Rencana ini ditulis oleh :
Fauziah Arof
Apabila bercakap pasal wanita yang lanjut usia tetapi masih belum
berkahwin atau digelar andartu, nampaknya orang lelakilah yang paling sibuk
atau suka sangat mengetengahkan isu ini, bukan wanita, tuan yang empunya badan.
Kebanyakannya menyatakan kerisauan terhadap apa sudahnya nasib golongan wanita
yang berusia 35 tahun ke atas yang belum bertemu jodoh ini. Ternyata orang
lelaki amat bimbang. Dalam hal ini mereka cukup prihatin. Jadi bila membaca
saja pendapat yang bertajuk Longgarkan syarat berpoligami untuk bantu atasi
masalah wanita lanjut umur belum berkahwin di ruangan Forum akhbar ini semalam
tanpa melihat siapa penulisnya, saya sudah mengagak pendapat itu ditulis oleh
seorang lelaki.
Maka menderulah wanita-wanita yang mengaku bukan andartu
menelefon marah-marah. Mempersoalkan kenapa perlu menyiarkan pendapat sebegitu.
Kritikal sangatkah trend andartu di negara ini, sengsara sangatkah golongan ini
sampai perlu melonggarkan syarat-syarat bagi lelaki untuk poligami? Ruangan
Forum akhbar ini adalah tempat untuk menyatakan pendapat masing-masing dalam
sesuatu isu untuk difikirkan bersama dan pada masa sama menyiarkan aduan-aduan
daripada orang ramai untuk diambil tindakan oleh pihak berkaitan. Maka tiada
salahnya jika pendapat melonggarkan syarat berpoligami itu disiarkan untuk
renungan bersama dan kita boleh memberi respon untuk pendapat-pendapat yang
disiarkan.
Membaca habis pendapat Syed Abdullah Syed Osman Jamululail itu,
kita semua pasti setuju dan tak perlu disanggah pun, perkahwinan dalam Islam
adalah sunnah Rasullulah SAW. Kita juga tidak menentang poligami, dalam Islam
poligami itu boleh. Kita juga setuju perkahwinan adalah untuk dapat menyambung
zuriat, meramaikan umat Nabi Muhammad SAW, mengelakkan diri daripada melakukan
maksiat dan mengelakkan wanita hidup keseorangan di waktu tua nanti apabila
tiada siapa untuk menjaganya. Bagaimanapun cadangan agar dilonggarkan syarat
bagi lelaki untuk berpoligami untuk mengatasi isu andartu ini, itu yang menjadi
persoalan. Perlukah? Ramai wanita di luar sana berpendapat, tidak semestinya
melonggarkan syarat-syarat lelaki untuk berpoligami, isu andartu boleh selesai
atau dapat mengurangkan trend hidup membujang sampai ke tua ini.
Kenapa perlu melonggarkan syarat tanpa surat akuan kebenaran
isteri pertama dan tidak perlu diisyaratkan untuk mendapatkan salinan slip gaji
atau pengesahan pendapatan? Adakah syarat-syarat itu terlalu ketat dan sukar
untuk dipenuhi? Dalam Islam ada syarat lain yang lebih ketat untuk berpoligami
perlu dipatuhi, iaitu berlaku adil. Antara aspek yang perlukan keadilan seperti
pembahagian giliran, pembahagian nafkah dan sebagainya. Jika prosedur yang
ringkas untuk berpoligami seperti itu pun tidak boleh diikuti, apatah lagi hal
yang besar-besar. Kebanyakan andartu terdiri dalam kalangan wanita yang
berkerjaya dan teguh ekonominya. Namun terdapat juga yang berpendidikan rendah
tetapi sukar juga bertemu jodoh.
Bagi saya bukan soal mereka ini ego sangat atau terlalu memilih.
Tetapi mereka berhak untuk mencari lelaki yang berkualiti untuk dijadikan
pasangan sehingga akhir hayat mereka. Hingga akhir hayat - satu tempoh masa
yang cukup lama. Mereka tidak mahu mencari jalan mudah. Mencari pasangan hidup
bukan boleh dibuat secara main tangkap muat, asalkan ada pasangan tidak kiralah
bujang, duda atau suami orang, asalkan tidak berseorangan di hari tua, itu
sudah cukup. Sedangkan, perkahwinan kelak yang memberi warna-warni dalam hidup.
Putih atau hitam, ia akan dilalui dalam tempoh yang panjang. Dan sudah
pastinya, wanita lanjut usia ini bimbang dan amat berhati-hati, elok-elok
semasa zaman bujangnya, tidak ada banyak masalah, apabila berpoligami timbul
banyak masalah dari segi kewangan, perasaan dan lain-lain lagi. Kata orang,
elok-elok tak ada pasal, cari pasal pula. Inilah yang mereka takut.
Mereka juga bimbang, ada segelintir lelaki yang hanya mengambil
kesempatan, berkahwin dengan mereka untuk mendapatkan kesenangan. Maka
terjebaklah menjadi isteri kedua yang terpaksa menanggung diri sendiri dan juga
keluarga isteri pertama secara tidak langsung. Dan pada saya, soal yang
dibangkitkan iaitu menjaga maruah diri dan keluarga, tidak semestinya perlu
ditujukan kepada wanita lanjut usia yang belum berkahwin ini. Semua kategori
wanita dan lelaki bertanggungjawab menjaga maruah diri dan keluarga. Tidak
salah juga memilih untuk hidup membujang jika jalan itu lebih memberikan
kebahagiaan dan tidak memudaratkan hidup sendiri dan orang lain.
Memegang status andartu bukan bermakna kehidupan mereka tidak
normal. Mereka juga menjalani kehidupan yang normal seperti orang lain, malah
adakalanya lebih bahagia, cuma mereka belum berkahwin. Dalam pada itu,
statistik penceraian juga semakin meningkat di negara ini. Hari-hari ada saja
orang yang bercerai. Tidak kiralah yang mengamalkan poligami atau tidak.
Penderaan fizikal dan emosi, curang, penganiayaan, tidak bertanggungjawab
antara faktor-faktor penceraian. Ini mungkin memberi rasa gerun pada wanita
lanjut usia ini untuk berkahwin. Maka, cadangan melonggarkan syarat-syarat
berpoligami ini tidak banyak membantu mengatasi masalah wanita lanjut usia
lewat berkahwin di negara ini. Cadangan ini sekadar memudahkan urusan untuk
berpoligami bukan bersifat misi penyelamat.
Sumber
Utusan Malaysia
18 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan