Rencana ini ditulis
oleh :
NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
Kongres Kesatuan
Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah mendesak kerajaan
supaya memasukkan syarat mewajibkan pemaju swasta membina 35 peratus rumah
mampu milik bernilai antara RM60,000 hingga RM150,000 ketika pembentangan Bajet
2013 tidak lama lagi. Langkah itu adalah bagi memastikan lebih ramai rakyat
termasuk 1.4 juta kakitangan awam dapat membeli rumah di kawasan bandar kerana
jika jarak pergi balik dari kediaman ke tempat kerja lebih 100 kilometer, ia
tidak relevan dan praktikal. Sekarang ini hanya di kawasan luar bandar sahaja
menawarkan rumah mampu milik berharga tidak melebihi RM300,000, sedangkan ramai
kakitangan awam bekerja di bandar.
Isu yang dibangkitkan
oleh CUEPACS itu bukanlah baru kerana perkara itu telah lama disedari kerajaan
dan ia terbukti apabila kerajaan mengumumkan skim Perumahan Rakyat 1Malaysia
(PR1MA) ketika pembentangan Bajet 2012. Skim itu membolehkan golongan berpendapatan
sederhana antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan di kawasan bandar dan pinggir
bandar membeli kediaman mampu milik pada harga di antara RM150,000 dan
RM300,000 seunit. Ia menawarkan beberapa keistimewaan seperti pengecualian duti
setem dan pinjaman sehingga 105 peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 30
tahun. Usaha kerajaan tersebut memang dialu-alukan oleh rakyat, tetapi 42,000
unit yang dijangka dibina di bawah fasa pertama skim PR1MA adalah tidak
mencukupi berikutan jumlah golongan berpendapatan sederhana yang ramai.
Jika kita
mengharapkan pemaju hartanah swasta untuk turut membina rumah mampu milik
seperti yang disaran CUEPACS, sambutannya setakat ini adalah sangat
mendukacitakan. Mengulas perkara itu, Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan
dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Amir Baharuddin
berkata, dakwaan pemaju bahawa kos pembinaan yang tinggi adalah punca mereka
tidak berbuat demikian adalah tidak benar. Katanya, ia sebenarnya berpunca
daripada keinginan pemaju swasta untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda. "Saya
difahamkan oleh beberapa pemaju, kos harga pembinaan sebuah rumah sebenarnya
adalah separuh daripada harga jualan rumah terbabit. Justeru kerajaan perlu
mengambil langkah dan memantau keuntungan para pemaju ini kerana ada kes pemaju
memperoleh keuntungan sehingga 50 peratus selepas sesebuah rumah itu
dijual," katanya.
Dalam pada itu,
beliau turut mengakui antara punca harga rumah melambung tinggi adalah
disebabkan berlakunya pembelian atas tujuan pelaburan oleh pihak yang mengaut
keuntungan berganda melalui penjualan semula. Menyifatkannya sebagai perkara
tidak sihat, jelas Amir, spekulasi hartanah seperti itu perlu dibendung kerana
ia antara punca berlakunya masalah ekonomi di negara-negara Barat. "Ketika
ini rumah harus dianggap sebagai keperluan asas rakyat sama seperti beras,
justeru tidak wajar wujud pelaburan dan spekulasi mengenainya," jelas
beliau. Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden Persatuan Pemaju
Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk FD Iskandar FD Mansor mencadangkan
kerajaan mengenakan levi kepada para pemaju hartanah bagi membolehkan kerajaan
mendapat pendapatan untuk membina sendiri rumah mampu milik bagi keperluan
rakyat.
Beliau berkata,
kaedah itu lebih berkesan daripada mewajibkan pemaju perumahan memperuntukkan
kuota 30 peratus rumah mampu milik sebagai tanggungjawab sosial korporat. "Kami
bukan mahu lari dari tanggungjawab tetapi arahan tersebut merugikan pemaju
kerana rumah-rumah tersebut yang dibina jauh dari bandar seperti di Hulu
Selangor tidak mendapat sambutan," katanya. Justeru, katanya, adalah lebih
baik kerajaan mengenakan levi untuk disumbangkan kepada satu tabung atau agensi
yang terlibat dalam perumahan seperti Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) dan
Perbadanan Program Perumahan 1Malaysia. "Lebih baik kerajaan yang bina
sendiri rumah-rumah jenis ini dan terserahlah sama ada rumah berkenaan mahu
jual atau disewakan," katanya. Apa yang dicadangkan oleh beliau itu adalah
antara perkara-perkara yang perlu diteliti oleh kerajaan bagi memastikan lebih
banyak rumah untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah dapat dibina.
Kaedah sewa beli
untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi golongan berpendapatan rendah boleh
juga diperluaskan membabitkan rumah skim PR1MA. Cara ini telah digunakan
Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) yang membina rumah untuk golongan
berpendapatan sederhana dan rendah di Singapura. Langkah yang dilaksanakan oleh
HDB itu telah mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 80 peratus
penduduk republik itu memilih rumah yang dibina oleh lembaga itu. Untuk
mengelakkan penggantungan kepada bank-bank yang mensyaratkan pembeli membayar
balik pada kadar berlipat kali ganda daripada harga asal rumah, rakyat republik
itu juga dibenarkan mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) bagi
membiayai pembelian rumah berkenaan. Bagi membolehkan lebih banyak rumah
dibina, selain tanah kerajaan, boleh juga dibangunkan tanah rizab Melayu yang
terdapat berdekatan ibu kota.
Antaranya tanah-tanah
di Kampung Sungai Pusu berdekatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
di Gombak dan Hulu Langat, Selangor yang harganya masih lagi rendah. Dalam pada
itu, kaedah yang digunakan kerajaan Korea Selatan boleh dicontohi bagi
menangani perbuatan membeli rumah untuk tujuan spekulasi. Antara syarat-syarat
yang dikenakan, rakyat hanya dibenarkan membeli rumah selepas lima tahun
daripada pembelian rumah sebelumnya dan kerajaan juga sering menjalankan
siasatan terperinci bagi mengelak spekulator tidak membayar cukai. Sementara
itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM), Mohamad Noorizzuddin Nooh berkata, orang ramai tidak
seharusnya mengharap segala masalah perumahan mereka diselesaikan oleh kerajaan
sahaja.
Beliau berkata, isu
kenaikan harga rumah yang drastik dan tidak munasabah terutama di Kuala Lumpur
dan Selangor ketika ini adalah disebabkan suara pengguna tidak kuat. "Sekiranya
pengguna di negara ini bergerak sebagai sebuah entiti yang kuat, pastinya suara
mereka dapat memberi tekanan kepada pemaju-pemaju perumahan supaya membina
lebih banyak rumah mampu milik," katanya. Dalam masa sama, Mohamad
Noorizzuddin turut bersetuju dengan pendapat bahawa pemaju perumahan ketika ini
mencatat keuntungan yang keterlaluan hasil jualan projek-projek perumahan
mereka. Sehubungan itu, sempena pembentangan Bajet 2013 pada 28 September ini,
pihak kerajaan dan rakyat hendaklah saling bekerjasama bagi mengatasi isu
kenaikan harga rumah yang terlampau tinggi. Kepada kerajaan negeri yang
dikuasai pihak pembangkang, ketepikan perbezaan politik dan benarkanlah tanah
rizab Melayu dibangunkan dengan projek rumah mampu milik.
SUMBER
Utusan Malaysia
22 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan