JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



20 Oktober 2010

ISU SOSIAL : SIKAP PEMANDU PUNCA NAHAS JALAN RAYA

Tiap-tiap tahun berlaku kemalangan dan kecederaan terhadap penumpang kenderaan mengakibatkan maut dan trauma kepada keluarga yang terbabit. Mengikut kajian pada tahun 2005, sebanyak 6,188 kematian dicatatkan. Manakala pada tahun 2006, sebanyak 3,243 penunggang dan 450 pembonceng motosikal maut dalam kemalangan jalanraya berbanding 677 pemandu kereta dan 538 penumpang terbunuh.
Berdasarkan sikap pemandu, Polis Diraja Malaysia turut mengeluarkan perangkaan yang menunjukkan bahawa 30.7 peratus kemalangan maut disebabkan oleh pemandu memotong dengan cara yang berbahaya, 26.5 peratus kerana pemandu memandu melebihi had laju, 8.1 peratus kecuaian semasa masuk atau keluar simpang dan 6.3 peratus kerana pemandu mengekor terlalu rapat dengan kenderaan lain. Berdasarkan unsur luaran pula menunjukkan bahawa 67 peratus punca kemalangan adalah disebabkan oleh sikap pemandu, 28 peratus berpunca dari keadaan alam sekitar dan 5 peratus adalah disebabkan kerosakan teknikal. Mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987, hukuman penjara di antara 2 hingga 10 tahun, denda di antara RM5,000 hingga RM20,000 dikenakan jika melakukan kesalahan menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan.

Kesedaran pengguna jalanraya sebenarnya amat penting demi mengelakkan kemalangan. Tiap-tiap kali menjelang tibanya Hari Raya, Deepavali, Krismas, Tahun Baru dan Tahun Baru Cina kenderaan berpesta di jalan raya. Dan media televisyen, radio dan sebagainya pula asyik menyiarkan video, gambar dan perangkaan mengingatkan orang ramai supaya berwaspada agar tidak terlibat dalam kemalangan.  Berita berkisar nahas bas ekspres juga seolah tiada kesudahan. Bertahun-tahun kita mendengar kes kemalangan maut melibatkan bas ekspres. Yang menjadi tanda tanya bagaimana bas yang mempunyai banyak saman boleh dibenarkan memperbaharui cukai jalan raya? Ini jelas menunujukkan pemantauan lemah oleh pihak-pihak yang berwajib. Kita tidak mahu saban tahun berpuluh-puluh nyawa melayang dengan sia-sia. Hakikatnya ramai yang tidak mengambil berat tentang keselamatan di jalanraya. Tali pinggang keledar dianggap menyusahkan, dan hanya akan ditarik apabila ternampak kelibat anggota polis trafik di hadapan. Juga pasti di antara kita yang pernah melihat pemandu yang memegang telefon bimbit sambil memandu.

Mereka yang melakukan perkara sedemikian selalunya akan memandu tidak tentu hala, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Perbuatan sebegini hanya akan menyusahkan pemandu-pemandu lain, mereka jelas mementingkan diri serta tidak bertimbangrasa. Ramai pemandu juga yang tidak memberi sebarang isyarat jika hendak menukar haluan samada ke kira atau kanan. Ini boleh mengejutkan pemandu lain jika tiba-tiba terdapat kereta yang masuk di lorong di depannya. Memandu terlalu laju dan melebihi had laju yang dibenarkan juga telah lama menjadi masalah di negara ini. Yang bermotosikal pula seolah-olah tidak menghargai nyawa. Padahal motosikal adalah yang paling berisiko tinggi untuk mengalami kemalangan. Topi keledar dianggap remeh atau jika dipakai sekalipun, tidak diikat kemas seolah-olah kepala mereka tidak akan pecah apabila berlaku kemalangan. Anak-anak muda terutamanya, gemar menunjukkan aksi-aksi berani mencelah sana sini dan bersuka ria di atas motor. Ada yang kelihatan terlalu muda untuk memiliki lesen menunggang motosikal.

Ibubapa memainkan peranan yang besar dalam hal ini. Anak-anak yang masih kecil terutamanya, mudah meniru atau mengikut tabiat ibubapanya. Jika si ayah atau ibu memandu secara berhemah dan sentiasa mementingkan ciri keselamatan jalanraya, kemungkinan mereka juga akan jadi sedemikian. Perkara pertama bagi yang beragama Islam apabila memasuki kenderaan tentulah membaca doa menaiki kenderaan. Lama-kelamaan ia akan menjadi suatu kebiasaan bagi anak-anak sehingga mereka tidak perlu diperingatkan lagi. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak remaja pula, janganlah mudah sangat menyerahkan kunci motosikal. Pastikan dia tahu bahawa anda sangat mengambil berat tentang keselamatan semasa di jalan raya, dan dia tidak akan dibenarkan lagi menunggang motosikal jika didapati menunggangnya secara berbahaya.

Ada juga yang membawa kenderaan di dalam keadaan yang tertekan dengan masalah. Fikiran yang kusut bukanlah masa yang terbaik untuk memandu. Cuba selesaikan dahulu masalah yang dihadapi atau setidak-tidaknya cuba tenangkan fikiran. Terlalu memikirkan masalah boleh menghilangkan tumpuan pada pemanduan dan mengakibatkan kemalangan dan kematian. Memang benar semua orang mempunyai masalahnya sendiri. Namun jangan terlalu mengikut perasaan sehingga menjejaskan tumpuan. Sikap takabbur juga perlu dijauhi bukan sahaja semasa di jalanraya malah sepanjang masa. Sikap suka menunjuk dengan aksi-aksi berani mahupun menonjolkan diri dengan memandu laju elok dielakkan sama sekali. Perasaaan rendah diri dan menghormati orang lain perlu disemai di dalam diri. Justeru, kita perlu bersopan santun dan menghormati orang lain hatta di atas jalanraya sekalipun. Ini termasuklah memberi laluan kepada mereka yang melintas di tempat yang sepatutnya.

Perasaan perlu diurus secara bijak. Menurut Al-Imam al-Ghazali hati disifatkan mempunyai empat peranan; sebagai akal, roh, nafsu dan darah daging itu sendiri. Terdapat tingkatan-tingkatan nafsu yang dibahaskan. Setiap tingkatan nafsu itu membawa bersamanya perasaan individu manusia. Jika perasaan tidak dikenal-pasti dan tidak diuruskan dengan baik, maka besar kemungkinan individu itu akan mendapati dirinya menjadi hamba nafsu yang mencetuskan perasaan tidak baik dan dizahirkan melalui perbuatan yang juga tidak baik sifatnya.

Mastura bt Mohd Zain
Pegawai Penyelidik
13 Mei 2008

Artikel ini diambil dari


Tiada ulasan: