Mengapa kita dikatakan kurang membaca? Adakah disebabkan pengaruh kajian membaca kebangsaan? Sejauh manakah kebenaran itu? Bolehkah ia dibuktikan dengan kajian pemerhatian sendiri?. Apakah kajian itu mengambil kira faktor-faktor mengapa keadaan sebegitu berlaku? Adakah kita perlukan kajian penanda aras ke atas budaya membaca kita berbanding dengan negara-negara yang mempunyai tahap membaca yang tinggi? Itu adalah antara persoalan yang berlegar-legar di fikiran penulis ketika melihat senario di kalangan masyarakat kita apabila menyentuh tentang budaya membaca.
Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa purata dua buah buku dibaca oleh rakyat Malaysia setahun merupakan nombor yang perlu dikaji dengan lebih mendalam. Angka itu masih boleh dipersoalkan walaupun negara telah menyaksikan bahawa penambahan jumlah pengunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini. Penganjuran pesta itu dikatakan telah mencapai matlamat apabila menerima kunjungan lebih 1 juta pengunjung. Atau penambahan pembaca buku-buku popular, tetapi seperti yang diucapkan oleh Datuk Hassan Ahmad ketika merasmikan Kelab Buku Kanak-Kanak Dewan Bahasa dan Pustaka pada 14 Julai 1979 dahulu bahawa bukan semua bahan bacaan boleh menjadikan sesebuah bangsa itu maju. Bahan bacaan perlu dipilih. Ini kerana membaca bahan-bahan yang sesuai dan bermutu adalah penting bagi perkembangan mental, perkembangan intelek individu. Kita perlu lebih kritis. Mengapa hanya dua buah buku secara purata dibaca oleh rakyat Malaysia dalam setahun? Tentunya bersebab. Daripada pemerhatian dan pembacaan penulis, didapati bahawa:
Membaca tidak menjadi budaya orang Malaysia
Faktor ini mungkin didorong oleh kesibukan masa yang diperuntukkan untuk bekerja. Sekurang-kurangnya dua jam atau lebih dihabiskan di atas jalan raya untuk pergi ke tempat kerja dan kembali ke rumah. Apabila sampai di rumah, penat dan letih. Mungkin juga kerana semasa di bangku sekolah, tidak ditekankan kepentingan membaca, kecuali buku-buku teks. Mungkin juga kerana pengaruh ibu bapa atau keluarga yang tidak menitikberatkan budaya membaca. Tidak pernah dihadiahkan buku, dan tidak pernah terfikir bahawa buku itu penting dan membaca itu penting. Mungkin juga kerana pengaruh media massa yang semakin menjauhkan penontonnya dengan buku, sebaliknya menjadikan artis itu sebagai idola utama mereka.
Pengaruh suasana dan faktor sekeliling
Mungkin telah menjadi amalan kita untuk membaca dalam keadaan sunyi. Seperti mana yang seringkali menjadi amalan di dalam sesebuah perpustakaan disuruh diam. Memang amalan itu tidak salah tetapi kesannya secara tidak sedar ialah kita turut terpengaruh untuk membaca di dalam keadaan sunyi. Kerana itulah agak sukar untuk kita membaca di dalam LRT, bas atau di tempat-tempat awam. Malah mungkin persepsi orang ramai bahawa orang yang membaca (terutamanya di tempat-tempat awam) adalah untuk menunjuk-nunjuk, dan memberikan gambaran ‘negatif’ bahawa pembaca itu ‘ulat buku’ yang tidak boleh dibuat kawan (kerana hanya berkepit dengan buku). Ulat buku mungkin dianggap antisosial atau antisukan. Persepsi-persepsi sedemikian amat berbahaya kerana ia akan menjauhkan buku dengan masyarakat.
Harga buku yang dianggap mahal
Mungkin ini juga antara faktor utama untuk tidak membaca. Harga buku yang mahal mungkin disebabkan oleh beberapa faktor lain seperti kadar tukaran wang asing yang tinggi yang menyebabkan harga buku import menjadi mahal, kos penerbitan dan percetakan yang tinggi, dan keengganan kita sendiri untuk keluarkan wang dari saku untuk membeli buku. Apatah lagi dengan kenaikan gaji kakitangan kerajaan, maka perbelanjaan perlulah dirancang dengan memasukkan elemen buku sebagai belanja wajib seperti mewajibkan makanan lain yang sentiasa dibeli.
Merasakan membaca tidak penting
Mungkin sifat untuk merasakan tidak ada kepentingan untuk membaca merupakan antara faktor utama rakyat Malaysia kurang membaca. Sama ada sebagai seorang bekas mahasiswa universiti atau bekas pelajar sekolah, kebanyakan daripada kita tidak mahu memegang buku apatah lagi membacanya. Ini juga satu kemungkinan. Hasil pemerhatian penulis, didapati amat kurang daripada mereka yang mahu membaca. Dan tidak ada satu perasaan gembira dan keseronokan untuk membaca. Sehingga seterusnya memberikan alasan kerana pengaruh masa (kerja) yang membatasi mereka daripada membaca. Mungkin kerana memikirkan bahawa buku tidak akan memberi sebarang faedah secara langsung kepada mereka, jika dibandingkan dengan perkara-perkara lain. Misalnya, dengan membeli kereta (atau bertukar-tukar kereta), secara langsung memberikan kepuasan kepada mereka dari segi nilai estetik dan kemewahan. Inilah antara persoalan yang perlu kita jawab terlebih dahulu dalam usaha kita untuk menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya.
KHAIRUSY SYAKIRIN HAS-YUN HASHIM
Pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Setiausaha Agung, Komuniti bukuonline.org
Tiada ulasan:
Catat Ulasan