Rencana ini ditulis oleh :
DR. JESSICA ONG HAI LIAW ialah Timbalan Pengarah Bahagian
Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan pensyarah Kanan di
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Lari lagi, itulah perkataan yang sering diungkapkan oleh majikan
di Malaysia yang sudah bosan dan lali dengan perkara itu. Lari sehelai
sepinggang pun menyebabkan majikan rugi dengan wang pendahuluan dan apatah lagi
ada pembantu rumah asing turut membawa lari barang yang bernilai ribuan
ringgit. Manakan tidak majikan menjadi fobia, jika tiada jaminan oleh agen dan
jika ada jaminan sekalipun bagaimana mahu memastikan mereka tidak lari. Jika
dikunci pintu rumah dikatakan majikan kejam. Apabila diberi kunci rumah, lari
pula. Entah mana silapnya, majikan sering dipersalahkan jika pembantu rumah
mereka lari. Macam mana mereka lari? Siapa yang mengambil mereka? Ke mana
mereka pergi? Adakah agen pembantu rumah asing juga terlibat dalam hal ini?
Ada cakap-cakap yang mengatakan jika mereka lari, apabila memohon
bekerja kali kedua maka gaji mereka akan lebih tinggi sebab sudah dikira
majikan kedua. Saya bukan menuding jari kepada sesiapa tetapi kemungkinan tetap
ada dan dalam beberapa kes yang telah berlaku semacam menjadi satu trend. Presiden
Persatuan Ejen Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Alwi Bavutty menyatakan:
"Jangan jadikan pembantu rumah asing sebagai hamba dengan menyuruh mereka
membuat pelbagai kerja tidak sepatutnya bagi membendung kes pembantu rumah
asing lari dari rumah." Memang benar pembantu rumah perlu diberi layanan
baik tetapi bagaimana jika majikan yang baik dipijak kepala dan pembantu rumah
hendak samakan tarafnya dengan majikan manakala kalau ditegur dan tegas sikit
dikatakan majikan garang.
Saya melihat kepada kedua-dua pihak, sama ada majikan dan pembantu
rumah asing. Tentu ada salah dan silapnya kerana kita hanya manusia biasa
tetapi rata-rata apa yang dilihat dan didengar tentang kisah ini, tuduhan ke
atas majikan sememangnya tidak adil. Majikan memberi gaji sehingga RM700
sebulan dengan menanggung tempat tinggal dan segala keperluan tetapi masih
dikatakan kurang baik. Mudahnya pembantu rumah asing lari, walaupun pasport dan
permit dipegang majikan tetapi mereka tetap berani lari . Alasan hendak mencari
kebebasan. Kebebasan yang macam mana sehingga lari dengan bertarung nyawa
seperti kes di Putrajaya pada 3 Januari lalu apabila seorang pembantu rumah
asing yang cuba melarikan diri maut akibat terjatuh dari tingkat 12, Kuarters
Kerajaan, Fasa 12. Begitu juga dengan kejadian di kondominium Paya Terubong,
Georgetown apabila seorang pembantu rumah Indonesia ditemui mati selepas jatuh
dari tingkat lapan kerana cuba lari untuk bersama kekasih. Adakah semua ini
salah majikan atau dikatakan mereka diberi kerja yang terlalu berat.
Kesibukan kita pada hari ini memang memerlukan pembantu rumah jika
suami isteri bekerja. Laporan dari Dewan Negara 2011, statistik pembantu rumah
asing (PRA) dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), bagi 2011, jumlah PRA
Indonesia di Malaysia mencatat jumlah tertinggi berbanding negara-negara PRA
lain iaitu seramai 124,746 orang, diikuti oleh PRA dari Kemboja seramai 33,102
orang, Filipina , 14,574 orang. Tahun 2012, pembantu rumah asing Indonesia
sukar dicari, dari Kemboja dibekukan dan yang mudah dicari kini ialah pembantu
rumah dari Filipina. Menurut agen, pembantu rumah dari Filipina memang mahal
tetapi kurang kes lari manakala dari negara Indonesia memang statistik kes
larinya paling tinggi.
Segelintir pembantu rumah asing cenderung untuk mencari teman dan
ada pula yang ingin memiliki telefon bimbit sendiri. Mereka mahu ada peraturan
sendiri di rumah. Walaupun majikan mementingkan kebersihan menyuruh mereka
memotong rambut pendek, mereka membantah dan mendakwa mereka mengalami
penderaan emosi.Apa yang mereka mahukan sebenarnya?
Bukankah niat sebenar mereka untuk mencari rezeki di sini dan
kenapa mereka tidak pernah bersyukur apabila diberi segalanya sehingga ada yang
makan semeja dengan majikan. Apabila ditunaikan segala permintaan maka akhirnya
mereka lupa diri dan mula dipengaruhi kawan-kawan dan terjebak dengan
perkara-perkara negatif. Majikan mengeluh kerana sibuk dengan kerja di pejabat
mengharapkan pembantu rumah dapat meringankan tugas di rumah tetapi akhirnya
mengundang banyak masalah seperti lari. Duit pendahuluan hangus, kena repot
polis dan prosedur memohon pembantu rumah lagi.
Sesetengah pembantu rumah asing pula menyatakan mereka mendapat
majikan yang garang dan tidak pernah bertegur sapa dengan muka masam mencuka.
Majikan bukannya tegas sepanjang masa namun mereka perlu meletakkan jurang
supaya pembantu rumah menghormati mereka. Jika mereka mengalami masalah, maka
majikan akan prihatin tetapi janganlah pula pembantu rumah berbohong sehingga
berani menjunjung al-Quran tetapi akhirnya semua terbongkar dan hanya dusta
belaka. Berdasarkan pengalaman beberapa majikan memang agak menakutkan dan ada
juga cerita yang tidak masuk akal, tidak cukup ruangan ini untuk kita berkongsi
cerita.
Kisah pembantu rumah asing ada facebook, kisah lari kerana cinta
dan kebebasan, lari kerana tidak mahu pulang setelah kontrak tamat dan banyak
lagi alasan sudah terlalu biasa kita dengar. Ada juga beberapa majikan memberi
peringatan supaya jangan membenarkan pembantu rumah pulang jika ingin
menyambung kontrak lagi kerana selepas pulang ke kampung mereka akan berubah
kerana terpengaruh. Selepas pulang untuk tahun ketiga mereka akan mula demand,
maklumlah dah ada pengalaman. Jika demand gaji, kita faham tetapi ada yang
demand hendak buat dua kerja dan duduk di luar. Kalau benar mahu mencari rezeki
yang halal maka buatlah kerja dengan sebaiknya dan bersyukur dengan nikmati
yang diberi. Janganlah lari daripada tanggungjawab dan berbuat dosa pula. Salam
1Hati.
Sumber
Utusan Malaysia
18 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan