah gagasan 1Malaysia adalah nilai yang harus dihayati rakyat supaya agenda transformasi dapat dilakukan dengan lancar dan efektif. Lapan nilai itu ialah ketabahan, penerimaan, pendidikan, integriti, meritokrasi, rendah hati, kesetiaan, budaya kecemerlangan.  Lapan nilai itu harus dapat merubah penampilan, sikap, paradigma, tingkah laku dan kebiasaan diri supaya daya tenaga masyarakat melonjakkan daya saing negara, terutama untuk menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2020. Justeru, sudah sampai masanya kita membentuk masyarakat yang inovatif, kreatif dan produktif.

Elemen inovatif dan kreativiti harus menyerap dalam seluruh sistem masyarakat iaitu pentadbiran, ekonomi, pendidikan, pertahanan dan pelbagai sistem lain. Jelas, makna transformasi terletak pada perubahan bentuk atau penampilan yang holistik supaya keberhasilan transformasi dapat menzahirkan impak yang berskala luas merangkumi seluruh sistem masyarakat itu.  Mungkin ini telahan penulis terhadap maksud kata-kata Najib: “Saya mengajak rakyat untuk sama-sama menjayakan transformasi besar ini”. Ia bukan dinamakan transformasi jika ia hanya sekadar membuat sedikit pembaikan atau perubahan dalam aspek tertentu. Apa yang nyata ialah agenda transformasi sangat diperlukan bagi menjayakan wawasan negara dan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi dapat dicapai sepenuhnya.


Oleh Mohd Ayob Abd Razip
BERITA HARIAN
18 OKTOBER 2010

KONSEP KATA


KATA


1. Unit bahasa terkecil
2. Mengandungi makna yang lengkap
3. Boleh berdiri sendiri dalam ayat
4. Dibentuk daripada kata akar atau kata dasar tertentu

KATA AKAR

1. Terdiri daripada satu morfem bebas
2. Belum diberi sebarang imbuhan
3. Dianggap inti sesuatu kata

CONTOH KATA AKAR

1. Morfem bebas ikhlas pada kata kejujuran
2. Morfem bebas jujur pada kata kejujuran
3. Morfem bebas tenang pada kata ketenangan
4. Morfem bebas kecil pada kata mengecilkan
5. Morfem bebas habis pada kata dihabiskan

KATA DASAR

1. Kata yang menjadi dasar untuk membentuk kata

KATA AKAR BOLEH TERDIRI DARIPADA

1. akar kata
2. kata akar
3. kata terbitan
4. kata majmuk
5. kata ganda
6. frasa tertentu

KONSEP MORFEM

CIRI-CIRI

1. Unsur yang membentuk kata.
2. Unit terkecil dalam bahasa yang mempunyai fungsi gramatis
3. Unit yang menjalankan tugas nahu.

MORFEM BEBAS

1. Morfem yang dapat berdiri sendiri sebagai suatu kata
2. Berfungsi sebagai ayat minimum
3. Kata akar yang belum menerima sebarang imbuhan

CONTOH MORFEM BEBAS

1. kawan
2. sekolah
3. ambil
4. sentuh
5. cerlang
6. lapang

MORFEM TERIKAT

1. Memerlukan morfem lain untuk membentuk kata
2. Imbuhan-imbuhan yang membentuk kata terbitan

CONTOH MORFEM TERIKAT

1. awalan ber- pada kata berkawan
2. akhiran -an pada kata sentuhan
3. sisipan -em- pada kata cemerlang
4. apitan ke-...-an pada kata kelapangan

17 Oktober 2010

ISU KENEGARAAN : MENGHORMATI IDEOLOGI NEGARA

Dasar Ekonomi Baru, iaitu bagaimana agihan kekayan ekonomi negara seharusnya dilaksanakan dengan matlamat akhirnya untuk mencapai perpaduan adalah sebahagian daripada ideologi negara yang wajar difahami dan dihormati oleh semua warganegara. Tanpa adanya satu ideologi negara yang saling diterima dan dihormati, matlamat pertumbuhan ekonomi, pengagihan yang saksama, kestabilan politik dan perpaduan nasional tidak mungkin dapat dicapai.  Rukun Negara adalah ideologi Malaysia. Ia bermatlamat untuk menyatukan pelbagai kaum di Malaysia dalam satu ideologi nasional. Ia diisytiharkan kepada semua warganegara Malaysia pada sambutan Hari Kemerdekaan 1970 iaitu selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan sebelum DEB itu dilaksanakan.


DEB dirangka sebagai alat pembangunan ekonomi kepada ideologi pembinaan negara Malaysian iaitu merupakan asas kesejahteraan ekonomi Rukun Negara. DEB tidak boleh bergerak tanpa semua rakyat memahami dan berazam untuk mencapai ideologi negara (Rukun Negara). Matlamat pengagihan yang saksama terkandung dalam Rukun Negara “kekayaan negara akan dibahagikan secara saksama” dan mula dilaksanakan melalui DEB. Matlamat akhir DEB ialah perpaduan nasional, seperti yg digariskan dalam perisytiharan Rukun Negara, “berazam untuk mencapai perpaduan bagi semua rakyatnya”.

RUKUN NEGARA
Perisytiharan negara kita, Malaysia, berazam

Untuk mencapai perpaduan bagi semua rakyatnya;
Untuk mengekalkan cara hidup berdemokrasi;
Untuk mewujudkan masyarakat yang adil di mana kekayaan negara akan dibahagikan secara saksama;
Untuk memastikan pendekatan liberal kepada tradisi budayanya yang kuat dan pelbagai;
Untuk membina masyarakat progresif yang menuju ke arah sains dan teknologi moden

KAMI, rakyatnya, berikrar menyatukan usaha untuk mencapai matlamat ini menurut prinsip-prinsip berikut;

Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-Undang
Kesopanan dan Kesusilaan

“KAMI, berikrar menyatukan usaha untuk mencapai matlamat menurut” salah satunya ialah Keluhuran Perlembagaan”.

Jelas, Keluhuran Perlembagaan adalah satu idelogi negara yang menjadi pedoman dan dihormati oleh semua pihak. Maka isu pengagihan dan hak orang Melayu termasuk bumiputera Sabah, Sarawak dan masyarakat Orang Asli seperti yang dinyatakan dalam Perkara 153 tidak seharus dianggap sebagai satu diskriminasi kerana ia adalah sebahagian daripada Perlembagaan Malaysia yang merupakan salah satu daripada intipati ideologi negara yang kita telah berikrar untuk mencapainya.  Tun Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara (dalam buku Constitution, Law and Judiciary) ada menyebut, “bagi sesiapa yang tidak bersetuju dengan Perlembagaan Malaysia, dia akan sentiasa tidak bersetuju dengan Rukun Negara.” Ideologi negara termasuk juga Perlembagaan Malaysia tidak menyebut dengan jelas bagaimana kaum pribumi akan dibantu dalam meningkatkan taraf hidup mereka. Oleh itu, Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP) kerajaan diolah supaya seiring dengan apa yg telah ditetapkan oleh ideologi negara.

RRJP ini bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (1971-1991) kemudian Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000), Dasar Wawasan Negara (2001-2010) dan kini Model Baru Ekonomi (2011-2020). DEB merupakan suatu proses “kejuruteraan sosial” berlandaskan kontrak sosial 1957 untuk mencapai matlamat perpaduan kaum melalui pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Pencapaian matlamat DEB sangat bergantung kepada pertumbuhan ekonomi negara, iaitu bagaimana pertumbuhan itu kemudiannya akan diagihkan bagi mencapai matlamat pengagihan.  Sejak DEB dilancarkan, pembangunan kepada kepelbagaian ekonomi, penekanan kepada pembangunan luar bandar, pengurangan kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat telah menjadi objektif utama pembangunan ekonomi negara. Matlamat perancangan pembangunan ialah “pertumbuhan dan pengagihan yang saksama.

Untuk mencapai matlamat tersebut, perbagai agensi kerajaan (perusahaan awam) ditubuhkan khusus untuk membangunkan kawasan luar bandar. Perancangan baru dan yang wujud sejak Rancangan Malaya Pertama dirancakkan lagi terutamanya melalui DEB. Strategi utama pembangunan luar bandar telah dilaksanakan iaitu, pembukaan tanah (rancangan) baharu; pembangunan in-situ; pemodenan luar bandar dan penciptaan pesat pertumbuhan yang baru; serta strategi penyelarakan kawasan industri ke kawasan luar bandar. Selain itu, Rancangan Buku Merah, konsep Saemaul Undong, pembangunan koperasi desa, dan pelbagai agensi kerajaan seperti Felda, Felcra, Risda, Kejora, Kesedar, Ketengah, Mada, Dara, Bank Bumiputera dan lain-lain diwujudkan khusus untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dan meningkatkan keupayaan mereka untuk bersaing dalam bidang ekonomi.

Tanpa bantuan agensi-agensi kerajaan ini, kaum pribumi sukar untuk bersaing kerana mereka bermula pada tahap perniagaan atau kemahiran yang berbeza. Pengerusi pertama Bank Bumiputera Datuk Roslan Abdullah pernah membandingkan apa yang berlaku dengan perumpamaan sebuah kereta Jaguar yang memotong Morris Minor dan terus hilang dari pandangan. Matlamat ideologi negara juga diserapkan Misi Nasional iaitu satu rangka kerja dasar dan pelaksanaan bagi mencapai matlamat Wawasan 2020. Misi Nasional memberi penekanan kepada peningkatan keupayaan negara untuk bersaing di peringkat global, memperkukuh perpaduan negara serta pengagihan pendapatan serta kualiti hidup yang lebih baik. Teras ketiga Misi Nasional ialah menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif sangat berkait rapat dengan ideologi negara - “kekayaan negara akan dibahagikan secara saksama”.

Model Baru Ekonomi (2011-2020) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015) juga terus memberi penekanan kepada meningkatkan potensi menjana pendapatan, pencapaian pendidikan dan kemahiran bagi isi rumah berpendapatan rendah. Strategi juga dirangka bagi meningkatkan taraf hidup golongan yang terpinggir dari arus perdana pembangunan ekonomi negara yang meliputi kaum pribumi Sabah, Sarawak, masyarakat Orang Asli di Semenanjung, bantuan-bantuan kewangan dan meningkatkan akses kepada infrastruktur di kampung-kampung baru Cina dan pekerja ladang. Tindakan afirmatif berhubung langkah membantu pribumi dalam Model Baru Ekonomi akan lebih berasaskan kepada mesra pasaran, lebih berasaskan merit, lebih telus dan berdasarkan keperluan.

Menurut Datuk Seri Najib Razak, semasa membentang Model Baru Ekonomi “objektif asalnya masih lagi relevan, namun, sudah tiba masanya untuk kita menilai kembali pelaksanaan DEB. Kita akan menyasarkan pencapaian matlamat yang sama tetapi dengan mengubah cara kita melaksanakannya.” "1Malaysia” yang juga merangkumi “pertumbuhan dan pengagihan yang saksama” perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan, iaitu bagaimana kesaksamaan, kesamarataan dan kekitaan akan diintegrasikan dengan ideologi negara terutamanya perkara-perkara yang jelas terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Matlamat akhir "1Malaysia” ialah perpaduan yang berkaitan secara langsung dengan teras ketiga Misi Nasional, iaitu menangani masalah ketidaksamaan sosio ekonomi secara membina dan produktif.  Ia sangat berkait rapat dengan ideologi negara “kekayaan negara akan dibahagikan secara saksama” dan “berazam untuk mencapai perpaduan bagi semua rakyatnya” seperti yang terkandung dalam Rukun Negara.

Cabaran utama kini ialah bagaimana hendak mengintegrasikan budaya kecemerlangan, prinsip meritokrasi melalui agihan kek ekonomi dengan berkonsepkan peluang untuk semua dengan ideologi negara dalam merangka perancangan pembangunan dengan maltamat akhir, iaitu pencapaian taraf negara maju yang makmur tanpa membelakangkan ideologi negara iaitu RUKUN NEGARA.

Oleh Asan Ali Golam Hassan
Profesor Madya
Kolej Sastera dan Ekonomi
Universiti Utara Malaysia

PENDAPAT TOKOH YANG BOLEH DIGUNAKAN UNTUK MENGINDAHKAN LAGI PENULISAN KARANGAN

KOLEKSI UCAPAN
TUN DR MAHATHIR MOHAMMAD


Pengalaman kita dan juga pengalaman negara-negara lain telah membuktikan betapa padahnya jika isu-isu perkauman, keagamaan dan sebagainya tidak diawasi dan dibendung sebaik-baiknya.

MAJLIS SAMBUTAN ULANGTAHUN KE-15 RUKUN TETANGGA



Tanggungjawab untuk memelihara dan mengekalkan perpaduan bukanlah tanggungjawab Kerajaan atau pihak- pihak tertentu sahaja. Malah setiap daripada kita tidak terkecuali daripada tugas dan tanggungjawab ini.

MAJLIS MEGA PERPADUAN 2002




Kita dan negara kita sungguh bertuah. Dalam keadaan dunia yang tidak menentu dan dilanda dengan pelbagai masalah dan krisis, Malaysia terus aman dan membangun dengan pesat dan rakyat pula dapat mengecapi pelbagai nikmat tanpa gangguan.



PERUTUSAN TAHUN BARU 2003



Ilmu pengetahuan tanpa nilai-nilai yang mulia belum tentu dapat melahirkan masyarakat yang baik dan berjaya. Nilai-nilai yang mulia tanpa ilmu pengetahuan juga tidak akan melahirkan masyarakat yang berjaya.



MAJLIS KONVENSYEN PERDANA PENDIDIKAN KEBANGSAAN 2001




Sekiranya kita sanggup menghadapi risiko dan bersikap berani, tidak ada sebab mengapakita tidak boleh berjaya.

PERHIMPUNAN AGUNG MIC KE-42, 1995



Prestasi dan kecemerlangan dalam bidang sukan kerap kali diiringi dengan tahap kemajuan sesuatu masyarakat. Bagi masyarakat di negara maju, lazimnya pencapaian mereka dalam sukan adalah tinggi dan begitulah sebaliknya. Jelaslah secara langsung kemajuan sukan sedikit sebanyak mencerminkan kemajuan sosio-ekonomi sesebuah negara.



MAJLIS PERASMIAN KOMPLEK SUKAN NEGARA 1998




Wawasan 2020 menyediakan landasan dan matlamat yang amat penting bagi menentukan nasib negara kita di masa depan. Maju mundurnya negara serta kedudukan martabat bangsa kita bergantung kepada keupayaan kita merealisasikan wawasan ini dan membudayakan nilai-nilai yang secocok dengan pegangan dan maruah kita sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.



MAJLIS ANUGERAH KUALITI PERDANA MENTERI DAN SIMPOSIUM KEBANGSAAN MS ISO 9000, 1997



RANGKA KARANGAN: KEBURUKAN KEBANJIRAN WARGA ASING DI NEGARA KITA

PENDAHULUAN

1. Ekonomi Malaysia berkembang pesat
2. Banyak projek pembangunan berjalan lancar.
3. Membuka banyak peluang pekerjaan - buruh binaan
4. Menggalakkan kemasukan warga asing
5. Kedatangan mereka membawa banyak keburukan.

KEBURUKAN 1

1. Menutup peluang pekerjaan rakyat tempatan.
2. Majikan lebih berminat mengupah pekerja asing
3. Kos lebih jimat kerana gaji mereka lebih rendah
4. Pekerja tempatan tidak selesa bekerja bersama-sama mereka.
5. Ada yang berniaga tanpa lesen - terlepas daripada cukai
6. Mereka lebih kaya daripada penduduk tempatan.

KEBURUKAN 2

1. Gejala sosial semakin teruk berlaku di negara kita.
2. Mereka turut membawa budaya yang negatif.
3. Duduk serumah tanpa ikatan yang sah.
4. Terlibat dalam aktiviti pelacuran.
5. Anak gadis tempatan terpikat dengan janji manis jejaka warga asing.
6. Meninggalkan keluarga untuk hidup bersama mereka.

KEBURUKAN 3

1. Mewujudkan kawasan perumahan setinggan
2. Membina pertempatan sendiri sesuka hati
3. Sesebuah kawasan bagaikan kampung mereka sendiri
4. Tanpa sistem perparitan yang betul
5. Kotor dan mencemarkan alam sekitar
6. Menjejaskan pembangunan di negara kita.

KEBURUKAN 4

1. Mewujudkan sindiket pemalsuan
2. Mereka boleh memalsukan wang, Mykad, dan pasport
3. Wang palsu boleh menjejaskan kitaran wang negara
4. Pemalsuan Mykad dan pasport menyebabkan mereka bebas.
5. Boleh bergerak ke mana sahaja tanpa risau

KEBURUKAN 5

1. Meningkatkan kadar jenayah di negara kita
2. Ada antara mereka adalah penjenayah di negara asal.
3. Masuk ke Malaysia tanpa permit yang sah.
4. Melakukan jenayah di Malaysia
5. Jenayah bunuh, rompak, dan rogol kian meningkat
6. Mengancam keselamatan penduduk tempatan

PENUTUP

1. Kita memang memerlukan tenaga kerja warga asing
2. Tetapi bukan lambakan warga asing
3. Kerajaan harus mengambil langkah segera
4. Kerjasama semua pihak amatlah perlu
5. Kita tidak mahu menjadi bangsa minoriti di negara sendiri.


KATA PRAKLAUSA

BENTUK-BENTUK KATA YANG TERGOLONG DALAM KATA PRAKLAUSA

1. Kata seru
2. Kata tanya
3. Kata pembenar
4. Kata perintah
5. Kata pangkal  ayat

KATA SERU

DEFINISI

1. Bentuk kata yang berfungsi untuk melahirkan berbagai-bagai perasaan.
2. Digunakan dalam ayat seruan.

CONTOH AYAT

1. Aduh, sakitnya kepalaku!
2. Cis, terimalah tikamanku!
3. Wah, cantiknya gadis itu!
4. Oh, Tuhanku, temukanlah aku dengan jodohku!
5. Eh, bergaya nampaknya mereka semua!

KATA TANYA

DEFINISI

1. Digunakan untuk menanyakan sesuatu
2. Menggunakan kata tanya bila, mengapa, siapa, dan sebagainya
3. Hadir dalam ayat sebagai sebahagian daripada predikat

CONTOH AYAT

1. Harga barang itu berapa?
2. Mengapakah kau tergamak melukai hatiku?
3. Bagaimanakah hendak menjadi suami yang baik?
4. Bilakah dia akan datang?
5. Kesihatannya sekarang bagaimana?

KATA PEMBENAR

DEFINISI

1. Perkataan untuk mengesahkan sesuatu penyataan.
2. Menggunakan kata ya, benar, betul.

CONTOH AYAT

1. Ya, itulah orangnya.
2. Benar, dialah yang mengumpat awak tadi.
3. Betul, tanyalah dia.
4. Ya, inilah rumah Cikgu Zul.
5. Betul, mereka akan berkahwin bulan depan.

KATA PERINTAH

DEFINISI

1. Menimbulkan sesuatu tindak balas.
2. Berbentuk perintah, larangan, suruhan, permintaan dan silaan.

CONTOH AYAT

1. Jangan ganggu dia lagi.
2. Usah biarkan aku berseorangan.
3. Sila ambil makanan di sana.
4. Jemput masuk!
5. Harap jelaskan hutangmu secepat mungkin.

KATA PANGKAL AYAT

DEFINISI

1. Hadir di hadapan ayat
2. Menjadi penanda kesinambungan ayat dalam wacana

CONTOH AYAT

1. Hatta istana itu pun siaplah.
2. Maka panglima pun diberi persalinan.
3. Syahadan baginda pun berangkat meninggalkan Melaka.
4. Adapun kuda itu dipunyai Tun Umar.
5. Kalakian berlakulah permusuhan antara kedua-dua kerajaan itu.

ISU ALAM SEKITAR : HARI TANPA PLASTIK 2011


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan melaksanakan kempen Hari Tanpa Plastik di seluruh negara bermula Januari 2011. Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, langkah itu bertujuan menyelaraskan kempen tersebut yang kini dilaksanakan di pasar raya besar dengan pilihan hari berlainan. Menurutnya, hasil perbincangan dengan hampir kesemua pengurusan pasar raya memberikan maklum balas yang amat positif kepada rancangan ini. Walau bagaimanapun, setakat ini belum ditetapkan hari apa tetapi kalau boleh kempen tanpa beg plastik ini dibuat pada hari paling ramai orang keluar membeli-belah. Apabila rakyat di negara ini telah mempunyai kesedaran dengan baik, kementerian pasti akan menambah hari lain sebagai hari tanpa plastik sebagai usaha memelihara alam sekitar.

ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN BERKUALITI TENTUKAN NEGARA MAJU

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keupayaan warga pendidik dalam menyedia dan menyampaikan pendidikan berkualiti merupakan tunjang utama dalam memastikan matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020 tercapai. Menurut Timbalan Perdana Menteri, pendidik berperanan penting dalam pembentukan insan secara holistik melalui pembangunan daya inovasi dan kreativiti pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Dengan ini, kita akan dapat menghasilkan modal insan yang berilmu, kreatif, inovatif dan berketerampilan serta berupaya untuk memacu ekonomi berteraskan pengetahuan dan mencipta kekayaan baru bagi negara. Usaha ini adalah sejajar dengan hasrat Perdana Menteri untuk melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE) dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada majlis Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia bersama Perdana Menteri di Stadium Putra Bukit Jalil, pada 16 September 2010. Perhimpunan tersebut bertemakan ‘Guru Pemangkin 1Malaysia' Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran sentiasa berusaha menyediakan peluang P&P yang sama rata kepada semua termasuk kumpulan berkeperluan asas merangkumi Orang Asli dan kumpulan etnik di Sabah dan Sarawak. Malah dalam menyediakan sistem pendidikan yang lebih dinamik dan memenuhi keperluan dan kehendak semasa, kementerian katanya, memperkenalkan dasar-dasar baru tanpa membelakangi dasar-dasar lain yang masih relevan dan sesuai.

Beliau berkata, dasar-dasar seperti Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), Dasar 1Murid 1Sukan, Transformasi Kurikulum serta Mengarusperdanakan Aliran Vokasional dan Teknikal merupakan langkah penambahbaikan dalam sistem pendidikan sedia ada. Semua dasar ini bertujuan untuk menghasilkan modal insan yang seimbang, holistik, mempunyai semangat patriotisme yang tinggi, sihat dan membentuk warganegara yang baik dan cemerlang. Justeru, beliau menyeru warga pendidik memainkan peranan masing-masing sebagai agen pelaksana dan agen perubahan demi mencapai dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk membina negara bangsa sesuai dengan semangat 1Malaysia. Muhyiddin berkata, cabaran utama yang dihadapi oleh pendidikan kebangsaan adalah untuk melahirkan warganegara berdaya tahan, dinamik, progresif, berilmu pengetahuan, kreatif, inovatif dan berdaya saing di peringkat global.

Menurutnya, pada masa yang sama, sistem pendidikan juga perlu menggandakan usaha untuk meningkatkan nilai-nilai akhlak mulia dan penyayang. Oleh itu, kata beliau, Penilaian Kritikal terhadap proses-proses pendidikan yang sedang berjalan hendaklah dilakukan supaya sebarang penyesuaian adalah selaras dengan keutamaan serta keperluan masyrakat domestik dan global yang sentiasa berubah. Oleh yang demikian, katanya, para pendidik perlulah mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang tinggi, kekuatan minda yang profesional, ketangkasan daya fikir dan daya cipta, kemantapan idealisme yang harus dibangunkan untuk melahirkan persekitaran pendidikan yang cemerlang berlandaskan nilai dan etos ‘learning society’.



16 Oktober 2010

ISU SOSIAL : KESEPAKATAN MORAL DEMI KESTABILAN DUNIA


Kehidupan yang indah adalah kehidupan yang disulami oleh nilai-nilai akhlak, moral dan etika yang menjadi asas kepada apa jua aktiviti kehidupan dan pergaulan. Pengajaran dan penghayatan nilai-nilai yang mulia ini dalam kehidupan, sebenarnya menjamin kewujudan keamanan dan kestabilan dalam masyarakat manusia. Sesungguhnya nilai-nilai moral diperoleh daripada ajaran agama dan ketuhanan. Manusia sebagai makhluk yang dijadikan Tuhan, mempunyai unsur ketuhanan dalam diri mereka dan lantaran itu akan sentiasa berpaling kepada agama dan kepada Tuhan walaupun hanya ketika di waktu ditimpa kesusahan dan kesempitan sahaja dan melupakan Tuhan apabila diulit kemewahan dan kesenangan.

Semua ajaran keagamaan menekankan peri pentingnya nilai-nilai ketuhanan, akhlak dan moral. Dalam Islam, nilai akhlak adalah nilai Samawi yang amat suci yang datang daripada Allah dan sebarang pencabulan merupakan penganiayaan terhadap hak-hak Allah oleh hamba-Nya.  Akhlak dalam Islam bersumberkan kepada wahyu dan ia mempunyai sifat-sifat kerohanian yang suci serta kekal abadi, ia mendatangkan kemurnian dan keharmonian bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga kepada orang lain. Akhlak Islam mencetuskan kesucian dan keikhlasan dalam kehidupan kerana pembentukan nilai-nilai diri berakar di dalam hati dan dibuktikan pada tingkah laku, sama ada ketika bersendirian mahupun berkumpulan. Etika dan moral juga bertujuan membentuk tingkah laku individu yang baik, dan bagi seorang individu Muslim sewajarnya mereka menjadikan etika dan moral dinaungi oleh nilai-nilai akhlak Islam.

Dalam dunia global ini yang melihat negara-negara Barat khususnya sebagai pencorak utama aktiviti kehidupan, manakala rata-rata umat Islam sebagai pemerhati dan pengguna, ini merupakan satu keadaan yang agak sulit untuk mencari kesepakatan nilai-nilai moral yang tulus dalam segenap kehidupan. Mungkin juga terdapat segelintir masyarakat Islam dan bukan Islam berpandangan sebegini rupa. Sudah tentu negara-negara yang berkenaan yang merasakan mereka lebih bertamadun daripada negara lain inginkan mereka diiktiraf sebagai pencetus dan pembawa kemajuan atau sebagai pembela demokrasi (dan sebagainya) serta mahu orang lain mengikut cara dan corak mereka.  Manakala penolakan oleh orang lain dilihat sebagai penentangan terhadap mereka. Keinginan mereka ini dipermudahkan lagi oleh kepintaran dan penguasaan mereka dalam teknologi maklumat dan komunikasi tanpa batasan atas nama globalisasi. Satu proses yang dibina dan dicorakkan oleh mereka yang sudah tentu akan memberi keutamaan kepada sikap dan nilai moral mengikut tafsiran sendiri, juga dengan hasrat supaya tafsiran sempit mereka tentang nilai moral itu akan diterima oleh masyarakat global, maka ini juga satu lagi pengiktirafan ke atas mereka.

Jika dianalisis secara mendalam, Islam itu lebih mendahului negara Barat dari segi globalisasinya kerana Islam bukanlah sesuatu yang asing bagi dunia ini. Umat Islam walaupun di mana mereka berada tetap bersaudara. Mereka mempunyai agama yang satu dan menyembah Tuhan yang satu. Mereka akan menuturkan kalimah assalamualaikum kepada sesama Muslim walaupun tidak mengenali sesama mereka dan kalimah ini dikongsi oleh sesiapa saja tanpa mengira negara asal mereka.  Konsep globalisasi ini mula diperkenalkan kepada tamadun kemanusiaan di dalam al-Quran sebagai mana menurut firman Allah surah al-Hujrat, ayat 13 bermaksud:  Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah yang paling bertakwa Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.

Manakala globalisasi yang kita kenali hari ini adalah satu istilah yang baru tetapi mempunyai konotasi yang sama yang telah diguna pakai sejak awal lagi oleh dunia Islam. Perkataan globalisasi ini yang dicetuskan oleh mereka hanya selepa munculnya kemajuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi, yang menjadikan dunia ini seolah-olah kecil sahaja akibat cepat dan mudahnya manusia berhubung sesama mereka.  Tetapi mengapa dunia kini baru melihat bahawa globalisasi ini seolah-olah sesuatu yang baru lahir? Bukannya serentak dengan lahirnya Islam di muka bumi lebih 1,400 tahun yang lalu? Sebenarnya inilah yang dikatakan kejayaan negara Barat dalam mencorakkan aktiviti kehidupan masyarakat dunia yang pada masa yang sama ingin melihat nilai moral dan pegangan hidup mereka mendominasi dunia.

Sememangnya inilah niat mereka pun, dan mereka berjaya kerana mereka mempunyai agenda tertentu. Tetapi apakah agenda umat Islam yang telah dilantik oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi ini untuk mengurus dan mentadbir dunia ini?  Memang benar Islam tidak akan memaksa mana-mana negara atau individu untuk menerima Islam dan ajarannya. Tetapi apakah peranan masyarakat Islam bagi memastikan keamanan dan kestabilan dunia dapat dipelihara berpandukan nilai moral mereka yang sejagat itu. Kesepakatan nilai-nilai moral antara sesama masyarakat global berbilang bangsa dan kepercayaan bukannya sesuatu yang tidak boleh dicapai. Tetapi mengapa perbezaan ini yang mendasari kemunculan perpecahan dan persengketaan sesama mereka? Tuhan yang mencipta agama sudah tentu tidak mahu masyarakat yang beragama ini berpecah-belah disebabkan oleh perbezaan atau pertembungan nilai moral dan kepercayaan mereka.

Mencari kesepakatan dalam nilai moral kehidupan global kini lebih memerlukan kepada sikap toleransi dan keterbukaan seluruh umat manusia dan para pemimpin memainkan peranan yang amat penting. Sikap toleransi akan melihat kesanggupan semua pihak menerima dan mengiktiraf peranan mereka (walau sesempit mana pandangan mereka atau sekecil mana sumbangan mereka) sebagai satu keperluan yang amat penting.  Inilah yang diharapkan agar bangsa dan negara yang mendominasi itu tidak akan merasakan mereka ditentang dan ditolak, manakala bangsa yang lemah pula tidak menganggap diri mereka dihina, dijajah atau dicabuli kedudukan, hak dan pentingnya peranan mereka dalam memastikan kestabilan dunia tercapai.


Oleh
Khairul Azhar Idris
Fellow
Institut Kefahaman Islam Malaysia

ISU SOSIAL : BAHAGIA YANG BERSINAR

"Sedamai taman firdausi,
Limpahan kasih sayang sejati,
Seharum semerbak kasturi,
Mewarnai hidup insani.

Indahnya damainya keluarga yang bahagia,
Itulah idaman impian setiap insan,
Yang dahagakan belaian,
Serta kasih dan sayang ".

Begitulah terucap dalam lagu, terluah oleh bibir mendayu perihal sebuah keluarga bahagia. Tiada insan yang lahir ke muka bumi ini mendambakan hidup yang sengsara, sukar dan sunyi bersendirian tanpa kasih sayang dan kebahagiaan. Allah s.w.t telah menciptakan manusia bersama-sama dengan fitrah kasih sayang yang tulus suci dan sejati. Ianya adalah untuk dikongsikan bersama insan-insan lain yang berada di sekeliling kita. Alangkah tenangnya jika dikasihi, disayangi, mengasihi dan menyayangi. Terasa diri dihargai serta mendapat perlindungan pastinya.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang diriwayatkan oleh At Tarmizi yang bermaksud ;

"Bukanlah dari golongan kami mereka yang tidak mengasihi golongan yang muda antara kami dan tidak menghormati golongan yang tua di antara kami”.

Jelas terpatri bahawa manusia dan kasih sayang tidak dapat dipisahkan, ibarat irama dan lagu, umpama roh dan jasad. Pastinya, bagi seorang anak, ibu bapa dan keluarga adalah tempat bermanja, tempat berkongsi tawa ria dan tangis duka. Bagi seorang suami, isteri adalah permaisuri hati yang menerangi hidupnya. Bagi seorang isteri pula, suami adalah arjuna hatinya yang perkasa untuk disandarkan sebuah impian. Kebahagiaan ini terpancar indah dan tersibak harum ke seluruh alam lantas melahirkan kasih sayang buat sanak-saudara, jiran tetangga, para sahabat mahupun kepada seluruh ummah dan insan di muka bumi ini. Betapa terkesannya jiwa yang lahir daripada keutuhan sebuah institusi keluarga sehingga mampu memberikan kedamaian buat seluruh semesta. Sudah pasti ia lahir oleh Rahmat Allah yang Maha Luas kepada hambaNya.

Namun, adakah rasa bahagia itu suatu realiti? Mengapa kasih sayang itu semakin sirna? Anak-anak tidak lagi rasa bahagia berada di rumah sendiri. Suami dan isteri pula sering berselisih faham, masyarakat juga mengamalkan sikap tidak menjaga tepi kain orang, manakala situasi sekolah pula begitu stereotaip menghabiskan silibus mata pelajaran. Lalu, di manakah letaknya keseronokan hidup ini?

“Ketika insan lain berbahagia bersama keluarga,
Namun kita, masih meniti titian rapuh perhubungan,
Mengapa kita terpisah daripada RahmatNya,
Mungkinkah kita seringkali melupakannya,
Ayuhlah bina semula, keluarga di redhai Allah.”

Jawapan yang paling tepat untuk pelbagai kes seperti penceraian, jenayah, masalah sosial, kezaliman dan tekanan yang melanda kehidupan pada hari ini ialah kealpaan manusia terhadap Pencipta Yang Maha Agung. Selama mana kita jauh daripada kasih sayang Allah, segala kekacauan dan simpulan masalah ini tidak akan terlerai. Tidak mungkin ada kuasa lain yang mampu mengatasi kuasa Allah Yang Maha Besar.

Manusia tidak berkuasa menentukan apa jua perkara sebaliknya kita hanya mampu merancang. Namun, kita dikurniakan akal yang waras dan kudrat yang sempurna untuk berfikir dan bertindak. Bersama-sama dua komponen ini juga wujud perasaan atau emosi yang menggambarkan tindakbalas manusia terhadap persekitaran. Sekiranya fitrah manusia tidak dicemari nafsu dan hasutan syaitan, sudah pasti kasih sayang bertakhta di sanubari setiap insan. Namun, apakan daya bagi mereka yang tewas dalam pertarungan melawan hawa nafsu dan bisikan syaitan.

Masakan kita tidak gusar dan bimbang akan kadar penceraian yang mencapai angka 13,465 orang pada tahun 2005, 32808 orang penagih dadah pada tahun 2005, 108 kes penderaan kanak-kanak dan 1561 kes rogol setakat Jun 2006 lalu, 1.... kes buang bayi pada tahun 2006 serta 7201 kes kesalahan juvana pada tahun 2005. Kes-kes seperti pelacuran, seks luar nikah, pengguguran anak, rempit, melepak dan minum arak juga tidak kurang hebatnya pada masa kini. Di kalangan remaja ini amat jelas bahawa sifat malu umpama sudah tidak ada lagi dalam diri. Sedangkan di dalam agama islam sendiri, malu itu sebahagian daripada iman.  Di manakah silapnya kita? Tepuk dada tanya hati kecil kita sendiri. Bagi ibubapa, cukupkah ilmu agama yang diajarkan kepada anak-anak, kukuhkah kasih sayang yang dicurahkan kepada ahli keluarga, halalkah sumber dan zat rezeki yang diberikan serta bagaimanakah keadaan diri anda sebagai pemimpin kepada ahli keluarga?

“Oh ayah, oh ibu,
Dengarlah rintihan dan luahan hatiku
Yang dahagakan kasih
Jiwaku merasa tersiksa ketandusan kasihmu,
Marilah kita bina bersama-sama keluarga bahagia”.

Menyalahkan pelbagai pihak sememangnya mudah. Menunding jari ke pelbagai arah juga telah menjadi tradisi amarah. Namun, selesaikah masalah dengan tindakan sebegitu? Pepatah ada mengatakan “guru pertama adalah ibu bapa”, “bapa borek anak rintik” serta hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud “anak yang dilahirkan itu putih, suci dan bersih, ibu bapalah yang mencoraknya sama ada menjadi majusi, yahudi dan nasrani”. Lihatlah, segalanya bermula dari sebuah rumah, melalui didikan, asuhan dan bimbingan ibu bapa. Kasih sayang, perhatian dan ketegasan ibu bapa dalam mendidik anak-anak mampu melahirkan anak yang mempunyai jatidiri unggul lantas berupaya menepis mehnah yang datang daripada persekitran.

Tidak dapat dinafikan lagi, keutuhan institusi kekeluargaan menjadi faktor utama kepada kestabilan sosial sesebuah masyarakat dan negara. Sebuah keluarga yang bahagia mampu melahirkan generasi yang sejahtera dari pelbagai sudut merangkumi aspek fizikal, mental, emosi, rohani serta sosial. Insan yang seimbang ini merupakan modal insan yang berupaya memberikan sumbangan kepada bangsa, agama dan negara. Maka, terbentuklah modal sosial dalam sesebuah masyarakat, institusi mahupun organisasi sekaligus dapat melonjakkan imej negara ke persada terbilang.

Namun, segalanya tidak bermakna seandainya konsep kasih sayang dan didikan yang sempurna tidak diharmonikan dalam sesebuah keluarga. Justeru, ibu bapa usahlah terlalu bersikap terbuka membiarkan pengaruh negatif globalisasi menguasi anak-anak mahupun menyekat terus kebebasan anak-anak sehingga tiada langsung keterbukaan dalam keluarga. Justeru, amat bersesuaian sekali ungkapan kata-kata hikmah oleh Dr H.M Tuah Iskandar iaitu “Rasa kasih, sayang dan cinta bukan satu perjudian untuk menentukan menang atau kalah tapi ia adalah ikatan hati yang menentukan nilai satu perhubungan, kesetiaan dan ketulusan”.

Justeru, kepada ibu bapa, beringatlah kerana anak-anak itu adalah amanah Allah kepada kalian. Bagi para suami pula mengertilah bahawa isterimu juga amanah untukmu. Jadikan setiap hari yang anda lalui umpama meniti jambatan kasih yang dihiasi cinta dan kemesraan. Hiduplah seperti mentari yang bersinar menerangi maya bukannya umpama duri yang mencucuk diri dan menyakiti orang lain. Dalam apa jua keadaan letakkan panggilan dan seruan Illahi itu pada tempat yang paling utama. Jadilah hambaNya yang bersyukur. Itulah sekukuh-kukuh pergantungan. Menurut Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w bersabda dalam sepotong hadis yang bermaksud, “Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibu bapalah yang mencoraknya sama ada menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.”

Demi survival bangsa dan agama, suburkanlah nilai-nilai murni dalam diri anak-anak kita dan jadilah contoh tauladan terbaik buat mereka. Didik dan bimbing mereka mendaki ke puncak syahadah, menjadi insan yang berbakti dan berjasa kepada masyarakat kerana kelak akhir hidup kita akan beroleh ketenangan, pergi menghadap Illahi dalam husnul Khatimah. Sesungguhnya, mati itu benar, sakaratul maut itu benar, syurga dan neraka juga benar, balasan terhadap dosa dan pahala juga benar. Janganlah menjadi insan yang lupa diri dan terlalu takbur dengan nimat milik Allah. Daripada Nya kita datang, kepada Nya jua kita kembali.

Hidup ini terlalu singkat. Usah dihabiskan dengan sengsara dan kesusahan. Isilah dengan SAKINAH, MAWADDAH dan RAHMAH. Tanpa kerjasama semua pihak, tidak mungkin lahir generasi berwawasan dan bertakwa yang mampu mendukung visi bangsa, agama dan negara. Marilah bersama-sama kita bersatu membina ummah terbilang melalui pengukuhan institusi kekeluargaan. Semoga kita akan terus meneguk kemanisan hidup biarpun jutaan mehnah yang melanda kerana kita berpegang pada taliNya.

“Bahagia itu dari dalam diri, terpendam bagai permata di dasar hati,
Bahagia itu ada pada hati, terpendam bagai mutiara di lautan nurani,
Bahagia itu ada di jjwa, mahkota di singgahsana rasa,
Bahagia itu adalah ketenangan.”

Sesungguhnya bahagia itu semakin hampir andai kita semakin dekat dengan Pencipta. Semoga kebahagiaan yang terpancar daripada ibu bapa akan membiaskan sinar bahagia buat seisi keluarga, lantas menjana masyarakat yang sejahtera dan negara yang terbilang dan berdaya upaya.


ARTIKEL INI DIAMBIL DARI
LAMAN WEB RASMI
YAYASAN PEMBANGUNAN KELUARGA
JOHOR DARUL TAKZIM
http://www.ypkdt.org.my/ypkdt/articles.php?id=336