JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 Julai 2023

PUNCA PELAJAR GAGAL MATEMATIK KERANA TIDAK FAHAM KONSEP


Oleh Muhamad Lokman Khairi - 11Julai 2023, 1:31pm

bhpendidikan@bh.com.mY 

Salah silibus yang didakwa  terlalu  tinggi atau kegagalan pelajar  memahami  konsep  Matematik? Dua soalan  itu  wajar  ditanyakan  susulan  kebimbangan  sesetengah  pihak  mengenai  petanda  kewujudan generasi buta Matematik. Ia susulan analisis keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) baru-baru  ini merekodkan 24.3  peratus  daripada  369,348  pelajar  yang  mengambil  subjek  itu  gagal, manakala 29 peratus  lagi  memperoleh gred D dan E.  Angka  ini merosot  berbanding  pencapaian  tahun lalu malah antara semua 95  mata pelajaran  yang ditawarkan dalam SPM 2022, Matematik mencatatkan peratusan kegagalan pelajar paling tinggi.

Jadi, adakah kegagalan itu disebabkan silibus Matematik terlalu tinggi hingga gagal dikuasai dengan baik oleh pelajar?

Menurut Pensyarah Matematik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Rusliza Ahmad, kegagalan pelajar dalam subjek itu berpunca daripada cara belajar yang tidak berkesan. Hal ini katanya menyebabkan wujud dalam pemikiran sebahagian pelajar bahawa Matematik adalah subjek susah. Keadaan ini disebabkan pelajar lebih memberi penekanan kepada menghafal konsep serta jalan kerja berbanding memahami konsep sebelum mempraktikkannya dalam setiap masalah Matematik.

Setiap masalah Matematik mempunyai jalan kerja yang berbeza. Silapnya adalah pelajar hanya hafal tanpa faham. Berdasarkan penelitian terhadap pelajar di peringkat diploma, ramai yang masih lagi lemah asas Matematik, termasuk operasi mudah seperti tambah dan tolak," katanya. Matematik bukan subjek susah jika pelajar diajar kaedah yang betul. Paling utama asas mempelajari subjek itu adalah memahami bukan menghafal. Antara kaedah mempelajari Matematik yang berkesan disebut 'mnemonik' iaitu teknik mengingat. Murid sebenarnya akan lebih ingat jika guru menggunakan diagram atau graf sewaktu mengajar. Dalam hal ini guru perlu kenal pasti topik yang mana boleh diajar dengan teknik diagram atau kaedah lain. Jangan ajar mereka hafal daripada buku teks semata-mata.

Berkongsi tips melalui pengalamannya, Rusliza menyarankan pelajar mempelbagaikan teknik untuk memahami konsep dan formula Matematik. Selain menggunakan diagram atau graf, pelajar juga seharusnya perlu memperbanyakkan latihan kerana setiap soalan mempunyai masalah yang berbeza dan perlu diselesaikan dengan teknik berlainan. Kekerapan menyelesaikan latih tubi membantu otak menjadi semakin kreatif dalam berfikir bagi mencari jawapan. Selain itu latih tubi memastikan apa yang diajar guru di dalam kelas mudah untuk diingat. Selain itu, Rusliza menegaskan teknik pembelajaran yang berkesan juga adalah kerap merujuk guru atau bertanya kawan-kawan jika tidak mendapat jawapan.

Menurut beliau, guru-guru juga wajar pelbagaikan cara mengajar kerana subjek Matematik sangat kuat melekat dengan stigma sebagai mata pelajaran yang menakutkan dan membosankan dalam kalangan pelajar. Dalam hal ini katanya, guru boleh mengguna pakai teknik mengajar menerusi aktiviti permainan bagi pelajar sekolah rendah. Menanam minat murid terhadap Matematik sejak sekolah rendah tegas beliau, sangat penting kerana ia akan mempengaruhi minat seseorang pelajar itu apabila dia melangkah ke peringkat menengah. Bagaimanapun jangan terlalu fokus kepada cara menjawab soalan peperiksaan sahaja sehingga kita mengabaikan penyampaian secara keseluruhan. Akhirnya pelajar masih gagal faham kerana guru tidak memberi penjelasan atau gambaran terperinci mengenai sesuatu topik.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Datuk Zahar Hashim yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perakaunan lebih 35 tahun, berpandangan ungkapan 'Matematik itu susah' seakan-akan sudah sebati dalam kalangan masyarakat terutama orang Melayu. Katanya, ia selalu dijadikan alasan setiap kali seseorang itu gagal lulus dalam subjek berkenaan tanpa mahu mengoptimumkan usaha. Malas berfikir juga menyebabkan pelajar kurang berminat dengan Matematik. Jadi apabila kurang minat, mereka kurang memberikan tumpuan akhirnya subjek itu menjadi begitu 'menakutkan' dan fobia. Ada juga sesetengah ibu bapa juga kurang merangsang anak-anak untuk memahami atau belajar angka, walaupun mungkin permainan mudah seperti 'main angka atau main kira-kira' yang sebenarnya boleh dibuat bersama anak dalam kehidupan kita seharian. Tambah Zahar, kemungkinan wujudnya generasi buta Matematik memang menyedihkan namun ia tidak boleh dinafikan.

Apatah lagi sesuai dengan perkembangan semasa penggunaan kalkulator lebih meluas hingga ada pelajar yang beranggapan mengira menggunakan alat sebegitu lebih mudah. Hal ini sekali gus menyebabkan mereka tidak lagi mahu berpenat lelah membuat kiraan meskipun hal sedemikian mampu menjadikan minda lebih kreatif. Banyak usaha perlu dibuat oleh Kementerian Pendidikan dalam mencari jalan keluar terbaik bagi memperbaiki keadaan ini. Apatah lagi katanya, keciciran dalam subjek Matematik tentu saja akan memberi kesan kepada usaha kerajaan melahirkan untuk melahirkan profesional dalam bidang berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Tiada ulasan: