JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



22 September 2012

ISU BELIA : MEMAHAMI MINDA ANAK MUDA


Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia


Pertanyaan yang dikemukakan oleh seorang mahasiswa baru dalam satu majlis bersama seorang pegawai kanan polis baru-baru ini menimbulkan banyak tanda tanya kepada penulis. Soalannya mudah, tetapi implikasinya yang sukar untuk ditelah. Secara ringkas anak muda yang baharu seminggu memasuki dunia kampus bertanya tentang kedudukan raja dan perwarisannya yang diakhiri dengan kata-kata, "… saya tidak pasti adakah pertanyaan saya ini akan menyebabkan polis akan menggari saya nanti." Bertanya tentang sistem negara yang mengamalkan Raja Perlembagaan bukanlah salah (walaupun yang ditanyakan itu bukanlah perkara baharu), yang berasaskan rujukan kepada blog dan Internet tetapi cara ia disoal dan kebimbangannya dalam ayat terakhir itu menunjukkan interpretasinya terhadap kebebasan bersuara yang ada.

Apatah lagi kebelakangan ini kita berhadapan dengan peristiwa-peristiwa yang amat merunsingkan melalui tindakan-tindakan provokasi yang bukanlah menjadi amalan dan budaya kita selama ini. Antaranya tindakan menurunkan gambar pemimpin negara, menurunkan bendera negara dan menukarkannya dengan bendera lain apatah lagi memijak-mijak gambar pemimpin negara dalam menunjukkan kemarahannya. Kita boleh menganggap perlakuan-perlakuan ini sebagai satu manifestasi rasa tidak puas hati mereka, namun ia melampaui daripada apa yang dapat kita bayangkan selama ini. Walaupun kita tahu bahawa sebahagian besar lagi anak-anak muda kita di negara ini amat rasional dan mengeji tindakan sedemikian, namun prasangka dan keberanian luar biasanya harus dikaji dengan mendalam kenapa mereka sanggup berbuat demikian.

Adakah berita-berita di dalam blog dan Internet begitu mempengaruhi mereka seperti mana dikatakan oleh mahasiswa yang bertanya soalan itu yang mungkin boleh dianggap kes terpencil. Namun kita juga tahu bahawa anak-anak muda tidak pula mudah mempercayai blog-blog yang mempunyai pandangan yang dianggap mengikut pemikiran arus perdana. Atau kita sebenarnya berhadapan dengan masalah kurang maklumat di Internet untuk dirujuk walaupun kita tahu terdapat banyak disediakan melalui pelbagai kementerian yang mungkin sentiasa dianggap tidak tepat. Ia seolah-olah satu skrip bahawa apa jua yang disediakan oleh sumber sahih terutamanya kementerian sebagai tidak tepat, sama seperti anggapan bahawa apa sahaja yang dilaporkan oleh media arus perdana sebagai tidak tepat dan berat sebelah.

Sedangkan kalau kita membaca akhbar dan media yang dianggap sebagai alternatif termasuk media politik juga membawa berita yang hanya melihat dalam perspektifnya semata-mata, amat negatif terhadap pihak bertentangan, menyatakan hanya kesalahan, kesilapan dan fakta yang berasaskan tuduhan yang sesetengahnya boleh dipertikaikan jika dilihat secara lebih mendalam. Malah soalan seperti "adakah saya akan ditangkap pihak berkuasa" hanya kerana bertanyakan sesuatu yang dianggap "taboo", kerap kali berasaskan kepada prasangka dan pandangan serong sedangkan hakikat sebenar terdapat banyak perkara yang kini dibincang secara terbuka. Malah sesetengahnya mengundang kekeliruan pun, sering dibiarkan tanpa tindakan pihak berkuasa kecuali untuk kes-kes yang benar-benar mengancam keselamatan dan menyalahi undang-undang yang ada.

Usaha yang telus, tulus dan ikhlas serta terbuka harus dibuat untuk memahami pemikiran anak-anak muda kita. Mereka yang dengan sengaja menimbulkan provokasi dan menggunakan anak-anak muda malah meracuni pemikiran sesetengah anak-anak muda ini perlu lebih bertanggungjawab kepada negara dan bangsa. Usaha mendekati dan melibat sama anak-anak muda kita dalam banyak aktiviti yang bersesuaian termasuk di universiti perlu dilakukan secara berhemah dan berterusan. Kumpulan yang mempunyai pemikiran yang dianggap melawan arus dan bertentangan dengan arus perdana perlu didekati secara terbuka tanpa prasangka. Niat mereka dalam meluahkan soalan dan pertanyaan malah mempertikaikan apa jua pun sewajarnya dilihat secara positif dan mungkin bagi sesetengah kita naif. Namun kita perlu berkawan dan lebih rapat dengan mereka untuk lebih mengerti suara hati, walaupun kita tahu telah banyak aktiviti dan inisiatif dibuat selama ini.

Penjelasan yang tepat harus diberi untuk mereka memahami susur galur perjuangan menegakkan bangsa dan negara yang merdeka demi kelangsungan agama dan keluhuran akal budi dalam konteks iman dan takwa. Namun kaedahnya bukanlah ceramah, berkhutbah dan berleter panjang. Medium dan cara sesuai harus dicari setaraf dengan pemikiran anak-anak muda terutamanya dalam lingkungan budaya ilmu dan intelektual. Anak-anak muda hari ini sentiasa terdedah dengan maklumat yang terdapat di sekelilingnya sama ada melalui Internet atau pun media lainnya dalam proses globalisasi dan langit terbuka yang ada. Media sosial sudah menjadi seakan-akan sarapan pagi, hidangan tengah hari, makan malam malah hingga ke pagi. Jadual hidup mereka lebih banyak diisi dari malam hingga ke pagi berbanding dengan siang hari yang mungkin dihabiskan untuk kehidupan formal dan rehatnya.

Segalanya jauh berubah. Nilai yang ada, cara berfikir dan apa jua yang sering dianggap oleh orang tua sebagai "makan garam terlebih dahulu" hari ini dianggap sudah ketinggalan. Sejarah walau pun penting bukan lagi pertimbangan dalam membuat keputusan. Jangan bercerita yang kita dahulu hidup susah dan perjuangan yang perit membolehkan kita menikmati kesenangan sekarang kerana itu dianggap 'cerita lama' dan tidak berkaitan. Semua ini harus difahami dan inilah yang dilakukan oleh sesetengah pihak dalam memanipulasikan sesetengah orang, bukan sahaja anak muda, tetapi juga orang dewasa yang melalui zaman susah. Mereka berusaha untuk menimbulkan 'kemarahan-kemarahan' dan 'ketidakpuasan hati', keadilan dan kesaksamaan sosial, kebebasan hakiki dan 'ancaman-ancaman' yang seolah-olah berat sebelah dan mengajak semua pihak melakukan perubahan.

Jerat dan permainan ini perlu difahami, dilihat secara terbuka, rasional dan penuh keberanian untuk menghadapinya sebagai satu lagi cabaran sebuah negara merdeka. Sesetengah pihak memberikan gambaran bahawa kita berhadapan dengan masalah perkauman yang serius, sedang hakikatnya kita berinteraksi, berkawan, bersahabat, menolong orang dan bertindak berasaskan nilai universal tanpa ada prasangka. Di pejabat, dalam masyarakat dan di mana sahaja termasuk dalam pelbagai institusi, gerai mamak, kopitiam, kompleks perniagaan, sambutan perayaan dan pelbagai lagi menjadi tempat tumpuan tanpa rasa takut dan bimbang yang menunjukkan dengan jelas bagaimana hubungan mesra tanpa masalah. 

Memahami minda anak muda perlukan komitmen semua pihak, ibu bapa, pemimpin masyarakat dan pemimpin politik, pemimpin institusi dan semua kita untuk berganding bahu. Dengan memahaminya, kita dapat bersama-sama berganding bahu untuk mengelakkan sebarang prasangka dan bersama-sama memelihara kesejahteraan tanpa memperjudikannya hanya kerana marah dan tidak puas hati terhadap sesuatu yang mungkin tidak tepat apatah lagi menggunakan fakta yang seakan-akan satu skrip yang dicipta untuk mempertikaikan apa sahaja dengan harga yang amat mahal iaitu masa hadapan sebuah negara dan bangsa.

SUMBER
Utusan Malaysia
22 September 2012

Tiada ulasan: