24 September 2012

ISU PENDIDIKAN : PENTINGNYA SUBJEK SEJARAH DIPERKASA


Rencana ini ditulis oleh
PROF. DATUK DR. SIDEK BABA
Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk memperkasa subjek Sejarah amat tepat sekali. Isu-isu keperluan pendidikan sejarah, kurikulum dan tafsirannya, metodologi pengajaran-pembelajaran yang berkesan dan isu mewajibkannya dalam sistem persekolahan kita adalah hal-hal yang sewajarnya diberi perhatian. Sejarah sifatnya mengulangi. Apa yang berlaku pada masa lalu diulangi pada masa kini dan mungkin diulangi pada masa depan. Sifatnya merentasi masa dan zaman. Mempelajari dan mengkaji sejarah memungkinkan manusia mengetahui sebab mengapa sesuatu itu berlaku pada masa lalu dan mengapa ia tidak harus diulangi pada masa kini dan akan datang.

Sejarah kejadian 13 Mei 1969 umpamanya banyak mendedahkan faktor ideologi, pertentangan ras, kemelut sosio-ekonomi, pemahaman budaya dan konflik politik yang menyebabkan muafakat hilang dan akhirnya anarki terjadi. Mengkajinya boleh membawa kesedaran dan keinsafan kepada kita untuk memperbaiki kelemahan yang ada supaya asas perpaduan yang dibina harus diperkukuh dengan kerjasama yang baik, persefahaman yang tinggi dengan kualiti pengurusan negara dan rakyat yang berintegriti. Kealpaan kita mengkaji sejarah boleh menyebabkan hilang ibrah dan sumber teladan dan menyebabkan peristiwa yang sama boleh berulang lagi. Harga perpaduan, tolak ansur dan persefahaman dalam masyarakat majmuk adalah terlalu tinggi. Ia perlu dipelihara dengan etika kenegaraan secara telus dan tulus.

Ibarat sebuah kereta mempunyai cermin sisi dan belakang untuk dilihat supaya pemanduan ke hadapan terarah. Begitu juga hakikat sejarah, kita tidak boleh hanya melihat ke hadapan, melupakan peristiwa kini dan tidak reflektif terhadap sejarah masa lalu. Apa yang dicapai kini adalah himpunan pengalaman dan percubaan yang panjang dan berterusan.

Sekiranya generasi muda umpamanya menolak kesilaman dan mengambil sikap yang lalu itu kolot dan ketinggalan zaman dan yang terkini itu sebagai moden dan maju, sejarah menunjukkan bahawa tanpa adanya kesinambungan perjalanan sejarah dan budaya manusia akan menjadi kacau. Sebab itu sejarah sifatnya dinamik perkembangannya kerana watak dan kemajuan manusia sedemikian. Tetapi jalur sejarah dan budaya sering respons terhadap perubahan teknologi, ilmu dan zaman. Namun asas-asas fundamental pada diri manusia tetap memerlukan nilai-nilai yang fitrah. Dalam konteks bina negara, jati diri dan kewatanan adalah sesuatu yang amat penting. Ia memberi bentuk dan sifat kepada watak warganegara Malaysia seperti yang terangkum dalam Rukun Negara.

Rukun Negara adalah falsafah hidup orang Malaysia supaya kepercayaan kepada Tuhan menjadi sesuatu yang utama. Kesetiaan kepada raja dan negara menjadi lambang muafakat dan perpaduan. Keluhuran Perlembagaan sebagai sumber rujuk yang utama dalam negara. Kedaulatan undang-undang sebagai asas keadilan. Kesusilaan sebagai etika penting membangun watak dan peribadi. Jika Rukun Negara dapat difahami dan dihayati ia bakal membentuk jati diri Malaysia. Memiliki jadi diri Malaysia tidak bermakna kita anti-Barat dan Timur. Pada dunia Barat dan Timur terdapat aspek-aspek berbanding yang memberi manfaat yang baik dan boleh diperkongsi. Kelahiran sesebuah tamadun antara faktornya adalah kesediaan melakukan adaptasi dan penyesuaian supaya ia diolah menjadi acuan kita sendiri.

Mempelajari dan memahami sejarah ibarat meneliti peristiwa zaman demi zaman yang sifatnya berkembang dan berubah. Yang sangat penting dikaji adalah perkembangan dan perubahan diri manusia. Apakah warga Malaysia berada dalam senario menghormati asas-asas fundamental dalam proses bina negara dan reseptif terhadap perubahan semasa yang sifatnya menyumbang. Aspek terpenting dalam memperkasa subjek Sejarah adalah penyusunan kembali kurikulumnya. Kurikulum Sejarah harus sifatnya merangkumi dan merentasi. Sejarah Malaysia tidak saja memberi latar sejarah Melaka dan sejarah sebelum merdeka tetapi juga sejarah selepas merdeka di mana semua pihak memainkan peranan menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

Bila generasi hari ini mengkaji dan memahami sejarah Malaysia, mereka memiliki rasa kepunyaan dan kebanggaan terhadap negara ini kerana mereka bukan sahaja diberikan kefahaman mengenai permulaan negara ini, cabaran yang dihadapi, cabaran sejarah Melaka yang menjadi landasan sejarah Malaysia, muafakat pemimpin berbilang kaum dalam mencapai kemerdekaan, prinsip-prinsip dan hikmah di sebalik terbinanya Perlembagaan Malaysia, tolak ansur yang terjadi sehingga Malaysia mencapai ke tahap negara yang sedang maju seperti hari ini. Sejarah bukan sekadar catatan tarikh sesuatu peristiwa atau tokoh-tokoh berjasa dalam zamannya tetapi setiap yang berlaku dan melakar peta sejarah harus dikaji dan diteliti mengapa dan bagaimana ia berlaku dan bagaimana sesuatu masalah diselesaikan. 

Sejarah Malaysia suatu ketika dulu membawa cara tafsiran penjajah dan sifatnya Euro-centeric. Kemudian ia difokuskan kepada tafsiran mengikut jendela Malaysia. Orientasi pentafsiran ini penting supaya perjalanan sejarah sejak lebih setengah abad yang lalu ditafsir berasaskan kaca mata orang Malaysia.

Apabila tafsiran ini dibaca oleh anak murid, para pelajar dan generasi muda ia mencetuskan kesedaran dan keinsafan bahawa Malaysia adalah sebuah negara unik dari sudut latar, penyertaan warganegaranya dalam bina negara, asas toleransi yang membawa kebijaksanaan, pemahaman terhadap asas-asas fundamental dalam Perlembagaan, merasakan Rukun Negara sebagai suatu pedoman perjuangan dan akhirnya bakal mencetuskan rasa kewatanan yang tinggi. Mencetuskan kesedaran ini tidaklah suatu hal yang mudah. Ia memerlukan metodologi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Pengajaran dan kuliah menjadi salah satu cara dalam menyampaikan bahan-bahan sejarah tetapi kerja-kerja lapangan dalam bentuk penelitian dan kajian harus dikembangkan supaya di peringkat awal lagi anak-anak memiliki kesedaran sejarah sama ada tempatan, negeri atau negara. Ia dibuat dalam bentuk jurnal, kertas-kertas dapatan dan carian supaya hal-hal penting yang berlaku dalam negara direkod dan diperkongsi.

Lebih-lebih lagi dengan bantuan teknologi terkini banyak perkara yang boleh dirakam, dianalisis, ditafsir dan diperkongsi supaya para pelajar memiliki kesedaran sejarah yang tinggi. Generasi yang buta sejarah sering tidak menghargai apa yang berlaku. Contohnya kemajuan yang terbina kini tidak berlaku secara tiba-tiba atau kebetulan. Ia akibat perancangan, pemikiran dan strategi bijaksana yang terjadi dan menyebabkan generasi hari ini berada dalam iklim sosial dan kehidupan yang jauh lebih baik berbanding situasi di awal kemerdekaan dulu. Yang baik itu seharusnya dijadikan tradisi, manakala landasan yang berguna itu harus diteruskan walaupun dengan pendekatan berbeza untuk respons cabaran yang tidak serupa. Asas-asas fundamental dalam bina negara harus dipertahankan dan dikembangkan dengan strategi baru supaya perubahan terus berlaku. Justeru seperti subjek Bahasa Melayu, subjek Sejarah seharusnya menjadi mata pelajaran wajib. Kurikulum, pentafsiran, buku teks, bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran, memanfaatkan teknologi baru dalam memahami sejarah, kaedah pengukuran yang lebih komprehensif mampu menjadikan subjek Sejarah itu menarik dipelajari.

Tujuannya untuk menimbulkan kesedaran jati diri dan kewatanan supaya generasi muda menginsafi, memahami dan menghayati sejarah adalah penting supaya kesayangan kepada negara terbina.

Sumber :
Utusan Malaysia
24 September 2012

23 September 2012

ISU UMUM : SUARA HATI TUN DR MAHATHIR



Saya sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya- perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri.

Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka. Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat memahami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah. Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri mereka. Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang lain.

Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta dan orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap. Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat pohon kelapa untuk dapat buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun.

Tanpa bertanya sedikitpun akan pandangan orang Melayu sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana membalas budi Siam. Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu diarah supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan. Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.

Kemudian, British kembali dan raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika tidak tandatangan perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka. Cadangan Malayan Union British bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik British. Dalam keadaan orang Melayu begitu miskin, daif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka. Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanahair. Tidak ada masa depan bagi mereka.

Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. Mereka bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan Union British. Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka. Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan.

Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan. Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang. Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.

Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957. Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa dijajah. Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah. Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi dunia.

Semua ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka. Mereka yang kecewa kerana gagal merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini.

Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain. Sokongan orang lain ini tidak diberi secara percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.

Siapakah yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut.

Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka. Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka. Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.

Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri.

SUMBER
Utusan Malaysia
23 September 2012

ISU BELIA : MENGURUS ASPIRASI ANAK MUDA


Rencana ini ditulis oleh :
KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN


Perdana Menteri dijangka membentangkan Bajet 2013 minggu hadapan. Mungkin secara kebetulan, pembentangan belanjawan kali ini dilakukan hampir serentak dengan pilihan raya kampus (PRK) yang sedang berlangsung minggu ini dan minggu hadapan. Pastinyalah, dalam pada mahasiswa yang terlibat aktif dalam bidang kepimpinan peringkat kampus, akan turut menyentuh serba sedikit tentang isu-isu nasional, di samping mengetengahkan isu-isu 'dalam kampus' yang dirasakan mampu menarik minat dan undi rakan-rakan mahasiswa lain. Sesuai dengan suasana PRK pertama pasca pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kali ini, penulis merasakan lebih banyak 'isu nasional' yang ditarik masuk dan dibincangkan di dalam siri kempen mereka yang menawarkan diri.

Tidak dapat tidak, ini juga satu perkembangan yang sangat positif, sesuai dengan tahap kematangan kelompok mahasiswa yang dikehendaki oleh masyarakat umum. Setakat ini tidak ada insiden-insiden besar yang berlaku. Ternampak jelas kelompok mahasiswa menepati harapan masyarakat untuk menjadi kumpulan yang matang dan mampu berfikiran jauh. Mungkin kalau adapun insiden penyebaran surat layang yang sememangnya menampakkan bahawa budaya fitnah dan adu domba tidak berakhir di luar kampus. Di sinilah kepentingan para mahasiswa untuk melakukan penyaringan maklumat sebelum menerima bulat-bulat sebarang berita yang belum tahu tahap kebenarannya. Bersesuaian juga dengan suasana, masa dan keadaan, sudah tiba masanya untuk mahasiswa berbicara isu yang lebih besar dan dekat dengan kehidupan mereka.

Ia boleh sahaja menyentuh semua perkara, baik pengurusan ekonomi, peluang pekerjaan, agenda latihan dan pembangunan diri kumpulan belia, pendidikan, pembangunan sosial dan sebagainya. Ibaratnya, mahasiswa mempunyai seluas-luas ruang untuk membincang dan memperdebat isu yang ada di luar kampus. Penulis masih ingat, selepas sahaja pembentangan Bajet 2011, antara isu yang dibangkitkan oleh beberapa blog dan portal yang menyatakan bahawa bajet tersebut tidak mengisi aspirasi dan impian anak muda. Seorang Ahli Parlimen mewakili Parti Islam se-Malaysia (Pas) dari Kedah, pantas memberikan pandangan bahawa orang muda sangat kurang diberikan perhatian di dalam belanjawan tahun tersebut. Ahli Parlimen tersebut lantas menyatakan bagaimana peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sangat rendah dan tidak bersesuaian dengan kedudukan dan amanah besar untuk mendekati golongan muda.

Pemikiran simplistik demikian adalah satu cubaan mudah untuk memesongkan anak muda dengan hakikat sebenar penyediaan sebuah belanjawan yang komprehensif dan menyeluruh. Apakah seluruh kepentingan generasi muda Malaysia untuk tahun kewangan yang berikutnya hanya diletakkan di bawah satu kementerian sahaja? Sudah pasti tidak. Kepentingan generasi muda hampir sahaja diserap masuk ke dalam hampir semua kementerian yang ada di bawah jentera kerajaan. Sudah pasti, pengurusan fiskal yang bertanggungjawab, punya visi dan harapan untuk mengisi kepentingan generasi muda dan seluruh rakyat yang ada. Ini adalah pelan tahunan yang sentiasa sahaja ditunggu oleh rakyat, sekali gus menjadikan ia sebagai kayu ukur dalam menilai strategi pembangunan negara.

Bajet yang komprehensif, mampu menanggapi kepentingan semua segmen rakyat, pastinya mendapat reaksi yang positif. Majlis Belia Malaysia (MBM), sebagai contoh, dalam kenyataan yang dibuat oleh Presidennya baru-baru ini, menyatakan bagaimana organisasi tersebut mengharapkan agar ada peruntukan khas yang lebih besar dalam membangunkan peluang latihan lebih meluas untuk generasi muda. Secara khusus, MBM menginginkan agar kerajaan memberikan perhatian lebih berat terhadap kumpulan anak muda yang tertinggal secara akademik. Usaha mesti dilakukan untuk memastikan mereka mempunyai 'peluang kedua' sekali gus mampu menikmati taraf hidup yang lebih baik.

Konstruktif

Cadangan dan buah fikiran beginilah yang wajar datang daripada minda anak muda dan kumpulan belia. Pandangan yang lebih proaktif, yang tidak semata-mata berada di atas jalur politik. Pastinya lebih meriah dan konstruktif, sekiranya kalangan kepimpinan mahasiswa yang baru sahaja dipilih, memulakan perbincangan secepat mungkin dalam memberikan idea dan pandangan bernas mengenai bajet yang akan datang. Dengan sendirinya, imej kepimpinan mahasiswa tidak lagi dianggap sebagai 'jagoan kampus', tetapi lebih daripada itu mampu menjadi 'jaguh rakyat' dalam mengemukakan pandangan. Penulis yakin, kepimpinan Perdana Menteri sekarang sememangnya sangat-sangat terbuka dengan pandangan dan buah fikiran mahasiswa. Pandangan dangkal yang mengatakan bajet dan belanjawan sebelum ini tidak menepati kehendak anak muda adalah sesuatu yang sangat tidak berasas.

Seharusnyalah, kepentingan orang muda tidak sahaja dilihat dari sudut peruntukan kepada KBS semata-mata. Bagaimana dengan peruntukan-peruntukan kementerian lain, yang turut memberikan penekanan dan kelebihan untuk orang muda? Tidakkah itu juga melambangkan komitmen kerajaan untuk memberikan yang terbaik kepada generasi muda dan belia? Orang muda, mahasiswa dan belia perlu melihat pembentangan bajet kali ini sebagai langkah mereka mengorak langkah proaktif, sekali gus menjadi rakan strategik kepada pembangunan. Isu orang muda sememangnya pelbagai, bukan sahaja soal peluang pekerjaan pasca pendidikan di universiti bahkan soal kos sara hidup tinggi yang turut menjadi beban kepada orang muda.

Kalau kita semua masih ingat, antara punca yang menjadi pemangkin kepada apa yang dipanggil London Riot tempoh hari adalah kewujudan futureless youth - anak muda yang tidak punya masa hadapan. Ia diburukkan lagi dengan beberapa masalah sosial lain yang menimpa sebuah negara maju yang pernah sahaja menjadi empayar dunia tersohor. Antara masalah sosial yang turut terkait - hakikat bahawa anak muda di United Kingdom yang terpinggir, pencapaian institusi pendidikan yang merosot, isu pengangguran, kekurangan peluang latihan dan sebagainya. Nyata, negara kita telah berjaya mengurus isu orang muda dengan berkesan. Peluang pekerjaan boleh dikatakan sangat terbuka, peluang latihan dan pembangunan diri tersusun (baik dalam bidang akademik mahupun vokasional), pencapaian institusi pendidikan yang baik - semuanya menjadi angkubah jelas bahawa orang muda punya peluang dan harapan yang besar dalam kepimpinan sedia ada.

Ia diperteguh lagi dengan sikap kepimpinan yang sangat komited mendekati orang muda. Media baru digunakan sebaik mungkin sebagai wadah mendekati pemikiran orang muda. Malahan, Parlimen Belia juga diwujudkan bagi memberi peluang orang muda mengemukakan pandangan dan pendapat. Peluang untuk orang muda melibatkan diri dalam bidang sukarelawan, sekali gus memberi khidmat kepada masyarakat dan negara juga terbuka luas. Penulis merasakan, strategi positif untuk mengisi harapan generasi muda seperti yang wujud di dalam Bajet 2012 akan diberikan pengukuhan dalam pembentangan kali ini. Insentif cukai yang diberikan kepada sektor swasta dalam menyediakan peluang internship, penyediaan biasiswa dan penglibatan di dalam ekspo kerjaya di peringkat antarabangsa wajar diberikan pengukuhan. Dana untuk generasi muda memperkembang bakat dalam industri kreatif juga sewajarnya diberikan pengukuhan.

Di dalam Bajet 2012, di bawah perenggan 'Belia Penggerak Masa Hadapan', beberapa produk berkait generasi muda telah diberikan penekanan. Antaranya: RM320 juta untuk peneguhan program latihan, kepimpinan, keusahawanan, penubuhan syarikat modal teroka MyCreative Venture Capital dan RM200 juta untuk Program Strategic Action for Youth. Penulis suka mencadangkan agar kesemua perbelanjaan ini diberikan audit pelaksanaan yang menyeluruh; sama ada ia benar-benar sampai dan terlaksana di peringkat paling bawah. Sesuai dengan kepentingan bajet kali ini, penulis yakin lebih banyak akan diusahakan untuk orang muda dan generasi belia. Percayalah, sebagai sebuah kerajaan yang benar-benar mampu merasai sentimen dan kehendak generasi muda, lebih banyak usaha akan diberikan penekanan dalam aspek ini. Menjadi harapan kita agar semua kepimpinan mahasiswa yang baru diberikan amanah, untuk benar-benar menjadi 'suara rakyat' dalam mengemukakan pandangan strategik kepada kerajaan.

Suara mahasiswa mungkin sahaja akan menjadi lebih 'keramat' sekiranya ia tidak terlalu diberatkan dengan sentimen politik. Suara mahasiswa yang independen, berpandangan jauh, konstruktif dan mendepani isu rakyat akan lebih dihormati dan dihargai.

SUMBER
Utusan Malaysia
23 September 2012

ISU UMUM : DEMAM GANGNAM STYLE


Rencana ini ditulis oleh :
Johardy Ibrahim


Sana sini orang ghairah memperkatakan perihal sensasi tarian Oppa Gangnam Style. Malah selepas menjaringkan gol dalam perlawanan futsal kelmarin, rakan di tepi padang meminta saya menari aksi kuda halimunan ciptaan Psy atau Park Jae-sang. Saya buat muka hairan. Malas nak layan. Bekas bos, Datuk Johan Jaafar mengaku menonton video muzik Gangnam ini lebih 20 kali. Saya mungkin tidak sampai tujuh kali, itu pun sebentar tadi perlu menonton semata-mata untuk kajian artikel ini. Saya percaya anda, walaupun sekadar memiliki akses Internet di Kafe Siber paling tidak pun pasti pernah menontonnya sekali.

Anda tentu terpesona walaupun tidak mengerti bahasa Korea (kecuali korus bahasa Inggeris: Sexy Lady) kerana rentaknya memang 'menangkap' dan tarian kuda halimunan Psy yang diistilahkan signature dance move (langkah tarian tulen) yang lawak untuk ditiru. Fenomena luar biasa Oppa Gangnam Style ini dianggap menyamai sensasi tarian Moonwalk yang dipersembahkan pertama kali oleh Michael Jackson pada 25 Mac 1983. Ia adalah langkah tarian yang memberi gambaran penari ditarik ke belakang ketika cuba berjalan ke hadapan. Moonwalk diiktiraf sebagai teknik tarian paling dikenali di dunia.

Apakah tarian kuda halimunan ini bakal berada di takhta yang sama dengan Moonwalk? Ini memerlukan kajian sosio-budaya pop yang teliti. Harus diperingatkan sekali lagi terutama kepada generasi bawah usia 16 tahun hari ini, Gangnam bukan 'satu-satunya' trend muzik tarian yang meledak, merasuk ke seluruh dunia dari Korea ke Amerika dan Eropah, apatah lagi Malaysia yang memiliki ramai pencinta K-Pop. Seni muzik dan tarian itu sendiri sifatnya dinamik, sentiasa berubah-ubah mengikut persekitaran dan kemajuan semasa. Generasi bawah usia 16 tahun tentu masih segar ingatan kepada kegilaan menari Shuffling. Tarian ini belum berkubur dan masih popular ke hari ini. Sementara tarian kuda halimunan Gangnam tiada sempadan usia peminatnya, tarian Shuffling ini mengecil skop kepada anda yang bukan setakat muda tetapi berkemampuan daripada segi stamina dan ringan kaki untuk melakukan gerak tari kaki, selain masih nampak cool mengenakan seluar jeans skinny.

Daripada konteks di atas, itulah perbezaan jelas mengapa Gangnam pantas merebak popularitinya dan dianggap 'sesuai untuk semua'. Penampilan Psy dengan pakaian sut kemas yang beliau sebut dress classy, dance cheezy (pakaian kemas, menari kelakar) adalah imej yang senang diterima oleh semua lapisan usia, budaya dan agama. Selain itu, badan gempalnya menyebabkan Psy yang disifatkan suatu identiti anti-K-Pop kerana lazimnya artis K-Pop tampil dengan badan kurus dan hidung mancung. Penampilan Psy disifatkan gambaran sebenar rupa orang Korea, bukan artis K-Pop yang khabarnya sering ke klinik pembedahan plastik. Selain Shuffling yang meletup tahun lalu dan Gangnam sejak Julai lalu, trend muzik tarian boleh dijejaki dari tahun 1960-an. Mengikut beberapa tulisan pengkaji, tarian Twist dipersetujui sebagai trend tarian muzik pertama di dunia.

1. The Twist (1960-an)

Ia dikatakan berakar umbi dari tarian hamba abdi Afrika yang dibawa ke Amerika Syarikat dipanggil 'wringin' and twistin' pada 1890an. Pada 1960-an, seiring dengan ledakan budaya pop di Amerika iaitu menerusi muzik rock and roll, tarian Twist menjadi kegilaan ramai. Ini didorong oleh lagu The Twist dendangan Chubby Checker pada 1960 disusuli lagi dengan Let's Twist Again pada 1961. Jika anda berusia bawah 16 tahun, sila ke Youtube dan taip "P Ramlee Bunyi Gitar'' iaitu dari filem 3 Abdul terbitan tahun 1964. Bukan P Ramlee mencipta tarian Twist. Tetapi sekadar contoh. Sambil P Ramlee menyanyi, saksikan aksi empat penari. Filem ini menjadi faktor Twist meletup di Malaysia ketika itu. Satu lagi klip video wajib tonton ialah ''Malam Pesta Muda Mudi" nyanyian Saloma dari filem Nasib Do Re Mi terbitan 1966. Aksi Twist turut dipaparkan, terutama oleh watak 'Pak Maon' lakonan Mahmud June. Awas, berderai air mata anda ketawa nanti!

2. Disco (1970-an)

Bermula di Philadelphia, genre ini disifatkan sebagai penentangan terhadap muzik rock and roll. Tarian ini paling diingati menerusi filem Saturday Night Live, dengan gerak tari John Travolta kekal sebagai ikonik sehingga ke hari ini.

3. The Nutbush (1970-an)

Ditarikan bersama lagu Tina Turner berjudul 'Nutbush City Limits', merupakan tarian berbentuk barisan dengan gerak tangan dan kaki mengikut korus lagu.

4. Breakdance (1980-an)

Ia melibatkan aksi tarian menyerupai atlet akrobat atau sarkas. Ia pernah diharamkan persembahannya di khalayak umum di negara ini ekoran banyak kes anak-anak muda yang mencuba tarian berpusing kepala patah tengkuk dan mati. Hari ini, tarian ini dikenali sebagai B-boying dan telah menjadi satu acara peraduan tarian antarabangsa yang mana dua pasukan akan berentap di atas pentas, memaparkan gerak tari yang tangkas dan bengis.

5. Robot (1980-an)

Satu elemen dalam tarian Breakdance ialah Robot. Ia dipopularkan oleh Michael Jackson menerusi video Dancing Machine dan Billie Jean. Tidak lama dahulu, pemain bolasepak England, Peter Crouch mengembalikan populariti tarian itu semasa meraikan kejayaannya menjaringkan gol.

6. The Cabbage Patch (1987)

Ia adalah tarian yang mana anda menggenggam penumbuk, tangan hampir ke dada dan digerakkan secara berpusing serta bahu digerakkan. Ia pertama kali diperkenalkan dalam filem The Cabbage Patch tahun 1987. Sering kali dipaparkan dalam filem masa kini untuk mengisahkan zaman 80-an.

7. The Locomotion (1988)

Lagu ini agak istimewa kerana ia melangkaui tiga generasi penyanyi berbeza dan kesemuanya 'meletup'. Pertama kali ia dinyanyikan oleh Little Eva pada 1962, diikuti Grand Funk Railroad pada 1974 dan Kylie Minogue pada 1988. Lirik lagunya sendiri memang mengisahkan tarian dan ia menjadi trend. Namun, ramai berpendapat lagu itu sendiri memiliki kekuatan berbanding tarian.

8. Achy Breaky Heart (1992)

Ini juga adalah lagu tarian sebaris yang dianggap tarian koboi (country music) paling popular. Didasarkan dari lagu berjudul sama nyanyian Billy Ray Cyrus (bapa Miley Cyrus). Lazimnya penari memakai topi, jeans dan but koboi.

9. Macarena (1995)

Macarena adalah lagu tarian berbahasa Sepanyol dendangan Los del Rio. Ia diiktiraf sebagai satu daripada lagu ikonik bagi dekad 1990-an. Lagu ini berada dalam carta Hot 100 selama 60 minggu, penguasaan terlama di kalangan lagu nombor satu (sebelum rekod itu dipecahkan 15 tahun kemudian oleh Adele dengan lagu Rolling In The Deep selama 65 minggu).

10. Ketchup Song (2002)

Lagu berbahasa Sepanyol ini turut dikenali sebagai lagu ''I say le heh'' atau ejaan sebetulnya, Asereje dendangan kumpulan Las Ketchup.

SUMBER
Utusan Malaysia
23 September 2012

ISU UMUM : BANTUAN DANA GEORGE SOROS "TIDAK" PERLUKAN BALASAN


Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI


Mereka yang masih ingat kesan krisis ekonomi pada 1990-an tentu ingat nama George Soros yang digelar penyangak mata wang kerana menyebabkan krisis kewangan dunia semata-mata mahu menambah kekayaan peribadi. Soros ketika itu didakwa berjaya merosakkan ekonomi berpuluh negara termasuk menjatuhkan mata wang Pound Sterling United Kingdom, beberapa ekonomi utama Eropah dan memusnahkan hidup jutaan rakyat seluruh dunia. Namun, Barat tetap mengangkat Soros sebagai seorang pejuang hak asasi manusia kerana dikatakan telah menderma sehingga AS$8 bilion (RM24.58 bilion) antara 1979 dan 2011 untuk program kesihatan, pendidikan serta perjuangan demokrasi. Dengan kekayaan yang dikumpulkannya melalui pelbagai kaedah, Soros menaja bermacam bentuk gerakan 'demokrasi' yang berselindung di sebalik nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh dunia melalui beberapa saluran termasuk Open Society Institute (OSI) yang dipengerusikannya.

OSI yang kini ditukar kepada Open Society Foundations (OSF) telah bertapak di lebih 70 negara yang membentuk jaringan yang amat besar melalui aktiviti NGO khususnya atas nama hak asasi manusia. Antara fahaman dan perjuangan hak asasi yang disokong melalui OSF termasuk hidup bebas, menghalalkan dadah, menentang peruntukan undang-undang dan banyak lagi. Pengaruh Soros ke atas media antarabangsa juga tidak boleh disangkal dengan Stesen TV Fox News di AS pernah melaporkan lebih 30 organisasi media menerima 'bantuan' daripada beliau bagi memastikan kandungan berita mengikut percaturannya. Di luar AS pula, nama Soros turut dikaitkan sebagai antara individu dan kumpulan yang membiayai gerakan mengguling beberapa kerajaan Islam di Asia Barat dan Afrika Utara ketika rusuhan Arab Spring dan kini turut dikaitkan dengan agenda menukar kerajaan di beberapa negara Islam dan negara rantau Asia.

Selain itu, dana asing daripada pertubuhan seperti OSF juga dikesan membantu gerakan pemikiran liberal khususnya budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kebebasan bersuara mutlak ala Barat serta melemahkan pengaruh Islam. Bagaimanapun, negara seperti China, Iran, Jerman, Perancis, Cuba, Jepun, Korea dan Thailand merupakan antara yang memantau dan menyekat bantuan dana mahupun campur tangan asing yang digerakkan melalui pertubuhan seperti OSF. Malangnya, NGO dan gerakan tertentu di Malaysia pula dikesan menerima dana asing khususnya dari Barat untuk gerakan memburukkan kerajaan sedia ada, menimbulkan keresahan rakyat, mempersenda agama dan kaum, serta mempertikai perjanjian sosial sejak merdeka. Antara yang disyaki menerima dana asing, termasuk daripada OSF, adalah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mengadakan beberapa demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur sebelum ini.

Awal bulan ini pula, sebuah NGO tidak berdaftar, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) didakwa menerima dana daripada Soros melalui OSI antara 2007 hingga 2010 berjumlah lebih AS$180,000 (RM553,074.13) sementara sebuah parti politik pembangkang dan portal berita propembangkang turut dikaitkan menerima bantuan daripada dana asing. Dengan lebih 70 negara dan berpuluh NGO di seluruh dunia dalam cengkamannya, timbul persoalan sama ada bantuan yang disalurkan, sama ada secara langsung atau tidak oleh Soros mahupun mana-mana dana asing lain diberikan percuma dan tanpa mengharapkan pembalasan setimpal atau keuntungan lain? Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST) dan juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia (Y1M), Dr. Chandra Muzaffar pada pertengahan 2011 pernah menggambarkan OSF tajaan Soros dan National Endowment for Democracy adalah NGO yang mempunyai matlamat tersirat serta bertentangan dengan kedaulatan dan kemerdekaan negara seperti Malaysia.

Berdasarkan pengalaman beliau dalam sebuah parti pembangkang sebelum ini, Chandra juga khuatir terdapat bantuan dana daripada pihak asing khususnya daripada individu dan kumpulan tertentu yang mengejar agenda Zionis dan Neocon, bertujuan menguasai dunia melalui sekutu dan konco-konco mereka. Bagi Presiden Gerakan Reformasi Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar, Soros selaku pelabur dan peniaga tentu mahukan keuntungan walaupun dalam 'pelaburan' kepada NGO di seluruh dunia.

"Kita tahu siapa Soros, satu dunia tahu tapi rakyat Malaysia juga kena tahu siapa individu ini. Seorang yang tamak, asalkan janji untung tetapi apa agendanya dalam NGO seperti Suaram? Kita tidak mahu NGO atau individu di negara ini diikat bagai lembu dan terpaksa mengikut telunjuk orang asing. Biarlah ada prinsip dan moral,"

Beliau khuatir dana asing kepada NGO beragenda boleh menghuru-harakan negara dan amat bahaya jika tidak dipantau pihak berkuasa sedangkan banyak NGO lain yang lebih sesuai menerima dana bantuan. "NGO yang terima dana itu akan berkongsi dengan jaringan rakan sekutu mereka pula, semuanya guna slogan hak asasi dan demokrasi tetapi sebenarnya nak menjatuhkan kerajaan. "NGO dan pergerakan lain di negara ini sebenarnya tiada masalah mendapat bantuan pelbagai sumber dana dari dalam negara terutama selepas pembangkang menawan beberapa negeri tetapi akibat melampaui kewarasan, mereka sanggup menggadai segalanya kepada pihak luar demi mencapai agenda," ujarnya. Ramlan juga menganggap NGO, parti politik mahupun mana-mana individu yang menerima dana asing lebih teruk daripada komunis kerana propaganda subversif yang dibawa lebih bahaya.

"Mereka ini akan terima duit siapa sahaja asalkan capai sasaran. Mereka juga seronok apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dimansuhkan. Gerakan bawah tanah ini bahaya dan saya khuatir untuk generasi akan datang, untuk anak-anak saya jika kerajaan mahupun agensi berkaitan tidak bendung segera dan masalah ini terus melarat,"

Menurut beliau, isu dana asing termasuk daripada Soros adalah isu semua rakyat Malaysia dan bukannya melibatkan individu atau kumpulan tertentu sahaja. Baginya, golongan yang terlibat dengan dana asing itu sudah kaya dan mewah hidup ditaja sedangkan rakyat miskin yang perlu menanggung akibatnya kerana mereka tiada tempat atau negara lain untuk dituju.

"Menjadi tanggungjawab saya mempertahankan negara tanpa perlu tajaan mana-mana pihak, boleh periksa jika tak percaya. Generasi berikutnya yang terpaksa tanggung kesan perbuatan mereka ini. Jaringan kumpulan penerima dana asing ini juga nampaknya sudah semakin kuat sehingga berani mempermainkan undang-undang dan menghalang penjawat awam yang mahu menyiasat mereka,"

SUMBER
Utusan Malaysia
21 September 2012

22 September 2012

ISU SOSIAL : TANGANI KENAIKAN HARGA RUMAH


Rencana ini ditulis oleh :
NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah mendesak kerajaan supaya memasukkan syarat mewajibkan pemaju swasta membina 35 peratus rumah mampu milik bernilai antara RM60,000 hingga RM150,000 ketika pembentangan Bajet 2013 tidak lama lagi. Langkah itu adalah bagi memastikan lebih ramai rakyat termasuk 1.4 juta kakitangan awam dapat membeli rumah di kawasan bandar kerana jika jarak pergi balik dari kediaman ke tempat kerja lebih 100 kilometer, ia tidak relevan dan praktikal. Sekarang ini hanya di kawasan luar bandar sahaja menawarkan rumah mampu milik berharga tidak melebihi RM300,000, sedangkan ramai kakitangan awam bekerja di bandar.

Isu yang dibangkitkan oleh CUEPACS itu bukanlah baru kerana perkara itu telah lama disedari kerajaan dan ia terbukti apabila kerajaan mengumumkan skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) ketika pembentangan Bajet 2012. Skim itu membolehkan golongan berpendapatan sederhana antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan di kawasan bandar dan pinggir bandar membeli kediaman mampu milik pada harga di antara RM150,000 dan RM300,000 seunit. Ia menawarkan beberapa keistimewaan seperti pengecualian duti setem dan pinjaman sehingga 105 peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 30 tahun. Usaha kerajaan tersebut memang dialu-alukan oleh rakyat, tetapi 42,000 unit yang dijangka dibina di bawah fasa pertama skim PR1MA adalah tidak mencukupi berikutan jumlah golongan berpendapatan sederhana yang ramai.

Jika kita mengharapkan pemaju hartanah swasta untuk turut membina rumah mampu milik seperti yang disaran CUEPACS, sambutannya setakat ini adalah sangat mendukacitakan. Mengulas perkara itu, Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Amir Baharuddin berkata, dakwaan pemaju bahawa kos pembinaan yang tinggi adalah punca mereka tidak berbuat demikian adalah tidak benar. Katanya, ia sebenarnya berpunca daripada keinginan pemaju swasta untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda. "Saya difahamkan oleh beberapa pemaju, kos harga pembinaan sebuah rumah sebenarnya adalah separuh daripada harga jualan rumah terbabit. Justeru kerajaan perlu mengambil langkah dan memantau keuntungan para pemaju ini kerana ada kes pemaju memperoleh keuntungan sehingga 50 peratus selepas sesebuah rumah itu dijual," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui antara punca harga rumah melambung tinggi adalah disebabkan berlakunya pembelian atas tujuan pelaburan oleh pihak yang mengaut keuntungan berganda melalui penjualan semula. Menyifatkannya sebagai perkara tidak sihat, jelas Amir, spekulasi hartanah seperti itu perlu dibendung kerana ia antara punca berlakunya masalah ekonomi di negara-negara Barat. "Ketika ini rumah harus dianggap sebagai keperluan asas rakyat sama seperti beras, justeru tidak wajar wujud pelaburan dan spekulasi mengenainya," jelas beliau. Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk FD Iskandar FD Mansor mencadangkan kerajaan mengenakan levi kepada para pemaju hartanah bagi membolehkan kerajaan mendapat pendapatan untuk membina sendiri rumah mampu milik bagi keperluan rakyat.

Beliau berkata, kaedah itu lebih berkesan daripada mewajibkan pemaju perumahan memperuntukkan kuota 30 peratus rumah mampu milik sebagai tanggungjawab sosial korporat. "Kami bukan mahu lari dari tanggungjawab tetapi arahan tersebut merugikan pemaju kerana rumah-rumah tersebut yang dibina jauh dari bandar seperti di Hulu Selangor tidak mendapat sambutan," katanya. Justeru, katanya, adalah lebih baik kerajaan mengenakan levi untuk disumbangkan kepada satu tabung atau agensi yang terlibat dalam perumahan seperti Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) dan Perbadanan Program Perumahan 1Malaysia. "Lebih baik kerajaan yang bina sendiri rumah-rumah jenis ini dan terserahlah sama ada rumah berkenaan mahu jual atau disewakan," katanya. Apa yang dicadangkan oleh beliau itu adalah antara perkara-perkara yang perlu diteliti oleh kerajaan bagi memastikan lebih banyak rumah untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah dapat dibina.

Kaedah sewa beli untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi golongan berpendapatan rendah boleh juga diperluaskan membabitkan rumah skim PR1MA. Cara ini telah digunakan Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) yang membina rumah untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah di Singapura. Langkah yang dilaksanakan oleh HDB itu telah mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 80 peratus penduduk republik itu memilih rumah yang dibina oleh lembaga itu. Untuk mengelakkan penggantungan kepada bank-bank yang mensyaratkan pembeli membayar balik pada kadar berlipat kali ganda daripada harga asal rumah, rakyat republik itu juga dibenarkan mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) bagi membiayai pembelian rumah berkenaan. Bagi membolehkan lebih banyak rumah dibina, selain tanah kerajaan, boleh juga dibangunkan tanah rizab Melayu yang terdapat berdekatan ibu kota.

Antaranya tanah-tanah di Kampung Sungai Pusu berdekatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak dan Hulu Langat, Selangor yang harganya masih lagi rendah. Dalam pada itu, kaedah yang digunakan kerajaan Korea Selatan boleh dicontohi bagi menangani perbuatan membeli rumah untuk tujuan spekulasi. Antara syarat-syarat yang dikenakan, rakyat hanya dibenarkan membeli rumah selepas lima tahun daripada pembelian rumah sebelumnya dan kerajaan juga sering menjalankan siasatan terperinci bagi mengelak spekulator tidak membayar cukai. Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizzuddin Nooh berkata, orang ramai tidak seharusnya mengharap segala masalah perumahan mereka diselesaikan oleh kerajaan sahaja.

Beliau berkata, isu kenaikan harga rumah yang drastik dan tidak munasabah terutama di Kuala Lumpur dan Selangor ketika ini adalah disebabkan suara pengguna tidak kuat. "Sekiranya pengguna di negara ini bergerak sebagai sebuah entiti yang kuat, pastinya suara mereka dapat memberi tekanan kepada pemaju-pemaju perumahan supaya membina lebih banyak rumah mampu milik," katanya. Dalam masa sama, Mohamad Noorizzuddin turut bersetuju dengan pendapat bahawa pemaju perumahan ketika ini mencatat keuntungan yang keterlaluan hasil jualan projek-projek perumahan mereka. Sehubungan itu, sempena pembentangan Bajet 2013 pada 28 September ini, pihak kerajaan dan rakyat hendaklah saling bekerjasama bagi mengatasi isu kenaikan harga rumah yang terlampau tinggi. Kepada kerajaan negeri yang dikuasai pihak pembangkang, ketepikan perbezaan politik dan benarkanlah tanah rizab Melayu dibangunkan dengan projek rumah mampu milik.

SUMBER
Utusan Malaysia
22 September 2012

ISU BELIA : MEMAHAMI MINDA ANAK MUDA


Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia


Pertanyaan yang dikemukakan oleh seorang mahasiswa baru dalam satu majlis bersama seorang pegawai kanan polis baru-baru ini menimbulkan banyak tanda tanya kepada penulis. Soalannya mudah, tetapi implikasinya yang sukar untuk ditelah. Secara ringkas anak muda yang baharu seminggu memasuki dunia kampus bertanya tentang kedudukan raja dan perwarisannya yang diakhiri dengan kata-kata, "… saya tidak pasti adakah pertanyaan saya ini akan menyebabkan polis akan menggari saya nanti." Bertanya tentang sistem negara yang mengamalkan Raja Perlembagaan bukanlah salah (walaupun yang ditanyakan itu bukanlah perkara baharu), yang berasaskan rujukan kepada blog dan Internet tetapi cara ia disoal dan kebimbangannya dalam ayat terakhir itu menunjukkan interpretasinya terhadap kebebasan bersuara yang ada.

Apatah lagi kebelakangan ini kita berhadapan dengan peristiwa-peristiwa yang amat merunsingkan melalui tindakan-tindakan provokasi yang bukanlah menjadi amalan dan budaya kita selama ini. Antaranya tindakan menurunkan gambar pemimpin negara, menurunkan bendera negara dan menukarkannya dengan bendera lain apatah lagi memijak-mijak gambar pemimpin negara dalam menunjukkan kemarahannya. Kita boleh menganggap perlakuan-perlakuan ini sebagai satu manifestasi rasa tidak puas hati mereka, namun ia melampaui daripada apa yang dapat kita bayangkan selama ini. Walaupun kita tahu bahawa sebahagian besar lagi anak-anak muda kita di negara ini amat rasional dan mengeji tindakan sedemikian, namun prasangka dan keberanian luar biasanya harus dikaji dengan mendalam kenapa mereka sanggup berbuat demikian.

Adakah berita-berita di dalam blog dan Internet begitu mempengaruhi mereka seperti mana dikatakan oleh mahasiswa yang bertanya soalan itu yang mungkin boleh dianggap kes terpencil. Namun kita juga tahu bahawa anak-anak muda tidak pula mudah mempercayai blog-blog yang mempunyai pandangan yang dianggap mengikut pemikiran arus perdana. Atau kita sebenarnya berhadapan dengan masalah kurang maklumat di Internet untuk dirujuk walaupun kita tahu terdapat banyak disediakan melalui pelbagai kementerian yang mungkin sentiasa dianggap tidak tepat. Ia seolah-olah satu skrip bahawa apa jua yang disediakan oleh sumber sahih terutamanya kementerian sebagai tidak tepat, sama seperti anggapan bahawa apa sahaja yang dilaporkan oleh media arus perdana sebagai tidak tepat dan berat sebelah.

Sedangkan kalau kita membaca akhbar dan media yang dianggap sebagai alternatif termasuk media politik juga membawa berita yang hanya melihat dalam perspektifnya semata-mata, amat negatif terhadap pihak bertentangan, menyatakan hanya kesalahan, kesilapan dan fakta yang berasaskan tuduhan yang sesetengahnya boleh dipertikaikan jika dilihat secara lebih mendalam. Malah soalan seperti "adakah saya akan ditangkap pihak berkuasa" hanya kerana bertanyakan sesuatu yang dianggap "taboo", kerap kali berasaskan kepada prasangka dan pandangan serong sedangkan hakikat sebenar terdapat banyak perkara yang kini dibincang secara terbuka. Malah sesetengahnya mengundang kekeliruan pun, sering dibiarkan tanpa tindakan pihak berkuasa kecuali untuk kes-kes yang benar-benar mengancam keselamatan dan menyalahi undang-undang yang ada.

Usaha yang telus, tulus dan ikhlas serta terbuka harus dibuat untuk memahami pemikiran anak-anak muda kita. Mereka yang dengan sengaja menimbulkan provokasi dan menggunakan anak-anak muda malah meracuni pemikiran sesetengah anak-anak muda ini perlu lebih bertanggungjawab kepada negara dan bangsa. Usaha mendekati dan melibat sama anak-anak muda kita dalam banyak aktiviti yang bersesuaian termasuk di universiti perlu dilakukan secara berhemah dan berterusan. Kumpulan yang mempunyai pemikiran yang dianggap melawan arus dan bertentangan dengan arus perdana perlu didekati secara terbuka tanpa prasangka. Niat mereka dalam meluahkan soalan dan pertanyaan malah mempertikaikan apa jua pun sewajarnya dilihat secara positif dan mungkin bagi sesetengah kita naif. Namun kita perlu berkawan dan lebih rapat dengan mereka untuk lebih mengerti suara hati, walaupun kita tahu telah banyak aktiviti dan inisiatif dibuat selama ini.

Penjelasan yang tepat harus diberi untuk mereka memahami susur galur perjuangan menegakkan bangsa dan negara yang merdeka demi kelangsungan agama dan keluhuran akal budi dalam konteks iman dan takwa. Namun kaedahnya bukanlah ceramah, berkhutbah dan berleter panjang. Medium dan cara sesuai harus dicari setaraf dengan pemikiran anak-anak muda terutamanya dalam lingkungan budaya ilmu dan intelektual. Anak-anak muda hari ini sentiasa terdedah dengan maklumat yang terdapat di sekelilingnya sama ada melalui Internet atau pun media lainnya dalam proses globalisasi dan langit terbuka yang ada. Media sosial sudah menjadi seakan-akan sarapan pagi, hidangan tengah hari, makan malam malah hingga ke pagi. Jadual hidup mereka lebih banyak diisi dari malam hingga ke pagi berbanding dengan siang hari yang mungkin dihabiskan untuk kehidupan formal dan rehatnya.

Segalanya jauh berubah. Nilai yang ada, cara berfikir dan apa jua yang sering dianggap oleh orang tua sebagai "makan garam terlebih dahulu" hari ini dianggap sudah ketinggalan. Sejarah walau pun penting bukan lagi pertimbangan dalam membuat keputusan. Jangan bercerita yang kita dahulu hidup susah dan perjuangan yang perit membolehkan kita menikmati kesenangan sekarang kerana itu dianggap 'cerita lama' dan tidak berkaitan. Semua ini harus difahami dan inilah yang dilakukan oleh sesetengah pihak dalam memanipulasikan sesetengah orang, bukan sahaja anak muda, tetapi juga orang dewasa yang melalui zaman susah. Mereka berusaha untuk menimbulkan 'kemarahan-kemarahan' dan 'ketidakpuasan hati', keadilan dan kesaksamaan sosial, kebebasan hakiki dan 'ancaman-ancaman' yang seolah-olah berat sebelah dan mengajak semua pihak melakukan perubahan.

Jerat dan permainan ini perlu difahami, dilihat secara terbuka, rasional dan penuh keberanian untuk menghadapinya sebagai satu lagi cabaran sebuah negara merdeka. Sesetengah pihak memberikan gambaran bahawa kita berhadapan dengan masalah perkauman yang serius, sedang hakikatnya kita berinteraksi, berkawan, bersahabat, menolong orang dan bertindak berasaskan nilai universal tanpa ada prasangka. Di pejabat, dalam masyarakat dan di mana sahaja termasuk dalam pelbagai institusi, gerai mamak, kopitiam, kompleks perniagaan, sambutan perayaan dan pelbagai lagi menjadi tempat tumpuan tanpa rasa takut dan bimbang yang menunjukkan dengan jelas bagaimana hubungan mesra tanpa masalah. 

Memahami minda anak muda perlukan komitmen semua pihak, ibu bapa, pemimpin masyarakat dan pemimpin politik, pemimpin institusi dan semua kita untuk berganding bahu. Dengan memahaminya, kita dapat bersama-sama berganding bahu untuk mengelakkan sebarang prasangka dan bersama-sama memelihara kesejahteraan tanpa memperjudikannya hanya kerana marah dan tidak puas hati terhadap sesuatu yang mungkin tidak tepat apatah lagi menggunakan fakta yang seakan-akan satu skrip yang dicipta untuk mempertikaikan apa sahaja dengan harga yang amat mahal iaitu masa hadapan sebuah negara dan bangsa.

SUMBER
Utusan Malaysia
22 September 2012

20 September 2012

ISU SOSIAL : ELAK JADI MANGSA, PEMANGSA "SAKIT AKHLAK"


Rencana ini ditulis oleh :
AKMAL JAMAL


Baru-baru ini ada dua berita yang membuatkan kita menggeleng kepala. Kita tertanya-tanya sampai bila masalah 'sakit akhlak' seperti itu akan kedengaran lagi pada masa akan datang. Pertama, berita tentang penemuan seorang bayi yang mati di Pangsapuri Desa Mentari, Jalan Klang Lama. Dipercayai ibu zalim kepada bayi malang itu seorang wanita berusia 23 tahun telah pun ditangkap polis untuk tujuan siasatan selanjutnya. Kedua, tentang penangkapan seorang bomoh lelaki 'celup' di Negeri Sembilan yang mengamalkan nikah batin sebagai helah untuk melakukan seks dengan pesakitnya. Sungguhpun pelaku kepada dua kes tersebut terdiri daripada jantina dan kategori jenayah yang berbeza tetapi persamaannya masih ada. Paling ketara, kedua-duanya adalah Melayu beragama Islam. Buktinya dapat dilihat daripada cara berpakaian dan modus operandi kegiatan.

Suspek wanita yang bekerja kilang itu dilaporkan bertudung dan berkain batik ketika hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 17 September lalu. Bomoh palsu yang sudah berkeluarga itu pula menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dengan tujuan meyakini pesakitnya untuk melakukan hubungan seks. Hakikatnya lagi, kedua-duanya berkongsi taraf yang sama iaitu menjadi 'mangsa' kepada kehendak nafsu liar masing-masing yang kemudiannya menjerumuskan mereka sebagai pemangsa dan penjenayah. Pada ketika sistem kehidupan kita pada hari ini semakin rapat dengan nilai-nilai dan amalan hidup Islam berbeza dengan latar sosio-budaya masyarakat Melayu kita pada dekad-dekad 1960 dan 1970-an lalu, kes jenayah berkaitan nafsu tidak terbendung masih menghantui masyarakat Melayu Islam hari ini. Ketika akses kepada maklumat membendung jenayah mudah didapati serta hebahan berita sebelum ini yang banyak membangkitkan isu buang bayi serta rawatan perubatan palsu, tetap ada orang Melayu yang terus mengulang kebejatan akhlak yang sama.

Sungguhpun, kerajaan sudah mengambil inisiatif mewujudkan tempat khas perlindungan bayi (baby hatch) namun masih ada juga ibu yang tergamak bukan sahaja membuang malah membunuh bayi hasil hubungan terlarang yang dikandungnya selama ini.

Dua kes 'sakit akhlak' tersebut walaupun bukan baru kita dengar tetapi sifat konsisten berulangnya kes-kes yang sama seperti itu memberi isyarat akan lemahnya ketahanan jiwa kita. Tambahan pula, apabila membandingkannya dengan rakan-rakan dari kaum lain. Jarang kita dengar kedua-dua kes tersebut dilakukan oleh mereka. Hal ini menunjukkan perkara paling asas yang ditekankan oleh agama Islam iaitu perikemanusiaan dan berfikir panjang masih gagal 'mendarah daging' dalam setiap diri masyarakat Melayu Islam kita. Benar kita manusia yang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan sehingga ada yang menjadi mangsa nafsu seks diri sendiri. Namun, tindakan sehingga sanggup membunuh bayi yang tidak berdosa itu sudah melampaui sifat binatang yang bukan mudah boleh diampunkan begitu sahaja oleh insan yang waras dan ada pegangan agama.

Segala perlakuan 'sakit akhlak' seperti kedua-dua kes tersebut juga adalah contoh masih ramai Melayu Islam hari ini tidak rasional dan hanya mahu memuaskan gejolak nafsu tanpa memikirkan kesudahannya nanti. Bomoh palsu itu memang sudah terang tidak fikir apa melainkan sudah berajakan nafsu tetapi hairannya bagaimana ada wanita begitu mudah menyerahkan tubuh masing-masing atas alasan mahu mendapatkan rawatan? Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di tanah air ini, orang Melayu Islam mesti mengelak daripada terus menelanjangkan diri mereka sendiri.

Tingkatkan rasa perikemanusiaan dan berfikir panjanglah jika benar kita mahu bangsa dan agama kita dihormati oleh orang lain.

SUMBER
Utusan Malaysia
20 September 2012

ISU SOSIAL : TERDESAK BUANG DAN BUNUH BAYI : APA PERANAN KELUARGA?


Rencana ini ditulis oleh :


Dosa sudah dilakukan - hingga hamil anak luar nikah. Belum terhapus lagi dosa yang satu itu, satu lagi dosa besar dilakukan, membuang dan membunuh bayi yang dikendong ke hulu ke hilir selama sembilan bulan itu. Kini di negara ini, kisah buang dan bunuh bayi bagaikan sudah menjadi satu berita biasa. Bila sudah jadi berita biasa, tiada lagi apa yang hendak digemparkan. Mungkin sekejap, sehari dua jadi bahan bualan dalam masyarakat, dibincang jalan cari penyelesaian, kemudian senyap balik, sehingga kes yang sama muncul semula.

Kisah mencampakkan bayi perempuan yang baru dilahirkan di Pangsapuri Desa Mentari di Petaling Jaya, kelmarin salah satu antara episodnya. Sebelum ini seorang bayi lelaki yang juga baru dilahirkan dijumpai mati dalam mangkuk tandas di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang yang dilahirkan oleh seorang remaja berusia 16 tahun!

Ini semua berlaku dan dilakukan kerana panik dan terdesak. Bila semuanya sudah pun terjadi, nasi telah menjadi bubur setelah benteng keimanan roboh, demi kasih sayang kepada teman lelaki kononnya, apa yang perlu dilakukan oleh gadis yang hamil ini? Menyesali perbuatan dan kemudiannya membuang bayi selepas dilahirkan, kononnya selepas itu mahu membuka episod baru dalam hidup? Itukah penyelesaiannya? Dan di saat-saat genting itu di manakah keluarga mereka? Apa yang keluarga mereka boleh lakukan untuk menjadikan keadaan tidak bertambah buruk kepada anak gadis mereka? Memaki hamun, memukul, menghalau dan tidak mengaku anak? Itu sajakah penyelesaiannya? Dan kenapa membiarkan gadis terbabit saja menanggung segala akibatnya? Bagaimana pula dengan lelaki yang tidak bertanggungjawab itu? Dibiarkan hilang begitu sajakah dan terus lepas bebas menjadi manusia yang tidak bertanggungjawab.

Ramai mungkin tertanya-tanya apabila seseorang gadis itu terlibat dalam kes membuang bayi atau lebih sadis lagi membunuh bayinya, macam mana keluarga gadis berkenaan boleh tidak tahu anak mereka hamil sehingga ada yang duduk serumah pun boleh tidak perasan.

Memang, ibu bapa mana yang tidak hancur hatinya apabila anak gadisnya menconteng arang di muka keluarga. Memang dosa dan kesalahan telah dilakukan, tetapi itu tidak bermakna gadis tersebut perlu dihukum dengan membiarkan dia saja menanggung padahnya dan dia tidak perlu lagi mendapat perlindungan daripada keluarganya. Dalam usia yang begitu muda, mampukah mereka menghadapi tekanan itu sendirian. Membiarkan gadis ini menanggungnya sendiri, akhirnya keluarga terbabit pasti akan terpalit bebannya kemudian hari kelak. Ibu bapa atau keluarga wajar mendapatkan bantuan bukan saja untuk anak mereka, tetapi untuk memastikan bayi yang dikandung itu juga dapat diselamatkan sekali gus tidak menjadikan anak mereka seorang penjenayah kerana membuang bayi atau lebih besar lagi menjadi pembunuh. Dalam keadaan ini, ibu bapa mahu atau tidak, perlu mempunyai kesedaran dan tanggungjawab terhadap situasi ini.

Penyelesaian jangka pendek yang terbaik sekiranya tidak mampu menjaganya adalah dengan menghantar anak mereka yang hamil ke pusat perlindungan wanita atau remaja hamil luar nikah yang terdapat di negara ini, sama ada diusahakan oleh pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan atau persendirian. Kemudian bimbinglah semula anak gadis mereka pulang ke pangkal jalan dengan didikan agama dengan harapan kehidupan anak mereka itu akan menjadi lebih baik pada masa depan. Contohnya, di Johor, seramai 140 bayi luar nikah di negeri berkenaan berjaya diselamatkan daripada digugurkan atau dibuang oleh ibu mereka yang merupakan remaja di bawah usia 13 hingga 18 tahun dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

Dalam pada itu, lelaki yang terbabit juga tidak seharusnya dibiarkan lepas. Mesej yang jelas perlu disampaikan kepada masyarakat bahawa kes pembuangan bayi adalah kesalahan yang amat serius dan tidak seharusnya diletakkan di atas bahu gadis terbabit semata-mata. Sebaliknya, pihak lelaki juga mesti dipertanggungjawabkan dan perlu menerima hukuman setimpal atas perbuatan mereka. Teknologi yang canggih pada masa kini khususnya penggunaan kaedah DNA boleh dimanfaatkan bagi mengenalpasti bapa bayi berkenaan.

Dan kepada ibu bapa lain, sudah tentunya langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan dengan memberikan didikan agama secukupnya, tidak membiarkan anak bergaul terlalu bebas atau membiarkan mereka menguruskan masalah peribadi secara sendirian tanpa kita mengetahui apa masalahnya. Kita adalah pelindung mereka.

SUMBER
Utusan Malaysia
19 September 2012