JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



13 Disember 2018

DAUN KETUM MEMPUNYAI NILAI KOMERSIAL?



Ketum atau nama saintifiknya ‘mitragyna speciosa’ sering menjadi tajuk perbualan, seiring dengan konflik yang membelenggu tanaman kontroversi itu, sama ada ia benar-benar membawa manfaat atau mencetus mudarat. Bagi majoriti penduduk, khususnya di sekitar utara Semenanjung, ketum atau lebih dikenali sebagai biak sudah sebati dengan kehidupan mereka sejak turun-temurun. Namun begitu, penyalahgunaan ketum sehingga membawa kepada ketagihan untuk meminumnya mencetus kebimbangan. Cadangan kerajaan untuk mengharamkan penanaman ketum bagi mengelak penyalahgunaan berleluasa, antara langkah yang wajar disahut.

Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kewujudan lebih 32 hektar ladang ketum di negeri Kedah yang menjadi sumber bekalan utama pengedaran di negara ini dan Thailand telah membawa pulangan keseluruhan yang dijana dianggarkan di antara RM500,000 hingga RM1 juta sebulan. Itu baru di Kedah, belum lagi di Perlis dan Perak. Persoalannya, mengapa begitu banyak ketum ditanam sehingga berskala ladang seolah-olah, mahu dijadikan komoditi untuk eksport dan tidak menghairankan apabila banyak kes daun ketum dirampas di sempadan negara oleh pihak berkuasa. Isu pengharaman ketum sudah lama disuarakan dan ramai bersetuju kesan mudarat akibat ketagihannya yang mengandungi bahan aktif mitragynine, iaitu sejenis alkaloid psikoaktif yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.

Sehubungan itu, timbul gesaan supaya ketum disenarai di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, sebaris pokok ganja, kanabis, popi dan koka, malah pindaan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya 1952 juga pernah dibentangkan di Dewan Rakyat. Sehingga kini, tiada keputusan konkrit mengenai pengharaman ketum dan ia terus menjadi polemik dari semasa ke semasa. Satu fakta menarik perlu diambil kira iaitu apabila menanam pokok ketum tidak dikira sebagai kesalahan, melainkan saat daunnya dipetik. Seksyen 30 Akta Racun 1952 menetapkan kesalahan bagi aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, menjual dan memiliki bahan psikotropik termasuk ketum, namun tiada soal penanaman disenaraikan.

Ruang lompong sebegini membuka ruang kepada pekebun untuk beralih mengusahakan ketum, beranggapan memiliki status ‘kebal’ dan tidak boleh disentuh pihak berkuasa. Kelonggaran ini wajar diberikan perhatian oleh kerajaan dalam merangka undang-undang berkaitan pengharaman ketum. Cadangan kerajaan negeri Kedah untuk merampas tanah yang dijadikan ladang ketum boleh dilihat semula walaupun ia tidak sempat dilaksanakan atas sebab tertentu. Malah, Jabatan Perhutanan di Kedah dan Perak pernah mengambil tindakan memusnahkan ladang ketum yang diusahakan secara haram di atas tanah rizab kerajaan atau dalam kawasan hutan simpan.

Apapun keputusan yang akan dibuat, manfaat ketum dari segi komersial dan perubatan perlu diberikan perhatian terlebih dahulu oleh kerajaan sebelum langkah mengharamkannya secara total diambil.

Tiada ulasan: