Rencana ini ditulis
oleh :
Johardy Ibrahim
Sana sini orang
ghairah memperkatakan perihal sensasi tarian Oppa Gangnam Style. Malah selepas
menjaringkan gol dalam perlawanan futsal kelmarin, rakan di tepi padang meminta
saya menari aksi kuda halimunan ciptaan Psy atau Park Jae-sang. Saya buat muka
hairan. Malas nak layan. Bekas bos, Datuk Johan Jaafar mengaku menonton video
muzik Gangnam ini lebih 20 kali. Saya mungkin tidak sampai tujuh kali, itu pun
sebentar tadi perlu menonton semata-mata untuk kajian artikel ini. Saya percaya
anda, walaupun sekadar memiliki akses Internet di Kafe Siber paling tidak pun
pasti pernah menontonnya sekali.
Anda tentu terpesona
walaupun tidak mengerti bahasa Korea (kecuali korus bahasa Inggeris: Sexy Lady)
kerana rentaknya memang 'menangkap' dan tarian kuda halimunan Psy yang
diistilahkan signature dance move (langkah tarian tulen) yang lawak untuk
ditiru. Fenomena luar biasa Oppa Gangnam Style ini dianggap menyamai sensasi
tarian Moonwalk yang dipersembahkan pertama kali oleh Michael Jackson pada 25
Mac 1983. Ia adalah langkah tarian yang memberi gambaran penari ditarik ke
belakang ketika cuba berjalan ke hadapan. Moonwalk diiktiraf sebagai teknik
tarian paling dikenali di dunia.
Apakah tarian kuda
halimunan ini bakal berada di takhta yang sama dengan Moonwalk? Ini memerlukan
kajian sosio-budaya pop yang teliti. Harus diperingatkan sekali lagi terutama
kepada generasi bawah usia 16 tahun hari ini, Gangnam bukan 'satu-satunya'
trend muzik tarian yang meledak, merasuk ke seluruh dunia dari Korea ke Amerika
dan Eropah, apatah lagi Malaysia yang memiliki ramai pencinta K-Pop. Seni muzik
dan tarian itu sendiri sifatnya dinamik, sentiasa berubah-ubah mengikut
persekitaran dan kemajuan semasa. Generasi bawah usia 16 tahun tentu masih
segar ingatan kepada kegilaan menari Shuffling. Tarian ini belum berkubur dan
masih popular ke hari ini. Sementara tarian kuda halimunan Gangnam tiada sempadan
usia peminatnya, tarian Shuffling ini mengecil skop kepada anda yang bukan
setakat muda tetapi berkemampuan daripada segi stamina dan ringan kaki untuk
melakukan gerak tari kaki, selain masih nampak cool mengenakan seluar jeans
skinny.
Daripada konteks di
atas, itulah perbezaan jelas mengapa Gangnam pantas merebak popularitinya dan
dianggap 'sesuai untuk semua'. Penampilan Psy dengan pakaian sut kemas yang
beliau sebut dress classy, dance cheezy (pakaian kemas, menari kelakar) adalah
imej yang senang diterima oleh semua lapisan usia, budaya dan agama. Selain
itu, badan gempalnya menyebabkan Psy yang disifatkan suatu identiti anti-K-Pop
kerana lazimnya artis K-Pop tampil dengan badan kurus dan hidung mancung.
Penampilan Psy disifatkan gambaran sebenar rupa orang Korea, bukan artis K-Pop
yang khabarnya sering ke klinik pembedahan plastik. Selain Shuffling yang
meletup tahun lalu dan Gangnam sejak Julai lalu, trend muzik tarian boleh
dijejaki dari tahun 1960-an. Mengikut beberapa tulisan pengkaji, tarian Twist
dipersetujui sebagai trend tarian muzik pertama di dunia.
1. The Twist (1960-an)
Ia dikatakan berakar
umbi dari tarian hamba abdi Afrika yang dibawa ke Amerika Syarikat dipanggil
'wringin' and twistin' pada 1890an. Pada 1960-an, seiring dengan ledakan budaya
pop di Amerika iaitu menerusi muzik rock and roll, tarian Twist menjadi kegilaan
ramai. Ini didorong oleh lagu The Twist dendangan Chubby Checker pada 1960
disusuli lagi dengan Let's Twist Again pada 1961. Jika anda berusia
bawah 16 tahun, sila ke Youtube dan taip "P Ramlee Bunyi Gitar'' iaitu
dari filem 3 Abdul terbitan tahun 1964. Bukan P Ramlee mencipta tarian Twist.
Tetapi sekadar contoh. Sambil P Ramlee menyanyi, saksikan aksi empat penari.
Filem ini menjadi faktor Twist meletup di Malaysia ketika itu. Satu lagi klip video
wajib tonton ialah ''Malam Pesta Muda Mudi" nyanyian Saloma dari filem
Nasib Do Re Mi terbitan 1966. Aksi Twist turut dipaparkan, terutama oleh watak
'Pak Maon' lakonan Mahmud June. Awas, berderai air mata anda ketawa nanti!
2. Disco (1970-an)
Bermula di
Philadelphia, genre ini disifatkan sebagai penentangan terhadap muzik rock and
roll. Tarian ini paling diingati menerusi filem Saturday Night Live, dengan
gerak tari John Travolta kekal sebagai ikonik sehingga ke hari ini.
3. The Nutbush
(1970-an)
Ditarikan bersama
lagu Tina Turner berjudul 'Nutbush City Limits', merupakan tarian berbentuk
barisan dengan gerak tangan dan kaki mengikut korus lagu.
4. Breakdance
(1980-an)
Ia melibatkan aksi
tarian menyerupai atlet akrobat atau sarkas. Ia pernah diharamkan
persembahannya di khalayak umum di negara ini ekoran banyak kes anak-anak muda
yang mencuba tarian berpusing kepala patah tengkuk dan mati. Hari ini, tarian
ini dikenali sebagai B-boying dan telah menjadi satu acara peraduan tarian
antarabangsa yang mana dua pasukan akan berentap di atas pentas, memaparkan gerak
tari yang tangkas dan bengis.
5. Robot (1980-an)
Satu elemen dalam
tarian Breakdance ialah Robot. Ia dipopularkan oleh Michael Jackson menerusi
video Dancing Machine dan Billie Jean. Tidak lama dahulu, pemain bolasepak
England, Peter Crouch mengembalikan populariti tarian itu semasa meraikan
kejayaannya menjaringkan gol.
6. The Cabbage Patch
(1987)
Ia adalah tarian yang
mana anda menggenggam penumbuk, tangan hampir ke dada dan digerakkan secara
berpusing serta bahu digerakkan. Ia pertama kali diperkenalkan dalam filem The
Cabbage Patch tahun 1987. Sering kali dipaparkan dalam filem masa kini untuk
mengisahkan zaman 80-an.
7. The Locomotion
(1988)
Lagu ini agak
istimewa kerana ia melangkaui tiga generasi penyanyi berbeza dan kesemuanya
'meletup'. Pertama kali ia dinyanyikan oleh Little Eva pada 1962, diikuti Grand
Funk Railroad pada 1974 dan Kylie Minogue pada 1988. Lirik lagunya sendiri
memang mengisahkan tarian dan ia menjadi trend. Namun, ramai berpendapat lagu
itu sendiri memiliki kekuatan berbanding tarian.
8. Achy Breaky Heart
(1992)
Ini juga adalah lagu
tarian sebaris yang dianggap tarian koboi (country music) paling popular.
Didasarkan dari lagu berjudul sama nyanyian Billy Ray Cyrus (bapa Miley Cyrus).
Lazimnya penari memakai topi, jeans dan but koboi.
9. Macarena (1995)
Macarena adalah lagu
tarian berbahasa Sepanyol dendangan Los del Rio. Ia diiktiraf sebagai satu
daripada lagu ikonik bagi dekad 1990-an. Lagu ini berada dalam carta Hot 100
selama 60 minggu, penguasaan terlama di kalangan lagu nombor satu (sebelum
rekod itu dipecahkan 15 tahun kemudian oleh Adele dengan lagu Rolling In The
Deep selama 65 minggu).
10. Ketchup Song (2002)
Lagu berbahasa
Sepanyol ini turut dikenali sebagai lagu ''I say le heh'' atau ejaan
sebetulnya, Asereje dendangan kumpulan Las Ketchup.
SUMBER
Utusan Malaysia
23 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan