JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



30 Mei 2023

ISU LAMBAKAN GRADUAN PERGURUAN BERLAKU AKIBAT PENGAMBILAN TIDAK IKUT UNJUTAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

 


Kecenderungan universiti awam serta swasta yang berlumba-lumba menawarkan pengajian pendidikan untuk melahirkan siswazah perguruan tanpa unjuran keperluan Kementerian Pendidikan (KPM), boleh menyumbang kepada isu pengangguran dalam kalangan graduan bidang terbabit. Ia berikutan rata-rata institusi pengajian tinggi negara ini membuat pengambilan pelajar ke program berkenaan berdasarkan kemampuan institusi itu sendiri sehingga mewujudkan keadaan penawaran melebihi permintaan.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP),  Aminuddin Awang. - Foto NSTP

Perkara ini didedahkan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, bahawa keadaan sebaliknya berlaku kepada lepasan siswazah Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah kendalian KPM apabila mereka terus diserap selepas menamatkan pengajian. Graduan IPG ini akan terus ditempatkan di sekolah rendah berdasarkan unjuran keperluan kementerian berasaskan faktor bilangan guru yang bersara, pembukaan sekolah baharu dan sebagainya.

Disebabkan itu, lepasan siswazah IPG tidak menunggu lama untuk diserapkan kerana pengambilannya mengikut keperluan guru sebenar dalam satu tempoh tertentu. Difahamkan, seramai 4,390 Lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) menamatkan pengajian masing-masing antara 2011 hingga 2020, namun sebahagiannya dilaporkan masih tidak mendapat panggilan temu duga untuk ditempatkan di sekolah, manakala sebilangan kecil terpaksa memilih pekerjaan lain tanpa memerlukan kelayakan akademik. Hakikatnya, bermula 2017 tiada lagi unjuran KPM kepada semua universiti awam (UA) yang menawarkan program ISMP selain, wujud keadaan guru dengan opsyen tertentu dikatakan berlebihan berdasarkan perbandingan keluaran UA dan keperluan KPM.

Semakan rekod pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 bagi tahun 2020 yang dikemas kini pada 6 Januari lalu di laman sesawang https://www.data.gov.my mendapati 97,276 permohonan diterima untuk mengisi jawatan itu dengan 4,586 dipanggil temu duga bagi mengisi 4,189 jawatan. Menjelaskan lanjut, Aminuddin berkata, isu pengangguran dalam kalangan bakal guru akan terus berlaku kesan daripada dasar keterbukaan universiti tempatan menganjurkan kursus diploma pendidikan kepada lepasan ijazah tanpa merujuk kepada unjuran keperluan guru sebenar.

Perlu kawalan, penyelarasan kursus

Menurut beliau, dalam hal ini, KPM dan universiti perlu mewujudkan kawalan dan penyelarasan kursus. Mengulas mengenai 19,000 kekosongan diiklankan untuk pengambilan jawatan PPP DG41 baru-baru ini, Aminuddin berkata, kekosongan itu lebih terarah bagi menangani ketidakcukupan guru berdasarkan keperluan sebenar sesebuah sekolah atau ketidakcukupan dari segi keperluan opsyen guru dalam mata pelajaran. Akan tetapi realitinya, pengambilan 19,000 guru itu masih tidak mampu menyelesaikan isu kekurangan guru kesan daripada persaraan paksa, persaraan pilihan dan pembukaan sekolah baharu yang memerlukan ramai tenaga pengajar.

Bagaimanapun, inisiatif dan komitmen yang dilaksanakan KPM itu secara langsung mampu mengurangkan bebanan guru sedia ada disebabkan kekurangan guru di sekolah. Oleh itu, kita amat berterima kasih kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) kerana mahu mengambil 19,000 calon guru dan ia dilakukan pada masa tepat ketika KPM sedang dalam landasan ke arah kesejahteraan guru.. Pengambilan 19,000 guru baru-baru ini meliputi jawatan guru tetap atau guru sementara bagi menangani isu kekurangan guru dalam empat mata pelajaran iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI) dan Pendidikan Islam. Hal ini dikatakan demikian kerana ketika ini terdapat kekurangan 19,431 guru atau 4.49 peratus di seluruh negara membabitkan mata pelajaran terbabit. Aminuddin juga berharap pengisian 19,000 calon guru baharu itu dapat diberikan kepada mereka yang mempunyai kelayakan ikhtisas iaitu Diploma Pendidikan sahaja sekiranya kerajaan tidak mahu isu pengangguran dalam kalangan bakal guru terus kronik. Selepas itu, bidang yang tidak cukup calon berkelayakan seperti Bahasa Inggeris, barulah dibuka kepada calon yang tiada kelayakan ikhtisas.

Lepasan ISMP perlu teroka bidang kerjaya lain

Lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) tidak boleh terus bergantung nasib kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi penempatan selepas tamat pengajian, sebaliknya menerokai peluang mengajar di sekolah bukan kerajaan. Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pada masa sama, graduan guru perlu berusaha menerokai bidang kerjaya lain berbeza dengan ijazah yang dimiliki. Graduan pendidikan tidak seharusnya bergantung kepada KPM sebagai sumber utama berkhidmat sebagai guru berikutan mereka masih berpeluang mengajar di sekolah swasta, sekolah antarabangsa, sekolah persendirian, pusat tahfiz dan lain-lain. Selain itu dengan cabaran pengangguran sekarang, graduan tidak boleh terikat kepada satu bidang sahaja kerana terdapat banyak peluang lain dan ramai yang beralih kerjaya dan mereka ini berjaya. Kita dapat disaksikan ada lepasan pengajian kejuruteraan beralih kepada perkhidmatan insurans, lulusan perakaunan menerokai perniagaan dan pelbagai bidang lagi yang akhirnya berjaya menjadi usahawan atau petani moden.


Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. - Foto NSTP

Alimuddin yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Arkib Negara dan Ahli Jawatan Kuasa Yayasan Pesara Kerajaan, berkata KPM menawarkan kekosongan mengikut peruntukan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) walaupun ramai mahu mengisi jawatan biarpun tempat terhad, sekali gus menimbulkan pengangguran dalam kalangan graduan pendidikan. Bilangan yang mahu diambil sudah ditetapkan bagi mengisi kekosongan disebabkan guru pencen, guru berhenti dan juga perluasan sekolah, tetapi universiti awam (UA) dan universiti swasta setiap tahun menghasilkan ramai lepasan siswazah seperti Institut Pendidikan Guru (IPG). Berikutan itu katanya, sebahagian besar UA menukarkan nama program misalnya Ijazah Sarjana Muda (ISM) Pendidikan dengan Ekonomi atau Perniagaan, Perakaunan serta lain-lain. Hal ini bagi meningkatkan nilai kebolehpasaran graduan kerana tidak mahu mereka ini hanya tertumpu kepada sektor pendidikan, tetapi berupaya menerokai bidang lain.

Justeru bagi program pengajian itu, perlunya pengkhususan utama dan minor 50-50 bidang lain selain menumpukan sepenuhnya kepada perguruan, mengikut unjuran keperluan. Siswazah juga perlu memperlengkapkan diri dengan mengikuti kursus sama dalam atau luar universiti termasuk dalam talian bagi meningkatkan kebolehpasaran dalam bidang seperti Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), perniagaan, teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan keusahawanan untuk dimanfaatkan selepas tamat pengajian.

Iklan bantu pelajar

Berhubung usaha KPM mengiklankan 19,000 kekosongan bagi mengatasi masalah kekurangan guru baru-baru ini, beliau berkata, bilangan terbabit masih tidak mampu menyelesaikan isu pengangguran, tetapi diharap membantu pelajar yang betul-betul berminat dan berkelayakan untuk memohon. Kebiasaannya unjuran dibuat dalam tempoh lima atau sekurang-kurangnya tiga tahun berdasarkan guru bersara awal, pertambahan penduduk dan sekolah baharu setiap tahun, jadi KPM menambah bilangan guru ikut kekosongan diperlukan setiap tahun. Malah, bagi pengambilan guru, lazimnya hampir 100,000 orang memohonnya. Justeru, langkah pertama saringan komputer dibuat mengikut purata nilai gred kumulatif (CGPA) calon, kemudian mereka yang melepasinya menduduki ujian kecenderungan dan personaliti dan ketiganya, temu duga. Jadi, calon guru kena berusaha dan memastikan mereka melepasi ketiga-tiga saringan. Ini kerana calon terbaik saja dipilih untuk mengisi kekosongan yang ada," katanya.



  • SUMBER 
  • BERITA HARIAN
  • Oleh Mahani Ishak - Mei 27, 2023 @ 10:00am

Tiada ulasan: