BERITA HARIAN DALAM TALIAN
Oleh Zanariah Abd Mutalib - Jun 21, 2023 @ 11:06am
zanariah_mutalib@bh.com.my
Kegagalan seorang daripada setiap 4 pelajar dalam subjek Matematik SPM 2022 mencetuskan kekhuatiran Malaysia mungkin berdepan generasi tidak celik mata pelajaran itu sehingga menjejaskan usaha negara melahirkan profesional dalam bidang berkaitan.
Pencapaian dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan baru-baru ini, mencetuskan kekhuatiran Malaysia mungkin berdepan generasi tidak celik matematik. Saintis bidang tenaga dan kelestarian iklim, Dr Amir Faizal Abdul Manan, berkata keputusan SPM 2022 menunjukkan 24 peratus atau seorang daripada empat calon gagal dalam mata pelajaran terbabit, manakala 29 peratus lagi mendapat gred D dan E. Ini bermakna hampir separuh daripada pelajar lemah dalam matematik, sekali gus akan menjejaskan usaha negara untuk melahirkan profesional dalam bidang berkaitan. Pernyataan ini bukan mengenai matematik lanjutan, Matematik Tambahan walaupun ia menunjukkan statistik pencapaian yang sama. Pernyataan ini adalah merujuk kepada matematik teras, yang diduduki 369,348 murid pada peperiksaan SPM 2022.
Kelemahan dalam subjek Matematik ini sangat menggusarkan. Kita mempunyai generasi masa depan pemimpin berpotensi, orang dewasa, guru, saintis, akauntan, doktor, ahli ekonomi, arkitek, ahli perniagaan, bapa dan ibu yang tidak celik matematik asas. Pada masa sama, antara semua 95 mata pelajaran yang ditawarkan dalam SPM 2022, Matematik mencatatkan peratusan kegagalan tertinggi. Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2022 yang disiarkan KPM mendedahkan seramai 403,637 calon mendaftar menduduki peperiksaan tahun lalu membabitkan 3,355 pusat peperiksaan. Daripada jumlah calon berdaftar itu, seramai 388,832 orang adalah calon baharu yang mendaftar untuk menduduki sekurang-kurangnya enam mata pelajaran. Jumlah calon baharu yang hadir menduduki peperiksaan pula adalah seramai 373,974 orang. Amir Faizal mendakwa, kadar kegagalan mata pelajaran Matematik yang tinggi bukan sesuatu yang mengejutkan Kementerian Pendidikan (KPM), berdasarkan laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) yang dijalankan setiap empat tahun, membabitkan pelajar Tingkatan Dua.
Kajian TIMSS pada 2019, menunjukkan 26 peratus pelajar gagal mencapai standard asas yang diperlukan untuk celik matematik. Kini, tiga tahun kemudian, kita melihat hasil yang sama dalam keputusan SPM 2022. Selain itu, Amir Faizal mendakwa, bagi pencapaian soalan dengan elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) pada SPM 2022, statistik menunjukkan lebih separuh murid mencatatkan skor rendah dalam kemahiran mengaplikasi. Ini satu masalah yang besar kerana ia memberi makna, pelajar kita tidak mempunyai pemahaman praktikal mengenai ilmu yang mereka peroleh. Menurut beliau, Lebih baik jika markah KBAT itu dipecahkan mengikut mata pelajaran, jika ada kerana ia akan memberi lebih maklumat. Namun begitu, sebalik pengumuman keputusan yang dibuat, beliau mendakwa, KPM seolah-olah menafikan kelemahan yang dikesan dengan hanya menonjolkan kebaikan, berbanding jujur dan telus mengenai kualiti sistem pendidikan semasa negara.
Sebenarnya, seluruh negara berisiko berdepan krisis. Saya tidak bersikap melodramatik di sini. Cara paling pasti untuk memusnahkan sesebuah negara adalah dengan merosakkan sistem pendidikannya. Kita perlu benar-benar keluar daripada situasi ini
sebelum terlambat.
LINK UNTUK ARTIKEL INI
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/06/1117138/keputusan-spm-2022-petanda-wujud-generasi-buta-matematik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan