JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 Oktober 2010

ISU SOSIAL : KESEPAKATAN MORAL DEMI KESTABILAN DUNIA


Kehidupan yang indah adalah kehidupan yang disulami oleh nilai-nilai akhlak, moral dan etika yang menjadi asas kepada apa jua aktiviti kehidupan dan pergaulan. Pengajaran dan penghayatan nilai-nilai yang mulia ini dalam kehidupan, sebenarnya menjamin kewujudan keamanan dan kestabilan dalam masyarakat manusia. Sesungguhnya nilai-nilai moral diperoleh daripada ajaran agama dan ketuhanan. Manusia sebagai makhluk yang dijadikan Tuhan, mempunyai unsur ketuhanan dalam diri mereka dan lantaran itu akan sentiasa berpaling kepada agama dan kepada Tuhan walaupun hanya ketika di waktu ditimpa kesusahan dan kesempitan sahaja dan melupakan Tuhan apabila diulit kemewahan dan kesenangan.

Semua ajaran keagamaan menekankan peri pentingnya nilai-nilai ketuhanan, akhlak dan moral. Dalam Islam, nilai akhlak adalah nilai Samawi yang amat suci yang datang daripada Allah dan sebarang pencabulan merupakan penganiayaan terhadap hak-hak Allah oleh hamba-Nya.  Akhlak dalam Islam bersumberkan kepada wahyu dan ia mempunyai sifat-sifat kerohanian yang suci serta kekal abadi, ia mendatangkan kemurnian dan keharmonian bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga kepada orang lain. Akhlak Islam mencetuskan kesucian dan keikhlasan dalam kehidupan kerana pembentukan nilai-nilai diri berakar di dalam hati dan dibuktikan pada tingkah laku, sama ada ketika bersendirian mahupun berkumpulan. Etika dan moral juga bertujuan membentuk tingkah laku individu yang baik, dan bagi seorang individu Muslim sewajarnya mereka menjadikan etika dan moral dinaungi oleh nilai-nilai akhlak Islam.

Dalam dunia global ini yang melihat negara-negara Barat khususnya sebagai pencorak utama aktiviti kehidupan, manakala rata-rata umat Islam sebagai pemerhati dan pengguna, ini merupakan satu keadaan yang agak sulit untuk mencari kesepakatan nilai-nilai moral yang tulus dalam segenap kehidupan. Mungkin juga terdapat segelintir masyarakat Islam dan bukan Islam berpandangan sebegini rupa. Sudah tentu negara-negara yang berkenaan yang merasakan mereka lebih bertamadun daripada negara lain inginkan mereka diiktiraf sebagai pencetus dan pembawa kemajuan atau sebagai pembela demokrasi (dan sebagainya) serta mahu orang lain mengikut cara dan corak mereka.  Manakala penolakan oleh orang lain dilihat sebagai penentangan terhadap mereka. Keinginan mereka ini dipermudahkan lagi oleh kepintaran dan penguasaan mereka dalam teknologi maklumat dan komunikasi tanpa batasan atas nama globalisasi. Satu proses yang dibina dan dicorakkan oleh mereka yang sudah tentu akan memberi keutamaan kepada sikap dan nilai moral mengikut tafsiran sendiri, juga dengan hasrat supaya tafsiran sempit mereka tentang nilai moral itu akan diterima oleh masyarakat global, maka ini juga satu lagi pengiktirafan ke atas mereka.

Jika dianalisis secara mendalam, Islam itu lebih mendahului negara Barat dari segi globalisasinya kerana Islam bukanlah sesuatu yang asing bagi dunia ini. Umat Islam walaupun di mana mereka berada tetap bersaudara. Mereka mempunyai agama yang satu dan menyembah Tuhan yang satu. Mereka akan menuturkan kalimah assalamualaikum kepada sesama Muslim walaupun tidak mengenali sesama mereka dan kalimah ini dikongsi oleh sesiapa saja tanpa mengira negara asal mereka.  Konsep globalisasi ini mula diperkenalkan kepada tamadun kemanusiaan di dalam al-Quran sebagai mana menurut firman Allah surah al-Hujrat, ayat 13 bermaksud:  Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah yang paling bertakwa Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.

Manakala globalisasi yang kita kenali hari ini adalah satu istilah yang baru tetapi mempunyai konotasi yang sama yang telah diguna pakai sejak awal lagi oleh dunia Islam. Perkataan globalisasi ini yang dicetuskan oleh mereka hanya selepa munculnya kemajuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi, yang menjadikan dunia ini seolah-olah kecil sahaja akibat cepat dan mudahnya manusia berhubung sesama mereka.  Tetapi mengapa dunia kini baru melihat bahawa globalisasi ini seolah-olah sesuatu yang baru lahir? Bukannya serentak dengan lahirnya Islam di muka bumi lebih 1,400 tahun yang lalu? Sebenarnya inilah yang dikatakan kejayaan negara Barat dalam mencorakkan aktiviti kehidupan masyarakat dunia yang pada masa yang sama ingin melihat nilai moral dan pegangan hidup mereka mendominasi dunia.

Sememangnya inilah niat mereka pun, dan mereka berjaya kerana mereka mempunyai agenda tertentu. Tetapi apakah agenda umat Islam yang telah dilantik oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi ini untuk mengurus dan mentadbir dunia ini?  Memang benar Islam tidak akan memaksa mana-mana negara atau individu untuk menerima Islam dan ajarannya. Tetapi apakah peranan masyarakat Islam bagi memastikan keamanan dan kestabilan dunia dapat dipelihara berpandukan nilai moral mereka yang sejagat itu. Kesepakatan nilai-nilai moral antara sesama masyarakat global berbilang bangsa dan kepercayaan bukannya sesuatu yang tidak boleh dicapai. Tetapi mengapa perbezaan ini yang mendasari kemunculan perpecahan dan persengketaan sesama mereka? Tuhan yang mencipta agama sudah tentu tidak mahu masyarakat yang beragama ini berpecah-belah disebabkan oleh perbezaan atau pertembungan nilai moral dan kepercayaan mereka.

Mencari kesepakatan dalam nilai moral kehidupan global kini lebih memerlukan kepada sikap toleransi dan keterbukaan seluruh umat manusia dan para pemimpin memainkan peranan yang amat penting. Sikap toleransi akan melihat kesanggupan semua pihak menerima dan mengiktiraf peranan mereka (walau sesempit mana pandangan mereka atau sekecil mana sumbangan mereka) sebagai satu keperluan yang amat penting.  Inilah yang diharapkan agar bangsa dan negara yang mendominasi itu tidak akan merasakan mereka ditentang dan ditolak, manakala bangsa yang lemah pula tidak menganggap diri mereka dihina, dijajah atau dicabuli kedudukan, hak dan pentingnya peranan mereka dalam memastikan kestabilan dunia tercapai.


Oleh
Khairul Azhar Idris
Fellow
Institut Kefahaman Islam Malaysia

Tiada ulasan: