Jumlah kes rogol yang dilaporkan di negara kita telah bertambah dua kali ganda dari tahun 2003 ke 2007. Berdasarkan kajian yang dibuat, terdapat 1,279 kes pada tahun 2003. Jumlah ini telah meningkat kepada 3,098 kes pada tahun 2007. Namun harus diingat angka yang dilaporkan hanya melambangkan jumlah kes yang dilaporkan. Dalam banyak keadaan, kes rogol biasanya tidak akan dilaporkan kerana banyak sebab. Menurut Dr. D Prema dari Women's Centre for Change (WCC) Pulau Pinang, berdasarkan pengalaman, hanya 20 orang mangsa sanggup tampil dan berani untuk membuat laporan. Kenyataan tersebut dibuat semasa beliau berucap di seminar "Understanding and Supporting Rape Survivors".
Baru-baru ini kita sekali lagi dikejutkan dengan laporan akhbar tentang seorang gadis berusia 15 tahun telah dirogol secara bergilir-gilir dan beramai-ramai oleh 15 orang lelaki di Sungkai, Perak. Sebelum itu pun kita telah dihidang dengan banyak laporan di dada-dada akhbar berkenaan kes rogol yang sudah seperti menjadi halwa telinga kita setiap hari. Apakah punca sebenar kepada berlakunya jenayah rogol yang semakin menggila ini? Persoalan ini sememangnya tidak akan selesai selagi manusia yang bernafsu binatang ini tidak sedar betapa besar kesan perbuatan terkutuknya itu bukan sahaja kepada mangsa malah bertentangan dengan norma-norma kemanusiaan. Dalam kebanyakan kes, mangsa pada mulanya hanya bertemu dengan 'pemangsa' atas dasar suka sama suka sama ada pertemuan mereka itu adalah lanjutan dari sembang-sembang di internet atau lebih popular dengan panggilan sembang maya ataupun perkenalan fizikal. Hari ini, kita dilambakkan dengan pelbagai laman web sosial yang membuka ruang untuk pengguna internet bersembang-sembang. Contohnya seperti Facebook, Twitter dan lain-lain. Selain itu, ruang sembang juga mempunyai pelbagai 'saluran' yang berunsurkan seks.
Ramai rakyat Malaysia lalai dengan menghabiskan banyak masa di hadapan komputer dan mendedahkan diri mereka kepada laman-laman web sosial ini yang akhirnya boleh menjurus kepada berlakunya amalan seks bebas dan mereka yang lemah, menjadi mangsa rogol. Selain itu, saya percaya, bagi yang beragama Islam, mereka tidak akan terlibat dalam perbuatan keji itu jika mereka mempunyai iman yang teguh kerana sudah jelas di dalam Islam bahawa perzinaan itu haram hukumnya. Daripada perzinaan itu juga membawa kepada kesan buruk kepada masyarakat. Larangan zina ini jelas termaktub di dalam al-Quran dalam Surah al-Israk ayat 32. Kebanyakan mereka yang terjerumus kepada dosa zina adalah mereka yang menurut hawa nafsu semata-mata tanpa memikirkan balasan seksa yang bakal mereka tanggung di akhirat kelak. Antara kerosakan yang lebih dahsyat apabila berlakunya perzinaan ialah banyak berlaku kes hamil luar nikah dan yang lebih teruk pasangan yang tidak bertanggungjawab ini sanggup membuang anak luar nikah yang dilahirkan sehingga banyak kes dilaporkan tentang kematian bayi di tong-tong sampah, dalam semak belukar bahkan ada juga yang ditemui di dalam tandas. Alangkah hina sikap manusia sedangkan haiwan yang melahirkan anak sanggup menjaga anak mereka, inikan pula kita manusia yang dikurniakan akal fikiran. Betapa hinanya manusia yang tergolong dalam kelompok ini.
Kanun Keseksaaan (Penal Code) buat masa ini menetapkan pesalah yang disabitkan di bawah seksyen 375 akan dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan rotan. Saya kira sudah tiba masanya pihak-pihak berkenaan seperti Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia mengkaji semula hukuman sedia ada. Jika perlu, hukuman yang lebih berat perlu dikenakan kepada mereka yang disabitkan kesalahan kerana bagi saya, perogol-perogol ini adalah sehina-hina makhluk di muka bumi ini. Kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih kecil, awasilah supaya tidak menjadi mangsa kerakusan syaitan yang bertopengkan manusia ini. Kepada yang mempunyai anak-anak yang meningkat remaja, didiklah tentang asas agama yang kukuh supaya mereka tidak mudah terdorong untuk melakukan aktiviti yang menjelekkan ini dan sentiasalah memantau aktiviti mereka. Jangan sudah terhantuk baru nak tengadah kerana pada waktu itu, nasi sudah menjadi bubur.
HANIF MOHSEIN MOHD. FAUZI
Ampang, Selangor
Utusan Malaysia
05 Mac 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan