JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



23 September 2012

ISU BELIA : MENGURUS ASPIRASI ANAK MUDA


Rencana ini ditulis oleh :
KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN


Perdana Menteri dijangka membentangkan Bajet 2013 minggu hadapan. Mungkin secara kebetulan, pembentangan belanjawan kali ini dilakukan hampir serentak dengan pilihan raya kampus (PRK) yang sedang berlangsung minggu ini dan minggu hadapan. Pastinyalah, dalam pada mahasiswa yang terlibat aktif dalam bidang kepimpinan peringkat kampus, akan turut menyentuh serba sedikit tentang isu-isu nasional, di samping mengetengahkan isu-isu 'dalam kampus' yang dirasakan mampu menarik minat dan undi rakan-rakan mahasiswa lain. Sesuai dengan suasana PRK pertama pasca pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kali ini, penulis merasakan lebih banyak 'isu nasional' yang ditarik masuk dan dibincangkan di dalam siri kempen mereka yang menawarkan diri.

Tidak dapat tidak, ini juga satu perkembangan yang sangat positif, sesuai dengan tahap kematangan kelompok mahasiswa yang dikehendaki oleh masyarakat umum. Setakat ini tidak ada insiden-insiden besar yang berlaku. Ternampak jelas kelompok mahasiswa menepati harapan masyarakat untuk menjadi kumpulan yang matang dan mampu berfikiran jauh. Mungkin kalau adapun insiden penyebaran surat layang yang sememangnya menampakkan bahawa budaya fitnah dan adu domba tidak berakhir di luar kampus. Di sinilah kepentingan para mahasiswa untuk melakukan penyaringan maklumat sebelum menerima bulat-bulat sebarang berita yang belum tahu tahap kebenarannya. Bersesuaian juga dengan suasana, masa dan keadaan, sudah tiba masanya untuk mahasiswa berbicara isu yang lebih besar dan dekat dengan kehidupan mereka.

Ia boleh sahaja menyentuh semua perkara, baik pengurusan ekonomi, peluang pekerjaan, agenda latihan dan pembangunan diri kumpulan belia, pendidikan, pembangunan sosial dan sebagainya. Ibaratnya, mahasiswa mempunyai seluas-luas ruang untuk membincang dan memperdebat isu yang ada di luar kampus. Penulis masih ingat, selepas sahaja pembentangan Bajet 2011, antara isu yang dibangkitkan oleh beberapa blog dan portal yang menyatakan bahawa bajet tersebut tidak mengisi aspirasi dan impian anak muda. Seorang Ahli Parlimen mewakili Parti Islam se-Malaysia (Pas) dari Kedah, pantas memberikan pandangan bahawa orang muda sangat kurang diberikan perhatian di dalam belanjawan tahun tersebut. Ahli Parlimen tersebut lantas menyatakan bagaimana peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sangat rendah dan tidak bersesuaian dengan kedudukan dan amanah besar untuk mendekati golongan muda.

Pemikiran simplistik demikian adalah satu cubaan mudah untuk memesongkan anak muda dengan hakikat sebenar penyediaan sebuah belanjawan yang komprehensif dan menyeluruh. Apakah seluruh kepentingan generasi muda Malaysia untuk tahun kewangan yang berikutnya hanya diletakkan di bawah satu kementerian sahaja? Sudah pasti tidak. Kepentingan generasi muda hampir sahaja diserap masuk ke dalam hampir semua kementerian yang ada di bawah jentera kerajaan. Sudah pasti, pengurusan fiskal yang bertanggungjawab, punya visi dan harapan untuk mengisi kepentingan generasi muda dan seluruh rakyat yang ada. Ini adalah pelan tahunan yang sentiasa sahaja ditunggu oleh rakyat, sekali gus menjadikan ia sebagai kayu ukur dalam menilai strategi pembangunan negara.

Bajet yang komprehensif, mampu menanggapi kepentingan semua segmen rakyat, pastinya mendapat reaksi yang positif. Majlis Belia Malaysia (MBM), sebagai contoh, dalam kenyataan yang dibuat oleh Presidennya baru-baru ini, menyatakan bagaimana organisasi tersebut mengharapkan agar ada peruntukan khas yang lebih besar dalam membangunkan peluang latihan lebih meluas untuk generasi muda. Secara khusus, MBM menginginkan agar kerajaan memberikan perhatian lebih berat terhadap kumpulan anak muda yang tertinggal secara akademik. Usaha mesti dilakukan untuk memastikan mereka mempunyai 'peluang kedua' sekali gus mampu menikmati taraf hidup yang lebih baik.

Konstruktif

Cadangan dan buah fikiran beginilah yang wajar datang daripada minda anak muda dan kumpulan belia. Pandangan yang lebih proaktif, yang tidak semata-mata berada di atas jalur politik. Pastinya lebih meriah dan konstruktif, sekiranya kalangan kepimpinan mahasiswa yang baru sahaja dipilih, memulakan perbincangan secepat mungkin dalam memberikan idea dan pandangan bernas mengenai bajet yang akan datang. Dengan sendirinya, imej kepimpinan mahasiswa tidak lagi dianggap sebagai 'jagoan kampus', tetapi lebih daripada itu mampu menjadi 'jaguh rakyat' dalam mengemukakan pandangan. Penulis yakin, kepimpinan Perdana Menteri sekarang sememangnya sangat-sangat terbuka dengan pandangan dan buah fikiran mahasiswa. Pandangan dangkal yang mengatakan bajet dan belanjawan sebelum ini tidak menepati kehendak anak muda adalah sesuatu yang sangat tidak berasas.

Seharusnyalah, kepentingan orang muda tidak sahaja dilihat dari sudut peruntukan kepada KBS semata-mata. Bagaimana dengan peruntukan-peruntukan kementerian lain, yang turut memberikan penekanan dan kelebihan untuk orang muda? Tidakkah itu juga melambangkan komitmen kerajaan untuk memberikan yang terbaik kepada generasi muda dan belia? Orang muda, mahasiswa dan belia perlu melihat pembentangan bajet kali ini sebagai langkah mereka mengorak langkah proaktif, sekali gus menjadi rakan strategik kepada pembangunan. Isu orang muda sememangnya pelbagai, bukan sahaja soal peluang pekerjaan pasca pendidikan di universiti bahkan soal kos sara hidup tinggi yang turut menjadi beban kepada orang muda.

Kalau kita semua masih ingat, antara punca yang menjadi pemangkin kepada apa yang dipanggil London Riot tempoh hari adalah kewujudan futureless youth - anak muda yang tidak punya masa hadapan. Ia diburukkan lagi dengan beberapa masalah sosial lain yang menimpa sebuah negara maju yang pernah sahaja menjadi empayar dunia tersohor. Antara masalah sosial yang turut terkait - hakikat bahawa anak muda di United Kingdom yang terpinggir, pencapaian institusi pendidikan yang merosot, isu pengangguran, kekurangan peluang latihan dan sebagainya. Nyata, negara kita telah berjaya mengurus isu orang muda dengan berkesan. Peluang pekerjaan boleh dikatakan sangat terbuka, peluang latihan dan pembangunan diri tersusun (baik dalam bidang akademik mahupun vokasional), pencapaian institusi pendidikan yang baik - semuanya menjadi angkubah jelas bahawa orang muda punya peluang dan harapan yang besar dalam kepimpinan sedia ada.

Ia diperteguh lagi dengan sikap kepimpinan yang sangat komited mendekati orang muda. Media baru digunakan sebaik mungkin sebagai wadah mendekati pemikiran orang muda. Malahan, Parlimen Belia juga diwujudkan bagi memberi peluang orang muda mengemukakan pandangan dan pendapat. Peluang untuk orang muda melibatkan diri dalam bidang sukarelawan, sekali gus memberi khidmat kepada masyarakat dan negara juga terbuka luas. Penulis merasakan, strategi positif untuk mengisi harapan generasi muda seperti yang wujud di dalam Bajet 2012 akan diberikan pengukuhan dalam pembentangan kali ini. Insentif cukai yang diberikan kepada sektor swasta dalam menyediakan peluang internship, penyediaan biasiswa dan penglibatan di dalam ekspo kerjaya di peringkat antarabangsa wajar diberikan pengukuhan. Dana untuk generasi muda memperkembang bakat dalam industri kreatif juga sewajarnya diberikan pengukuhan.

Di dalam Bajet 2012, di bawah perenggan 'Belia Penggerak Masa Hadapan', beberapa produk berkait generasi muda telah diberikan penekanan. Antaranya: RM320 juta untuk peneguhan program latihan, kepimpinan, keusahawanan, penubuhan syarikat modal teroka MyCreative Venture Capital dan RM200 juta untuk Program Strategic Action for Youth. Penulis suka mencadangkan agar kesemua perbelanjaan ini diberikan audit pelaksanaan yang menyeluruh; sama ada ia benar-benar sampai dan terlaksana di peringkat paling bawah. Sesuai dengan kepentingan bajet kali ini, penulis yakin lebih banyak akan diusahakan untuk orang muda dan generasi belia. Percayalah, sebagai sebuah kerajaan yang benar-benar mampu merasai sentimen dan kehendak generasi muda, lebih banyak usaha akan diberikan penekanan dalam aspek ini. Menjadi harapan kita agar semua kepimpinan mahasiswa yang baru diberikan amanah, untuk benar-benar menjadi 'suara rakyat' dalam mengemukakan pandangan strategik kepada kerajaan.

Suara mahasiswa mungkin sahaja akan menjadi lebih 'keramat' sekiranya ia tidak terlalu diberatkan dengan sentimen politik. Suara mahasiswa yang independen, berpandangan jauh, konstruktif dan mendepani isu rakyat akan lebih dihormati dan dihargai.

SUMBER
Utusan Malaysia
23 September 2012

Tiada ulasan: