Rencana ini ditulis
oleh :
Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
Sunggutan mengenai
tahap pencapaian mahasiswa kita yang sentiasa sederhana sudah lama kedengaran
malah graduan yang naik ke pentas dengan keputusan cemerlang juga boleh
dibilang jari. Biarpun berjaya menjejakkan kaki ke pusat pengajian tinggi
dengan peluang sama rata, tidak semua menggunakan kesempatan itu untuk mengubah
pencapaian diri. Tambah menyedihkan lagi, biarpun memasuki alam pengajian
tinggi, mereka masih dikongkong dengan sikap pasif seperti di alam
persekolahan. Adakah sikap itu menjadi punca mereka gagal mencapai
kecemerlangan? Dan, benarkah tanggapan yang dilemparkan masyarakat bahawa
mahasiswa kita sukar diubah?
Pensyarah Pusat
Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr
Salina Nen berkata, memang ada kebenarannya apabila masyarakat melabelkan sikap
mahasiswa kita masih di takuk lama dan sukar diubah. Beliau berkata, tanggapan
itu bukan dibuat secara suka-suka namun didorong perasaan tidak yakin apabila
melihat sikap mahasiswa hari ini. “Saya percaya masyarakat tidak mudah membuat
persepsi itu, tapi mereka membuat penilaian berdasarkan senario semasa. Cuba
lihat bagaimana reaksi dan sikap sebahagian besar mahasiswa kita sewaktu di
menara gading? Mereka malu bertanya, jarang berkomunikasi secara ilmiah serta
mengamalkan sikap serba tahu biarpun sebenarnya tidak tahu. Apa yang berlaku
itu sudah pasti mempengaruhi pemerhatian masyarakat kerana mereka sendiri yang
membenarkan diri dinilai sebegitu. Cuba mahasiswa menunjukkan sikap sebaliknya,
sudah tentu penilaian masyarakat juga berbeza,” katanya.
Biarpun dalam setiap
majlis konvokesyen, masih ada graduan memperoleh keputusan cemerlang
peratusannya masih kecil berbanding keputusan sederhana. Pencapaian itu
mencerminkan bagaimana lewa dan cuai mahasiswa memanfaatkan peluang di depan
mata dengan tidak belajar bersungguh-sungguh. Lebih memeritkan, sikap pasif
yang hanya mengharapkan belas ihsan pensyarah atau rakan lain menjadikan mereka
mudah berpuas hati. Beliau berkata, mahasiswa di menara gading seharusnya akur
mereka sudah memasuki satu frasa baru yang mengkehendaki mereka berubah sikap. “Di
sini (menara gading) semuanya perlu dilakukan sendiri, usah bermimpi adanya
bantuan dari orang lain untuk mencapai sesuatu. Universiti adalah frasa
peralihan alam persekolahan, justeru warganya perlu bijak berdikari, lebih
matang, rasional serta memandang jauh ke depan, bukan mengambil jalan mudah.”
“Mahasiswa perlu
mengemudi arah masa depan mengikut perancangan sendiri,” katanya mengakui
kebanyakan tenaga pengajar juga berasa tertekan dan kecewa dengan sikap
ditonjolkan itu. Kami (tenaga pengajar) sentiasa mengharapkan sesi pembelajaran
berlangsung dalam komunikasi dua hala, wujudnya interaksi bagi mencambah
pengetahuan baru dan kritis. Malangnya, ia tidak berlaku kerana kebanyakan
mahasiswa seperti ‘tidur’ dan tidak mahu memberi reaksi memberangsangkan. Berbanding
mahasiswa asing, reaksi mereka berbeza. Berani bertanya, suka berdebat, mampu
memberi buah fikiran biarpun salah dan sebagainya. Kami tertanya-tanya mengapa
mahasiswa kita tidak begini. Dalam ribuan mahasiswa, hanya sekelumit yang aktif
manakala lain hanya membatu,” katanya.
Bukan mahu menidakkan
kemampuan mahasiswa kerana yakin mereka yang terpilih adalah dari golongan
bijak. Bagaimanapun, beliau berpendapat sikap pasif itu berpunca dari
keengganan diri menerima keadaan baru dan selesa dengan persekitaran lama. “Mahasiswa
kita boleh berubah dan melakukan kejutan namun mereka kebanyakannya malas
selain selesa dengan persekitaran sedia ada. Mereka berpendapat, aktif dalam
kuliah tidak boleh membantu untuk memperoleh keputusan baik berbanding sesi
mengulang kaji. Memang merugikan kerana berdasarkan kajian, aktif bertanya
dalam kuliah juga mampu menyumbang kepada peningkatan pemahaman dan pencapaian
mahasiswa dalam peperiksaan,” katanya.
Mahasiswa yang aktif
dalam kuliah mahupun aktiviti, juga katanya mempunyai banyak kelebihan
tersembunyi. “Antaranya lebih kenali pensyarah yang boleh membantu mereka
memperoleh sedikit kelebihan berbanding tidak dikenali. Hubungan mesra boleh
terjalin selain pemahaman mengenai sesuatu subjek juga lebih mendalam. Malangnya
kelebihan ini jarang mahu direbut kerana beranggapan jika banyak bertanya,
bermakna mereka kurang bijak atau khuatir mengganggu perjalanan kelas. Dan,
berdasarkan pemerhatian, mereka yang pasif ini memang akan bermasalah dari segi
membina pemahaman, pembinaan jati diri selain sukar memperoleh keputusan baik,”
katanya.
Mengulas tanggapan
sikap itu ada kaitan dengan sistem pendidikan sekolah, beliau tidak meletakkan
kesalahan seratus peratus padanya. “Sebagai mahasiswa, mereka harus tahu alam
pengajian di universiti cukup berbeza. Perlu ada keinginan sendiri, bijak
menyesuai diri dengan persekitaran dan sebagainya. Tiada lagi istilah ‘manja’
atau perlu ditatang sentiasa. Universiti tempat persediaan untuk melangkah alam
dewasa. Jika dalam tempoh itu mereka masih sama dan terus mengekalkan sikap
keanak-anakan, apakah mereka mampu berdepan cabaran lebih hebat selepas itu,”
soalnya.
Pensyarah juga
diharap dapat menggunakan pendekatan berbeza bagi menarik perhatian mahasiswa
supaya lebih proaktif dalam dewan kuliah. “Ada kalanya cara pembelajaran
pensyarah yang pasif juga gagal memikat perhatian mahasiswa menjadikan mereka
kurang berminat. Untuk itu, kedua-dua pihak perlu peka dan saling berusaha
menghidupkan suasana supaya proses pembelajaran menjadi lebih seronok dan
memberi manfaat bersama,” katanya. Begitupun masih belum terlambat untuk
memperbetulkan keadaan dan berharap mahasiswa alaf baru mesti berani bangkit
melakukan anjakan minda dan keluar dari kepompong keselesaan. “Biarpun senario
mahasiswa pasif sudah lama, mereka boleh mengubah keadaan dengan berani
memulakan langkah pertama. Setiap orang boleh berubah kecuali mereka yang mahu
gagal saja tidak mahu melakukannya,” katanya.
Sumber
Harian Metro
10 Disember 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan