22 September 2012

ISU SOSIAL : TANGANI KENAIKAN HARGA RUMAH


Rencana ini ditulis oleh :
NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah mendesak kerajaan supaya memasukkan syarat mewajibkan pemaju swasta membina 35 peratus rumah mampu milik bernilai antara RM60,000 hingga RM150,000 ketika pembentangan Bajet 2013 tidak lama lagi. Langkah itu adalah bagi memastikan lebih ramai rakyat termasuk 1.4 juta kakitangan awam dapat membeli rumah di kawasan bandar kerana jika jarak pergi balik dari kediaman ke tempat kerja lebih 100 kilometer, ia tidak relevan dan praktikal. Sekarang ini hanya di kawasan luar bandar sahaja menawarkan rumah mampu milik berharga tidak melebihi RM300,000, sedangkan ramai kakitangan awam bekerja di bandar.

Isu yang dibangkitkan oleh CUEPACS itu bukanlah baru kerana perkara itu telah lama disedari kerajaan dan ia terbukti apabila kerajaan mengumumkan skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) ketika pembentangan Bajet 2012. Skim itu membolehkan golongan berpendapatan sederhana antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan di kawasan bandar dan pinggir bandar membeli kediaman mampu milik pada harga di antara RM150,000 dan RM300,000 seunit. Ia menawarkan beberapa keistimewaan seperti pengecualian duti setem dan pinjaman sehingga 105 peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 30 tahun. Usaha kerajaan tersebut memang dialu-alukan oleh rakyat, tetapi 42,000 unit yang dijangka dibina di bawah fasa pertama skim PR1MA adalah tidak mencukupi berikutan jumlah golongan berpendapatan sederhana yang ramai.

Jika kita mengharapkan pemaju hartanah swasta untuk turut membina rumah mampu milik seperti yang disaran CUEPACS, sambutannya setakat ini adalah sangat mendukacitakan. Mengulas perkara itu, Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Amir Baharuddin berkata, dakwaan pemaju bahawa kos pembinaan yang tinggi adalah punca mereka tidak berbuat demikian adalah tidak benar. Katanya, ia sebenarnya berpunca daripada keinginan pemaju swasta untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda. "Saya difahamkan oleh beberapa pemaju, kos harga pembinaan sebuah rumah sebenarnya adalah separuh daripada harga jualan rumah terbabit. Justeru kerajaan perlu mengambil langkah dan memantau keuntungan para pemaju ini kerana ada kes pemaju memperoleh keuntungan sehingga 50 peratus selepas sesebuah rumah itu dijual," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui antara punca harga rumah melambung tinggi adalah disebabkan berlakunya pembelian atas tujuan pelaburan oleh pihak yang mengaut keuntungan berganda melalui penjualan semula. Menyifatkannya sebagai perkara tidak sihat, jelas Amir, spekulasi hartanah seperti itu perlu dibendung kerana ia antara punca berlakunya masalah ekonomi di negara-negara Barat. "Ketika ini rumah harus dianggap sebagai keperluan asas rakyat sama seperti beras, justeru tidak wajar wujud pelaburan dan spekulasi mengenainya," jelas beliau. Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk FD Iskandar FD Mansor mencadangkan kerajaan mengenakan levi kepada para pemaju hartanah bagi membolehkan kerajaan mendapat pendapatan untuk membina sendiri rumah mampu milik bagi keperluan rakyat.

Beliau berkata, kaedah itu lebih berkesan daripada mewajibkan pemaju perumahan memperuntukkan kuota 30 peratus rumah mampu milik sebagai tanggungjawab sosial korporat. "Kami bukan mahu lari dari tanggungjawab tetapi arahan tersebut merugikan pemaju kerana rumah-rumah tersebut yang dibina jauh dari bandar seperti di Hulu Selangor tidak mendapat sambutan," katanya. Justeru, katanya, adalah lebih baik kerajaan mengenakan levi untuk disumbangkan kepada satu tabung atau agensi yang terlibat dalam perumahan seperti Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) dan Perbadanan Program Perumahan 1Malaysia. "Lebih baik kerajaan yang bina sendiri rumah-rumah jenis ini dan terserahlah sama ada rumah berkenaan mahu jual atau disewakan," katanya. Apa yang dicadangkan oleh beliau itu adalah antara perkara-perkara yang perlu diteliti oleh kerajaan bagi memastikan lebih banyak rumah untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah dapat dibina.

Kaedah sewa beli untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi golongan berpendapatan rendah boleh juga diperluaskan membabitkan rumah skim PR1MA. Cara ini telah digunakan Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) yang membina rumah untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah di Singapura. Langkah yang dilaksanakan oleh HDB itu telah mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 80 peratus penduduk republik itu memilih rumah yang dibina oleh lembaga itu. Untuk mengelakkan penggantungan kepada bank-bank yang mensyaratkan pembeli membayar balik pada kadar berlipat kali ganda daripada harga asal rumah, rakyat republik itu juga dibenarkan mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) bagi membiayai pembelian rumah berkenaan. Bagi membolehkan lebih banyak rumah dibina, selain tanah kerajaan, boleh juga dibangunkan tanah rizab Melayu yang terdapat berdekatan ibu kota.

Antaranya tanah-tanah di Kampung Sungai Pusu berdekatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak dan Hulu Langat, Selangor yang harganya masih lagi rendah. Dalam pada itu, kaedah yang digunakan kerajaan Korea Selatan boleh dicontohi bagi menangani perbuatan membeli rumah untuk tujuan spekulasi. Antara syarat-syarat yang dikenakan, rakyat hanya dibenarkan membeli rumah selepas lima tahun daripada pembelian rumah sebelumnya dan kerajaan juga sering menjalankan siasatan terperinci bagi mengelak spekulator tidak membayar cukai. Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizzuddin Nooh berkata, orang ramai tidak seharusnya mengharap segala masalah perumahan mereka diselesaikan oleh kerajaan sahaja.

Beliau berkata, isu kenaikan harga rumah yang drastik dan tidak munasabah terutama di Kuala Lumpur dan Selangor ketika ini adalah disebabkan suara pengguna tidak kuat. "Sekiranya pengguna di negara ini bergerak sebagai sebuah entiti yang kuat, pastinya suara mereka dapat memberi tekanan kepada pemaju-pemaju perumahan supaya membina lebih banyak rumah mampu milik," katanya. Dalam masa sama, Mohamad Noorizzuddin turut bersetuju dengan pendapat bahawa pemaju perumahan ketika ini mencatat keuntungan yang keterlaluan hasil jualan projek-projek perumahan mereka. Sehubungan itu, sempena pembentangan Bajet 2013 pada 28 September ini, pihak kerajaan dan rakyat hendaklah saling bekerjasama bagi mengatasi isu kenaikan harga rumah yang terlampau tinggi. Kepada kerajaan negeri yang dikuasai pihak pembangkang, ketepikan perbezaan politik dan benarkanlah tanah rizab Melayu dibangunkan dengan projek rumah mampu milik.

SUMBER
Utusan Malaysia
22 September 2012

ISU BELIA : MEMAHAMI MINDA ANAK MUDA


Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia


Pertanyaan yang dikemukakan oleh seorang mahasiswa baru dalam satu majlis bersama seorang pegawai kanan polis baru-baru ini menimbulkan banyak tanda tanya kepada penulis. Soalannya mudah, tetapi implikasinya yang sukar untuk ditelah. Secara ringkas anak muda yang baharu seminggu memasuki dunia kampus bertanya tentang kedudukan raja dan perwarisannya yang diakhiri dengan kata-kata, "… saya tidak pasti adakah pertanyaan saya ini akan menyebabkan polis akan menggari saya nanti." Bertanya tentang sistem negara yang mengamalkan Raja Perlembagaan bukanlah salah (walaupun yang ditanyakan itu bukanlah perkara baharu), yang berasaskan rujukan kepada blog dan Internet tetapi cara ia disoal dan kebimbangannya dalam ayat terakhir itu menunjukkan interpretasinya terhadap kebebasan bersuara yang ada.

Apatah lagi kebelakangan ini kita berhadapan dengan peristiwa-peristiwa yang amat merunsingkan melalui tindakan-tindakan provokasi yang bukanlah menjadi amalan dan budaya kita selama ini. Antaranya tindakan menurunkan gambar pemimpin negara, menurunkan bendera negara dan menukarkannya dengan bendera lain apatah lagi memijak-mijak gambar pemimpin negara dalam menunjukkan kemarahannya. Kita boleh menganggap perlakuan-perlakuan ini sebagai satu manifestasi rasa tidak puas hati mereka, namun ia melampaui daripada apa yang dapat kita bayangkan selama ini. Walaupun kita tahu bahawa sebahagian besar lagi anak-anak muda kita di negara ini amat rasional dan mengeji tindakan sedemikian, namun prasangka dan keberanian luar biasanya harus dikaji dengan mendalam kenapa mereka sanggup berbuat demikian.

Adakah berita-berita di dalam blog dan Internet begitu mempengaruhi mereka seperti mana dikatakan oleh mahasiswa yang bertanya soalan itu yang mungkin boleh dianggap kes terpencil. Namun kita juga tahu bahawa anak-anak muda tidak pula mudah mempercayai blog-blog yang mempunyai pandangan yang dianggap mengikut pemikiran arus perdana. Atau kita sebenarnya berhadapan dengan masalah kurang maklumat di Internet untuk dirujuk walaupun kita tahu terdapat banyak disediakan melalui pelbagai kementerian yang mungkin sentiasa dianggap tidak tepat. Ia seolah-olah satu skrip bahawa apa jua yang disediakan oleh sumber sahih terutamanya kementerian sebagai tidak tepat, sama seperti anggapan bahawa apa sahaja yang dilaporkan oleh media arus perdana sebagai tidak tepat dan berat sebelah.

Sedangkan kalau kita membaca akhbar dan media yang dianggap sebagai alternatif termasuk media politik juga membawa berita yang hanya melihat dalam perspektifnya semata-mata, amat negatif terhadap pihak bertentangan, menyatakan hanya kesalahan, kesilapan dan fakta yang berasaskan tuduhan yang sesetengahnya boleh dipertikaikan jika dilihat secara lebih mendalam. Malah soalan seperti "adakah saya akan ditangkap pihak berkuasa" hanya kerana bertanyakan sesuatu yang dianggap "taboo", kerap kali berasaskan kepada prasangka dan pandangan serong sedangkan hakikat sebenar terdapat banyak perkara yang kini dibincang secara terbuka. Malah sesetengahnya mengundang kekeliruan pun, sering dibiarkan tanpa tindakan pihak berkuasa kecuali untuk kes-kes yang benar-benar mengancam keselamatan dan menyalahi undang-undang yang ada.

Usaha yang telus, tulus dan ikhlas serta terbuka harus dibuat untuk memahami pemikiran anak-anak muda kita. Mereka yang dengan sengaja menimbulkan provokasi dan menggunakan anak-anak muda malah meracuni pemikiran sesetengah anak-anak muda ini perlu lebih bertanggungjawab kepada negara dan bangsa. Usaha mendekati dan melibat sama anak-anak muda kita dalam banyak aktiviti yang bersesuaian termasuk di universiti perlu dilakukan secara berhemah dan berterusan. Kumpulan yang mempunyai pemikiran yang dianggap melawan arus dan bertentangan dengan arus perdana perlu didekati secara terbuka tanpa prasangka. Niat mereka dalam meluahkan soalan dan pertanyaan malah mempertikaikan apa jua pun sewajarnya dilihat secara positif dan mungkin bagi sesetengah kita naif. Namun kita perlu berkawan dan lebih rapat dengan mereka untuk lebih mengerti suara hati, walaupun kita tahu telah banyak aktiviti dan inisiatif dibuat selama ini.

Penjelasan yang tepat harus diberi untuk mereka memahami susur galur perjuangan menegakkan bangsa dan negara yang merdeka demi kelangsungan agama dan keluhuran akal budi dalam konteks iman dan takwa. Namun kaedahnya bukanlah ceramah, berkhutbah dan berleter panjang. Medium dan cara sesuai harus dicari setaraf dengan pemikiran anak-anak muda terutamanya dalam lingkungan budaya ilmu dan intelektual. Anak-anak muda hari ini sentiasa terdedah dengan maklumat yang terdapat di sekelilingnya sama ada melalui Internet atau pun media lainnya dalam proses globalisasi dan langit terbuka yang ada. Media sosial sudah menjadi seakan-akan sarapan pagi, hidangan tengah hari, makan malam malah hingga ke pagi. Jadual hidup mereka lebih banyak diisi dari malam hingga ke pagi berbanding dengan siang hari yang mungkin dihabiskan untuk kehidupan formal dan rehatnya.

Segalanya jauh berubah. Nilai yang ada, cara berfikir dan apa jua yang sering dianggap oleh orang tua sebagai "makan garam terlebih dahulu" hari ini dianggap sudah ketinggalan. Sejarah walau pun penting bukan lagi pertimbangan dalam membuat keputusan. Jangan bercerita yang kita dahulu hidup susah dan perjuangan yang perit membolehkan kita menikmati kesenangan sekarang kerana itu dianggap 'cerita lama' dan tidak berkaitan. Semua ini harus difahami dan inilah yang dilakukan oleh sesetengah pihak dalam memanipulasikan sesetengah orang, bukan sahaja anak muda, tetapi juga orang dewasa yang melalui zaman susah. Mereka berusaha untuk menimbulkan 'kemarahan-kemarahan' dan 'ketidakpuasan hati', keadilan dan kesaksamaan sosial, kebebasan hakiki dan 'ancaman-ancaman' yang seolah-olah berat sebelah dan mengajak semua pihak melakukan perubahan.

Jerat dan permainan ini perlu difahami, dilihat secara terbuka, rasional dan penuh keberanian untuk menghadapinya sebagai satu lagi cabaran sebuah negara merdeka. Sesetengah pihak memberikan gambaran bahawa kita berhadapan dengan masalah perkauman yang serius, sedang hakikatnya kita berinteraksi, berkawan, bersahabat, menolong orang dan bertindak berasaskan nilai universal tanpa ada prasangka. Di pejabat, dalam masyarakat dan di mana sahaja termasuk dalam pelbagai institusi, gerai mamak, kopitiam, kompleks perniagaan, sambutan perayaan dan pelbagai lagi menjadi tempat tumpuan tanpa rasa takut dan bimbang yang menunjukkan dengan jelas bagaimana hubungan mesra tanpa masalah. 

Memahami minda anak muda perlukan komitmen semua pihak, ibu bapa, pemimpin masyarakat dan pemimpin politik, pemimpin institusi dan semua kita untuk berganding bahu. Dengan memahaminya, kita dapat bersama-sama berganding bahu untuk mengelakkan sebarang prasangka dan bersama-sama memelihara kesejahteraan tanpa memperjudikannya hanya kerana marah dan tidak puas hati terhadap sesuatu yang mungkin tidak tepat apatah lagi menggunakan fakta yang seakan-akan satu skrip yang dicipta untuk mempertikaikan apa sahaja dengan harga yang amat mahal iaitu masa hadapan sebuah negara dan bangsa.

SUMBER
Utusan Malaysia
22 September 2012

20 September 2012

ISU SOSIAL : ELAK JADI MANGSA, PEMANGSA "SAKIT AKHLAK"


Rencana ini ditulis oleh :
AKMAL JAMAL


Baru-baru ini ada dua berita yang membuatkan kita menggeleng kepala. Kita tertanya-tanya sampai bila masalah 'sakit akhlak' seperti itu akan kedengaran lagi pada masa akan datang. Pertama, berita tentang penemuan seorang bayi yang mati di Pangsapuri Desa Mentari, Jalan Klang Lama. Dipercayai ibu zalim kepada bayi malang itu seorang wanita berusia 23 tahun telah pun ditangkap polis untuk tujuan siasatan selanjutnya. Kedua, tentang penangkapan seorang bomoh lelaki 'celup' di Negeri Sembilan yang mengamalkan nikah batin sebagai helah untuk melakukan seks dengan pesakitnya. Sungguhpun pelaku kepada dua kes tersebut terdiri daripada jantina dan kategori jenayah yang berbeza tetapi persamaannya masih ada. Paling ketara, kedua-duanya adalah Melayu beragama Islam. Buktinya dapat dilihat daripada cara berpakaian dan modus operandi kegiatan.

Suspek wanita yang bekerja kilang itu dilaporkan bertudung dan berkain batik ketika hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 17 September lalu. Bomoh palsu yang sudah berkeluarga itu pula menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dengan tujuan meyakini pesakitnya untuk melakukan hubungan seks. Hakikatnya lagi, kedua-duanya berkongsi taraf yang sama iaitu menjadi 'mangsa' kepada kehendak nafsu liar masing-masing yang kemudiannya menjerumuskan mereka sebagai pemangsa dan penjenayah. Pada ketika sistem kehidupan kita pada hari ini semakin rapat dengan nilai-nilai dan amalan hidup Islam berbeza dengan latar sosio-budaya masyarakat Melayu kita pada dekad-dekad 1960 dan 1970-an lalu, kes jenayah berkaitan nafsu tidak terbendung masih menghantui masyarakat Melayu Islam hari ini. Ketika akses kepada maklumat membendung jenayah mudah didapati serta hebahan berita sebelum ini yang banyak membangkitkan isu buang bayi serta rawatan perubatan palsu, tetap ada orang Melayu yang terus mengulang kebejatan akhlak yang sama.

Sungguhpun, kerajaan sudah mengambil inisiatif mewujudkan tempat khas perlindungan bayi (baby hatch) namun masih ada juga ibu yang tergamak bukan sahaja membuang malah membunuh bayi hasil hubungan terlarang yang dikandungnya selama ini.

Dua kes 'sakit akhlak' tersebut walaupun bukan baru kita dengar tetapi sifat konsisten berulangnya kes-kes yang sama seperti itu memberi isyarat akan lemahnya ketahanan jiwa kita. Tambahan pula, apabila membandingkannya dengan rakan-rakan dari kaum lain. Jarang kita dengar kedua-dua kes tersebut dilakukan oleh mereka. Hal ini menunjukkan perkara paling asas yang ditekankan oleh agama Islam iaitu perikemanusiaan dan berfikir panjang masih gagal 'mendarah daging' dalam setiap diri masyarakat Melayu Islam kita. Benar kita manusia yang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan sehingga ada yang menjadi mangsa nafsu seks diri sendiri. Namun, tindakan sehingga sanggup membunuh bayi yang tidak berdosa itu sudah melampaui sifat binatang yang bukan mudah boleh diampunkan begitu sahaja oleh insan yang waras dan ada pegangan agama.

Segala perlakuan 'sakit akhlak' seperti kedua-dua kes tersebut juga adalah contoh masih ramai Melayu Islam hari ini tidak rasional dan hanya mahu memuaskan gejolak nafsu tanpa memikirkan kesudahannya nanti. Bomoh palsu itu memang sudah terang tidak fikir apa melainkan sudah berajakan nafsu tetapi hairannya bagaimana ada wanita begitu mudah menyerahkan tubuh masing-masing atas alasan mahu mendapatkan rawatan? Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di tanah air ini, orang Melayu Islam mesti mengelak daripada terus menelanjangkan diri mereka sendiri.

Tingkatkan rasa perikemanusiaan dan berfikir panjanglah jika benar kita mahu bangsa dan agama kita dihormati oleh orang lain.

SUMBER
Utusan Malaysia
20 September 2012

ISU SOSIAL : TERDESAK BUANG DAN BUNUH BAYI : APA PERANAN KELUARGA?


Rencana ini ditulis oleh :


Dosa sudah dilakukan - hingga hamil anak luar nikah. Belum terhapus lagi dosa yang satu itu, satu lagi dosa besar dilakukan, membuang dan membunuh bayi yang dikendong ke hulu ke hilir selama sembilan bulan itu. Kini di negara ini, kisah buang dan bunuh bayi bagaikan sudah menjadi satu berita biasa. Bila sudah jadi berita biasa, tiada lagi apa yang hendak digemparkan. Mungkin sekejap, sehari dua jadi bahan bualan dalam masyarakat, dibincang jalan cari penyelesaian, kemudian senyap balik, sehingga kes yang sama muncul semula.

Kisah mencampakkan bayi perempuan yang baru dilahirkan di Pangsapuri Desa Mentari di Petaling Jaya, kelmarin salah satu antara episodnya. Sebelum ini seorang bayi lelaki yang juga baru dilahirkan dijumpai mati dalam mangkuk tandas di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang yang dilahirkan oleh seorang remaja berusia 16 tahun!

Ini semua berlaku dan dilakukan kerana panik dan terdesak. Bila semuanya sudah pun terjadi, nasi telah menjadi bubur setelah benteng keimanan roboh, demi kasih sayang kepada teman lelaki kononnya, apa yang perlu dilakukan oleh gadis yang hamil ini? Menyesali perbuatan dan kemudiannya membuang bayi selepas dilahirkan, kononnya selepas itu mahu membuka episod baru dalam hidup? Itukah penyelesaiannya? Dan di saat-saat genting itu di manakah keluarga mereka? Apa yang keluarga mereka boleh lakukan untuk menjadikan keadaan tidak bertambah buruk kepada anak gadis mereka? Memaki hamun, memukul, menghalau dan tidak mengaku anak? Itu sajakah penyelesaiannya? Dan kenapa membiarkan gadis terbabit saja menanggung segala akibatnya? Bagaimana pula dengan lelaki yang tidak bertanggungjawab itu? Dibiarkan hilang begitu sajakah dan terus lepas bebas menjadi manusia yang tidak bertanggungjawab.

Ramai mungkin tertanya-tanya apabila seseorang gadis itu terlibat dalam kes membuang bayi atau lebih sadis lagi membunuh bayinya, macam mana keluarga gadis berkenaan boleh tidak tahu anak mereka hamil sehingga ada yang duduk serumah pun boleh tidak perasan.

Memang, ibu bapa mana yang tidak hancur hatinya apabila anak gadisnya menconteng arang di muka keluarga. Memang dosa dan kesalahan telah dilakukan, tetapi itu tidak bermakna gadis tersebut perlu dihukum dengan membiarkan dia saja menanggung padahnya dan dia tidak perlu lagi mendapat perlindungan daripada keluarganya. Dalam usia yang begitu muda, mampukah mereka menghadapi tekanan itu sendirian. Membiarkan gadis ini menanggungnya sendiri, akhirnya keluarga terbabit pasti akan terpalit bebannya kemudian hari kelak. Ibu bapa atau keluarga wajar mendapatkan bantuan bukan saja untuk anak mereka, tetapi untuk memastikan bayi yang dikandung itu juga dapat diselamatkan sekali gus tidak menjadikan anak mereka seorang penjenayah kerana membuang bayi atau lebih besar lagi menjadi pembunuh. Dalam keadaan ini, ibu bapa mahu atau tidak, perlu mempunyai kesedaran dan tanggungjawab terhadap situasi ini.

Penyelesaian jangka pendek yang terbaik sekiranya tidak mampu menjaganya adalah dengan menghantar anak mereka yang hamil ke pusat perlindungan wanita atau remaja hamil luar nikah yang terdapat di negara ini, sama ada diusahakan oleh pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan atau persendirian. Kemudian bimbinglah semula anak gadis mereka pulang ke pangkal jalan dengan didikan agama dengan harapan kehidupan anak mereka itu akan menjadi lebih baik pada masa depan. Contohnya, di Johor, seramai 140 bayi luar nikah di negeri berkenaan berjaya diselamatkan daripada digugurkan atau dibuang oleh ibu mereka yang merupakan remaja di bawah usia 13 hingga 18 tahun dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

Dalam pada itu, lelaki yang terbabit juga tidak seharusnya dibiarkan lepas. Mesej yang jelas perlu disampaikan kepada masyarakat bahawa kes pembuangan bayi adalah kesalahan yang amat serius dan tidak seharusnya diletakkan di atas bahu gadis terbabit semata-mata. Sebaliknya, pihak lelaki juga mesti dipertanggungjawabkan dan perlu menerima hukuman setimpal atas perbuatan mereka. Teknologi yang canggih pada masa kini khususnya penggunaan kaedah DNA boleh dimanfaatkan bagi mengenalpasti bapa bayi berkenaan.

Dan kepada ibu bapa lain, sudah tentunya langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan dengan memberikan didikan agama secukupnya, tidak membiarkan anak bergaul terlalu bebas atau membiarkan mereka menguruskan masalah peribadi secara sendirian tanpa kita mengetahui apa masalahnya. Kita adalah pelindung mereka.

SUMBER
Utusan Malaysia
19 September 2012

19 September 2012

ISU SOSIAL : UTAMAKAN RUMAH ORANG MUDA


Rencana ini ditulis oleh
BUDIMAN MOHD. ZOHDI
Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang)


Bajet 2013 akan dibentangkan di Parlimen pada 28 September ini. Tentunya bajet pada kali ini mempunyai harapan yang tinggi oleh anak muda berkaitan isu perumahan. Dua isu utama adalah keupayaan anak muda untuk memiliki rumah kerana kekangan harga yang melambung tinggi. Keduanya adalah kualiti rumah dan persekitaran yang kondusif untuk didiami. Pada hari ini rumah bukan sekadar tempat berlindung tetapi juga menjadi simbol status sosial. Ahli falsafah juga mengungkapkan "rumahmu adalah wajahmu dan jiwamu". Dasar Perumahan Negara (DRN) yang dilancarkan pada 2011 bermatlamat menyediakan perumahan yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu dimiliki bagi meningkatkan kehidupan rakyat.

Secara mudah kerajaan bertanggungjawab memastikan semua rakyat dapat memiliki dan menyewa rumah terutama kepada berpendapatan rendah dan sederhana. Sudah semestinya dasar ini mesti dirasai oleh golongan muda kerana sering berlaku golongan ini gagal mendapat rumah sendiri ketika usia semakin lanjut, pendapatan masih rendah namun bergelumang dengan kos kehidupan yang semakin meningkat. Di Selangor, sejak pertukaran pemerintah kepada DAP-Pas-PKR sudah tiada lagi kedengaran kerajaan negeri melaksanakan projek perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana apatah lagi untuk golongan muda.

Rumah pangsapuri kos rendah antara projek terakhir ialah pada 2008 di Seksyen 7 Shah Alam di mana majoriti penduduk pangsapuri berkenaan adalah penduduk setinggan dari sekitar Batu Tiga Shah Alam dan dari seluruh pelosok Selangor. Begitu juga di Ken Rimba, Padang Jawa, Shah Alam merupakan projek pangsapuri kos rendah yang menempatkan setinggan dari Seksyen 16 Shah Alam di bawah Program Setinggan Sifar.nKeperitan anak muda berpanjangan apabila tiada lebihan wang untuk memiliki rumah. Gaji mereka cukup sekadar menanggung perbelanjaan bulanan. Jika mereka bersetuju untuk menerima tambahan beban hutang bermakna mereka perlu menambah pendapatan bulanan atau mengurangkan perbelanjaan. Keadaan menjadi semakin kritikal apabila mereka tinggal di bandar-bandar besar dan masih lagi menanggung adik dan ibu bapa.

Sistem pendidikan sedia ada hanya membolehkan mereka yang berumur pertengahan 20-an untuk memulakan kerjaya. Tanggungan utama mereka setelah bekerja adalah membayar kembali pinjaman pendidikan, berkahwin dan memiliki kenderaan untuk ke tempat kerja. Hanya setelah mereka berkeluarga dan stabil dalam pendapatan barulah idea memiliki rumah sendiri muncul. Pembiayaan pembelian rumah masih lagi di bawah penilaian bank. Penilaian bank adalah merujuk kepada kemampuan bayar balik pinjaman. Oleh itu hanya pembeli yang layak sahaja bakal menikmati pinjaman. Selagi pihak bank tidak melonggarkan kriteria pinjaman selagi itu ia hanya bakal dinikmati oleh sebahagian kecil golongan muda.

Dalam perkiraan mudah dengan rumah yang berharga RM200,000 dan tempoh bayaran 25 tahun peminjam akan membayar RM1,000 sebulan. Jika diambil perkiraan 25 peratus daripada pendapatan maka peminjam mestilah berpendapatan RM4,000. Biasanya tahap gaji ini akan diperolehi setelah lima tahun bekerja. Harga rumah pada hari ini ditentukan oleh harga pasaran. Anak muda yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM7,000 tidak mampu memiliki rumah melebihi RM400,000. Untuk membeli sebuah rumah dengan kos RM400,000 mereka terpaksa duduk jauh dari tempat kerja. Ada perubahan terhadap isu perumahan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengimbas Bajet 2011 diperkenalkan inisiatif sebanyak RM568 juta terhadap Projek Bantuan Perumahan Bandar. Kemudian diperkenalkan pula pinjaman kewangan 100 peratus kepada golongan muda yang berpendapatan RM3,000. Skim tanpa deposit 10 peratus membenarkan golongan muda berumur 35 tahun ke bawah memiliki rumah berharga antara RM100,000 hingga RM220,000. Terkini Program Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) diperkenalkan. Ia memberi tumpuan rumah mampu milik di kawasan bandar dan pinggir bandar kepada anak muda berpendapatan antara RM2,500 hingga RM6,000 sebulan dengan harga rumah RM150,000 hingga RM300,000 bergantung kepada lokasi dan saiz.

Teruskahlah, semoga ada 
khabar gembira daripada Bajet 2013.

Sumber :
Utusan Malaysia
19 September 2012

ISU PENDIDIKAN : DASAR PENDIDIKAN : DARIPADA RAKYAT KEPADA RAKYAT


Rencana ini ditulis oleh
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan
Ahli Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara.


"ERA kerajaan mengetahui segala-galanya 
telah berakhir. Kerajaan sedia turun ke bawah bertemu rakyat untuk mendapatkan pandangan dan idea sebelum menggubal sesuatu dasar atau peraturan."

Demikian ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melancarkan Laporan Awal Pelan Pembanguan Pendidikan 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 September lepas. Tambah beliau, Laporan Awal itu bakal memberi perubahan signifikan serta bersifat lonjakan berganda kepada pendidikan negara dalam melahirkan modal insan berkualiti. Beliau turut menggesa pemimpin semua peringkat berani mengetepi politik daripada pendidikan dan membuat keputusan demi masa depan anak-anak yang lebih baik, bukan untuk tujuan populis. Atas kesedaran tersebut Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membentuk pasukan Panel Dailog Nasional Pendidikan Negara untuk mengumpul pandangan masyarakat di seluruh negara mengenai langkah-langkah terbaik bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan menerusi siri jelajah dialog pendidikan sebanyak 7,039 syor diterima daripada hampir 12,000 peserta yang mengambil bahagian selain 156 memorandum daripada pelbagai pertubuhan dan individu. Kata beliau, selain rumusan yang disediakan oleh Panel Dailog Nasional diambil kira juga pandangan panel penilai bebas tempatan dan antarabangsa dalam penyediaan laporan tersebut. Kementerian juga turut mendapatkan input daripada kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia dan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) tempatan. Ternyata bahawa sebahagian besar daripada pandangan rakyat telah diambil kira dalam menyediakan Laporan Awal itu. Namun demikian terdapat juga beberapa isu yang sering dibangkitkan dalam sesi dialog telah ditolak antaranya ialah meminta dikembalikan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Penolakan ini mungkin disebabkan melalui kajian yang lepas memperlihatkan sebahagian besar murid tidak dapat menguasai mata pelajaran itu dengan baik atau faktor kesediaan guru dan mungkin kekurangan kemudahan terutama sekolah luar bandar serta pedalaman. Tambahan pula saranan pihak UNESCO bahawa mata pelajaran tersebut lebih berkesan jika diajar menggunakan bahasa ibunda. Namun demikian isu bahasa ini dijawab dalam Anjakan Kedua yang memperakukan setiap murid mesti profesion dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebelum meninggalkan bangku sekolah. Bagi mengukuhkan penguasaan, semua guru bahasa Inggeris adalah terlatih dan diwajibkan lulus Ujian Pencapaian Cambridge. Bagi memantapkan penguasaan maka mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris akan diperkenalkan di peringkat menengah.

Dalam Dialog Nasional terdapat juga pandangan ekstrem misalnya mencadangkan dikembalikan semula pengantar bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. Mereka menyarankan supaya sistem pendidikan di zaman kolonial digunakan semula kerana dikatakan sangat berkesan melalui contoh kehidupan dan kejayaan yang mereka alami. Alasan mereka amat mudah iaitu bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa dan negara akan maju jika semua rakyat berkemahiran dalam bahasa itu. Namun demikian kebiasaannya cadangan itu akan dipatahkan melalui hujah yang lebih rasional oleh peserta lain dalam siri dialog berkenaan.

Natijahnya sebahagian besar rumusan Dialog Nasional telah diambil kira dalam menyediakan Laporan Awal antaranya cadangan memulakan tahun persekolahan dari usia tujuh tahun kepada enam tahun. Kanak-kanak diyakini telah bersedia untuk memasuki alam persekolahan pada usia tersebut dan membolehkan mereka menamatkan persekolahan lebih awal. Selain itu tempoh persekolahan wajib dinaikkan daripada enam tahun kepada sebelas tahun. Ini bermakna pelajar wajib menamatkan persekolahan mereka sehingga Tingkatan Lima. Adalah menjadi kesalahan dan ibu bapa boleh didakwa jika tidak menamatkan persekolahan anak mereka seperti Kaedah Pendidikan Wajib yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 sekiranya dipinda Akta itu.

Pengenalan kepada kaedah fast-track membolehkan pelajar yang mempunyai daya intelek tinggi memasuki kelas yang lebih tinggi lebih awal jika dibandingkan dengan rakan sebayanya. Selain itu untuk menyeragamkan penguasaan bahasa Melayu maka kurikulum dan penilaian Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan bagi mata pelajaran itu akan disamakan. Di samping itu Kelas Peralihan akan dihapuskan menjelang 2017 bagi membolehkan tempoh persekolahan antara aliran yang berbeza itu diselaraskan. Hampir semua dalam siri dialog peserta mencadangkan diwujudkan Indeks Prestasi Utama (KPI). Menurut mereka KPI adalah alat pengukur pelaksanaan paling berkesan yang dipraktikkan bagi menilai pencapaian prestasi dalam sektor swasta. Hasilnya dalam Laporan Awal menegaskan KPM akan menetapkan KPI kepada semua pegawai kumpulan pengurusan tertingginya hingga kepada guru peringkat sekolah.

Langkah ini bagi memastikan matlamat pelan pendidikan yang sarat dengan transformasi itu dapat memberi impak besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara. Bagi memastikan KPI dilaksanakan dengan berkesan akan diwujudkan Unit Penyampaian Pendidikan khusus untuk memacu isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak berkepentingan dan mengumpul maklumat balas secara berterusan. Bagi kepentingan rakyat selepas ini KPM akan mengadakan hari terbuka untuk membolehkan masyarakat meneliti kandungan pelan itu. Mereka masih boleh mendapatkan penjelasan dan mengemukakan maklumat balas kepada kerajaan khususnya KPM. Sesungguhnya Dasar Pendidikan yang digubal ini adalah datangnya daripada rakyat dan ditujukan kepada rakyat.

Sumber :
Utusan Malaysia
19 September 2012

18 September 2012

ISU BAHASA : NILAI EKONOMI BAHASA MELAYU DI NUSANTARA


Rencana ini ditulis oleh :
Johan Jaaffar


Baru-baru ini saya telah menemui sekumpulan pemimpin muda Republik Singapura. Mereka terdiri daripada ahli politik, pimpinan NGO, budayawan, penulis dan wartawan daripada pelbagai bangsa. Kami membincangkan banyak isu, paling menarik tentunya ialah pengalaman Singapura menangani isu bahasa. Antara tokoh muda itu terdapat beberapa orang anak Melayu. Mereka ternyata menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan apabila bercakap dalam bahasa Melayu terasa benar kekoknya. Mereka mengakui bahawa bahasa Melayu, walaupun menjadi salah satu bahasa rasmi republik itu, amat kurang peranannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa perhubungan. Perjalanan Singapura dalam soal kebahasaan amat berbeza dengan pengalaman Malaysia, Indonesia, Brunei atau Filipina. Saya mendapat kesan bahawa persepsi mereka ialah kepentingan bahasa Inggeris tidak ada galang gantinya hari ini. Mereka boleh hidup dengan hanya menguasai bahasa Inggeris.

Memang terbukti sejak Singapura berpisah dari Malaysia pada tahun 1965, republik itu menjadi kuasa ekonomi serantau. Salah satu daripada kunci kejayaannya ialah penguasaan bahasa Inggeris yang baik.  Saya memperingat mereka tentang buku bekas Perdana Menteri republik itu, Lee Kuan Yew, My Lifelong Challenge: Singapore’s Bilingual Journey. Memang Lee Kuan Yew bertanggungjawab menghapuskan sistem sekolah vernakular pada peringkat awal kemerdekaan negara itu. Beliau membuat keputusan itu ekoran tindakan pelajar aliran Cina yang militan ketika itu. Walaubagaimanapun Lee Kuan Yew percaya perlunya pemimpin Singapura menguasai pelbagai bahasa. Beliau sendiri mendalami bahasa Mandarin dan memperbaiki penguasaan bahasa Melayu. Akhir-akhir ini beliau mengakui bahawa akibat penekanan pada bahasa Inggeris, bahasa ibunda menjadi korban. Beliau mencadangkan ‘Lee Kuan Yew Bilingualism Fund’ bagi menyemarakkan pengajaran dalam bahasa ibunda di sekolah. Beliau sedar bahawa anak-anak perlu menguasai bahasa ibunda sekurang-kurangnya sehingga usia 12 tahun sebelum memberikan tumpuan kepada bahasa Inggeris.

Rata-rata pemimpin Singapura hari ini terbentuk dalam sistem satu bahasa. Bahasa vernakular yang lain semakin diabaikan. Alasan yang diberikan ialah bahasa-bahasa vernakular tidak penting lagi. Bahasa Cina hanya diberikan perhatian serius apabila Negara China bangkit sebagai raksasa ekonomi baru.

Saya menghujahkan bahawa bahasa Melayu dituturkan oleh tidak kurang 400 juta manusia di rantau ini. Angka itu sahaja sudah menjamin nilai ekonominya. Singapura merupakan satu-satunya negara yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi di tengah lautan pengguna bahasa Melayu. Berdasarkan perhitungan strategik ekonomi sahaja, Singapura akan kerugian sekiranya bahasa Melayu diabaikan.  Mengetepikan kuasa beli 400 juta manusia tentulah tidak masuk akal. Bukan itu sahaja, hanya dengan menguasai lingua franca serantau, akan dapat difahami minda, sikap dan pandangan dunia penduduk setempat. Penjajah Inggeris satu masa dulu menghantar para pengkaji mempelajari bahasa dan sastera Melayu bagi memahami minda orang Melayu. Hanya dengan cara itu mereka memenangi hati dan perasaan orang Melayu.

Kita harus menerima hakikat bahawa bahasa Melayu akan terus menjadi bahasa utama penduduk di rantau ini. Tidak ada dasar bahasa, dasar pendidikan atau kuasa politik yang akan mengubah hal itu. Bahasa Melayu dalam pelbagai variasinya (bahasa Indonesia, bahasa Brunei, bahasa Melayu Singapura, bahasa Melayu Selatan Thailand, bahasa Melayu Mindanao, serta bahasa sukuan sekian banyak kelompok etnik dan daerah) akan terus menjadi bahasa ilmu, komunikasi, budaya dan sastera. Kemajuan negara-negara di rantau ini tidak akan mengubah hal itu. Seperti juga China, Korea dan Jepun tidak mengubah dasar bahasa, negara-negara di rantau ini tidak akan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kebangsaan mereka. Kenyataan ini kadangkala dilupakan oleh banyak pihak.

Kita juga harus menerima hakikat bahawa pada masa ini bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan di kesemua negara di Nusantara, kecuali Singapura. Penduduk di rantau ini tidak akan membuang bahasa ibunda mereka semata-mata untuk maju dan berjaya.

Ini bermakna, bahasa Inggeris akan terus menjadi bahasa kelompok elitis, kaum pedagang dan bahasa komunikasi di alam siber. Sifat elitisnya akan melahirkan pula generasi elitis yang selalunya akan dituduh terpisah dari akar dan teras bangsa mereka. Elit pemerintah, elit peniaga dan elit ilmuan ini selalunya memperagakan nilai dan psyche yang berbeza daripada rakyat terbanyak.  Tuntutan kelompok elit ini biasanya akan menjadi lantang kerana mereka mempunyai keupayaan menghujahkan pendirian mereka secara meluas. Mereka didukung pula oleh media elitis. Tetapi gelombang rakyat selalunya tidak menyebelahi mereka. Penentangan terhadap dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) merupakan contoh klasik bagaimana kelompok majoriti yang selama ini kelihatan membisu bangun ‘memberontak’ terhadap dasar yang mereka anggap bertentangan dengan kehendak terbanyak.

Politik bahasa harus ditangani dengan waspada. Seperti mana lantangnya pendidik Cina mempertahankan bahasa Cina atas dasar perlunya pendidikan asas dalam bahasa ibunda begitulah lantangnya tuntutan massa untuk melihat bahasa kebangsaan dimuliakan. Saya percaya pemimpin Singapura hari ini menyedari pentingnya memberikan empowerment pada orang Melayu Singapura. Pada waktu yang sama mereka ingin melihat bahasa ibunda setiap kaum diberikan tumpuan. Perjalanan dwibahasa Singapura yang baharu akan mencorakkan sikap mereka terhadap rantau Nusantara.

Kita mempunyai kelebihan dalam soal ini. Soalnya sama ada kita tahu memanfaatkannya dengan baik?

SUMBER
Berita Harian
18 September 2012

ISU SISWA : BERUBAHLAH SISWA, JALANI GAYA HIDUP SIHAT


Rencana ini ditulis oleh :
AKMAL JAMAL


Minggu kuliah di universiti sudah bermula. Seperti lazimnya, pelajar perempuan masih menjadi juara mendominasi kemasukan pelajar baru ke universiti awam. Bagi pelajar baru banyak perkara perlu disesuaikan dengan persekitaran dan budaya baru hidup di ruang yang dikelilingi ilmu. Ditambah usia muda penuh gelora, jati diri yang kuat amat perlu agar para pelajar universiti tidak hilang pedoman. Menimba ilmu itulah keutamaan. Leka bersembang dan berhibur di dunia Internet hanya menyumbang kebinasaan. Dalam masa sama, rasa kemanusiaan kita terhadap masyarakat di luar kampus juga tidak harus dilupakan.

Mereka juga termasuk ibu bapa dan keluarga kita pastinya mengharapkan kita kelak dapat menyumbang jasa dan ilmu kepada rakyat dan tanah air ini. Menyedari besarnya peranan dan tanggungjawab seorang mahasiswa sewajarnya ruang yang ada di universiti hari ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan kualiti diri dari semasa ke semasa. Bermula awal semester lagi tiada alasan untuk bermalas-malas mengunjungi perpustakaan di kampus masing-masing. Seorang individu harus malu mengaku dirinya pelajar universiti jika buku masih belum dibudayakan sebagai gaya hidupnya.

Pengalaman penulis di Universiti Malaya sebelum ini menyaksikan pagi-pagi lagi ramai pelajar bukan Melayu dari pelbagai fakulti sudah berada di perpustakaan utama menelaah buku dan menggelek laptop.

Ke mana perginya pelajar-pelajar Melayu Islam? Masih di atas katil lagikah? Walhal, mereka patut lebih awal meninggalkan asrama atau rumah sewa masing-masing selepas menunaikan sembahyang fardu Subuh. Atau tidak bangun untuk solat Subuh?! Ada yang menggunakan alasan tidak perlu ke perpustakaan kerana sekarang ini kononnya "maklumat di hujung jari". Itu dakwaan silap kerana teknologi hanya alat untuk mencari ilmu dan masih tidak menafikan keabsahan bahan bercetak terutama buku yang banyak tersusun di rak perpustakaan itu.

Mahasiswa Melayu terutamanya wajar mengambil suri teladan daripada intipati puisi Usman Awang tentang Perpustakaan (1982) antaranya berbunyi: "Perpustakaan tercinta ini, pelabuhan kebudayaan peradaban zaman, gedung akal laut bicara manusia, mutiara pendeta tasik pujangga, kota kebenaran penaung kebebasan ucap suara." Sibukkan masa di kampus dengan keterujaan yang tinggi untuk menggali ilmu dengan memanfaatkan ruang selesa lagi tenang di perpustakaan universiti masing-masing. Selain fenomena kurang mesranya sebahagian besar mahasiswa Melayu dengan perpustakaan mereka juga kurang 'ramah' dengan padang atau trek jogging. Bagaimana padang rekreasi awam di luar kampus yang hanya dimonopoli oleh kaum Cina pada awal pagi begitulah keadaannya dengan ruang riadah di universiti awam.

Waktu pagi pada hari cuti seperti hujung minggu di kampus, lebih ramai pelajar Melayu masih berlingkar di katil daripada membuat aktiviti rekreasi jauh sekali aktiviti ilmu. Ketika rakan-rakan bukan Melayu sedang menghirup udara pagi sambil membuang peluh berjoging sepanjang jalan yang tenteram di dalam kampus sebahagian pelajar Melayu tidak terkecuali perempuan masih lena diulit air liur basi. Ketika matahari mulai meninggi sebahagian mata anak-anak Melayu kita di universiti masih belum buka lagi sedangkan sebahagian pelajar Cina sudah ringan tubuh dan otaknya untuk sambung menelaah pelajaran semula!

Berubahlah mahasiswa Melayu dengan mencontohi mana yang baik daripada rakan-rakan kita bukan Melayu. Ada baiknya ibu bapa bagi pelajar baru yang memasuki universiti tahun ini sekali-sekala melakukan panggilan mengejut pada awal pagi bertanyakan aktiviti dan perancangan anak mereka untuk hari itu sebelum mereka jadi lebih liat. Buat mahasiswa Melayu khususnya, rajinlah bangun pagi. Selepas solat Subuh bergeraklah ke perpustakaan atau tempat rekreasi.

Utamakan belajar selain tidak lupa beriadah bukannya menghabiskan masa dan wang di universiti dengan tidur, makan dan berbelanja besar sahaja selain leka bersembang di Facebook, bermain permainan komputer atau bersembang gosip di birai katil asrama!

SUMBER
Utusan Malaysia
18 September 2012

17 September 2012

ISU GLOBAL : AMERIKA SYARIKAT HARUS BERTANGGUNGJAWAB


Rencana ini ditulis oleh
Ku Seman Ku Hussain


Ketika Duta Amerika Syarikat (AS) di Libya Christopher Stevens dibunuh semasa demonstrasi membantah filem menghina Nabi Muhammad, kita menganggap itu tindakan keterlaluan. Ini kerana pada prinsipnya filem itu dibuat oleh individu di AS dan tidak mewakili AS. Maka AS tidak wajar dipersalahkan. Tetapi beberapa hari selepas itu, tindakan membunuh Duta AS itu bukan sahaja wajar malah sangat wajar. Ada beberapa sebab yang mewajarkan tindakan itu antara yang paling ketara sekali ialah sikap dan pendirian AS terhadap penerbitan filem yang menyinggung umat Islam. Isunya sekarang ini bukanlah penerbit filem berkenaan. Sebaliknya sudah menjadi isu AS apabila Setiausaha Negara Hillary Clinton mengambil sikap lepas tangan terhadap isu berkenaan. Hillary mewajarkan penerbitan filem Innocence of Muslims itu kerana bersandarkan hak kebebasan bersuara rakyat AS.

Maka pembunuhan Duta AS itu adalah mesej Islam dari seluruh dunia supaya AS bertanggungjawab dengan mengenakan tindakan ke atas penerbit filem berkenaan. Kalau AS tidak mengambil tindakan, pembunuhan Duta itu bukanlah suatu yang kejam. Sebabnya AS lebih kejam memberi kelonggaran kepada individu memberi fakta yang salah sama sekali mengenai Nabi Muhammad. Fakta itu pula lebih kepada provokasi supaya umat Islam supaya memperlihatkan tindakan dan itu kemudiannya dilihat sebagai pelampau dari sudut pandangan AS. Melontarkan provokasi agama dengan menggambarkan tokohnya dengan keburukan bukanlah kebebasan bersuara. Maksud kebebasan bersuara lebih kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan ideologi, sosial atau politik. Kalau isu filem ini dianggap kebebasan bersuara, ternyata ini tidak memberi keadilan sama sekali kepada pihak majoriti atau umum. Sebabnya hujah tentang Nabi Muhammad tidak bersandarkan fakta tetapi rekaan semata-mata.

Kalau provokasi seperti ini dianggap kebebasan bersuara, maka jelaskan AS memberi kebebasan yang tidak membawa kebaikan malah memberi kerosakan kepada umum. Apabila sesuatu itu tidak memberi kebaikan kepada umum ia dengan sendirinya bertentangan dengan kepentingan umum. Apakah ini membuktikan AS yang mendakwa demokratik sebenarnya mengenepikan kepentingan umum untuk menjaga kepentingan individu?

Kebebasan

Maka isu penerbit filem sudah tidak penting lagi. Individu seperti ini ada di mana-mana, bukan sahaja di AS malah di negara-negara Islam sendiri. Mereka ini samalah dengan penulis Salman Rushdie yang menulis The Satanic Verses atau Irshad Manji yang menghina Islam dengan lesen kebebasan bersuara. Individu seperti ini mempunyai agenda tertentu atau sekadar melontarkan provokasi untuk mempopularkan diri. Tetapi yang menjadi isu adalah pihak yang berkuasa seperti AS kerana tidak mahu bertanggungjawab seterusnya mengambil tindakan tegas. Individu seperti ini tidak akan muncul kalau mereka tidak diberi laluan merosakkan kepentingan umum atas prinsip kebebasan individu. Sekarang ini penerbit filem yang entah siapa-siapa dulunya, kini menjadi figura penting apabila dilindungi oleh AS. Provokasi terhadap agama sudah banyak kali berlaku. Tetapi bezanya di negara lain provokasi seperti ini diambil tindakan untuk menghentikan dan mengambil tanggungjawab.

Tetapi sikap AS dalam isu filem ini adalah kesinambungan diskriminasi AS terhadap masyarakat Islam. Ini bukan perkara baru. Lihatlah isu pembinaan sebuah pusat Islam berhampiran tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang hancur dalam tragedi 11 September 2001 di mana Islam menjadi mangsa diskriminasi. AS juga secara psikologi mencipta istilah baru "Islamofobia" untuk menggambarkan kebimbangan masyarakat dunia terhadap Islam.

Islamofobia diciptakan oleh AS untuk memberikan gambaran buruk kepada Islam. Ini ditambah lagi dengan serangan ke atas WTC dalam tragedi 11 September 2001. Lama sebelum itu Islam juga sudah dilabelkan sebagai "pelampau". Apa sahaja yang berkaitan dengan Islam adalah pelampau. Semua ini dirancang dengan rapi untuk memerangi Islam secara psikologi. Maka penerbitan filem yang menghina Nabi Muhammad bukanlah suatu yang mengejutkan. Ia mungkin dirancang untuk dijadikan bom jangka yang sengaja dipasang untuk mencuit umat Islam termasuk pelampau bertindak. Ini dapat dilihat apabila pemimpin seperti Hillary lebih menyanjung hak kebebasan bersuara daripada hak untuk hidup harmoni.

Pelampau

Selepas ini sudah pasti Islam akan dilabelkan sebagai pelampau apabila Duta AS di Libya dibunuh. Pembunuhan ini akan digunakan sebaik-baiknya oleh AS untuk membuktikan Islam bersekutu dengan keganasan. Kematian Duta itu akan diperbesarkan hingga menenggelamkan isu kenapa pembunuhan itu berlaku. Kepada sesiapa juga yang mengikuti strategi AS memerangi Islam akan setuju bahawa pembunuhan Duta AS adalah mesej daripada umat Islam. Pada sisi yang lain, Hillary sebenarnya berbohong apabila berkata filem adalah ekspresi kebebasan bersuara dan kerajaan tidak boleh menghalangnya. Buktinya AS telah mengharamkan banyak filem sebelum ini kerana memberi kesan buruk kepada pemerintah dan kelompok Yahudi. Buktinya filem The Profit pada 2007 dan The Yes Men Fix The World (2010) antara yang diharamkan. Siapa kata filem sebuah ekspresi kebebasan bersuara dan tidak boleh diharamkan?

Bagaimana Hillary boleh berkata AS menjunjung prinsip kebebasan bersuara dan tidak boleh mengharamkan filem yang menghina Nabi Muhammad? Hillary adalah wanita yang paling berkuasa di AS dan boleh mengarahkan supaya penerbit filem diambil tindakan. Hillary tentu akan berkira-kira sokongan Yahudi kepadanya kalau mengambil tindakan ke atas penerbitan filem yang menghina Islam. Apabila Hillary menganggap filem itu sebagai kebebasan bersuara, maka tidak hairanlah penerbitnya mengeluarkan kenyataan yang angkuh dan anti Islam. Malah enjin carian terbesar, Google juga selari dengan kenyataan Hillary dan bertegas tidak akan mengeluarkan filem itu dari Youtube kecuali di Mesir dan Libya.

Bagaimanapun mendepani AS yang penuh taktikal itu tidak boleh semata-mata menyahut provokasi dengan provokasi. Tindakan menganjurkan tunjuk perasaan termasuk membunuh Duta adalah salah satu cara untuk memprovokasi AS. Tetapi kaedah lain yang perlu dilakukan ialah umat Islam mesti bersatu dan memulaukan AS. Pemimpin-pemimpin di negara Islam mesti menunjukkan teladan yang baik kepada dunia untuk menafikan Islamofobia ciptaan AS. Tetapi apabila pemimpin-pemimpin Islam di negara Islam sendiri menunjukkan pekerti yang buruk, diktator, membunuh rakyat dan paling malang sanggup ditunggang oleh AS untuk terus berkuasa, inilah ruang untuk AS memperendahkan Islam.

Sumber :
Mingguan Malaysia
17 September 2012

16 September 2012

ISU WANITA : KUASA WANITA PACU EKONOMI KELUARGA DAN NEGARA


Rencana ini ditulis oleh :
Nor Affizar Ibrahim


Kehadiran Hari Wanita Kebangsaan kali ini sememangnya istimewa ketika seri Syawal masih berbahang dan aura sambutan kemerdekaan negara ke-55 kian terasa. Bertemakan Wanita Pencetus Ekonomi Baru, ia ternyata selaras dengan manifestasi kerajaan terhadap sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi keluarga. Hakikatnya, dalam memastikan pembangunan berjalan lancar, peranan wanita tidak boleh diketepikan. Sumbangan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan meliputi ekonomi, sosial dan politik di kebanyakan negara bukan lagi sekadar bualan kosong, tetapi kenyataan.  Kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia pada hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 tahun atau 20 tahun lalu” - Wan Hasmah Wan Mohd, Ketua Pengarah JPW

Di Malaysia misalnya, dulu wanita hanya dikaitkan dengan status suri rumah tetapi segala-galanya berubah seiring pembangunan negara. Dalam bidang ekonomi, pembabitan wanita tidak hanya ‘bertarung’ membebaskan diri daripada prasangka dan kongkongan, malah mereka sudah menjadi sebahagian penggerak ekonomi diri dan negara. Isu diskriminasi wanita tidak lagi mencengkam golongan Hawa pada hari ini, sebaliknya, integrasi ekonomi dunia seiring dengan kemajuan teknologi yang pesat, sudah membentuk realiti ekonomi wanita dalam pelbagai cara.  Wanita terus mengorak langkah mengharungi cabaran memastikan kehadiran dan bakat mereka disedari dan diiktiraf. Dengan kebanjiran tenaga kerja wanita serta meningkatnya pendapatan dan kekayaan golongan ini, peranan wanita semakin berpengaruh baik dalam hal rumah tangga, organisasi mahupun negara.

Yang pasti, sumbangan wanita boleh dibanggakan sejak kebelakangan ini. Penyertaan wanita dalam tenaga buruh meningkat daripada 44.7 peratus pada 1995 kepada 46.4 peratus pada 2009 dan sasaran sehingga 55 peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh-10 (RMKe-10).  Perumpamaan ‘tangan wanita yang menghayun buaian boleh menggegarkan dunia’ dapat dilihat sebagai gambaran paling tepat untuk menggambarkan kesungguhan wanita di negara ini, khususnya dalam memastikan kestabilan negara dan kedudukan ekonomi. Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Wan Hasmah Wan Mohd, berkata hakikatnya sudah ramai menyedari potensi wanita dan memanfaatkan kehadiran mereka dalam pembangunan dan kemajuan ekonomi di negara ini. Atas alasan itu, sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012 memilih tema Wanita Pencetus Ekonomi Baru yang mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi keluarga.

“Kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia pada hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 tahun atau 20 tahun lalu. Usaha mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi melalui Model Baru Ekonomi (MBE) menjadikan wanita berperanan besar menggalas cabaran dalam era globalisasi dan terus menyokong pembangunan negara. Justeru, inilah signifikan tema itu dipilih. Ketika ini, wanita membentuk 49.1 peratus atau 14.03 juta populasi daripada 28.55 juta penduduk Malaysia. Seramai 9.03 juta (64.3 peratus) wanita adalah pada usia produktif iaitu 15 hingga 64 tahun,”

Wan Hasmah berkata, dalam tiga tempoh Rancangan Malaysia, sumbangan wanita ketara dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara. Sepanjang tempoh itu, pelbagai usaha diambil kerajaan dengan menyediakan persekitaran kondusif bagi memastikan penyertaan wanita lebih berkesan dalam pembangunan negara.  Golongan wanita kian terserlah sebagai usahawan berjaya, turut dilengkapkan dengan pakej sesuai supaya mampu bersaing dalam persekitaran ekonomi moden. Sehubungan itu, sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012, ada isu khusus yang bakal dibincangkan seperti sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi negara, pembabitan wanita dalam pasaran kerja dari pelbagai perspektif, prospek kembali bekerja dan aturan kerja fleksibel.

Jika dibandingkan negara lain seperti Vietnam dan China, peratusan jumlah tenaga kerja wanita di Malaysia masih rendah. Ini berlaku kerana ramai wanita berhenti kerja atas faktor tertentu. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku dan kita perlu pastikan, menjelang 2015 dianggarkan 55 peratus wanita produktif berusia 18 hingga 60 tahun mesti berada dalam pasaran kerja. Wan Hasmah berkata, menyedari permasalahan itu sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012, portal Microsite TalentWanita akan dilancarkan. Portal berkenaan berfungsi sebagai pengantara kepada wanita yang meninggalkan pasaran pekerjaan untuk kembali bekerja.

SUMBER
Berita Harian Online
14 September 2012

ISU NEGARA : USAH KOMPROMI LAGI PERILAKU CELUPAR "BUDAK NAKAL"


Rencana ini ditulis oleh :
Datuk Dzulkifli Abdul Razak
Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU)
Bekas Naib Canselor USM


Tidak beberapa lama dulu, seorang pelajar Malaysia di Taiwan mempersendakan lagu kebangsaan, Negaraku, melalui lagunya yang disebar di YouTube. Hal ini membangkitkan banyak bantahan daripada pelbagai pihak yang menyoal keangkuhan pelajar berkenaan. Apa yang dilakukan dianggap sebagai perbuatan 'kurang ajar' bagi seorang warga negara Malaysia, apa lagi dilakukan ketika berada di seberang laut. Namun, kesudahannya perkara itu 'diselesaikan' begitu saja atas andaian ini adalah perbuatan seorang ‘budak nakal lagi dangkal'. ‘Kenakalan’ sama nampaknya timbul lagi baru-baru ini secara ‘live’ pada ambang kemerdekaan ke-55 di ibu kota. ‘Kedangkalan’ kali ini membabitkan belia dan pelajar tempatan yang ghairah mengibarkan apa yang disebut sebagai Sang Saka Malaya berwarna merah putih.

Mereka umpama pacat yang menghisap segala nikmat tetapi tidak pandai menyumbang balik kepada negara," Khoo Kay Kim, Pakar Sejarah Hasrat mereka adalah untuk menggantikan bendera rasmi negara, Jalur Gemilang yang dikatakan hampir serupa dengan bendera Amerika Syarikat yang berjalur merah dan putih. Anehnya, Sang Saka Malaya yang hampir sama dengan corak bendera dua negara jiran seolah-olah tidak menjadi masalah bagi mereka. Perbuatan mereka mengibarkan bendera baru itu umpama adegan lawak tidak bertempat. Mungkin mereka tersalah hitung yang perbuatan sumbang itu boleh dimaafkan berpandukan kepada peristiwa di Taiwan sebelum ini. Mungkin mereka juga menyangkakan tindakan mempersendakan satu lagu simbol negara boleh ‘diselesaikan’ seperti klip video di YouTube itu.

Apapun yang tersilap langkah ternyata adalah kita yang sentiasa memandang ringan keceluparan perilaku sedemikian sehingga rela ia dilenyapkan begitu. Sanjungan diletakkan kepada lagu kebangsaan, bahasa kebangsaan, bendera kebangsaan, jati negara, institusi Raja-Raja dan Perlembagaan kian terhakis.  Kita tidak berani seperti dikatakan Professor Emeritus, Tan Sri Khoo Kay Kim, dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris. Kata beliau: “Jika mereka tidak sukakan negara ini, serahkan kewarganegaraan dan nyah saja ke tempat lain.”

Duri dalam daging

Bagi Prof Khoo, logiknya mudah kerana mereka inilah yang menjadi duri dalam daging atau gunting dalam lipatan. Atau lebih tepat lagi musuh dalam selimut atau tali barut kepada orang lain. Kewujudan begitu banyak peribahasa seumpama ini menunjukkan perbuatan sedemikian pernah berlaku dalam masyarakat dan memporak-perandakan kesejahteraan negara. Malah, Prof Khoo pernah melahirkan kebimbangannya mengenai mereka yang buta sejarah walaupun lahir dan membesar di negara ini. Mereka umpama pacat yang menghisap segala nikmat yang ada tetapi tidak pandai menyumbang balik kepada negara kerana sanubarinya tidak langsung tersentuh untuk berbuat demikian. Sebaliknya, mereka lebih mudah mencaci-cela gejala daripada kejahilannya akan sejarah tanah air.

Bibit perpecahan ini turut berlaku di beberapa aliran sekolah di negara ini yang enggan mengiktiraf peri pentingnya perspektif kebangsaan diajar atau diseragamkan pada semua peringkat persekolahan. Ramai masih sempit pemikirannya tatkala menduga bahawa tindakan sedemikian akan melunturkan dan mengubah corak pendidikan mereka. Kefahaman mengenai sejarah dan latar negara dikorbankan, begitu juga penguasaan bahasa kebangsaan. Ini adalah satu kelompangan yang mampu mengancam sesebuah negara majmuk kerana pendidikan sedemikian gagal membina penyatuan kukuh.

Fahaman berpuak

Sebaliknya fahaman berpuak semakin menebal dan perspektif lebih lumrah tanggap mengeruhkan keadaan. Mencari titik pertemuan menjadi perkara amat sukar sekali kerana jiwa mereka sudah dilatih asas berbeza. Ia melahirkan satu bentuk syak wasangka kepada apa dan siapa saja yang berlainan. Malah niat yang baik lazim diputar-belitkan kepada sesuatu yang negatif dan hodoh. Masanya sudah sampai kita perlu menangani kemelut nilai ini usia negara mencecah 55 tahun. Kita masih belum terlambat untuk menegaskan landasan kukuh dengan meletakkan simbol negara pada tempat sewajarnya. Kita tidak perlu lagi berlembut dan berkompromi kerana 55 tahun adalah jangka masa cukup lama untuk membawa kepada perubahan dalam konteks bernegara.

Sempena menyambut Hari Malaysia kali ini, tiada risalah paling sesuai selain merenung kembali sejarah pembentukan negara dan bertekad mempertahankan kemerdekaannya serta menyanjung tinggi segala simbol negara yang menaunginya.

SUMBER
Berita Harian Online
13 September 2012