Dasar Ekonomi Baru, iaitu bagaimana agihan kekayan ekonomi negara seharusnya dilaksanakan dengan matlamat akhirnya untuk mencapai perpaduan adalah sebahagian daripada ideologi negara yang wajar difahami dan dihormati oleh semua warganegara. Tanpa adanya satu ideologi negara yang saling diterima dan dihormati, matlamat pertumbuhan ekonomi, pengagihan yang saksama, kestabilan politik dan perpaduan nasional tidak mungkin dapat dicapai. Rukun Negara adalah ideologi Malaysia. Ia bermatlamat untuk menyatukan pelbagai kaum di Malaysia dalam satu ideologi nasional. Ia diisytiharkan kepada semua warganegara Malaysia pada sambutan Hari Kemerdekaan 1970 iaitu selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan sebelum DEB itu dilaksanakan.
DEB dirangka sebagai alat pembangunan ekonomi kepada ideologi pembinaan negara Malaysian iaitu merupakan asas kesejahteraan ekonomi Rukun Negara. DEB tidak boleh bergerak tanpa semua rakyat memahami dan berazam untuk mencapai ideologi negara (Rukun Negara). Matlamat pengagihan yang saksama terkandung dalam Rukun Negara “kekayaan negara akan dibahagikan secara saksama” dan mula dilaksanakan melalui DEB. Matlamat akhir DEB ialah perpaduan nasional, seperti yg digariskan dalam perisytiharan Rukun Negara, “berazam untuk mencapai perpaduan bagi semua rakyatnya”.
RUKUN NEGARA
Perisytiharan negara kita, Malaysia, berazam
Untuk mencapai perpaduan bagi semua rakyatnya;
Untuk mengekalkan cara hidup berdemokrasi;
Untuk mewujudkan masyarakat yang adil di mana kekayaan negara akan dibahagikan secara saksama;
Untuk memastikan pendekatan liberal kepada tradisi budayanya yang kuat dan pelbagai;
Untuk membina masyarakat progresif yang menuju ke arah sains dan teknologi moden
KAMI, rakyatnya, berikrar menyatukan usaha untuk mencapai matlamat ini menurut prinsip-prinsip berikut;
Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-Undang
Kesopanan dan Kesusilaan
“KAMI, berikrar menyatukan usaha untuk mencapai matlamat menurut” salah satunya ialah Keluhuran Perlembagaan”.
Jelas, Keluhuran Perlembagaan adalah satu idelogi negara yang menjadi pedoman dan dihormati oleh semua pihak. Maka isu pengagihan dan hak orang Melayu termasuk bumiputera Sabah, Sarawak dan masyarakat Orang Asli seperti yang dinyatakan dalam Perkara 153 tidak seharus dianggap sebagai satu diskriminasi kerana ia adalah sebahagian daripada Perlembagaan Malaysia yang merupakan salah satu daripada intipati ideologi negara yang kita telah berikrar untuk mencapainya. Tun Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara (dalam buku Constitution, Law and Judiciary) ada menyebut, “bagi sesiapa yang tidak bersetuju dengan Perlembagaan Malaysia, dia akan sentiasa tidak bersetuju dengan Rukun Negara.” Ideologi negara termasuk juga Perlembagaan Malaysia tidak menyebut dengan jelas bagaimana kaum pribumi akan dibantu dalam meningkatkan taraf hidup mereka. Oleh itu, Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP) kerajaan diolah supaya seiring dengan apa yg telah ditetapkan oleh ideologi negara.
RRJP ini bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (1971-1991) kemudian Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000), Dasar Wawasan Negara (2001-2010) dan kini Model Baru Ekonomi (2011-2020). DEB merupakan suatu proses “kejuruteraan sosial” berlandaskan kontrak sosial 1957 untuk mencapai matlamat perpaduan kaum melalui pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Pencapaian matlamat DEB sangat bergantung kepada pertumbuhan ekonomi negara, iaitu bagaimana pertumbuhan itu kemudiannya akan diagihkan bagi mencapai matlamat pengagihan. Sejak DEB dilancarkan, pembangunan kepada kepelbagaian ekonomi, penekanan kepada pembangunan luar bandar, pengurangan kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat telah menjadi objektif utama pembangunan ekonomi negara. Matlamat perancangan pembangunan ialah “pertumbuhan dan pengagihan yang saksama.
Untuk mencapai matlamat tersebut, perbagai agensi kerajaan (perusahaan awam) ditubuhkan khusus untuk membangunkan kawasan luar bandar. Perancangan baru dan yang wujud sejak Rancangan Malaya Pertama dirancakkan lagi terutamanya melalui DEB. Strategi utama pembangunan luar bandar telah dilaksanakan iaitu, pembukaan tanah (rancangan) baharu; pembangunan in-situ; pemodenan luar bandar dan penciptaan pesat pertumbuhan yang baru; serta strategi penyelarakan kawasan industri ke kawasan luar bandar. Selain itu, Rancangan Buku Merah, konsep Saemaul Undong, pembangunan koperasi desa, dan pelbagai agensi kerajaan seperti Felda, Felcra, Risda, Kejora, Kesedar, Ketengah, Mada, Dara, Bank Bumiputera dan lain-lain diwujudkan khusus untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dan meningkatkan keupayaan mereka untuk bersaing dalam bidang ekonomi.
Tanpa bantuan agensi-agensi kerajaan ini, kaum pribumi sukar untuk bersaing kerana mereka bermula pada tahap perniagaan atau kemahiran yang berbeza. Pengerusi pertama Bank Bumiputera Datuk Roslan Abdullah pernah membandingkan apa yang berlaku dengan perumpamaan sebuah kereta Jaguar yang memotong Morris Minor dan terus hilang dari pandangan. Matlamat ideologi negara juga diserapkan Misi Nasional iaitu satu rangka kerja dasar dan pelaksanaan bagi mencapai matlamat Wawasan 2020. Misi Nasional memberi penekanan kepada peningkatan keupayaan negara untuk bersaing di peringkat global, memperkukuh perpaduan negara serta pengagihan pendapatan serta kualiti hidup yang lebih baik. Teras ketiga Misi Nasional ialah menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif sangat berkait rapat dengan ideologi negara - “kekayaan negara akan dibahagikan secara saksama”.
Model Baru Ekonomi (2011-2020) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015) juga terus memberi penekanan kepada meningkatkan potensi menjana pendapatan, pencapaian pendidikan dan kemahiran bagi isi rumah berpendapatan rendah. Strategi juga dirangka bagi meningkatkan taraf hidup golongan yang terpinggir dari arus perdana pembangunan ekonomi negara yang meliputi kaum pribumi Sabah, Sarawak, masyarakat Orang Asli di Semenanjung, bantuan-bantuan kewangan dan meningkatkan akses kepada infrastruktur di kampung-kampung baru Cina dan pekerja ladang. Tindakan afirmatif berhubung langkah membantu pribumi dalam Model Baru Ekonomi akan lebih berasaskan kepada mesra pasaran, lebih berasaskan merit, lebih telus dan berdasarkan keperluan.
Menurut Datuk Seri Najib Razak, semasa membentang Model Baru Ekonomi “objektif asalnya masih lagi relevan, namun, sudah tiba masanya untuk kita menilai kembali pelaksanaan DEB. Kita akan menyasarkan pencapaian matlamat yang sama tetapi dengan mengubah cara kita melaksanakannya.” "1Malaysia” yang juga merangkumi “pertumbuhan dan pengagihan yang saksama” perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan, iaitu bagaimana kesaksamaan, kesamarataan dan kekitaan akan diintegrasikan dengan ideologi negara terutamanya perkara-perkara yang jelas terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Matlamat akhir "1Malaysia” ialah perpaduan yang berkaitan secara langsung dengan teras ketiga Misi Nasional, iaitu menangani masalah ketidaksamaan sosio ekonomi secara membina dan produktif. Ia sangat berkait rapat dengan ideologi negara “kekayaan negara akan dibahagikan secara saksama” dan “berazam untuk mencapai perpaduan bagi semua rakyatnya” seperti yang terkandung dalam Rukun Negara.
Cabaran utama kini ialah bagaimana hendak mengintegrasikan budaya kecemerlangan, prinsip meritokrasi melalui agihan kek ekonomi dengan berkonsepkan peluang untuk semua dengan ideologi negara dalam merangka perancangan pembangunan dengan maltamat akhir, iaitu pencapaian taraf negara maju yang makmur tanpa membelakangkan ideologi negara iaitu RUKUN NEGARA.
Oleh Asan Ali Golam Hassan
Profesor Madya
Oleh Asan Ali Golam Hassan
Profesor Madya
Kolej Sastera dan Ekonomi
Universiti Utara Malaysia
Universiti Utara Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan