Rencana ini ditulis
oleh :
Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
Kita selalu mendengar
keluhan dan rintihan graduan baru betapa sukarnya mencari pekerjaan walaupun
mempunyai segulung ijazah. Ternyata segulung ijazah yang diperoleh selepas
berhempas pulas itu belum mampu menambat perhatian majikan menawarkan pekerjaan.
Pandangan skeptikal majikan masih tidak berubah tebal dengan andaian mereka
tidak kompetitif, kurang matang, tidak sabar dan ego. Akibatnya, graduan baru seperti keterlaluan
menagih belas ihsan majikan demi mengharapkan satu pekerjaan. Persoalannya,
adilkah graduan dilabel begitu sedangkan mereka belum diberi peluang bekerja? Bagaimana
pula perasaan graduan baru apabila permohonan kerjaya ditolak tanpa
pertimbangan?
Graduan Universiti
Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Izwa Nadhirah Kalal, 23, berkata dia amat
kecewa majikan membuat andaian salah kemampuan graduan baru. Menurutnya, biar
pun majikan memegang kuasa autonomi, mereka usah mendiskriminasikan pemilihan
pekerja. “Semua graduan selepas tamat pengajian mahukan pekerjaan, namun
menghadapi kerenah segelintir majikan yang tidak memahami memang mengecewakan. Mereka
(majikan) perlu memberi peluang sama rata kepada kami, bukan menggunakan isu
graduan baru tidak pandai bekerja sebagai alasan. Persoalannya, benarkah
graduan baru tidak boleh bekerja atau majikan hanya melihat sekilas lalu atau
mendengar cakap orang lain,” katanya. Sebagai graduan baru, mereka bersemangat
untuk bekerja, malangnya bukan semua mahu melihat kesungguhan mereka sebaliknya
lebih suka mengkritik.
Ditanya tidak
bolehkah mereka menerima kritikan, dia berkata, tiada masalah asalkan ia untuk
kebaikan. “Malangnya kebanyakan kritikan berbaur negatif dan seperti mahu
meletak kesalahan pada kami seperti tidak boleh buat kerja, mahu gaji tinggi
dan besar kepala. Mereka seharusnya melihat dulu keupayaan dan kebolehan kami
sebelum membuat andaian itu. Sesiapa pun mahukan yang terbaik, malangnya
penerimaan majikan sebaliknya,” katanya beranggapan apabila graduan baru tanpa
pengalaman mengajukan permintaan, seolah-olah mereka megah dengan ijazah
dimiliki. Saya tidak fikir graduan baru sentiasa bermegah dengan ijazah yang
ada sebaliknya hanya mahu penjelasan. Malangnya persepsi majikan pula
sebaliknya dan menganggap kami besar kepala. Akhirnya, permohonan ditolak
menyebabkan kami terpaksa berhempas pulas mencari majikan lain,” katanya.
Isu majikan enggan
‘mempercayai’ kemampuan graduan bukan baru biar pun sokongan penambahbaikan
diri dan kemahiran semakin dipelbagaikan. Pengenalan modul bagi membina pengukuhan
kemahiran insaniah seperti komunikasi dan jati diri antara pendekatan
diperkenalkan bagi membantu graduan. Bagaimanapun, isu tiada pengalaman, kursus
tidak relevan selain kelemahan kemahiran diri masih tetap dijadikan alasan
mengukur kemampuan graduan terbabit. Akibatnya, mereka terpaksa menerima
pekerjaan tidak setimpal kelulusan atau terpaksa menjadi penganggur terhormat. Katanya,
biar pun majikan mempunyai kuasa memilih pekerja, ia harus dilakukan dengan
adil. “Majikan belum lagi melihat kebolehan kami tapi sudah dinilai sebegitu.
Adilkah? Betul, majikan ada kuasa memilih tapi berilah peluang atau menilai
kami sewaktu tempoh percubaan. Jika tidak boleh, barulah ambil tindakan. Kalau
semua majikan begitu, sampai bila pun kami tetap tidak memperoleh pekerjaan.
Sia-sialah segala ilmu dan penat kami belajar,” katanya.
Rakannya, Nor
Hashimah Hashim, 23, mengakui isu gender juga masalah besar bagi graduan baru. Menurutnya,
kalangan majikan berpendapat, graduan wanita tidak boleh melaksanakan tugasan
dengan baik terutama jika membabitkan tugasan berbentuk fizikal berat. “Ini
juga satu masalah bagi graduan baru kerana ada majikan meletak persepsi bahawa
tenaga dan kebolehan graduan wanita hanya terhad dalam lingkungan tertentu. Situasi
ini menyebabkan permohonan kami ditolak biar pun dari segi kelayakan tiada
masalah. Jika graduan baru lelaki berdepan cabaran penolakan, kami (graduan
wanita) juga berdepan dilema sama malah mungkin lebih hebat,” katanya.
Dia tidak menafikan
ada majikan prihatin dan tidak kisah isu remeh temeh, namun jumlahnya masih
sedikit. “Setiap tahun, lambakan graduan baru bertambah. Jika hanya sebahagian
kecil saja diterima, itu tidak mencukupi,” katanya yang bagaimana pun mengakui
ada graduan baru ‘bermasalah’. Mungkin kerana yang bermasalah inilah kami dicop
serupa dan menerima tempias negatif. Tapi, saya beri jaminan, bukan semua
begitu. Majikan usah termakan momokan dilemparkan hanya kerana seorang dua yang
bermasalah,” katanya. Dia juga
berpendapat graduan baru hari ini berdepan konflik hebat meneruskan kehidupan. “Dulu
terpilih masuk universiti, masa depan sudah terjamin, kini sebaliknya berlaku. Universiti
bukan lagi jaminan anda akan memperoleh kehidupan yang baik sebaliknya
mengundang cabaran lebih hebat. Dengan sekeping ijazah, anda perlu bersaing
dengan ribuan ijazah milik graduan lain semata-mata mahu memperoleh satu
pekerjaan,” katanya.
Sumber
Harian Metro Online
10 Disember 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan